Isnin, 28 Disember 2015

Kefahaman Mengenai Peralatan Tanah

Barangan tanah pada asalnya hanyalah berbentuk seperi ini.

Peralatan tanah masih lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Peralatan tanah merujuk kepada peralatan yang diperbuat daripada tanah liat yang dikenali sebagai “Earthenware”, boleh menghasilkan pelbagai barangan keperluan seharian manusia. Semenjak ia mula diperkenalkan, manusia terus memperbaiki kualiti barangan tanah ini sehinggalah hari ini.

Peralatan tanah secara kasarnya boleh dibahagiakan kepada 3 kumpulan utama iaitu "earthenware," "stoneware," dan "porcelain". Barangan ini terhasil daripada bahan tanah liat yang digunakan dan juga kaedah penghasilan (teknik pembakaran pada suhu yang berbeza). Barangan siap setelah pembakaran akan menghasilkan kadar porositi yang berbeza, seterusnya menentukan pula barangan yang susuai untuk dihasilkan dengan teknik tersebut. Kadar porositi ini diukur dengan menimbang berat barangan siap ketika kering. Ia kemudiannya direbus di dalam air selama 2 jam. Setelah itu air berlebihan akan dikeringkan menggunakan tuala sebelum ianya ditimbang semula. Pertambahan berat adalah pertambahan air yang meresap ke dalam peralatan tersebut.

Peratus pertambahan air dapat diukur dengan:

(Berat setelah direbus – berat kering)/
Dibahagi dengan berat kering.


Penggunaan 'porcelain' di Eropah, lebih kepada barangan perhiasan.


Pasu bunga merupakan barangan 'earthenware' paling mudah.
'Stoneware' pula menghasilkan barangan keperluan yang lebih praktikal.

Barangan “Earthenware”, merupakan barangan asas yang dihasilkan dengan teknik yang paling mudah, kebiasaanya pada suhu pembakaran paling rendah. Tanah liat yang digunakan juga tidak memerlukan teknik pengasingan benda asing yang ketat. Barangan pada kelas ini mempunyai porositi yang paling tinggi sehingga 10 hingga 15 peratus seperti pasu bunga, batu-bata, tiles dan barangan yang tidak menyimpan air untuk tempoh yang lama. Bahan asing di dalam tanah ini memberikan ia warna seperti merah, coklat dan hitam.

“Stoneware” pula adalah barangan yang mempunyai kadar porositi daripada 2 – 5 peratus. Barangan seperti ini dihasilkan melalui proses pembakaran pada suhu 2,100 hingga 2,372 °F. Barangan “stoneware” mempunyai ketahan yang lebih tinggi dan juga dikenali sebagai barangan tembikar pada hari ini. Ia biasanya disaluti dengan ‘glaze’ dan tidak telap air menjadikan ia sesuai untuk menghasilkan barangan dapur seperti ‘mug’ dan pinggan mangkuk.

Oleh kerana penggunaan bahan yang lebih baik, warna barangan ‘stoneware’ adalah lebih terang dari seakan-akan warna tanah ke kelabu terang hinggalah ke coklat atau kelabu gelap. Suhu pembakaran memainkan peranan penting dalam penghasilan barangan ‘stoneware’ dalam menentukan kualiti barangan yang akan dihasilkan.

“Porcelain”, merupakan barangan terbaik yang dihasilkan daripada kelas barangan ini. Barangan ‘porcelain’ juga hanya mempunyai kadar porositi dari 0 hingga 1 peratus. Walaupun ia dihasilkan dengan tanah liat istimewa yang dikenali sebagai ‘koalin’, ‘porcelain’ hari ini turut dihasilkan menggunakan bahan-bahan lain. Antara sebab lain penggunaan bahan lain termasuklah mengurangkan suhu pembakaran dan juga menambahkan sifat ‘plasticity’ (mudah bentuk), kepada ‘koalin’. Namun begitu penghasilan ‘porcelain’ sememangnya memerlukan suhu yang lebih tinggi berbanding barangan lain yang dihasilkan daripada tanah ini.

Oleh kerana partikel yang digunakan dalam penghasilan ‘porcelain’ adalah lebih halus dan juga tidak mengandungi bahan asing (dari bahan logam) ia dapat menghasilkan beberapa perkara iaitu; mempunyai sifat separa telus cahaya, dan juga warna yang lebih cerah sekata. Barangan ‘porcelain’ boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan daripada barangan keperluan sehinggalah kepada barangan hiasan.


