Sabtu, 18 Januari 2014

Makanan Tradisi dari Buah-buahan dan Daun-daunan I


Bahagian pisang yang dimakan adalah dari jantung, buah dan embut.

Keunikan Masakan Melayu bukan pada jenis masakan malah bahan yang digunakan yang adakalanya terdiri daripada buah-buahan yang juga dijadikan sebahagian daripada bahan masakan. Adakalanya ini memberikan nilai yang lebih tinggi bagi buah tersebut – dan ini mengelakkan pembaziran. Berikut adalah sebahagian buah-buahan/ bahagian pokok yang digunakan sebagai bahan masakan dalam Masakan Melayu.

Pisang


Pisang memang sedap dimakan apabila masak dan boleh digunakan untuk membuat pelbagai kuih-muih seperti goreng pisang, lepat dan apam pisang. Pisang muda juga merupakan masakan popular yang amat digemari. Bagi tujuan masakan bukan isi pisang sahaja digunakan, malah kulit pisang muda juga akan digunakan. Terdapat beberapa jenis pisang yang sesuai untuk digunakan sebagai bahan masakan semasa pisang masih muda. Malah tekstur pisang ini berbeza-beza mengikut jenis apabila digunakan dalam masakan. Walaubagaimanapun boleh dikatakan kesemua pisang yang digunakan dalam masakan adalah menyelerakan.

Selain daripada buah, jantung pisang juga amat popular dijadikan bahan masakan. Terdapat pelbagai kaedah penggunaan jantung pisang dalam masakan. Paling tidak ia akan dicelur dengan air panas dan dinikmati bersama sambal pilihan – mungkin anda pernah mencubanya. Ada juga masakan yang menggunakan embut pisang. Walaupun saya belum pernah mencuba masakan ini, tetapi masakan ini seperti menarik.

Nenas


Nenas yang digunakan dalam masakan pula agak berbeza kerana kebiasaannya nenas yang tua hampir masak/masak digunakan. Penggunaan nenas bukan sahaja popular dalam masakan Melayu malah ia juga biasa digunakan dalam masakan moden. Rasa nenas yang masam-masam manis menjadikan masakan lebih menyegarkan.

Nenas biasa digunakan untuk menyediakan masakan pajeri nenas, acar buah dan nenas ikan masin. Penggunaan nenas sesuai digunakan dalam masakan yang berbeza-beza dan ini menunjukkan ia mampu dipadankan dalam pelbagai masakan.

Betik boleh dimasak dalam pelbagai penyediaan.

Betik


Betik enak dimakan setelah masak kerana amat mudah dihadam dan menyegarkan. Sama ada anda ingin memakan betik dalam bentuk potongan atau menggunakan sudu - betik amat lembut dan tidak perlu kunyahan yang banyak.

Betik yang biasanya digunakan dalam masakan adalah semada muda sehingga hampir masak. Ini kerana betik masak akan menjadi lembut dan mudah hancur sekiranya digunakan di dalam masakan. Betik muda boleh digunakan sebagai bahan utama masakan ataupun sebagai bahan campuran. Keenakan masakan betik bergantung kepada bahan perasa/campuran masakan yang digunakan kerana betik muda mempunyai rasa yang agak neutral (sedikit manis) tetapi membangkitkan sensasi kunyahan. Selain itu pucuk betik juga dijadikan ulam – tetapi ianya agak pahit, namun tetap mempunyai peminat ulam pucuk betik.

Asam Keping


Buah asam ini tidak akan dimakan secara mentah melainkan digunakan dalam masakan atau dikeringkan menjadi asam keping. Keunikan pokok ini adalah kedua-dua iaitu daun dan buah merupakan bahan campuran masakan yang amat popular. Malah asam keping menjadi bahan asas perasa masam yang biasa digunakan dalam masakan bagi menggantikan limau – untuk mengelakkan makanan cepat rosak/basi.

