Ahad, 20 November 2016

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Kuala Lumpur

Pintu masuk utama ke Muzium Seni Kraf Orang Asli.

Muzium Seni Kraf Orang Asli (Orang Asli Craft Museum) terletak di Jalan Damansara iaitu bersebelahan dengan bangunan Muzium Negara, Kuala Lumpur. Ia berbeza dengan Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak, Selangor. Sesuai dengan namanya, ia bertujuan untuk memperkenalkan seni kraft orang asli kepada orang ramai selain perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kebudayaan masyarakat ini.

Selain daripada barangan kraft tersebut ia juga turut memaparkan kaitan-kaitan barangan tersebut bagi kehidupan orang asli yang menyentuh kisah-kisah mitos dan lagenda, kebudayaan dan kepercayaan mereka. Bahan-bahan pameran ini ada diantaranya yang dipamerkan secara tetap dan ada juga yang dipamerkan secara bermusim.

Terdapat galeri yang telah diperbesarkan dibahagi kepada lapan segmen yang menggambarkan kehidupan orang asli yang turut merangkumi latar belakang suku kaum orang asli, taburan geografi dan demografi, ukiran patung, ukiran topeng, kediaman tradisi, peralatan memburu dan menangkap ikan, kematian, alat muzik, aksesori pakaian dan anyaman. Segala bahan ini disampaikan menggunakan pelbagai kaedah termasuklah penggunaan multimedia bagi memudahkan lagi proses pembelajaran mengenai kehidupan masyarakat orang asli ini.


Koleksi topeng-topeng yang dipamerkan.

Ukiran-ukiran kayu masyarakat orang asli.

Peralatan menangkap ikan.

Harga Tiket Muzium Kraf Orang Asli

Jenis Pelawat
Kadar
Warganegara
RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU)
RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara)
RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM)
Percuma
Bukan Warganegara
RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara)
RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara)
Percuma

Waktu Buka
9.00 pagi - 6.00 petang (setiap hari)
Tutup pada hari raya pertama Aidilfitri & Aidiladha

Pengangkutan

Pengunjung boleh menaiki teksi atau bas KL HOP-ON  HOP-OFF, bas percuma (Go KL) atau pengangkutan alternatif lain yang berpusat di Stesen KL Sentral, iaitu komuter, LRT, Monorel atau berjalan selama 20 minit. Anda juga bakal berpeluang menggunakan perkhidmatan MRT apabila ianya dibuka nanti.

Pegawai untuk dihubungi

Asmawi Bin Mohamed Yunos - Ketua Muzium MSKOA (asmawi@jmm.gov.my)

Address:

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, 50566 Kuala Lumpur

Tel:  603-22671000 samb.154 / 171 / 153
Fax: 603-2282 7294 / 2287 1275









Free Download





Muzium Orang Asli Gombak, Selangor

Muzium Orang Asli, Gombak, Selangor.

Muzium Orang Asli (Orang Asli Museum) Gombak, Selangor merupakan muzium yang berbeza dengan muzium yang berada di bersebelahan bangunan Muzium Negara di Jalan Damansara yang juga dikenali sebagai Muzium Seni Kraf Orang Asli. Sehubungan itu, muzium yang terletak di Gombak ini jarang-jarang sekali kita dengari dan kemungkinan masih ramai lagi yang masih belum mengunjunginya.

Muzium ini bukanlah baru dibuka malah ianya telahpun diubahsuai untuk memperbaiki lagi bangunan asalnya dan dibuka semula pada tahun 2013 setelah 2 tahun ditutup untuk pengubahsuaian. Ia kali pertama dirasmikan pada 29 September 1987 oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4.

Muzium ini adalah diuruskan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan tidak seperti muzium-muzium lain yang berada di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Maka muzium di Gombak ini tidak dipaparkan dengan lengkap di website JMM sepertimana muzium-muizum lain di bawah pengurusannya.


Selepas pengubahsuaian, pintu masuk utama muzium.

Ruang dalaman bahagian pameran.

Muzium ini antara lainnya adalah sebagai usaha dalam memelihara dan mendidik orang ramai berkenaan pelbagai perkara berkaitan dengan masyarakat orang asli termasuk:
Tradisi kebudayaan;
  • Adat resam dan kepercayaan;
  • Pantang larang;
  • Aktiviti perubatan;
  • Upacara perkahwinan;
  • Aktiviti memburu;
  • Penggunaan herba-herba dan rawatan tradisional; dan
  • Cara hidup mereka secara keseluruhannya.
Bangunan asal Muzium Orang Asli, Gombak.