Barangan 'porcelain' dari Dinasti Ming.

Insulator yang dihasilkan dari 'porcelain'.

Panel pada bangunan ini juga adalah daripada 'porcelain'.

Speaker yang dihasilkan daripada 'porcelain'.

Hari ini bahan yang sama juga turut digunakan untuk tujuan perindustrian seperti penghasilan ‘insulator’ bagi kabel bervoltan tinggi dan juga sebagai bahan gantian dalam bidang pergigian. Antara syarikat yang menggunakan ‘porcelain’ ini termasuklah NGK Insulators, Ltd. dalam penghasilan insulator, manakala Murata Manufacturing Co. pula menghasilkan ‘low-temperature-sintering porcelain’ untuk tujuan aplikasi elektronik.


Jadi begitulah menariknya penggunaan bahan daripada tanah mampu digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu sehingga hari ini terus diperbaiki dalam membantu manusia mencapai kemudahan dalam hidup. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bahan dan juga barangan yang dihasilkan dari tanah ini, silalah lakukan rujukan lanjut di internet.



Free Download



Ahad, 27 Disember 2015

Antara Belanga Tanah dan Porcelain

'Porcelain' antara barangan terpenting berasal dari tanah.

Amat menakjubkan bagaimana manusia dapat mencipta peralatan yang berguna untuk kegunaan harian daripada tanah dan menghasilkan pelbagai barangan. Peralatan yang dihasilkan dari tanah ini telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dan antara barangan yang paling baik dihasilkan daripada tanah ini adalah ‘porcelain’. Porcelain merupakan bahan yang terbaik dihasilkan daripada tanah (dari jenis tanah tertentu) dan juga melalui proses pembuatan/pembakaran yang jauh berbeza.

Barangan tembikar telah dihasilkan oleh manusia sebelum zaman Neolitik lagi dan barangan tembikar telah dijumpai di  Czech Republic bertarikh sekitar 29,000–25,000 BC. Manakala kapal membawa barangan tembikar ditemui di Jiangxi, China bertarikh 20,000 BC. Di Jepun pula peralatan awal zaman Neolitik ditemui di Jomon, bertarikh sekitar 10,500 BC, dan di Timur Jauh Russia bertarikh 14,000 BC begitu juga dengan kawasan lain seperti Sub-Sahara Afrika dan juga Amerika Selatan.


Proses penyediaan tanah liat di India untuk membuat barangan tembikar.

Belanga tanah antara contoh barangan tembikar yang masih digunakan.

Porcelain dari Dinasti Song.

Di negara kita Malaysia, barangan terkenal yang dihasilkan dari tanah ini adalah ‘labu sayong’. Walaupun ia kemudiannya berkembang untuk beberapa barangan yang lain, namun penghasilan labu sayong tidak mengalami banyak perubahan sepertimana semenjak ianya mula dihasilkan dahulu. Mungkin ini kerana, penghasilan labu sayong sebernarnya agak baru – sebelum kedatangan barangan moden yang membantutkan peluangnya untuk dimajukan.

Peralatan tembikar amat peting bagi pembangunan peradaban manusia apatah lagi sebelum bermulanya zaman logam. Barangan tembikar bukan sahaja digunakan sebagai peralatan untuk memasak, tetapi sebagai penyimpanan barang, air minuman yang dapat membantu memudahkan kehidupan manusia di peringkat awal. Dari sinilah, teknik penghasilan tembikar diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga mencapai tahap yang lebih baik iaitu – penghasilan ‘porcelain’. Melalui penghasilan porcelain, barangan yang dihasilkan berubah daripada barangan keperluan menjadi barangan yang mempunyai fungsi sebagai hiasan, ataupaun barangan mewah dan sebagai barangan eksport yang penting.

Berbeza dengan barangan tembikar biasa, porcelain mempunyai porositi yang rendah dan hampir menyamai kaca. Apabila diketuk, barangan porcelain akan menghasilkan bunyi ‘ting’ (seperti besi yang diketuk), yang menunjukkan kepadatan teksturnya.


Sifat separa lutsinar pada 'porcelain'.