Untuk tujuan masakan buah atau daun akan dipotong kecil (mayang) dalam masakan ikan – ini boleh mengurangkan bau hanyir ikan dan membangkitkan selera. Malah ia juga sesuai digunakan untuk masakan daging, terutama daging salai. Buah dan daunnya sesuai untuk masakan yang memerlukan rasa masam yang agak ketara.

Sukun


Sukun merupakan buah yang lebih popular digunakan sebagai bahan masakan. Samada dimasak atau dijadikan ‘sukun goreng’ seperti juga pisang. Sukun amat enak apabila dicampur dalam masakan. Teksturnya yang seakan-akan keladi/keledek dan rasa yang lemak-lemak manis tentu sukar untuk diungkapkan. Selain daripada sukun goreng, ia juga dijadikan ‘chips’ untuk mempopularkan penggunaan buah ini. Sukun sememangnya sedap dalam sebarang bentuk penyediaannya. Jadi sekiranya anda tidak pernah mencuba – anda perlu menjadikan ia sebahagian daripada azam tahun baru anda.

Rambai


Buah rambai amat masam. Apa yang menarik dalam masakan, bukan isi buahnya yang digunakan tetapi kulitnya. Kulit rambai muda boleh dicampur terus ke dalam masakan seperti ikan, ayam atau daging. Manakala untuk kulit rambai yang telah masak boleh dikeringkan untuk tujuan penyimpanan dalam jangka masa yang lebih lama. Kulit rambai yang muda dan yang telah dikeringkan berbeza dari segi tekstur dan anda perlu mencuba keduanya. Kulit rambai yang dikeringkan biasanya digunakan untuk rendang ayam atau daging.

Durian


Durian sememangnya digunakan sebagai perasa makanan sebagai ‘tempoyak’, lempuk dan dicampur di dalam bubur/pengat. Tetapi ia juga digunakan sebagai masakan semasa ia muda. Ini mungkin salah satu kaedah dalam menggunakan buah ini secara optimum oleh orang tua-tua dahulu. Bagi durian yang gugur sebelum matang isinya masih boleh digunakan untuk tujuan masakan. Namun ianya kurang popular seperti penggunaan buah durian yang telah masak.

Nangka muda sedap dicampur ke dalam masakan ayam.

Nangka


Masakan nangka muda memang popular sebagai bahan asas ataupun sebagai bahan campuran masakan ayam atau daging. Terdapat pelbagai masakan berasaskan nangka muda. Mungkin disebabkan getahnya yang keluar semasa kerja-kerja membuang kulit nangka jadi ianya agak rumit bagi sesetengah orang. Nangka yang digunakan biasanya adalah sebelum bijinya menjadi keras. Apabila buah nangka sudah mencapai jangka masa matang (biji buah menjadi keras) ia tidak lagi sesuai untuk dijadikan bahan masakan. Nangka yang masak tidak digunakan di dalam masakan – tetapi boleh digunakan untuk membuat minuman (smoothie). Manakala keluarga terdekat nangka cempedak – digunakan sebagai cempedak goreng apabila masak.

Mempelam yang masam sesuai dipadankan dengan ikan.

Mempelam/bacang


Mempelam & bacang memang enak apabila digunakan dalam masakan seperti ikan dan daging. Ikan yang dikeringkan dan dimasak dengan mempelam merupakan masakan yang istimewa. Rasa masam dari buah ini membangkitkan rasa masakan dan juga menambahkan lagi pedas masakan – sekiranya ia dimasak pedas!... Mempelam juga digunakan untuk menyediakan sambal. Rasa masam mempelam digunakan untuk menggantikan limau yang terlalu kuat. Ia juga boleh digunakan untuk menyediakan kerabu. Sebagai bahan masakan mempelam & bacang boleh digunakan samada masih muda atau yang telah masak – tetapi kebanyakannya menggunakan buah yang masih muda (hampir matang).

