Ahad, 12 Jun 2016

Kenali Minuman Paling Popular Di Dunia, Kopi (Coffee)

Kopi merupakan minuman paling popular di dunia.

Kopi (coffee) merupakan minuman yang tidak asing lagi pada semua orang samada mereka meminumnya ataupun tidak. Minuman yang berasal daripada biji kopi (coffee beans) ini perlu melalui beberapa proses penyediaannya bagi menghasilkan kopi yang benar-benar mempunyai aroma yang memikat citarasa penggemarnya. Seperti juga minuman teh, para penggemar kopi mempunyai cara tersendiri menikmati minuman kegemaran mereka.

Kopi merupakan tumbuhan berasal daripada bahagian tropika di Afrika, Madagascar, Comoros, Mauritius dan Réunion yang terletak di Lautan Hindi. Peningkatan permintaan terhadap kopi membuatkan tanaman ini kini ditanam di lebih 70 buah negara terutamanya negara-negara beriklim tropika termasuklah Amerika, Asia Tenggara, India dan juga Afrika. Terdapat dua jenis kopi yang mendapat perhatian sebagai tanaman utama iaitu arabica yang lebih popular dan juga jenis yang kedua dikenali sebagai robusta yang lebih kuat tetapi keras.

Kopi arabica.

Kopi robusta.

Walaupun kopi mungkin digunakan lebih awal, namun popularitinya mula tersebar bermula pada abad ke-15 di biara-biara sufi di Yemen, iaitu apabila ia dihasilkan sama seperti mana ianya dinikmati masa kini melalui proses panggangan dan juga rendaman (brewed). Pada asalnya biji-biji kopi dieksport dari Timur Afrika ke Yemen, di mana kopi merupakan tumbuhan ‘indigenous’ dari negara tersebut. Pedagang-pedagang Yemen bagaimanapun membawa pulang biji kopi ini untuk ditanam. Menjelang pada abad ke-16 ia telahpun tersebar ke serata Timur Tengah, Persia, Turkey dan Afrika Utara seterusnya merebak ke Eropah dan ke seluruh dunia.

Kopi kemudiaannya dibawa keluar dari Timur Tengah oleh Sufi Baba Budan dari Yemen ke India pada tahun 1670. Ini kerana kesemua kopi yang dieksport merupakan kopi yang telah direbus atau sterilised (tidak boleh ditanam lagi). Biji-biji kopi yang dibawa keluar ini kemudiaannya ditanam di Mysore, India. Berikutan dari itu kopi terus tersebar ke Italy dan ke seluruh Eropah, Indonesia dan Benua Amerika.

Pengembangan minuman kopi dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk perdagangan, peperangan dan pengembangan empayar. Perdagangan dunia Arab dan Eropah melalui Venice, Italy membawa banyak perkara termasuklah kopi. Kopi semakin mendapat perhatian ramai apabila ianya diterima sebagai minuman Christian oleh Pope Clement VIII pada 1600, walaupun terdapat rayuan untuk mengharamkan “minuman Muslim” tersebut. Berikutan itu kedai kopi (coffee house) Eropah yang pertama dibuka di Rome pada tahun 1645.

Perkembangan permintaan kopi ini juga digunakan sebaiknya oleh Dutch East India Company, dengan mengimport kopi pada skala yang besar. Pada masa yang sama memulakan penanaman kopi di Jawa dan Ceylon (Sri Lanka). Kopi-kopi yang ditanam di Jawa mula dieksport ke Netherlands pada tahun 1711. Sementara itu pula British East India Company pula memainkan peranan penting dalam penerimaan kopi di England. Oxford Queen's Lane Coffee House, mula dibuka pada tahun 1654 dan masih lagi wujud sehingga ke hari ini.

Di Amerika pula kopi kurang mendapat sambutan berikutan berlakunya pula peristiwa Boston Tea Party pada tahun 1773. Kenaikan harga teh menyebabkan ramai rakyat Amerika menolak untuk meminum teh.