Walaupun lokasinya berada agak jauh dari pusat bandaraya, ia masih dilengkapi dengan pengangkutan awam dan laluan jalan yang baik. Cuma anda perlulah membuat perancangan perjalanan yang lebih awal sesuai dengan jarak yang perlu ditempuhi untuk melawatinya.

Untuk sebarang maklumat lanjut anda bolehlah menghubungi muzium tersebut secara terus melalui perincian seperti di bawah:

Alamat:
KM 24, Gombak, Kuala Lumpur, 53100, Selangor, Malaysia

Tel:

Ia dibuka setiap hari dari jam 9:00am - 6:00pm (kecuali Jumaat).






Free Download




Planetarium Negara Kuala Lumpur

Planetarium Negara, Kuala Lumpur di Taman Tasik Perdana.

Planetarium Negara (National Planetarium) merupakan antara tarikan istimewa yang terletak di kawasan stetegik Taman Tasik Perdana yang juga menempatkan beberapa lagi tarikan istimewa bersifat lawatan pendidikan dan keluarga. Planetarium Negara mempunyai beberapa ciri-ciri menarik selain fungsinya yang juga agak mencabar dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat berkenaan ilmu angkasa.

Dengan senibina yang amat menarik dengan menonjolkan senibina Islam, bangunan Planetarium Negara terserlah dengan binaan kubah berwarna biru terletak di atas bukit. Ia dibina di atas tanah berkeluasan 120,000 kaki persegi (11,000m2). Pembinaannya bermula pada tahun 1990 dan selesai pada tahun 1993. Ia bagaimanapun dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 9 Februari 1994.

Ia menempatkan bahan-bahan pameran berkenaan dengan angkasa dan teknologi aero-angkasa (aerospace) seperti engine angkasa Arianne IV, yang juga digunakan dalam melancarkan satelit pertama negara iaitu MEASAT 1. Manakala sebuah teleskop berukuran 14” (360mm) juga turut terdapat di sini (pusat cerapan). Selain itu tayangan format besar (large format film) juga merupakan antara tarikan istimewa yang terdapat di Planetarium Negara.

Jalan utama ke Planetarium Negara.

Antara ruang pameran mengenai angkasa lepas.

Pameran mengenai teknologi aero-angkasa.

Harga Tiket Planetarium Negara

Kemasukan individu
  • Kemasukan ke bahagian galeri adalah PERCUMA
  • Bayaran hanya dikenakan untuk Tayangan Filem iaitu:
  • Dewasa 13 tahun dan ke atas: RM 12 (biasa)
  • Dewasa 13 tahun dan ke atas: RM 6 (MyKad)


  • Kanak-kanak sehinga 12 tahun: RM 8 (biasa)
  • Kanak-kanak sehinga 12 tahun: RM 4 (MyKid)


Waktu Buka
  • Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00pg - 4:30ptg. (kecuali ISNIN)

*bayaran adalah secara tunai.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Planetarium Negara dan segala kemudahan yang disediakan di sana anda bolehlah menlihat laman web mereka di http://www.planetariumnegara.gov.my/ atau anda bolehlah menghubungi no. Tel: +603-2273 4301, +603-2273 4303, +603-2273 5484 untuk sebarang pertanyaan.





Free Download


Pusat Sains Negara Kuala Lumpur

Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur di Bukit Kiara.

Pusat Sains Negara merupakan satu lagi lokasi penting bagi lawatan berkonsepkan pendidikan di Kuala Lumpur. Ia dibina di kawasan berbukit dengan keluasan tanah kira-kia 8 hektar terletak di Bukit Kiara. Pusat Sains Negara ini dibuka secara rasminya oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 29 November, 1996.

Pusat Sains Negara mempunyai bentuk yang lebih futuristik berbanding mana-mana muzium atau pusat pameran lain di Kuala Lumpur. Selain itu juga ia mempunyai 9 galeri yang menampilkan pelbagai tema sains yang berkaitan dalam membantu menimbul minat orang ramai kepada dunia sains.

Ia merupakan lokasi lawatan penting bagi para pelajar kerana dilengkapi bukan sahaja dengan bahan pameran yang unik, malah juga Taman Pendidikan Sains (Science Educataion Park) yang menempatkan sejumlah haiwan-haiwan seperti rusa, arnab, ayam, burung unta dan lain-lain. Terdapat juga aquarium untuk mendedahkan para pelawat kepada hidupan air.

Pintu masuk ke Pusat Sains Negara

Antara pameran yang diadakan.

