Memaparkan catatan dengan label pemakanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pemakanan. Papar semua catatan

Rabu, 7 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Xèo

Bánh Xèo merupakan satu lagi makanan enak dari Vietnam.

Bánh Xèo merupakan antara makanan terkenal Vietnam sejajar dengan makanan-makanan ternama yang lain seperti phở, bánh mì dan juga bún chả (tidak semuanya adalah halal!) yang lebih mendapat perhatian mengikut peredaran zaman. Bánh Xèo mempunyai sejarah penyediaan yang lebih awal, namun bertahan sehingga ke hari ini mengikut perubahan zaman dan mengikut perubahan selera masyarakat moden.

Bánh Xèo antara lainnya bermaksud “lempeng mersik” (sizzling cake) kerana ia disediakan dengan menyediakan kepingan lempeng yang disediakan di atas kuali rata yang panas dan menghasilkan bunyi yang mersik. Hari ini berikutan tersebarnya bánh xèo ke daerah-daerah yang lain, banyak variasi yang dapat disaksikan samada dari segi saiz mahupun bahan-bahan isi yang digunakan bersama-sama dengan makanan istimewa ini.

Bánh Xèo disediakan menggunakan kuali rata.

Penyediaan disediakan di gerai-gerai kecil.

Tepung khusus untuk penyediaan bánh xèo.

Bánh Xèo dikatakan berasal dari bahagian tengah Vietnam semenjak era Tay Son lagi. Ia mula menjadi makanan kegemaran masyarakat setempat yang akan menyediakan hidangan ini pada setiap 16 hari bulan mengikut peredaran bulan. Mereka akan menyediakan bánh xèo berbanding makanan harian biasa yang lain.

Ia juga dikatakan mungkin berasal daripada bandar diraja lama Hue dengan makanan tradisinya yang dikenali sebagai bánh khoái iaitu lempeng garing yang masih lagi disediakan di bandar tersebut. Kemungkinan juga makanan ini mempunyai kaitan dengan orang-orang Cham yang mempunyai hubungan dengan penduduk di Vietnam atau mungkin juga berasal dari Selatan India dari hubungan yang berkurun lamanya.

Hasil daripada peredaran zaman dan migrasi penduduk, hari ini bánh xèo mempunyai pelbagai variasi dari segi saiz, penyediaan dan bahan inti yang digunakan dalam penyediaannya. Di daerah-daerah seperti Binh Dinh, Quang Ngai dan Quang Nam mempunyai saiz bánh xèo yang sederhana dibalut menggunakan kertas beras. Manakala daerah-daerah di Selatan seperti Khanh Hoa, Ninh Thuan dan Binh Thuan menggunakan bahan inti daging, taugeh bagi menggantikan makanan laut yang dipadankan dengan sos ikan, cili dan kuah kacang. Lempeng kecil daerah Selatan ini adakalanya dibalut dengan sayuran atau tidak dibalut.

Saiz hidangan bánh xèo yang biasa.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Hanoi.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Saigon.

Saiz lempeng bánh xèo menjadi semakin besar ke arah Selatan seperti di daerah Can Tho, Bien Hoa dan Saigon, anda boleh mendapati saiz bánh xèo yang lebih besar dengan isi inti daripada pelbagai jenis bahan.

Bánh Xèo hanya menjadi popular di bahagian Selatan seperti Bandar Saigon hanya pada lewat 1990-an, apabila perpindahan penduduk dari bahagian tengah Vietnam membawa bersama makanan kegemaran mereka ini ke sini. Ia merupakan makanan yang biasanya dibungkus oleh para petani di dalam daun pisang untuk dibawa bekerja di sawah padi.


Walaupun hari ini bánh xèo turut disediakan oleh restoran-restoran ternama mahupun rangkaian restoran franchise seperti Banh Xeo Muoi Xiem dan An La Ghien, ramai penggemar bánh xèo masih lagi memilih untuk menikmatinya melalui gerai-gerai di tepian jalan yang dikatakan menyediakan bánh xèo yang jauh lebih enak. Satu lagi makanan Vietnam yang menarik untuk disaksikan dan menggambarkan sebuah budaya yang kaya dengan pelbagai keunikan.