Buah-buah kopi yang telah masak di pokoknya.

Iklan klasik minuman kopi.

Tanaman kopi dimulakan oleh seorang rakyat Perancis iaitu Gabriel de Clieu di tanah jajahan Perancis, Martinique di Caribbean. Ia merupakan kawasan penting mulanya kopi-kopi arabica ditanam. Ia tumbuh dengan subur dengan iklim di kawasan tersebut dan terus tersebar ke bahagian Benua Amerika yang lain. Ia kemudiannya ditanam di Saint-Domingue (Haiti) dari tahun 1734, dan menjelang tahun 1788 ia menyediakan separuh daripada kopi di dunia. Keadaan penggunaan buruh-buruh paksa di ladang-ladang kopi tersebut menyebabkan tercetusnya Haitian Revolution yang menyebabkan industri kopi di situ terus merudum. Ia hanya kembali pada tahun 1949, dimana Haiti merupakan pengeluar ke-3 dunia namun jatuh semula dengan mendadak.

Pengenalan kopi di Brazil bermula dengan lebih awal iaitu pada tahun 1727. Namun tanaman kopi mula diusahakan dengan lebih serius setelah Brazil mencapai kemerdekaan pada tahun 1822. Pembukaan ladang-ladang kopi membangunkan banyak bandar-bandar utama di Brazil termasuklah Rio de Janeiro dan diikuti dengan São Paulo. Menjelang tahun 1830 Brazil telahpun menjadi pengeluar kopi serantau dan mencapai tahap pengeluar kopi utama dunia pada tahun 1852. Pada tahun 1910-20 Brazil telahpun mencapai tahap pengeluaran sebanyak 70% keperluan kopi dunia, manakala Colombia, Guatemala, dan Venezuela mengeksport separuh lagi daripada lebihan 30% permintaan kopi dunia tersebut.

Sehingga pada tahun 2013 pengluaran kopi dunia adalah sebanyak 8.9 juta tan, dimana Brazil masih lagi merupakan pengeluar utama kopi tersebut diikuti dengan Vietnam, Indonesia, Colombia dan India.


Rank
Country
Millions of tonnes
1
Brazil
3.0
2
Vietnam
1.5
3
Indonesia
0.7
4
Colombia
0.7
5
India
0.3
World
8.9


Keunikan Kopi

Perkara yang menarik mengenai kopi adalah mengenai aromanya yang amat diminati oleh para peminat-peminat kopi. Aroma ini selain dipengaruhi oleh jenis kopi (samada arabica ataupun robusta), ia juga turut dipengaruhi oleh kaedah penyediaannya iaitu pemprosesan yang merangkumi, penapaian, pengeringan, penggorengan (pembakaran), rendaman (brewed) dan juga penghidangan. Malah rasa kopi juga turut dipengaruhi kawasan di mana ia ditanam. Faktor geografi ini menyebabkan kopi yang ditanam di sesetengah tempat mempunyai harga yang berbeza.

Selain itu terdapat juga kopi yang dihasilkan melalui kaedah yang agak pelik antaranya adalah kopi luwak dimana ianya adalah kopi yang dilawaskan oleh sejenis musang (Asian palm civet). Dengan kata lain, kopi luwak diperolehi daripada najis musang tersebut. Namun begitu kopi luwak merupakan antara kopi yang termahal di dunia dengan harga sekitar $160 untuk setiap pound, atau $30 untuk setiap cawan. Apa yang menarik, kopi luwak mempunyai rasa yang lebih mewah, dengan keunikan aroma rasa diikuti oleh rasa coklat, kesan daripada tindak balas enzim yang bertindak ke atas protein yang menyebabkan berlakunya separuh proses penapaian.

Selain daripada kopi luwak, terdapat satu lagi kopi yang dihasilkan dengan kaedah pelik ini iaitu ‘black ivory coffee’. Black ivory coffee dihasilkan di Thailand, dimana biji-biji kopi diberikan kepada gajah yang menyebabkan enzim penghadamannya mengurangkan rasa pahit kopi yang dikumpulkan daripada najis gajah tersebut. Harga kopi yang dihasilkan melalui kaedah ini mencecah sehingga $1,100 sekilogram atau ($500 per lb) dan menjadi kopi termahal di dunia yang baru.