Akuarium di sini berbeza berbanding di Aquaria, KLCC

Harga Tiket Pusat Sains Negara

Kemasukan individu
  • Dewasa 18 tahun dan ke atas: RM 6
  • Kanak-kanak di bawah 12 tahun: RM 3


Pakej Berkumpulan
  • Kumpulan Pelajar Sekolah Rendah termasuk guru: RM 2
  • Kumpulan Pelajar Sekolah Menengah termasuk guru: RM 3
  • Kumpulan Dewasa (minimum 10 orang): RM 5


Waktu Buka
  • Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00pg - 5:00ptg.


Peta Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

Pusat ini ditutup sementara untuk pembaik pulihan. 

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pusat Sains Negara melalui talian tel. +603-2089 3400



Free Download


Khamis, 17 November 2016

Lokasi Lawatan Penting di Kuala Lumpur - Dataran Merdeka

Keseluruhan Dataran Merdeka dipenuhi dengan tempat lawatan dan objek bersejarah.

Kuala Lumpur merupakan lokasi utama pelancongan di Malaysia. Samada bagi pelancong luar mahupun dalam negeri, kunjungan ke Kuala Lumpur tidak akan lengkap tanpa melawati lokasi-lokasi utama di bandaraya ini. Bagi memudahkan proses lawatan anda kami memaparkan lokasi utama yang membolehkan anda melawat beberapa tarikan dalam satu masa. Lokasi utama yang kami maksudkan adalah Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka bukan sahaja merupakan lokasi bersejarah, ia juga turut menempatkan banyak tarikan penting di Kuala Lumpur. Bagi yang mempunyai masa yang terhad, kunjungan ke sini dapat menjimatkan masa lawatan untuk mengenali Kuala Lumpur lebih dekat dan Malaysia secara tidak langsung. Antara tarikan-tarikan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Bangunan Sultan Abdul Samad

Pemandangan hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Pemandangan waktu petang.

Menara jam.

Merupakan bangunan penuh bersejarah yang dibina pada tahun 1894 yang menjadi antara tarikan penting di Dataran Merdeka. Ia menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku di lokasi tersebut antaranya adalah penurunan bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957 dan digantikan dengan bendera Jalur Gemilang untuk upacara kemerdekaan Tanah Melayu.

Bangunan ini direka oleh arkitek British iaitu A.C. Norman dan dibantu oleh jurutera C.E. Spooner. Rekabentuknya yang unik masih menjadi ikon bandaraya Kuala Lumpur sehingga ke hari ini. Ia merupakan senibina berasaskan ciri-ciri senibina Moorish dan Moghul. Ia dilengkapi dengan 3 buah kubah yang asalnya dibina daripada kayu dan batu-bata yang dicat berwarna hitam. Kubah ini kemudiannya digantikan dengan kubah yang disaluti dengan tembaga seperti yang dillihat hari ini.

Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi satu tatapan penting para pengunjung ke Dataran Merdeka dalam mengimbau kembali sejarah lama Kuala Lumpur dan Malaysia. Ini menjadikan ia lawatan asas ke bandaraya ini.

Muzium Tekstil Negara (National Textiles Museum)

Bangunan Muzium Tekstil.

Diorama proses tenunan kain tradisional.

Antara ruang pameran di Muzium Tekstil.

Muzium Tekstil Negara dibuka semenjak 9 January 2010 menggunakan bangunan yang asalnya merupakan ibu pejabat bagi Federal Malay States Railways (FMSR). Ia kemudiannya digunakan untuk pelbagai kegunaan sehinggalah ditukarkan kepada muzium pada 2010. Rekaan bangunannya yang menarik menjadikan ia salah satu muzium yang agak unik.

Sesuai dengan namanya, muzium ini memaparkan koleksi bahan pameran yang agak menarik iaitu bahan tekstil yang digunakan oleh penduduk Malaysia sebagai bahan pakaian semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Pendekatan yang digunakan oleh muzium ini juga amat berkesan melalui pelbagai media termasuk video, bahan multimedia, cetakan selain daripada bahan pameran sahaja. Lawatan berpandu juga turut disediakan pada waktu-waktu tertentu.

Lawatan ke muzium ini oleh Myrokan sendiri mendapati muzium ini memenuhi ciri-ciri sebagai pusat pameran dan pendidikan. Ia juga turut mendapat pengiktirafan Tripadvisor dengan penganugerahan “Certificate of Excellence”. Sehubungan itu ia adalah lokasi lawatan utama di Dataran Merdeka yang kami cadangkan.

