Sabtu, 3 Oktober 2015

Jentera Terbesar – The Bagger 288

Bagger 288 dalam proses pemindahan ke Garzweil, German.

Bagi yang meminati dunia jentera dan kejuruteraan mungkin telahpun mengetahui kewujudan jentera ini iaitu sebuah jentera pengorek yang paling besar di dunia. Ia pertama kali dibina pada tahun 1976 untuk tujuan melombong arang batu di lombong Fortuna dan menghabiskan kesemua arang batu di lombong tersebut dalam masa 13 tahun.

Ia merupakan jentera yang amat besar dengan ketinggian mencecah sehingga 311 kaki (94.8 meter), panjang kira-kira 705 kaki (212.88 meter) dan berat sehingga 45,000 tan. Jentera terbesar sebelum Bagger 288 adalah jentera digunakan untuk mengalihkan kenderaan Space Shuttle kepunyaan NASA iaitu bersaiz 22 kaki (6.7 meter) tinggi sahaja.

Saiz pengorek pada Bagger 288

Lebih dari sebuah mesin yang digunakan di Tagebau Hambach

Mesin ini dibina khusus untuk membuat kerja-kerja melombong dan dibina oleh syarikat German iaitu Krupp. Mesin ini dibina bertujuan untuk memastikan yang ianya mampu untuk memenuhkan sehingga 2,500 kereta rail sehari. Ini membolehkan lombong Fortuna di lombong secara keseluruhannya dalam masa 13 tahun sahaja. Setelah ianya selesai melakukan kerja-kerja melombong di sini maka ia perlu dipindahkan ke lombong berikutnya iaitu di Garzweil yang terletak 14 batu jarak jauhnya. Mesin yang pada mulanya dibina bagi Syarikat Rheinbraun, bagi melombong di lombong Tagebau Hambach, yang terletak di barat Germany.

Perjalanan sejauh 14 batu itu mengambil masa kira-kira 3 minggu bagi Bagger 288 memandangkan ia hanya boleh bergerak sejauh 10 meter seminit. Bagger 288 bukan direka untuk bergerak untuk jarak yang jauh, jadi proses pemindahannya mengambil masa yang agak perlahan. Lebih dari itu, rantainya juga terlalu besar. Laluannya perlu dilapik dengan rumput bagi menyerap kelembapan. Ini kerana sekiranya ia tersangkut di dalam lumpur (tanah lembik) tiada jentera yang akan mampu menarik ia keluar.

Kerja-kerja sedang dijalankan.

Pandangan penuh Bagger 288.

Antara kelemahan lain Bagger 288 juga tidak boleh memberlok dengan mudah. Ia memerlukan jarak minimum 100 meter untuk membelok dengan sempurna. Bagaimanapun usaha pemindahan mesin gergasi ini akhirnya berjaya menuju ke destinasi berikutnya di Garzweil.


Mesin ini pernah muncul di dalam beberapa filem termasuk Transformer2 dan juga Ghostrider. Jadi sekiranya anda tidak dapat mengenal pasti apakah kenderaan di dalam cerita tersebut, inilah dia Bagger 288. Mesin ini berharga £61,904,200.




Free Download



Destinasi – Amsterdam Zaandam Inntel Hotel, Netherlands

Inntel Zaandam dengan rekabentuk unik.

Netherland atau  juga dikenali sebagai Belanda merupakan sebuah negara yang unik, yang terkenal dengan kincir anginnya. Kira-kira 26% daripada bahagian negerinya berada di bawah paras laut, dan kebanyakan bahagian negerinya adalah rata.

Netherland bukan sahaja kaya dengan keyunikan mukabuminya itu, malah senibinanya juga amat unik berbanding dengan negara-negara lain di sekitar Eropah. Jadi keunikan ini boleh dilihat dengan ketara seperti yang terdapat pada senibina Amsterdam Zaandam Inntel Hotel. Iaitu sebuah hotel empat bintang yang dibina bercirikan rumah-rumah tradisional yang terdapat di sekitar Daerah Zaan.
Sesuai dengan kategorinya iaitu empat bintang hotel ini menyediakan kemudahan yang cukup untuk pengunjungnya seperti bilik-bilik yang selesa, Wellness Club, kolam renang, WiFi percuma bagi melengkapi keperluan moden disebalik senibinanya yang penuh tradisi.

Lokasi hotel ini juga agak strategik dan dikelilingi dengan pusat-pusat membeli belah dan hiburan. Lokasi-lokasi lawatan lain seperti muzium juga terletak tidak berapa jauh dari sini. Jadi ia sememangnya merupakan salah satu hotel yang amat sesuai untuk penginapan dan juga lawatan ke kawasan sekitarnya.