Selain buah, daun kedondong juga digunakan dalam masakan.

Kedondong


Kedondong lebih popular dimakan setelah dijadikan jeruk. Tetapi buah yang masam ini boleh juga digunakan di dalam masakan. Penggunaanya di dalam masakan lebih popular di sebahagian negeri di negara kita. Selain daripada buah atau daun kedondong juga enak dicampur dalam masakan terutama ikan. Oleh kerana buah kedondong ini juga masam seperti mempelam, kesesuaian penggunaan buah ini seperti mempelam juga amat sesuai.

Belimbing


Belimbing yang digunakan dalam masakan adalah dari jenis belimbing buluh. Ini kerana buah belimbing ini tidak sesuai dimakan seperti buah yang lain melainkan dijadikan bahan masakan seperti bahan campuran atau sambal. Terdapat juga belimbing yang dijadikan jeruk sebelum dimakan. Keenakan belimbing sebagai bahan campuran biasa digunakan dalam masakan ikan dan daging. Terdapat juga beberapa jenis sambal yang menggunakan belimbing dan ia amat sedap.

Itu adalah sebahagian daripada buah-buahan yang biasa digunakan dalam masakan. Terdapat juga buah-buahan lain yang digunakan dalam masakan tetapi tergolong dalam ketegori sayuran seperti kundur, labu, terung, bendi, kacang dan sebagainya. Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah kepelbagaian sumber makanan yang terdapat di negara kita dan bagaimana ia dimanfaatkan. Jadi kita mungkin terlupa yang banyak sekali bahan yang boleh dijadikan makanan sedangkan kita lupa akan kegunaannya.





Free Download



Khamis, 16 Januari 2014

InAiR Menjadikan TV Peralatan Untuk Menonton Dan Melayari Internet Dalam Satu Masa

Lapisan-lapisan paparan InAir pada TV 3D

InAiR membantu meningkatkan penggunaan TV anda lebih dari sekadar tontonan biasa. Teknologi masa depan ini mirip sekali dengan seperti apa yang kita saksikan dalam cerita ‘Minority Report’ lakonan Tom Cruise. Kerana anda boleh menggunakan tangan sahaja dalam mengendalikan TV anda sekiranya ianya dipadankan dengan alat kawalan gerakan seperti ‘Kinect’ atau ‘Leap’.

Mungkin anda pernah tertanya tentang sesuatu mengenai rancangan yang anda tonton seperti nama pelakon, lokasi pengambaran, sountrack, kos pengambaran dan sebagainya? Menggunakan peralatan InAiR anda boleh mendapatkan kesemua maklumat tersebut dalam masa yang sama semasa anda menonton TV. Jadi anda tidak perlu lagi mengalih pandangan anda pada telefon pintar atau PC, malah anda berpeluang menonton dan mengumpul maklumat dalam satu masa.

InAiR membantu TV menjadi peralatan yang mampu memberikan maklumat yang lebih efektif. Ini kerana paparan pada TV adalah lebih besar dan biasanya ditonton di ruang tamu dalam keadaan yang lebih santai. Ini menjadikan pengalaman menonton tidak sekadar menonton sahaja. Bayangkan sekiranya anda menonton mengenai rancangan dokumentari atau rancangan masakan. Tentu lebih banyak maklumat penting yang dapat anda kumpulkan dalam masa yang sama. Ini tentulah lebih baik bagi anak-anak anda yang suka menonton TV.


Pengalaman semasa menonton menggunakan InAir.

Peralatan ini dibangunkan oleh SeeSpace melalui program Kickstarter. Bagi yang berminat untuk memiliki peralatan istimewa ini bolehlah bersama-sama SpeeSpace dalam membantu ia menbangunkan peralatan ini denga kos hanya sebanyak USD99.