Muzium tekstil dibuka secara percuma dan sibuka setiap hari dari pukul 9am - 6pm. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah layari laman web muzium tersebut di www.muziumtekstilnegara.gov.my atau hubungi no. Tel: 603 – 2694 3457

KL City Gallery

Bangunan KL City Gallery.

Replika Bandaraya Kuala Lumpur.

Para senireka model bangunan melakukan kerja-kerja mereka.

KL City Gallery merupakan antara lokasi lawatan menarik untuk mengenali lebih lanjut mengenai sejarah pembangunan Kuala Lumpur. Ia juga merupakan lokasi yang menempatkan pejabat Visit KL yang menempatkan kaunter pertanyaannya. Anda boleh melihat replika model Bandaraya Kuala Lumpur yang dibina oleh Arch Kuala Lumpur.

Arch Kuala Lumpur merupakan syarikat yang mengeluarkan barangan cenderamata berbentuk model-model bangunan yang amat menarik. Di gallery ini juga anda turut berpeluang untuk melihat para pengukir yang melakukan kerja-kerja pembinaan rekabentuk model tersebut dilakukan. Diakhir lawatan anda berpeluang untuk membeli cenderahati yang turut dijual di kedai cenderahati yang disediakan.

Bayaran masuk ke KL City Gallery juga adalah percuma dan ianya dibuka setiap hari dari jam 8am - 6pm. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah layari laman web mereka di www.klcitygallery.com atau menghubungi no. Tel: 603 – 2691 1382

St. Mary’s Anglican Cathedral

Bangunan St. Mary's Anglican Cathedral.

Ruangan dalam bangunan.

Bangunan yang juga dibina oleh arkitek yang sama bagi pembinaan Sultan Abdul Samad iaitu A.C. Norman. Apa yang jelas berbeza konsep yang digunakan adalah kepada pembinaan tradisional gereja Inggeris dan ia turut dibina pada tahun 1894.

Bangunan lama ini dilengkapi dengan tingkap kaca berwarna (stained-glass) yang menarik selain pipe-organ yang ditujukan kepada Sir Henry Gurney yang merupakan Pesuruhjaya British di Malaysia pada masa tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bangunan lama ini anda bolehlah lawati laman web www.stmaryschatedral.org.my atau menghubungi no. Tel: 603 - 2692 8672.

Muzium Muzik

Bangunan Muzium Muzik.

Bahagian dalam Muzium Muzik.

Pertunjukkan muzik jalanan pada hari minggu.

Muzium Muzik merupakan antara tarikan terbaru yang berada di Dataran Merdeka dan dibuka pada 1 Ogos 2015. Ia menempatkan pelbagai peralatan muzik tradisional daripada pelbagai bangsa di Malaysia. Seperti juga Muzium Tekstil Negara, ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepelbagaian peralatan seni hiburan yang terdapat di negara kita.

Seperti juga bangunan-bangunan lain di persekitarnnya bangunan muzium ini juga adalah sebahagian daripada kompleks bangunan lama yang berusia ratusan tahun dan direka oleh jurutera A.C. Norman dengan berkonsepkan binaan Moorish dan Moghul.

Terdapat persembahan muzik (busking) diadakan di hadapan muzium ini pada setiap Sabtu dan Ahad dan ia merupakan salah satu aktiviti yang menarik untuk ditonton kerana ia amat menceriakan suasana. Selain itu terdapat juga persembahan Gamelan Melayu. Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00pg - 6:00ptg dengan bayaran masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut anda boleh melawati laman web http://www.jmm.gov.my/ms/muzium-muzik atau menghubungi no. Tel: 603 - 2604 0176.

Selain daripada tempat-tempat yang disebutkan di atas, terdapat beberapa lagi tempat yang tidak disentuh secara terperinci di dalam artikel ini seperti:
  • Panggung Budaya Bandaraya DBKL
  • Perpustakaan Kuala Lumpur (DBKL)
  • Kelab DiRaja Selangor

Manakal tempat lawatan berdekatan dengan Dataran Merdeka pula adalah seperti:
  • Masjid Jamek
  • Masjid India
  • Pasar Seni

Ia boleh dilawati pada hari yang sama lawatan anda ke Dataran Merdeka memandangkan lokasinya yang amat hampir. Jadi lawatan ke sini sememangnya merupakan lokasi lawatan yang amat penting memandangkan kebanyakan tempat-tempat lawatan utama terletak di sini. Keseluruhan kawasan di Dataran Merdeka merupakan kawasan yang penuh bersejarah dan setiap bangunan dan binaan di sana mempunyai keistimewaan tersendiri.



Free Download


Arkib Blog