Premis perniagaan yang bersih sentiasa menjadi pilihan pelanggan. |
Pelaris bukanlah
asing dalam dunia perniagaan samada dalam dunia perniagaan klasik ataupun dunia
perniagaan moden. Sebenarnya apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah
mengenai pelaris yang boleh dilakukan oleh semua peniaga dan tiada kaitan
dengan penggunaan sihir ataupun ilmu hitam.
Dunia perniagaan
sememangnya penuh dengan cabaran namun begitu terdapat 1001 cara untuk kita
melariskan perniagaan. Terdapat kaedah yang boleh dilakukan walau dimana
sekalipun tahap kemampuan perniagaan anda. Bagi kemudahan semua, di sini kita
akan lihat dari sudut perniagaan makanan dimana ia merupakan perniagaan yang
paling ramai diceburi oleh peniaga-peniaga Melayu Bumiputra.
Produk Berkualiti
Perkara yang
paling utama dalam semua perniagaan tentulah berkaitan dengan produk yang baik.
Untuk mencapai ke tahap ini peniaga perlulah memastikan barangan yang
dihasilkan dalam keadaan yang selamat untuk pengguna. Barangan yang berkualiti
memastikan pelanggan datang semula ke premis perniagaan kita. Penggunaan bahan
yang sentiasa dipantau bagi mengelakkan kualiti barangan yang rosak. Jangan
ambil risiko dengan memberikan pelanggan barangan yang kurang berkualiti – peliharalah/hargailah
kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada anda.
Produk berkualiti
juga merujuk kepada produk yang menjadi ‘trademark’ perniagaan anda. Jagalah
kualiti produk anda dari segi kualiti dan rasa. Elakkan anda hanya
menghidangkan produk yang sama seperti 10 kedai lain yang sebaris dengan anda.
Namun begitu juga produk anda berkualiti ia masih boleh mengatasinya. Anda juga
bertanggungjawab memastkan segala bahan dan produk yang dihasilkan mengikut
standard anda sendiri. Jadi jangan abaikan tanggungjawab utama ini.
Kebersihan
Premis yang bersih menambahkan keselesaan. |
Pastikan
kebersihan premis anda sentiasa dalam keadaan baik. Sediakan kemudahan untuk
pekerja membuat kerja-kerja pembersihan setiap beberapa jam. Gunakan kaedah
yang tidak mengganggu pelanggan. Pastikan juga troli, penyapu, baldi atau bekas
yang digunakan pekerja untuk kerja-kerja pembersihan itu juga bersih. Pelanggan
amat menyukai premis yang bersih. Mereka juga merasa lebih dihargai.
Gunakan pembersih
yang sesuai dengan keadaan di premis anda. Bahan pembersihan untuk premis
perniagaan biasanya berbeza dengan yang digunakan di rumah. Gunakan juga bahan
pembunuh kuman bagi mengelakkan jangkitan ke dalam makanan serta serangga
perosak. Amalkan kerja-kerja pembersihan untuk keseluruhan premis setiap kali
membuka dan menutup perniagaan dan anda akan mendapati kerja-kerja pembersihan
akan menjadi lebih mudah berbanding sekiranya hanya dilakukan sekali-sekala.
Kebersihan Pengendali
Kebersihan para
pekerja juga penting samada yang berada di bahagian hadapan ataupun melakukan
kerja-kerja memasak di bahgian belakang premis. Pastikan para pekerja
mengenakan pakaian yang bersih semasa datang ke tempat kerja. Adalah lebih baik
sekiranya anda menyediakan baju seragam kerana ia melambangkan kesungguhan
perniagaan anda. Bekalkan juga apron yang bersih bagi pekerja-pekerja di dapur
bagi mengelakkan pakaian menjadi kotor.