InAiR adalah lebih menarik sekiranya digunakan bersama dengan TV 3D dan disambungkan dengan kabel HDMI. Ia juga boleh dipadankan dengan semua peralatan TV anda seperti decoder, kabel TV dan lain-lain. Bagaimanapun kesemua TV digital yang disertakan dengan socket HDMI boleh digunakan dan boleh beroperasi dengan baik bersama-sama InAiR.

Pada TV 3D paparan bagi layaran internet akan kelihatan seolah-olah berada di hadapan skrin anda dan ini memberikan pengalaman yang sebenar peranti InAiR ini. Berbanding sekiranya anda menggunakan TV biasa ianya hanya akan kelihatan berada pada satu lapisan sahaja – namun masih boleh menyediakan informasi yang sama.


Manakala alat kawalan peranti ini adalah menggunakan telefon pintar anda atau alat kawalan lain seperti yang disebutkan lebih awal seperti ‘Kinect’, ‘Leap’, Android dan iOS (iPhone & iPad). Bagi mendapat ganjaran yang lebih jelas mengenai peralatan ini anda bolehlah menonton video yang disertakan bersama artikel ini.





MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Rabu, 15 Januari 2014

Pengumpulan Benih Cendawan Proses Yang Perlu Dilakukan Dengan Cermat

Cendawan sememangnya digemari di merata dunia.

Peminat cendawan samada anda berkecimpung dalam industri penanaman cendawan ataupun hanya sekadar berminat untuk mengetahui tentang penanaman cendawan tentunya tertanya-tanya tentang kaedah pengumpulan benih cendawan (spora). Pengumpulan benih cendawan memang boleh dilakukan sendiri namun ianya adalah satu proses yang rumit dan memerlukan ketelitian.

Benih (Spora) Cendawan

Spora cendawan amat halus dan ianya tidak boleh dilihat dengan mata kasar melainkan apabila ianya dikumpulkan dalam kuantiti yang banyak. Ini bermakna kehadiran benih spora di dalam udara adalah tidak dapat dinafikan dan ianya hanya akan tumbuh apabila kawasan di mana ia jatuh sesuai untuk pertumbuhan bagi cendawan tersebut.

Pengumpulan benih cendawan boleh dilakukan dengan meletakkan kelopak cendawan di atas kertas dan menutup cendawan tersebut dengan gelas, botol atau sebagainya bagi mengelakkan pergerakan udara membawa spora cendawan ke tempat lain. Spora cendawan akan jatuh ke atas kertas menyerupai bentuk insang cendawan. Terdapat spora cendawan yang berwarna putih, hitam, kelabu, perang dan sebagainya jadi anda perlu berhati-hati sekiranya kertas yang digunakan sama dengan warna cendawan yang dikumpulkan.

Bagi tujuan penanaman pula spora cendawan perlu dikumpulkan dalam persekitaran yang betul-betul bersih kerana terdapat gangguan yang boleh menyebabkan benih cendawan anda rosak. Bakteria dan benih kulat lain yang terdapat dalam udara boleh mengganggu benih cendawan yang anda cuba hasilkan.

Oleh sebab itu sekiranya anda ingin menghasilkan benih cendawan ini kemahiran tentang ‘sterilization’ amat penting bagi menghasilkan kawasan pembiakan dan pemprosesan benih yang selamat untuk benih cendawan. Setiap peralatan dan bahan yang digunakan untuk proses ini perlu disteril dengan cermat bagi memastikan tiada organisma lain yang boleh hidup.

Peralatan pengumpulan benih cendawan.

Penanaman dan Pembesaran

Terdapat pelbagai kaedah penanaman cendawan. Anda boleh menggunakan benih cendawan yang disimpan di dalam bentuk cecair ataupun yang menggunakan disk. Apa yang penting mendium tanaman yang digunakan adalah sesuai dengan spesis yang ingin ditanam. Medium seperti habuk kayu, sekam padi, jerami dan bahan-bahan mereput yang lain adalah biasa digunakan untuk penanaman cendawan. Seperti biasa, medium tanaman ini juga perlu disteril terlebih dahulu sebelum cendawan boleh ditanam di atasnya.