Mangkuk porcelain lama dari China.

Mineral 'Koalinite' yang menghasilkan koalin.
Porcelain dari zaman Ming Dinasti.

Porcelain juga dihasilkan menggunakan tanah liat istimewa yang dipanggil ‘gaoling’ atau ‘Kaolin’ yang dihasilkan daripada mineral ‘kaolinite’. Ia juga adakalanya dikenali sebagai ‘China Clay’. Nama ‘kaolin’ adalah beasal daripada ‘Chinese Kao-Ling’ (Gāolǐng), iaitu sebuah kampung di Jingdezhen, Daerah Jiangxi, China.

Barangan tembikar biasa, kebiasaannya akan dibakar pada suhu rendah iaitu di antara 800°C ke 1,100°C. Bagi barangan porcelain pula ia disaluti dengan ‘glaze’ berkaca yang kemudiannya dibakar pada suhu melebihi 1,200°C yang membentuk kristal yang kuat. Bagi tanah liat biasa, pembakaran pada suhu tinggi sahaja tidak cukup untuk menukarkan ianya kepada ‘porcelain’ sebaliknya hanya akan menukarkan ia menjadi sedikit seperti kaca.

Bagi barangan tembikar biasa, ia tidak telap cahaya walaupun ia senipis beberapa mm tebal, sebaliknya ‘porcelain’ pula mempunyai sifat separa lutsinar dan membolehkan anda melihat sedikit cahaya menembusinya.

China mendahului negara-negara lain dalam penghasilan barangan tembikar mahupun ‘porcelain’. Barangan tembikar yang dihasilkan semasa Dinasti Han, turut dihasilkan dalam bentuk disaluti ‘glaze’ dan juga yang tidak disaluti ‘glaze’ dalam kuantiti yang banyak. Begitu juga dengan barangan ‘porcelain’ yang dihasilkan dengan ‘glaze’ tetapi dengan dua kaedah iaitu ‘high-temperature glaze’, dan kaedah kedua iaitu ‘low-temperature glaze’.

Porcelain terus menjadi barangan dagangan penting antara Timur dan Barat sehingga banyak kapal dagangan yang karam didapati membawa sebahagian besar muatannya terdiri daripada barangan tembikar dan porcelain dari China. Kepentingan barangan ini menyebabkan Eropah mencari kaedah menghasilkan porcelainnya sendiri dengan pelbagai percubaan.

Walaupun bahan penghasilan porcelain adalah ‘Koalin’, melalui pelbagai percubaan akhirnya porcelain dapat dihasilkan dengan beberapa bahan yang lain termasuklah  feldspar, ball clay, glass, bone ash, steatite, quartz, petuntse dan alabaster. Bahan-bahan ini adalah bahan gantian kerana ‘Kolain’ tidak terdapat di Eropah – dan juga semasa bahan tersebut masih belum diketahui.

Barangan tembikar dan porcelain ini terus menjadi barangan penting dan salah satu industri penting di Eropah. Banyak syarikat-syarikat penghasilan porcelain bermutu tinggi di serata Eropah yang masih bertahan sehingga hari ini dengan penghasilan barangan porcelain yang sangat bermutu tinggi.

Barangan tembikar yang dikenali sebagai 'Labu Sayong'.

Antara penghsilan barangan moden daripada 'Labu Sayong'.


Begitulah pentingnya barangan yang pada asalnya hanya dihasilkan daripada tanah dan kemudiannya diubah menjadi suatu barangan berkualiti tinggi dengan harga yang amat tinggi pula. Ia bukanlah terjadi dengan mudah melainkan melalui banyak percubaan, perubahan, pembaikan dan usaha berterusan. Pada mulanya saya hanya terkenangkan ‘labu sayong’. Apakah yang akan berlaku pada ‘labu sayong’, pada masa hadapan?...



Free Download



Ikan Terbesar Air Tawar Dari Jenis Catfish

'Mekong Giant Catfish' ikan air tawar terbesar yang pernah ditangkap.