Free Download



Selasa, 6 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Chả Cá

Chả Cá disediakan di restoran Chả Cá Lã Vọng

Chả Cá merupakan satu lagi hidangan yang amat popular di Utara Vietnam terutamanya di bandar Hanoi. Resepi popular ini masih lagi dihidangkan di mana ianya mula diperkenalkan lebih dari 100 tahun yang lalu iaitu Chả Cá Lã Vọng. Hari ini ia turut dihidangkan oleh banyak restoran lain memandangkan ia merupakan antara hidangan yang menjadi buruan ramai para pelancong ke  Hanoi.

Chả Cá merupakan resepi masakan ikan yang ringkas namun bagi Chả Cá Lã Vọng, ia mempunyai rahsia tersendiri dalam memilih ikan-ikan yang sesuai untuk digunakan bagi resipi ini. Ikan ini akan diperap bersama kunyit sebelum hidangan kepada pelanggan. Ia akan digoreng bersama daun-daun herba seperti dill, daun bawang, daun sup selain dihidangkan bersama kacang goreng dan juga mee beras.

Keseluruhan bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan istimewa ini.

Ikan digoreng bersama-sama rempah herba yang disertakan.

Dalam resepi asalnya, ikan yang digunakan untuk resepi ini adalah dari jenis haruan (cá lóc), namun ikan-ikan lain juga boleh digunakan; terutamanya yang mempunyai isi yang pejal dan kurang hanyir merupakan jenis ikan yang sesuai untuk resepi ini. Ikan yang digunakan juga kebiasaannya adalah dari jenis ikan air tawar.

Ia merupakan resepi yang amat mudah. Namun begitu, sekali anda mencubanya, anda tentu akan merasa betapa istimewanya resepi ringkas menggunakan hanya beberapa jenis bahan ini. Jadi sebab itulah, restoran seperti Chả Cá Lã Vọng, tidak dikunjungi oleh penduduk tempatan kerana ia mengenakan harga yang agak tinggi. Namun begitu bagi para pelancong, ia merupakan pengalaman istimewa kerana ia merupakan di mana resepi ini bermula. Chả Cá Lã Vọng hanya menghidangkan satu resepi sahaja, dan masih lagi mengekalkan sebahagian besar kedai asalnya yang penuh bersejarah.


Restoran ini telah berusia lebih 100 tahun.

Ruang dalam tempat di mana hidangan disediakan.

Restoran yang hanya menyediakan satu hidangan sahaja.

Semasa melawat Hanoi pada tahun 2016, MyRokan sempat mencuba Chả Cá di restoran asalnya Chả Cá Lã Vọng. Ia bukan sahaja merupakan antara makanan yang terpaling lazat dinikmati di Hanoi, malah merupakan antara pengalaman manis yang amat dinanti-nantikan di sepanjang lawatan tersebut.



Free Download



Makanan Terkenal Vietnam: Pho

Pho makanan yang berasal dari bahagian Utara VIetnam.

Vietnam mempunyai pelbagai pilihan makanan yang unik seperti juga negara-negara SE Asia yang lain. Apa yang menarik, geography Vietnam yang memanjang dari Selatan ke Utara memberikan Vietnam banyak perbezaan dari segi budaya, cuaca, cara hidup dan hidangan bagi kedua-dua kawasan yang terletak jauh di antara keduanya.

Oh, makanan utama yang akan kita bincangkan hari ini adalah Pho, yang merupakan makanan yang paling popular di Vietnam. Makanan ini sememangnya sinonim dengan negara ini baik di bahagian Selatan mahupun di Utara. Pho adalah makanan yang ringkas, namun boleh disediakan dengan pelbagai cara dan ianya menjadi antara makanan Vietnam yang turut popular di luar Vietnam sendiri.

Pho menjadi hidangan istimewa di pinggir jalan di Hanoi.

Jadi tidak susah sekiranya anda ingin mencuba hidangan Pho kerana ia dihidangkan hampir di mana sahaja daripada restoran hinggalah ke gerai-gerai kecil di tepian jalan. Di bahagian Utara ia dikenali sebagai (pho bac) manakala di bahagian ia dikenali di Selatan sebagai (pho nam) dengan sedikit perbezaan daripada jenis bahan yang digunakan untuk menyediakan supnya. Walaubagaimanapun makanan ini dikatakan dibawa daripada bahagian Utara Vietnam.