Pastikan pekerja
mengamalkan penjagaan kebersihan sepanjang masa dan mengetahui kaedah
pengendalian makanan yang betul. Sediakan tempat dan pencuci tangan khas bagi
pekerja membersihkan tangan sebelum menyentuh apa-apa bahan makanan. Pastikan juga kuku pekerja yang mengendalikan
proses memasak sentiasa pendek dan bersih. Sekiranya perlu tekankan aspek-aspek
kebersihan diri menyeluruh seperti penjagaan rambut, kumis dan sebagainya.
Layanan
Senyuman kepada pelanggan menjalinkan hubungan baik, juga sebagai tanda terima kasih. |
Layanan merupakan
perkara yang utama dinilai pelanggan. Ini mungking kerana mereka tidak
berpeluang untuk melihat keadaan di dapur tempat memasak makanan. Malah ia
merupakan sebab utama mengapa ramai pelanggan memilih untuk ke kedai mamak
kerana layanannya yang cepat – walaupun kualiti makanan dan layanan tidaklah
begitu istimewa.
Pastikan anda
menyediakan pekerja yang cukup untuk memberikan layanan yang pantas. Elakkan pelanggan
menunggu terlalu lama untuk membuat pesanan ataupun menerima tempahan makanan.
Masa adalah penting bagi semua orang jadi mereka amat menghargai sekiranya anda
menghargai masa mereka.
Latihlah perkerja
untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan. Jangan bergaduh dengan
pelanggan dan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik apabila terdapat
sebarang krisis. Gunakan bahasa yang baik semasa berada di premis. Ini akan
melatih pekerja untuk sama-sama menggunakan bahasa yang baik kepada pelanggan.
Ambil inisiatif
untuk mengenali pelanggan anda dengan lebih rapat. Pelanggan amat berbesar hati
apabila anda mengenali mereka dan mungkin akan terkejut sekiranya anda boleh
mengingati nama mereka. Hubungan inilah yang menjalinkan hubungan yang baik
antara anda dan pelanggan-pelanggan setia.
Keceriaan
Hiaslah premis
anda dengan baik sesuai dengan tema premis anda. Selain daripada memberikan
ketenangan kepada pelanggan, ia juga memberikan keyakinan bagi
pelanggan-pelanggan baru. Adakalanya perhiasan ini tidaklah memerlukan
perbelanjaan yang besar, cuma elakkan keadaan yang berserabut.
Bagi menambahkan
seri premis, anda mungkin juga boleh menambah sedikit muzik yang sesuai atau
tontonan seperti TV (sekiranya bersesuaian). Namun begitu muzik adalah lebih
baik – kerana ia akan memberikan suasana yang aman kepada para pelanggan dengan
pilihan muzik yang betul.
Periksa juga
kerusi dan meja anda supaya bersih dan dalam keadaan yang selamat. Ini kerana
anda tentu tidak mahu pelanggan anda tercedera semasa menikmati hidangan
mereka.
Servis Tambahan
Jangan takut untuk memberikan sedikit kelebihan kepada pelanggan anda. |
Servis tambahan
boleh memberikan anda sedikit kelebihan berbanding dengan premis-premis yang
lain. Jadi sekiranya berkemampuan jangan takut untuk menyediakan servis
tambahan seperti Wi-Fi, kemudahan surau, tandas dan sebagainya. Servis tambahan
ini bergantung kepada kemampuan anda. Namun pada pelanggan sedikit kelebihan
ini adalah amat penting.
Itu adalah
beberapa pelaris mudah yang perlu ada kepada setiap premis perniagaan.
Sekiranya anda tidak mengambil serius tantang perkara-perkara ini maka
janganlah anda fikir pelanggan akan tertarik ke premis anda. Lebih malang lagi
sekiranya berlaku kes-kes seperti keracunan makanan yang boleh mengakibatkan
premis anda ditutup. Ambillah langkah awal dan kekalkan bagi kebaikan semua
iaitu pelanggan dan perniagaan anda sendiri. Tunjukkan kesungguhan anda dan
pastinya pelanggan akan menghargainya.