Pandangan hadapan hotel.


Pandangan panorama sekitar hotel.
Rekaan hotel ini berjaya menyatukan ciri-ciri unik tradisi dari daerah Zaan digabungkan dengan rekabentuk moden. Ini membuatkan anda ingin sekali mengunjunginya dan tinggal di sini. Malah warna-warna garangnya juga adalah adaptasi dari lukisan seorang pelukis Perancis iaitu Claude Monnet (1840-1926) semasa beliau tinggal di Daerah Zaan.

Sama juga dengan hotel-hotel lain, hotel ini menyediakan kemudahan asas yang diperlukan termasuk sewaan basikal, simpanan barang, kemudahan komputer berinternet dan sebagainya. Turut disediakan adalah kemudahan pandu arah secara digital untuk menerokai daerah ini dengan lebih mudah bagi pengungjung. Ia juga turut menyediakan cenderahati bagi pelanggan.

Daerah Zaan yang terkenal dengan senibina tradisi.

Peta digital untuk kemudahan pengunjung.


Wellness Club.

Sekiranya anda berminat berpeluang melawati Netherlands ke kawasan ini jangan lepaskan peluang anda untuk menginap di kemudahan penginapan yang amat istimewa ini. Ia juga merupakan satu lagi senibina pencetus inspirasi. Lawati website hotel di sini.
Free Download



Jumaat, 2 Oktober 2015

Jalan-Jalan Cari Makan – Roti Canai

Aksi penebar roti canai.

Roti Canai merupakan antara makanan paling popular di Malaysia selepas Nasi Lemak. Walaupun ia pernah disebut di dalam artikel sebelum ini namun, ia perlu mendapat perhatian yang lebih – iaitu artikel yang menjurus kepadanya secara lebih spesifik.

Roti canai mungkin popular sebab ianya murah dan mudah didapati di merata tempat di serata Malaysia. Walaupun begitu bagi peminat-peminat roti canai, bukanlah mudah untuk mendapatkan roti canai yang betul-betul memenuhi kehendak mereka. Ini kerana roti canai yang telah bertapak di Malaysia untuk tempoh yang agak lama mempunyai pelbagai "genre" bagi memenuhi pelbagai kehendak selera pengguna.

Makanan yang pada asalnya popular dari Selatan India ini dibawa masuk semasa ramai orang-orang India berhijrah ke sini. Ia dipopularkan lagi oleh golongan mamak (India Muslim) yang rata-rata kebanyakannya menjalankan perniagaan makanan (restoran) di mana sahaja mereka berada di Malaysia. Kaedah pengoperasian kedai makan oleh golongan mamak ini adalah antara yang efisyen dari segi masa yang menjadikan ia mudah dikunjungi oleh semua masyarakat lain.


Roti canai mamak.


Roti canai dengan kari ayam.

Namun begitu berbalik kepada roti canai yang diminati ramai penduduk Malaysia, ia telah pun dikuasai oleh beberapa kaum khususnya Melayu dan India. Walaupun ia turut diminati oleh kaum Cina dan kaum-kaum lain, proses pembuatannya yang agak rumit tetapi mempunyai permintaan tinggi, menjadikan ia lebih mudah didapati di mana sahaja.

Roti canai Melayu lebih mementingkan kepada kerangupan (crisp) dan gebu. Manakala roti canai India (mamak) adakalanya liat, kering dan kurang rangup – namun masih ada penggemarnya yang tersendiri. Begitu juga kuah dal atau kari Melayu yang menggunakan santan kelapa dan bagi kari dan kuah yang disediakan mamak tidak menggunakan santan kelapa. Jadi ini serba sedikit memberikan perbezaan ketara antara genre-genre roti canai tersebut. Namun perbezaan ini juga adakalanya memberikan pilihan yang lebih banyak kepada penggemarnya masing-masing.


Jenis lain - Roti Telur

Tepung untuk roti canai.

Roti canai menjadi pilihan tidak kira masa, namun kebiasaannya tidak dihidangkan semasa waktu makan tengahari – bagi membolehkan makanan lain juga dijual oleh pengusaha restoran. Kebiasaanya ia boleh didapati sedari awal pagi sehinggalah ke lewat malam.

Apa yang paling menarik mengenai roti canai adalah aksi pembuat roti canai yang dipanggil ‘menebar roti’. Ia telah menjadi antara tarikan yang paling menonjol bagi makanan unik ini begitu juga dengan pasangannya iaitu – ‘tek tarik’. Aksi ini lah yang sedikit sebanyak menambahkan populariti makanan unik ini.

Makanan pilihan ramai.