Pho terus berevolusi dengan penghijrahan rakyat Vietnam ke serata bahagian dunia berikut kekacauan, peperangan, perpindahan kerana pekerjaan dan sebagainya membawa bersama keunikan Pho yang digabungkan bersama bahan-bahan masakan di kawasan baru yang didiami oleh Rakyat Vietnam. Inilah yang menjadikan Pho satu hidangan yang luas dan mempunyai pelbagai jenis untuk dicuba.

Pho dengan isi daging dan pilihan sayuran tambahan.

Antara sayuran sesuai untuk dimakan bersama pho.

Secara kasarnya Pho terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu pho bo (pho daging) dan juga pho ga (pho ayam), dimana pho bo mempunyai variasi yang lebih mengikut bahagian daging pada lembu yang digunakan. Jadi pho bo disediakan bersama bahagian daging seperti;
  • bò chín (daging salai masak),
  • bò tái (daging mentah),
  • nạm (pinggul),
  • vè dòn (pinggul rangup),
  • gầu (dada berlemak),
  • gân (tendon),
  • sách (usus/perut) dan
  • bò viên (bebola daging dengan tendon).


Pho dengan kuah merah yang menggunakan rempah berbeza.

Pho yang menggunakan sup yang lebih terang dengan daging dan sayur.

Selain daripada memilih isi daging yang digunakan bersama pho anda, anda juga boleh memilih pelbagai jenis ragam pho yang disediakan mengikut standard penyediaan pho oleh restoran-restoran serata vietnam seperti;
  • Nước trong (kuah sup tanpa lemak; kuah asas pho),
  • Nước béo (kuah sup berlemak atau extra lemak),
  • Tái sống (daging mentah),
  • Ít bánh (kurang mee, "banh" dirujuk sebagai "banh pho" yang bermaksuk mee untuk pho),
  • Nhiều bánh (lebih mee),
  • Ít thịt (kurang daging)
  • Nước béo hành trần (sup berlemak dengan sirap bawang bersama),
  • Giá chín (bersama taugeh celur),
  • Không hành (tanpa bawang),
  • Không hành ngò (tanpa bawang/daun ketumbar),
  • Không hành tây (tanpa bawang),
  • Hành giầm giấm (sirap bawang di sisi)

Restauran franchise Pho24 yang mempunyai banyak cawangan. 

Restauran phostreet dari Singapura satu lagi hasil ilham dari pho.



Dengan mengenali akan kepelbagaian pho ini, maka tahulah anda betapa pentingnya pho sebagai makanan harian kepada penduduk Vietnam. Walaupun terdapat pelbagai lagi hidangan istimewa Vietnam, namun pho merupakan antara makanan terpenting untuk dicuba apabila anda mempunyai peluang untuk mencubanya.



Free Download



Rabu, 10 Ogos 2016

Labah Labah Pemakan Sayuran (Tumbuhan) – Bagheera Kiplingi

Bagheera kiplingi dengan makanan yang diperolehinya dari pohon akasia.

Sepertimana yang kita ketahui labah-labah memakan hidupan lain daripada jenis serangga sehinggalah kepada haiwan-haiwan kecil. Namun daripada 40,000 jenis labah-labah yang diketahui, satu daripadanya didapati menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makananya juga. Ini menjadikan Bagheera kiplingi sebagai labah-labah yang terpaling unik.

Walaupun labah-labah ini ditemui lebih awal iaitu pada lewat 1800, ianya hanyalah specimen yang telah mati maka kefahaman mengenai tabiat kehidupannya tidak diketahui. Sehinggalah pada tahun 2001 hingga 2008 apabila kajian terhadapnya dilakukan di kawasan hutan tropika di Tenggara Mexico dan Barat Laut Costa Rica.

'Bagheera kiplingi' adalah sebahagian daripada kumpulan jumping spider.

Berkongsi habitat dengan semut yang juga mendiami pokok akasia.

Penemuan mengenai pemakanan Bagheera kiplingi yang terdiri daripada kudup yang mengandungi khasiat daripada pokok akasia. Namun adakalanya labah-labah ini turut didapati memakan larva semut. Mungkin ia bukanlah pemakan tumbuhan sepenuhnya, namun ia merupakan salah satu contoh labah-labah pemakan tumbuhan yang baik.