Selain daripada medium tanaman, persekitaran pula perlu berada dalam keadaan lembapan dan suhu yang sesuai. Berbeza dengan tanaman yang lain cendawan tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak melain sedikit cahaya adalah memadai. Walaubagaimanapun ia lebih memerlukan lembapan dan suhu bagi membolehkan cendawan hidup dengan subur.

Semasa proses pembesaran ini juga persekitaran tempat cendawan ditanam perlu di jaga dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan kulat. Kulat-kulat lain boleh menyebabkan cendawan anda tertanggu dan ia mungkin tidak selamat lagi untuk dimakan. Jadi pastikan sebarang jangkitan dapat dikesan diperingkat awal dan hapuskannya dengan segera untuk mengelakkan jangkita merebak.

Anda Ingin Mencuba

Sekiranya anda ingin mencuba secara kecil-kecilan penanaman cendawan ini di rumah anda bolehlah melakukannya dalam kuantiti yang kecil. Pastikan anda mendapat maklumat yang mencukupi sebelum memulakan hobi baru anda ini. Sediakan kelengkapan yang diperlukan bagi mengelakkan masalah semasa anda menjalankan proses pembesaran.

Sediakan tempat tanaman yang mudah dikawal seperti aquarium lama (boleh digunakan untuk membesarkan cendawan anda). Sediakan satu kawasan di dalam atau di luar rumah yang kurang gangguan dan jarang dimasuki melainkan anda sendiri.

Sediakan medium penanaman (yang telah disteril) dan dapatkan benih cendawan (samada dalam bentuk cecair ataupun disk – daripada pembekal benih cendawan/atau badan pertanian). Mulakan proses penanaman anda sebaik sahaja semua peralatan dan persediaan telah dibuat.

Pensterilan

Autoclave merupakan alat paling penting untuk pensterilan.

Pensterilan adalah proses di mana kita menghapuskan semua organisma (bakteria, virus, kulapuk dan lain-lain). Ia dilakukan dengan menggunakan suhu dan tekanan tinggi. Sebab itu anda memerlukan peruk tekanan tinggi (autoclave/periuk tekanan) untuk tujuan pensterilan. Manakala bagi peralatan lain yang digunakan akan disteril menggunakan alcohol dan juga menggunakan proses pembakaran (bagi jarum suntikan benih, pisau dan peralatan yang lain – yang menggunakan kaedah ini).

Jadi setiap kali sebelum anda ingin mengendalikan penanaman cendawan anda, apa yang perlu anda ingatkan adalah – sudahkah peralatan anda disteril (dibersihkan) dengan sempurna?

Tidak dinafikan bahawa mencuba aktiviti ini merupakan satu percubaan yang menyeronokkan. Selain menjadi hobi ia mungkin juga dapat menyediakan keluarga anda dengan bekalan cendawan kegemaran anda atau sekiranya anda dapat menggandakan penghasilan anda juga boleh menjual cendawan yang anda hasilkan.


Pelbagai kaedah boleh digunakan, teruskan mencuba.

Adalah dinasihatkan supaya anda membuat rujukan terperinci sebelum mencuba penanaman cendawan. Ini bagi memudahkan anda berhadapan dengan sebarang situasi semasa proses penanaman itu nanti. Ia bukanlah satu perkara yang mustahil – tetapi perkara yang perlukan pemahaman sebelum dilakukan. Melalui proses tanaman secara kecil-kecilan anda mungkin satu hari nanti boleh menjadi pembekal benih cendawan. Selamat mencuba.



Free Download



Selasa, 14 Januari 2014

Korus Wireless Speaker Menjamin Kualiti Bunyi Terbaik Tanpa Wayar

Peralatan Korus Wireless Speaker.