Ikan air tawar terbesar yang pernah ditangkap dan tersenarai sebagai ikan air tawar terbesar di dalam Guinness Book of World Records', adalah ikan catfish dari Sungai Mekong, yang ditangkap di Thailand pada tahun 2005. Selain daripada ikan ‘Mekong giant catfish’ (Pangasianodon gigas) di Thailand, terdapat ikan dari family catfish juga di Europe yang mempunyai saiz yang besar iaitu ‘wels catfish’ (Silurus glanis).
Bagi spesis ikan ‘Mekong giant catfish’, ia boleh didapati di sepanjang Sungai Mekong yang melalui beberapa negara dan di sekitar negara-negara Asia Tenggara yang lain. Ikan ini mempunyai nama yang agak berbeza mengikut negara-negara tersebut seperti “pla buek”, di Thailand dan “trəy riec”, bagi Khmer, dan “cá tra dầu”, di Vietnam. Oleh kerana Sungai Mekong digunakan untuk pembinaan empangan hidroelektrik hampir di sepanjang sungai tersebut maka ‘Mekong giant catfish’, hari ini diancam kepupusan. Mungkin juga kepupusan tersebut disebabkan faktor lain seperti penangkapan berlebihan dan sebagainya.

Ikan 'Mekong Giant Catfish' ini lebih mirip kepada spesis baung.

Ikan 'wels catfish' pula mempunyai ekor seperti ikan belida atau tapah. 

'Wels catfish' terbesar yang ditangkkap di Itali.
Ikan 'wels catfish' di dalam air.

Berbeza pula dengan spesis catfish berikutnya iaitu ‘wels catfish’ (Silurus glanis) yang terdapat di sekitar Eropah sehinggalah ke Timur iaitu Greece, Turkey dan Kazakhstan. Seperti juga ikan ‘catfish’ yang lain, ia mempunyai kulit yang tidak bersisik. Ia dapat dikenali dengan mudah dengan saiznya yang besar dan muka hadapan yang agak lebar dan rata serta mulutnya yang lebar. Ikan ini boleh menjangkau usia sehingga 50 tahun.
Kedua-dua spesis ikan ini boleh mencecah saiz yang amat besar iaitu sehingga  3 – 4 meter (9.8 – 13.1 ft) dengan berat sehingga 200 – 250 kilogram (440–550 lb). Bagi specimen terbesar (di dalam rekod) yang ditangkap pada tahun 2005 di Thailand, ikan betina berukuran 2.7 m (8 ft 10 in) panjang dengan berat 293 kg (646 lb) dari spesis ini. Tidak dinafikan terdapat ikan yang lebih besar (namun, ia tidak direkodkan secara sah, untuk memastikan ketepatannya adalah benar).
Tidak seperti ikan ‘wels catfish’, ikan ‘Mekong giant catfish’ berada di dalam status yang terancam iaitu pada tahap  ‘Critically Endangered’ di dalam senarai ‘IUCN Red List’. Ikan ini dikatakan endemik kepada Sungai Mekong yang memerlukan perhatian serius sekiranya ia masih ingin dilihat pada masa akan datang. Jumlahnya semakin berkurangan sepanjang tahun. Walaupun penangkapan ikan liar dari spesis ini diharamkan – namun ia merupakan satu usaha yang sukar. Malah punca utamanya adalah pembangunan tanpa kawalan di sepanjang Sungai Mekong dan bukannya disebabkan oleh penangkapan ikan (oleh nelayan tradisi tersebut).

Saiz-saiz biasa ikan-ikan 'Mekong giant catfish'.

Saiz biasa bagi 'wels catfish'.

Keadaan di hulu Sungai Mekong dan nelayan sungai yang menangkap ikan di sini.

Projek pembinaan empangan di sepanjang Sungai Mekong.

Antara perkara lain yang menarik mengenai spesis ikan ini adalah, ia dikatakan turut menyerang manusia. Memandangkan saiznya yang besar, kemungkinan ini boleh berlaku. Apa yang diketahui ikan ini memakan hampir apa sahaja makanan yang boleh dimakannya, ini termasuk haiwan-haiwan kecil dan sederhana selagi ia boleh dimuatkan ke dalam mulutnya. Namun begitu, terdapat ikan dari family ‘catfish’, yang biasa memakan daging manusia yang dihanyutkan di sungai seperti di India, dan ia kemudiannya turut menyerang manusia – cuma kita masih menantikan suatu bukti yang lebih kukuh untuk menerima kebenarannya.

