Monday, November 4, 2013

Masakan Lebih Enak dan Beraroma Dengan Daun Pandan

Rimbunan pokok pandan
Bila lewat petang tentu para suri rumah sibuk menyediakan juadah minum petang untuk keluarga. Bagi mereka yang suka menyediakan kuih-muih atau pengat sebagai minuman petang pastinya tidak akan lupa untuk memastikan bekalan daun pandan telah tersedia. Malah lebih mudah lagi sekiranya daun pandan ditanam di persekitaran rumah. Bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat kuih, malah macam-macam lagi gunanya daun pandan ni kan?

Pandan, Pandanus odorus 'fragrant screw pine', yang lebih kita kenali sebagai pandan termasuk dalam golongan keluarga Pandanaceae mempunyai hubungkait rapat kepada masyarakat bukan sahaja sebagai bahan campur di dalam makanan malah untuk tujuan kebudayaan dan kegunaan harian yang lain. Malah pandan juga terkenal di sekitar negara yang lain.

Dikenali sebagai ketaki di Bangladesh, dan juga sejenis pandan yang lain iaitu dari jenis (Pandanus fascicularis), digunakan sebagai bahan bauan dalam penyediaan pulao, biryani dan puding kelapa, payesh. Di Indonesia ia lebih dikenali sebagai pandan wangi, soon-mhway di Burma, pandan di Filipina, bai tooey di Thailand, rampe dalam Bahasa Sinhala, sleuk toi dalam Bahasa Khmer dan lá dúa di Vietnam. Mungkin terdapat nama-nama lain kerana daun pandan sememangnya terkenal dan mempunyai banyak jenis, maka sudah tentu banyak namanya.

Pandan memang popular untuk masakan digunakan sebagai pewangi dengan menyimpulkan daunnya dan terus dimasukkan ke dalam masakan seperti, nasi, nasi lemak, pengat dan apa juga masakan. Terdapat juga masakan menggunakan air daun pandan untuk mendapatkan pewarna dan baunya seperti kuih-muih untuk hidangan pagi dan petang. Ada juga menggunakan daun pandan ini dengan menjadikannya sebagai bekas untuk kuih tersebut seperti 'tepung pelita'. Tentu ramai yang teringat hidangan tepung pelita yang biasanya terdapat di baazar ramadhan kan.

Terdapat juga makanan yang menggunakan daun pandan ini dengan membungkusnya sebelum ianya dikukus atau digoreng seperti hidangan 'gai ob bai toey(ayam pandan) dari Thailand. Dalam masakan tradisi daun pandan bukan sahaja digunakan untuk mendapatkan baunya yang harum malah ia turut menjadikan makanan lebih menarik. Hari ini bahan perasa dan pewarna tiruan turut digunakan untuk menggantikan daun pandan. Apa komen anda!

Bunga rampai sememangnya wangi.
Ayam daun pandan.
Terdapat juga kegunaan lain daun pandan iaitu sebagai penyegar udara. Selain daripada selamat, ianya juga menjimatkan dan dikatakan tahan lama. Bunga rampai yang menggunakan daun pandan sebagai bahan utama telah lama digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan pewangi yang begitu lazim semasa upacara perkahwinan (tepung tawar). Ia juga boleh digunakan untuk menyegarkan ruang didalam almari pakaian, dan apa sahaja ruang tertutup seperti kabinet dapur. Ini kerana selain menyegarkan udara ia juga turut dikatakan berkesan untuk menghalau lipas. Satu lagi kegunaan yang hebat daun pandan!

Terdapat juga jenis pandan yang hanya digunakan sebagai tanaman hiasan kerana ianya tidak sesuai digunakan sebagai bahan bauan untuk masakan. Malah mengkuang juga adalah dari jenis keluarga pandan dengan daun yang lebih lebar, panjang dan berduri. Bagaimanapun ianya tetap menjadi salah satu bahan yang digunakan untuk membuar tikar, bahan kraf seperti beg, bekas makanan (dodol) dan pelbagai lagi.

Saya memang terfikir untuk menggunakan daun pandan untuk menyegarkan ruang bilik saya, selain itu mungkin juga akan terus menanam pandan tersebut di sekitar rumah. Mana tahu suatu hari nanti daun pandan ini juga akan semakin jarang untuk ditemuai jadi lebih baik beringat sekarang.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...