Korus Wireless Speaker menyediakan kualiti bunyi yang berkualiti tanpa memerlukan wayar dan mempunyai kualiti bunyi yang terbaik (bagi peralatan tanpa wayar). Ini memberikan anda kemudahan untuk membuat perubahan pada peralatan bunyi tanpa memerlukan pendawaian yang boleh memeningkan kepala dan mungkin berserabut.

Bagi menyediakan kualiti bunyi yang berkualiti ianya tidak menggunakan teknologi biasa yang digunakan dalam teknologi tanpa wayar seperti AirPlay ataupun Wi-Fi kerana keterbatasan beberapa faktor. Malah penggunaan Wi-Fi akan melibatkan konfigurasi yang boleh mendatangkan masalah kepada kebanyakan pengguna. Jadi pengubahsuaian dilakukan kepada protokol peralatan Bluetooth yang dipanggil SKAA.

SKAA dibangunkan oleh Eleven Engineering untuk kegunaan peralatan mudah alih bagi memberikan kelajuan data sehingga 480 Kbps (kelajuan data yang mencukupi untuk pemindahan data bunyi yang berkualiti). Antara ciri-ciri lain protocol ini adalah penggunaan kaedah ‘Walking Frequency Diversity’ yang mengesan konflik dan mengelakkannya. Ini penting bagi mengurangkan gangguan pada pemindahan data di antara peralatan yang digunakan dengan peralatan yang lain.

Bagi memudahkan penggunaan peralatan ini, ia dilengkapi dengan ‘baton’ yang memancarkan isyarat Bluetooth dari peralatan yang digunakan. ‘Baton’ ini disediakan dalam dengan soket USB dan juga ‘30-pin’ (seperti pada iPhone atau iPad anda). Buat sementara ini Korus tidak boleh digunakan untuk peralatan Android – ‘baton’ yang sesuai untuk Android masih dalam pembinaan.

Kelihatan menarik digunakan di luar rumah.

Oleh kerana ia dilengkapi ‘baton’ khas maka kerja-kerja penyambungan (pairing) tidak menjadi masalah besar, kerana Korus Speaker anda anda terus mengesan punca isyarat yang masuk apabila butang penyambungan ditekan pada speaker. Cuma penggunaan versi lama Windows dan Mac mungkin perlu memuat turun beberapa aplikasi untuk membolehkan ianya berfungsi pada peralatan anda.

Selain itu juga jarak operasi pengendalian peralatan ini juga adalah lebih besar iaitu  65 kaki (20 meter) di dalam rumah sehingga melebihi 200 kaki (60 meter) di luar berbanding 33 kaki (10 meter) bagi peralatan Bluetooth biasa. Selain itu lengahan atau ‘lag’ bagi peralatan ini adalah dalam jangkamasa 40 milisaat dan ia mungkin tidak akan anda sedari.

Korus Speaker memenuhi ciri-ciri peminat-peminat audio.

Bagi model V600, ianya dilengkapi dengan amplifier 100 W kelas D dengan pemprosesan digital. Menggunakan woofer bersaiz 5.25 inci dan beberapa speaker tambahan dan tweeter serta bunyi keliling menjadikan ia peralatan audio yang sesuai untuk bilik tontonan sistem "home theatre" anda atau sebagai alatan bunyi majlis sederhana di luar rumah. Berukuran 17” X 9” X 7” (44 X 23 X 18 cm) dan berat 11 lb (5 kg) ia bukanlah speaker sebarangan. Bekalan kuasa menggunakan palam dinding (bekalan kuasa AC biasa di rumah) dan disediakan juga bahagian bekalan menggunakan sel kering menggunakan 6 batteri bersaiz D bagi kegunaan selama 90 jam (jangka masa yang cukup untuk dibawa berkelah).

Manakala model V400 pula adalah lebih kecil dengan kuasa amplifier 60 W kelas D. Bersaiz 11” X 6” X 5.5” (28 X 16 X 14 cm) dengan berat 4.4 lb (2 kg). Kedua-dua model ini dilengkapi dengan jack 3.5 mm audio in bagi membolehkan sambungan terus menggunakan wayar.