Bagheera kiplingi merupakan sebahagian daripada spesis yang termasuk di dalam kumpulan ‘jumping spider’ – iaitu kumpulan labah-labah yang aktif dan mempunyai lompatan yang jauh (berbanding saiznya). Nama yang diberikan padanya pula adalah bersempena nama harimau kumbang di dalam buku yang dikarang oleh Rudyard Kipling pada tahun 1894 iaitu The Jungle Book.


Antara gambar menarik Bagheera kiplingi.

Gambaran dekat menunjukkan rerambut dengan lebih jelas.


Free Download



Rabu, 13 Julai 2016

Bagaimana Meningkatkan Kadar Pengaliran Darah?

Peredaran darah yang baik penting untuk kesihatan.

Kesihatan merupakan faktor penting dalam kehidupan dan antara faktor penting mejamin kesihatan pula adalah pengaliran darah yang baik. Mungkin sebelum kita memikirkan tentang peningkatan pengaliran darah, perkara utama yang perlu kita pastikan adalah pengaliran darah yang normal. Jadi kali ini kita melihat bagaimana kita boleh memastikan perkara ini dicapai.

Darah merupakan medium yang membawa segala bekalan penting untuk setiap sel di dalam badan kita. Jadi sebarang gangguan pada sistem ini akan memberikan kesan kepada badan bergantung kepada tahap gangguan yang dialami. Proses pengubatan juga sukar dilakukan sekiranya sistem peredaran darah terganggu, kerana ubatan juga memerlukan sistem peredaran darah sebagai agen pengangkutan baginya. Berikut adalah beberapa langkah penting untuk memastikan sistem peredaran daran yang baik;

Aktiviti Fizikal

Senaman aktiviti penting untuk peredaran darah yang sempurna.

Penggunaan pemberat untuk stimulant bahagian-bahagian tertentu.

Senaman boleh dilakukan untuk sebarang peringkat usia.

Aktiviti fizikal amat penting dalam memastikan peredaran darah yang baik. Ia mungkin tidak menjadi masalah yang besar sekiranya anda menjalankan aktiviti harian yang memerlukan pergerakan fizikal yang banyak. Namun  bagi sesetengah kita yang kurang melakukan aktiviti harian seperti bekerja di dalam pejabat dan hanya membaca buku bagi pelajar misalnya, akan mengalami penurunan kadar pengaliran darah.

Aktiviti senaman merupakan antara kaedah yang baik dalam membantu sistem peredaran darah berjalan dengan lancar semula. Anda perlu melakukan aktiviti senaman yang berbentuk aerobik bagi meningkatkan kadar oksigen di dalam darah. Manakala senaman jangka pendek (dengan pemberat, push-up, lari pecut) juga adalah sebagai stimulasi bahagian-bahagian tertentu sekiranya perlu. Selain meningkatkan kadar aliran darah, aktiviti senaman juga membantu menyah toksin di dalam darah melalui proses perpeluhan.

Selain senaman, kaedah urutan juga membantu melancarkan peraliran darah. Berbeza dengan senaman, urutan memberikan kerehatan kepada bahagian-bahagian tertentu yang diberikan urutan. Namun urutan lebih penting sekiranya anda mengalami kecederaan pada bahagian-bahagian tertentu. Sebaliknya senaman adalah lebih penting dalam menjamin peredaran darah yang sempurna.

Meletakkan kaki anda pada kedudukan yang lebih tinggi juga merupakan salah satu kaedah dalam membantu meningkatkan peredaran darah. Namun kaedah ini tidak boleh dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama. Gunakan bantal ataupun bangku untuk meletakkan kaki anda sementara anda berbaring di atas lantai. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang menghabiskan banyak masa dengan berdiri.

Tabiat Pemakanan

Pemakanan yang membantu peredaran darah.
Darah membawa pelbagai khasiat penting untuk setiap sel di dalam badan.

