Sunday, June 19, 2016

Tanaman Anggur di Malaysia, Ingin Mencuba!

Tanaman Anggur di Malaysia.

Anggur merupakan antara buah-buahan yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi kerana diketahui mempunyai banyak khasiat. Ia bukan sahaja boleh dimakan segar malah turut dijadikan beberapa produk siap diproses seperti jem, jus, ekstrak biji anggur, kismis, cuka, minyak biji anggur dan macam-macam lagi. Antara permintaan tinggi anggur juga adalah disebabkan oleh industri pembuatan wine yang menggunakan kira-kira 71% daripada anggur yang dihasilkan. Jadi peluang tanaman anggur masih lagi mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia.

Anggur terdiri daripada tumbuhan dari genus Vitis yang mengandungi pelbagai spesis dan varieti berikutan penanamannya selama ribuan tahun. Tumbuhan anggur biasanya ditanam di kawasan beriklim sejuk dan sederhana. Namun teknologi pertanian telah lama membawa tanaman anggur ke negara-negara Aisa Tenggara terutamanya Thailand yang mempunyai ladang-ladang anggur yang besar. Penanaman anggur hanya dimulakan pada tahun 1956 dengan usaha Professor Pavin Punsri dan rakan setugasnya dari Department of Horticulture, Kasetsart University, Bangkok.

Tanaman anggur di Thailand berkembang dengan pesat.

Ladang anggur di Thailand turut menjadi produk pelancongan.

Di Malaysia juga usaha yang sama pernah dilakukan. Walaupun kerap kali berita berkenaan kejayaan tanaman anggur dilakukan, namun tiada pengeluaran yang benar-benar mencapai skala yang cukup untuk menjadi pembekal anggur negara. Walaubagaimanapun kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan penglibatan semua iaitu antara badan-badan berkaitan dengan pengusaha ladang sendiri. Mungkin juga kita mudah berpuas hati sehingga tidak lagi berusaha memperbaiki industri tanaman ini untuk lebih berdaya saing.

Apa yang pasti tanaman anggur boleh ditanam di Malaysia – dan kita tidak pasti samada benih yang digunakan adalah dari Thailand ataupun dari baka Eropah (besar kemungkinnan adalah dari Thailand). Baka memastikan anggur yang ditanam bukan sahaja boleh hidup dengan subur malah menghasilkan buah. Selain dari baka, penanaman anggur juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain. Ya, inilah yang ingin kita lihat sebenarnya.

Penyediaan tapak tanaman anggur:
  • Tanaman anggur memerlukan tanah yang mempunyai saliran yang baik, iaitu tanah yang sedikit berpasir serta tidak menakung air. Ia boleh dilkukan dengan menyediakan batas selain saliran air yang sempurna.
  • Lubang tanaman sedalam 0.60 meter hingga 3.5 meter untuk menggatikan tanah asal dengan tanah berpasir yang lebih sesuai untuk anggur.
  • Tanaman berbatas adalah lebih baik bagi anggur dalam mengelakkan akarnya dari terendam di dalam air. Ketinggian batas yang baik untuk anggur adalah setinggi 1 kaki dengan kelebaran 1 ½ kaki lebar.
  • Tanah yang digunakan juga adalah dari jenis yang tidak mengandungi kandungan garam, tanah yang gersang dan tanah yang tidak mempunyai keupayaan menyerap air.
  • Tanaman dalam pasu juga adalah baik untuk anggur, namun saiz pasu perlulah cukup untuk menampung keperluan anggur untuk membesar iaitu sekitar 16 inci X 18 inci.
  • Pokok anggur perlu mendapat cahaya matahari yang cukup untuk tumbuh dengan sihat serta menghasilkan buah.

Ladang anggur di Timur Jawa, Indonesia.

Pemangkasan
  • Baja penggalak bunga perlu ditabur dua puluh hari sebelum pemangkasan dilakukan (ini adalah untuk pokok dewasa yang telah cukup matang untuk mengeluarkan buah).
  • Buang semua daun kering dan potong cabang-cabang pokok yang tidak dikehendaki.
  • Ranting yang tidak sihat juga perlu dibuang bagi memastikan cabang yang lebih sihat dapat tumbuh dengan lebih baik.
  • Potong bahagian pucuk sekurang-kurangnya 1 meter untuk membolehkan pokok bercambah.
  • Bahagian bawah pokok perlu dibersihkan untuk memastikan tiada sebarang serangan atau haiwan perosak yang menumpang.


Pembajaan
  • Baja yang digunakan untuk tanaman anggur yang baik adalah dari jenis baja organik, terutamanya bagi pokok muda.
  • Baja perlu diletakkan pada jarak 1 kaki dari pangkal pokok.
  • Pembajaan perlu dillakukan sekerap seminggu sekali ataupun setiap 10 hari.
  • Penggunaan baja untuk pokok anggur juga perlu dilakukan pada kadar 50% - 60% daripada jumlah biasa yang digunakan untuk pokok biasa bagi mengelakkan pokok menjadi panas dan mati.


Penyiraman
  • Penyiraman pokok anggur dilakukan apabila mendapati tanah di sekitar pokok adalah kering.
  • Siraman dilakukan dengan sederhana dan tidak menyebabkan air bertakung. Air boleh merosakkan akar pokok anggur dan kelembapan tinggi menyebabkan jangkitan kulat.
  • Penyiraman boleh dilakukan pada waktu pagi atau waktu petang pada pangkal pokok.
  • Siraman juga perlu dikurangkan ketika pokok mengeluarkan buah kerana ia boleh menyebabkan buah yang dihasilkan menjadi masam atau rosak.

Ladang anggur dengan buah yang lebat.

Walaupun penjagaan pokok anggur kelihatan sedikit sukar, ia hanyalah di peringkat pertumbuhan awal sahaja. Apabila pokok telah mencapai kematangan, ia menjadi semakin kuat dan mudah untuk dipantau. Pada peringkat dewasa, apa yang penting adalah untuk memastikan pokok anggur menghasilkan buah untuk menambahkan lagi seri tanaman anggur anda. Mungkin anda pernah melihat sendiri tanaman anggur yang ditanam di halaman jiran atau kawasan berhampiran kediaman anda. Jadi teruskan usaha anda untuk memiliki pokok anggur sendiri di halaman dan teruskan mencuba dengan mempelajari teknik-teknik penjagaan yang betul.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...