Korus Wireless Speaker merupakan antara barangan yang mendapat perhatian di CES 2014 (Consumer Electronic Show) di LA baru-baru ini dan menjadi sebahagian barangan yang tersenarai dalam “last gadget standing” iaitu barangan yang memberikan satu pembaharuan dalam dunia elektronik/digital.


Diharap peminat-paminat teknologi hiburan dan digital mendapat sedikit sebanyak maklumat mengenai barangan ini dan anda boleh membuat pembelian Korus Wireless Speaker sekiranya berminat. Manakala pereka-pereka peralatan elektronik juga mungkin mendapat inspirasi baru melalui peralatan ini, betul tak?


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Mengawal Rumpai di Kawasan Halaman Dan Taman Anda

Penggunaan racun rumpai perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan pengguna dan alam sekitar.

Rumpai merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh siapa sahaja yang mempunyai halaman atau taman. Penggunaan racun rumpai adakalanya membawa kesan bukan sahaja kepada tanaman malah kepada pengguna, hidupan lain dan kesan sampingan kepada alam sekitar. Penggunaan racun rumpai yang tidak dikawal boleh membawa bahaya.

Memahami tentang racun rumpai merupakan asas yang perlu diketahui sebelum anda mengendalikan racun rumpai. Racun rumpai boleh membawa mudarat dan mungkin membawa maut. Kebanyakan racun rumpai disertakan dengan maklumat-maklumat penting seperti bahan aktif dan juga langkah keselamatan. Ini amat penting bukan sahaja sebagai langkah berhati-hati malah untuk memberikan maklumat yang lebih tepat tentang keberkesanan racun rumpai tersebut terhadap rumpai-rumpai tertentu.

Sekiranya anda mempunyai kawasan tanaman yang kecil atau taman yang sederhana besar, adalah lebih baik sekiranya anda melakukan proses merumput sahaja dan tidak menggunakan racun rumpai. Bagi kawasan yang sederhana besar, ianya bolehlah dibahagi-bahagikan kepada beberapa bahagian dan proses merumput boleh dilakukan secara berselang-selang di antara bahagian-bahagian tersebut. Rumput atau rumpai yang telah dicabut bolehlah digunakan untuk membuat baja kompos yang boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanaman anda.

Racun rumpai turut membawa kesan pada tanaman.

Kesan penggunaan racun rumpai:


- Racun rumpai boleh membunuh tanaman anda sekiranya terkena semburan racun tersebut semasa penggunaannya.

- Sesetengah racun rumpai turut diserap oleh akar dan membawa kesan kepada tanaman dari segi kesuburan dan boleh juga menyebabkan kematian tanaman.

- Penggunaan racun rumpai akan menyebabkan permukaan tanah terdedah dan ini akan menyebabkan nutrient di dalam tanah dibawa oleh air hujan (siraman air) dan juga permukaan tanah menjadi lebih kering/keras.

- Racun rumpai boleh diserap oleh tumbuhan (walaupun ianya tidak menyebabkan kematian kepada tumbuhan tersebut) dan ianya mungkin kurang selamat apabila dimakan.

- Racun rumpai menyebabkan hidupan lain seperti cacing tanah, siput, kumbang, gongok, lintah bulan dan sebagainya mati apabila tanah terdedah dan hilang lembapan.

- Racun boleh diserap oleh kulit semasa membuat semburan dan mengancam kesihatan. Sebahagian kesan racun ini hanya boleh dilihat dalam jangka masa yang panjang, kerana serapan racun rumpai melalui kulit dalam kuantiti yang sedikit – dalam kuantiti yang banyak kesannya akan lebih ketara.

Kaedah Membunuh Rumpai Dengan Lebih Selamat:


Sekiranya anda masih perlu membunuh rumpai yang terdapat di halaman atau taman anda gunakanlah kaedah ini yang kurang merbahaya.