Pemakanan merupakan faktor penting dalam memastikan khasiat yang terkandung di dalam darah untuk dibawa ke bahagian-bahagian lain di dalam badan. Jadi daripada pemakananlah kebanyakan masalah kesihatan bermula. Pastikan anda mengurangkan pemakanan yang mengandungi bahan-bahan tiruan (atau makanan yang diproses). Begitu juga manakanan yang menggunakan racun rumpai, racun serangga dan bahan-bahan kimia yang lain dalam proses penanamannya. Adalah penting juga bagi anda memastikan makanan yang disediakan dengan kaedah yang bersih dan selamat untuk memastikan makanan selamat dimakan.

Sememangnya terdapat makanan yang membantu pengaliran darah yang baik iaitu pemakanan yang bersifat penggalak (stimulant) kepada pengaliran darah. Namun fungsi utama pemakanan adalah membekalkan khasiat (nutrients) kepada badan. Jadi adalah penting bagi kita mengambil pemakanan yang seimbang dan mengelakkan pemakanan yang boleh mendatangkan mudarat seperti makanan ringan.

Perkara penting yang perlu diingat dalam pemakanan adalah, badan memerlukan pelbagai khasiat untuk bekerja dengan sempurna, namun begitu setiap  perkara tidak boleh diambil secara berlebihan. Jadi anda tidak boleh hanya menumpukan kepada satu kumpulan khasiat pemakanan sahaja.

Pada masa yang sama juga air merupakan satu elemen penting kepada darah. Air memastikan kepekatan darah dalam keadaan yang normal, mengawal suhu badan seterusnya membantu pengaliran darah yang sempurna. Kurangkan pengambilan air sejuk kerana ia akan mengecutkan saluran darah dan juga melambatkan proses penghadaman. Begitu juga pengambilan kopi, minuman beralkohol akan mengakibatkan anda membuang air dengan kerap. Sebaliknya minuman ringan seperti minuman berkarbonat dan minuman dengan perasa tiruan/ dengan kandunga gula tinggi juga boleh menggganggu kesihatan anda untuk jangka masa panjang.

Kaedah Lain

Urutan bukan sahaja merehatkan tetapi melancarkan peredaran darah.

Riadah mengurangkan stress.

Kadar pengaliran darah juga boleh ditingkatkan dengan mandi menggunakan air panas. Kaedah ini dapat meningkatkan kadar aliran darah dan memberikan anda kerehatan. Ia juga boleh dilakukan untuk bahagian-bahagian tertentu seperti merendam kaki di dalam air panas. Bagi bahagian-bahagian lain, ia boleh dituam menggunakan air panas yang diisi di dalam botol, bijian panas yang disikan di dalam bungkusan dan sebagainya. Ia merupakan kaedah biasa yang dilakukan untuk merawat masalah darah beku atau lebam akibat pendarahan dalaman.

Aktiviti riadah sebaliknya membantu peredaran darah dengan mengurangkan stress. Ini kerana tekanan akan mengakibatkan peredaran darah yang tidak teratur dan mengkibatkan pelbagai gejala seperti sakit kepala, kemurungan, keletihan dan masalah-masalah lain sekiranya dibiarkan berpanjangan. Aktiviti riadah dan juga kerehatan seperti Yoga atau Tai-Chi dapat membantu mengurangkan kadar stress ini. Adakalanya anda boleh melakukannya dengan hanya sekadar bersiar-siar di taman.

Dapatkan Bantuan dan Nasihat Pakar

Jangan lupa mendapatkan bantuan pakar apabila anda mendapati gejala-gejala serius yang berpanjangan. Masalah boleh menjadi serius sekiranya ianya tidak diberikan perhatian di peringkat awal. Ini juga penting sekiranya anda berniat untuk mengambil ubatan ataupun makanan tambahan dalam meningkatkan kadar peredaran darah anda. Tidak semua perkara sama bagi setiap individu,  maka nasihat pakar penting bagi mengelakkan kesan sampingan daripada tindakan yang akan anda lakukan.


Ya itulah dia antara beberapa perkara penting dalam membantu anda mencapai kadar peredaran darah yang lebih baik. Namun seperti yang kita ketahui, kaedah terbaik adalah dengan memastikan kita sentiasa aktif, kerana ia merupakan kaedah semulajadi badan berfungsi. Jadi pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti senaman disamping mengawasi tabiat pemakanan anda. Seperti yang kita sedia ketahui, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.


Free Download



Arkib Blog