Apapun kedua-dua ikan di atas adalah sebahagian daripada keunikan hidupan air tawar menakjubkan. Bayangkan sekiranya kita dapat memelihara habitat mereka dengan baik dan generasi berikutnya terus dapat kebaikan sumber ikan yang unik ini. Akan datang kita akan cuba melihat pula beberapa spesis ikan air tawar yang lain yang juga mempunyai saiz yang menakjubkan.

*video ikan catfish yang cuba menangkap burung merpati.







Free Download



Sabtu, 26 Disember 2015

Sedikit Perkara Mengenai Belut Elektrik

Belut elektrik berenang di dalam air.

Belut elektrik (Electrophorus electricus), sebenarnya adalah tergolong dalam kumpulan ikan yang dikenali sebagai ‘knifefish’ (seperti ikan belida) dari order (Gymnotiformes) dan bukannya dari kumpulan belut (Anguilliformes). Namun oleh kerana bentuknya yang panjang dan bentuk badan yang agak bulat maka ia lebih mirip menyerupai belut berbanding ikan.

Belut elektrik ini merupakan ikan yang unik, kerana berkemampuan menghasilkan renjatan elektrik sehingga 860 volt dan arus hampir 1 ampere (dengan kuasa sekitar 600 Watt) pada jangka masa 2 millisaat. Renjatan ini cukup kuat tetapi terlalu sekejap untuk menyebabkan maut kepada manusia. Walaubagaimanapun renjatan ini tetap menyebabkan kesakitan kepada siapa sahaja yang menerimanya.

Rupa bentuk belut elektrik dari hadapan.

Belut elektrik dan ikan kecil.

Pandangan atas belut elektrik.

Ikan ini mampu mencapai saiz sehingga  2 m (6 ft 7 in) panjang dan berat sehingga 20 kg (44 lb) yang turut menjadikan ia sebagai spesies Gymnotiformes terbesar. Mempunyai warna kelabu-coklat di bahagian belakangnya, manakala bewarna oren di bahagian bawahnya pula. Tidak mempunyai sisik seperti ikan sembilang atau belut. Mempunyai bentuk mulut yang agak bersegi. Ikan ini mempunyai deria pendengaran yang baik, namun deria pengelihatan yang lemah. Bagaimanapun ia kebiasaannya dijumpai di perairan yang agak keruh dan menggunakan daya elektrik lemah untuk mengesan kehadiran mangsanya.

Ikan ini berasal daripada lembangan Sungai Amazon dan Sungai Orinoco di Amerika Selatan dan merangkumi semua bahagian berair seperti paya, lopak-lopak air, tali air, sungai-sungai sehingga ke pinggir laut. Ia kebiasaannya akan memilih kawasan dengan dasar yang berlumpur dan berair tenang.
Selain ikan-ikan, hidupan invertabrate lain dan juga haiwan kecil juga menjadi makanan belut elektrik. Bagi anak-anaknya yang baru menetas pula adakalanya memakan telur-telur yang masih belum menetas selain haiwan-haiwan kecil yang lain.

Bagi tujuan pembiakan pula yang berlaku pada musim kering, di mana ikan jantan akan membuat sarang menggunakan air liurnya untuk membolehkan ikan betina bertelur. Sekitar 3,000 telur terdapat di dalam satu sarang. Selain itu, ikan-ikan jantan juga adalah bersaiz lebih kecil berbanding ikan betina.

Gambarajah bahagian penghasilan elektrik pada belut elektrik.

Belut elektrik ini menjadi bahan kajian penting bagi para pengkaji ‘bioelectrogenesis’ dalam memahami bagaimana ia menggunakan acetylcholinesterase dan adenosine triphosphate. Kajian ini adalah untuk memahami potensi bagi menghasilkan elektrik secara semulajadi untuk menghasilkan tenaga bagi peralatan kecil digunakan pada manusia – seperti organ yang diimplan pada manusia. Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai teknik penghasilan elektrik pada ikan ini anda bolehlah membaca artikel tambahan di sini.

Semoga kajian tersebut akan berjaya memberikan hasil yang bermanfaat kepada manusia pada masa akan datang. Manakala kita akan terus memperhatikan banyak lagi keajaiban yang terdapat di sekeliling kita. Jangan ketinggalan menyaksikan video bagaimana ikan ini digunakan untuk menyalakan lampu di Jepun.








Free Download



Arkib Blog