- ¼ cawan cuka (sebarang jenis cuka makan) -**bukan cuka getah

- ¼ cawan garam

- ¼ cawan serbuk pencuci

Cairkan campuran ini menggunakan air yang cukup dan sembur pada rumpai yang anda ingin hapuskan. Sekiranya anda memerlukan kuantiti yang banyak bolehlah gandakan kesemua bahan-bahan tersebut. Bahan ini adalah lebih selamat sekiranya kawasan semburan menjadi tempat kanak-kanak bermain atau kawasan di mana haiwan peliharaan anda selalu berada.

Kawasan terdedah selepas diracun boleh menyebabkan hakisan.

Berikut pula adalah bahan aktif yang biasa digunakan di dalam racun rumpai dan kegunaanya. Ini adalah untuk memberikan anda lebih kefahaman mengenai racun rumpai dan keberkesanan penggunaanya. Walaubagaimanapun adalah lebih baik sekiranya anda dapat mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan ini.

Sebahagian Daripada Bahan Aktif Dalam Racun Rumpai dan Kegunaannya
Bahan Aktif1
Kawalan Rumpai
Kegunaan
Nota
Glyphosate: semua rumpai, baru tumbuh
Hampir kesemua
Kawalan bertompok atau rumpun rumpai
Membunuh rumpai sekiranya semburan mengenainya.
Plant oils termasuk cengkih, serai dan eugenol: semua rumai, baru tumbuh
Daun lebar yang muda
Pada rekahan dan kawalan bertompok
Diterima secara organik. Tidak membunuh daun yang tua atau malar hijau. Lebih berkesan semasa cuaca panas 21°C dan keatas
Trifluralin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Taman dan halaman
Siram atau gunakan tanah selepas penggunaan. Guna apabila tanaman telah tumbuh.
Benefin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Laman
Biasa digunakan untuk mengawal ‘crabgrass’.
Dithiopyr: Tertentu, baru tumbuh
Crabgrass, annual bluegrass, oxalis, spurge, dan lain-lain
Laman
Membunuh rumput fescue dan bentgrass.
Dicamba: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal rumpai berdaun lebar pada laman.
Fluazifop: Tertentu, baru tumbuh
Rumput termasuk bermudagrass
Pada rumpai berdaun lebar dan penutup bumi.
Gunakan semasa rumput tumbuh dengan aktif.
2,4-D or 2,4-Dichloro-acetic acid: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal dendalion dan rumpai berdaun lebar yang lain.

Maklumat di atas adalah sebahagian contoh bagi memberikan anda gambaran tentang bahan aktif yang digunakan di dalam racun rumpai. Ini kerana racun rumpai mempunyai sasaran penggunaan tersendiri dan penggunaan tidak mengikut peraturan tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diinginkan. Sedangkan racun tersebut tetap boleh mendatangkan bahaya bagi anda yang mengendalikannya.

Jadi adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan alternatif yang selamat dan mengamalkan kaedah penanaman yang selamat bagi mengelakkan rumpai tumbuh secara tidak terkawal. Adakalanya kesan jangka panjang adalah lebih penting difikirkan berbanding dengan kesan jangka pendek yang bersifat sementara.

Pastikan kawasan halaman atau taman anda ditanam dengan tumbuhan tutup bumi yang sesuai bagi mengelakkan hakisan serta kehilangan 'nutrient' di dalam tanah. Kemudian carilah tanaman yang sesuai untuk ditanam yang boleh memberikan pulangan daripada kawasan tersebut. Walaupun rumpai boleh mendatangkan masalah tapi ia juga masih boleh digunakan untuk menghasilkan kompos yang akan menyuburkan semula tanah. Jadi, uruskan kawasan tanaman anda dengan cara yang lebih efektif dan selamat. 



Free Download



Arkib Blog