Walaupun roti canai boleh didapati di kawasan-kawasan berhampiran seperti Singapura, Indonesia dan negara-negara jiran yang lain, roti canai di Malaysia mempunyai keunikan seperti yang diceritakan di atas. Anda juga mungkin mempunyai roti canai pilihan anda sendiri.




Selasa, 29 September 2015

Destinasi - Fairy Chimney Hotel, Turkey

Penginapan yang sebahagiannya dipahat daripada batu di Fairy Chimney.

Fairy Chimney Hotel merupakan salah satu hotel yang unik berbanding hotel biasa kerana ianya adalah sebahagian daripada batu yang dipahat daripada batu ‘tufa’ (tufa rock) atau ia juga digelar oleh masyarakat setempat sebagai serombong pari-pari (fairy chimneys). Bagi menjadikan ianya berfungsi sebagai rumah tumpangan Fairy Chimney Inn diubahsuai secara tradisional bagi mengekalkan kasliannya disamping dapat memenui keperluan penghunjung ke sini.

Bilik-bilik di sini bukan sahaja dilengkapi dengan alat pemanas malah bilik mandi bercirikan “Hamam’ – iaitu tempat mandi bagi orang-orang Turkey. Ia juga menyediakan kemudahan WIFI (sebagai salah satu keperluan penting pengguna dewasa ini) selain turut menyediakan kemudahan komputer iMac untuk kegunaan semua yang menginap di sini.


Hotel Fairy Chimney dipahat dari Batu.

Bahagian hadapan hotel unik ini.

Breakfast terrace.

Rumah tumpangan istimewa ini diselenggarakan oleh seorang penduduk tempatan bersama suaminya, seorang ‘anthropologist’ Andus Emge, berbangsa German. Andus Emge turut melakukan kajian mengenai senibina rumah gua tradisional dan perubahan sosial serta pembangunan pelancongan di Cappodocia semenjak 1980an lagi.

Sebagai sebuah tempat penginapan yang moden ia juga menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan menyediakan informasi-informasi berguna kepada setiap pelawat (seperti pengangkutan, airport-shuttle, aktiviti belon panas, lawatan ke “underground cities”, Ihlara gorge dan sebagainya).

Tetamu juga akan turut berpeluang menikmati sarapan pagi di ‘breakfast terrace’ sambil menikmati pemandangan unik persekitaran di sini. Pemandangan persekitaran yang unik ini bakal memberikan anda pengalaman berbeza sewaktu menginap di sini. Sarapan unik yang terdiri dari pelbagai roti dan seperti “Gözleme", ‘home-made jams’, “pekmez” dan sudah tentu termasuk keju-keju, buah-buahan, telur dan macam-macam lagi. Seperti biasa anda juga boleh mengikuti kelas memasak sekiranya anda berminat dan anda bukan sahaja berpeluang belajar memasak masakan tradisional Cappodocia di sini malah turut serta ke pasar bersama chef Gülcan untuk membeli barang keperluan masakan tersebut.


Pemandangan persekitaran yang sememangnya menarik.

Aktiviti belon udara yang paling terkenal di sini.

Terdapat beberapa jenis bilik di sini yang tidak berapa jauh berbeza di antara satu dengan yang lainnya. Kerana apa yang penting keunikan hotel ini adalah ia dibina daripada pahatan batu yang sememangnya merupakan satu keunikan yang perlu dicuba. Namun begitu sekiranya anda ingin memastikan anda merasa selesa semasa berada di sini, bolehlah melihat sendiri perbezaan antara bilik-bilik yang ada di sini.

Sebagai antara kawasan pelancongan utama di Turkey, Cappodocia sememangnya menjanjikan pelbagai aktiviti menarik di persekitarannya. Daripada aktiviti menjelajah ke lembahnya ‘hiking’, sehinggalah kepada aktiviti belon udara yang terkenal di kawasan ini. Aktiviti pada waktu malamnya juga tidak kurang hebatnya kerana terdapat pelbagai acara yang disediakan pada waktu malam juga di sekitar kawasan ini.


Untuk maklumat lanjut, anda bolehlah mencari maklumat lebih terperinci mengenai hotel unik ini dan juga kawasan terkenal Cappodocia. Ia mungkin dapat menambahkan lagi keunikan percutian anda di atas keunikannya.

Free Download



Isnin, 28 September 2015

Menjejaki Mitos Silam Ramayana

Kisah Ramayana pada ukiran di Wat Phra Kaew, Thailand.

Kisah Ramayana menyelamatkan isterinya Sita Dewi bukanlah kisah asing dalam kehidupan masyarakat Melayu sendiri, cuma ia semakin dilupakan. Kisah yang menjadi lagenda sekian lama di Kepulauan Melayu dan Indo-China ini boleh dilihat di serata peradaban silam dari India sehinggalah ke Vietnam. Mengapakah ia menjadi kisah yang paling kuat di dalam budaya masyarakat di sini dan adakah ia hanya sekadar kisah dogengan belaka.

Kisah yang berlaku di Sri Lanka ini masih lagi menjadi buruan para peminat kisah Rama yang terpaksa menentang kejahatan Ravana yang melarikan isterinya Sita. Lantaran daripada itu ia terpaksa merempuh lautan untuk menyeberang ke Sri Lanka bagi berhadapan dengan Raja Ravana yang terkenal dengan kekejamannya. Apa yang menarik terdapat beberapa tinggalan yang menyokong peristiwa ini. Maka dengan itulah antara lawatan yang menarik ke Sri Lanka adalah mengikuti jejak kisah Ramayana ini.

Kisah Ramayana lebih popular di kalangan pelancong dari luar iaitu India berbanding di Sri Lanka sendiri yang rata-ratanya terdiri daripada mereka yang beragama Buddha (yang mungkin dibawa masuk ke Sri Lanka selepas peristiwa tersebut). Namun beberapa tinggalan yang sedikit sebanyak menyokong kepada berlakunya peristiwa seperti yang dinyatakan di dalam kisah peperangan tersebut. Antara kesan yang paling mudah dilihat adalah laluan tentera Rama ketika menyeberangi launtan menuju ke Sri Lanka yang boleh dilihat daripada angkasa atau Google Maps. Laluan ini tidak kelihatan seperti benteng pasir semulajadi – namun ia telahpun berlaku untuk satu tempoh yang lama.

Ram Sethu dari angkasa.

Tapak kaki dikatakan kepunyaan Hanuman.

Janki (nama lain bagi Sita) Temple di Nepal.

Beberapa tinggalan lain juga dapat dilihat di sini seperti puncak gunung yang diterbangkan oleh Hanuman bagi membawa herba ubatan dari Himalaya dan juga tapak kakinya di beberapa lokasi di Sri Lanka. Walaupun ia sukar untuk dibuktikan namun sedikit sebanyak kita tahu dari manakah asal usul cerita ini dan mengapa satu masa dahulu ia merupakan kisah yang paling banyak diceritakan di dalam kebudayaan kita di Kepulauan Melayu.

Walaupun peristiwa ini berlaku di sekitar Selatan India dan Sri Lanka namun kisah peperangan ini turut terpahat di Angkor Wat, Cambodia. Ukiran-ukiran di sini antaranya mengisahkan peristiwa peperangan tersebut. Kisah yang berlaku ribuan batu dari Cambodia diukir dengan rapi bagi memelihara kisah ini. Bukan itu sahaja, kisah Ramayana juga tersebar di serata kepulauan Sumatra, Jawa dan dikisahkan di dalam cerita wayang kulit Masyarakat Melayu.

Tiada siapa yang dapat memastikan anggaran masa berlakunya peristiwa tersebut – walaupun kisahnya begitu kuat. Namun bagi anda yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kisah lagenda Ramayana ini bolehlah membuat sedikit tinjauan mengenainya. Lawatan ke Sri Lanka yang bertemakan ‘Ramayana Trail’ juga merupakan antara program lawatan yang paling popular. Banyak agensi-agensi pelancongan di sana yang menawarkan pakej seperti ini.

Ukiran kisah Ramayana di Angkor Wat.

Kisah Ramayana dalam Wayang Kulit.

Tarian kisah Ramayana dari Jawa.

Walaupun kisah ini dianggap mitos, namun banyak juga badan-badan yang menjalankan kajian daripada tinggalan seperti manuskrip dan juga bukti-bukti seperti lokasi asal kisah tersebut. Mungkin kisah ini ditokok tambah, namun bagi kita hari ini yang dilengkapi dengan peralatan moden mungkin mempunyai kelebihan untuk membuktikan kesahihannya (berbanding dari hanya menolak kisah yang telah sekian lama berada di dalam masyarakat kita). Anda boleh melihat beberapa laman yang membuat kajian mengenai ini termasuk di ramayanaresearch.com.

Selain dari itu sekiranya anda berpeluang maka jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri lokasi-lokasi bersejarah ini seperti Ram Sethu (laluan yang digunakan oleh Rama untuk ke Sri Lanka). Atau anda boleh melihat keseluruhan tempat-tempat tersebut melalui artikel ini “14 Pictures That Tell Us Ramayana Might Have Actually Happened”.

Tiada siapa yang mengetahui kebenaran kisah ini. Namun ia merupakan antara kisah yang terpaling kuat di sekitar kepulauan Tanah Melayu sendiri. Berbanding dari menolaknya tanpa usul periksa, ada baiknya kita membuat sedikit tinjauan.







Free Download



Arkib Blog