Pemanggangan (Roasting)

Pemanggangan biji-biji kopi merupakan proses yang menentukan hasil akhir minuman kopi yang dihasilkan. Walaubagaimanapun proses ini turut bergantung kepada citarasa individu. Biji-biji kopi boleh dipanggang kepada beberapa peringkat termasuklah light, medium light, medium, medium dark, dark, atau very dark. Proses pemanggangan ini mempunyai kesan aroma yang ketara kepada kopi. Ini kerana ia memberikan kesan ketara kepada fisiologi biji kopi dan juga komposisi kimianya. Sebab itulah, para penggemar kopi mempunyai tahap panggangan mereka sendiri. Maka, biji-biji kopi ini adakalanya dipanggang sendiri oleh para pengguna.

Pemanggangan biji kopi tidak mengurangkan kandungan caffeine di dalamnya. Proses pengeluaran caffeine ini dilakukan semasa kopi masih hijau melalui beberapa proses. Ia samada melalui proses rendaman di dalam air yang dipanggil "Swiss water process", atau menggunakan stim, kemudiannya pelarut yang melarutkan minyak yang mengandungi caffeine daripada kopi tersebut. Prosess ini dilakukan oleh syarikat pemproses, dan caffeine yang diekstrak pula akan dijual kepada syarikat farmaseutikal.

Starbucks muncul sebagai jenama kopi paling popular.

"Black Ivory Coffee" muncul sebagai kopi terpaling mahal.

Penyimpanan

Untuk memastikan kualiti kopi yang tahan lama biji-biji kopi perlu disimpan di dalam bekas yang kedap udara daripada kaca, seramik atau bahan logam yang tidak reaktif. Bekas penyimpanan biji kopi yang baik mempunyai injap satu hala yang menghalang udara dari masuk ke dalam bekas sebaliknya membenarkan kopi pula membebaskan gas. Bagi memastikan kopi sentiasa berada dalam keadaan yang baik ia perlu dijauhi daripada lembapan, suhu, dan juga cahaya. Kopi juga mempunyai kemampuan menyerap bau-bauan, maka ia perlu diletakkan jauh daripada bahan yang menghasilkan bau. Penyimpanan di dalam peti sejuk juga boleh menyebabkan kopi rosak dengan kehadiran lembapan.

Hidangan Kopi

Perkara yang paling menarik mengenai kopi adalah bagaimana ianya dihidangkan. Hari ini terdapat pelbagai kaedah hidangan kopi diperkenalkan bagi menarik minat lebih ramai penggemar kopi. Namun kita akan melihat beberapa hidangan utama kopi yang memberikannya nama-nama utama.

Hidangan kopi bermula dengan proses rendaman dengan air panas. Proses rendaman ini turut dipengaruhi oleh saiz kisaran biji-biji kopi selain nisbah biji kopi yang digunakan untuk satu rendaman. Suhu air yang sesuai untuk rendaman kopi (brewing) adalah antara 85–88 °C (185–190 °F) sehingga 93 °C (199 °F). Manakala suhu hidangan kopi pula adalah sekitar 68 ke 79 °C (154 ke 174 °F). Nisbah kopi yang digunakan untuk hidangan kopi yang bukan espresso adalah antara 55 ke 60 grams bagi setiap liter air atau dua sudu makan serbuk kopi untuk cawan berisipadu 5 ke 6 oz.

Hidangan kopi dengan latte art.

Mesin espresso manual.

Mesin espresso automatik.

Kopi yang dihidangkan dengan kepekatan tinggi dinamakan sebagai espresso yang dihidangkan sebagai ‘a shot’ atau ‘short black’, penambahan air akan menukarkannya menjadi Caffè Americano. Kopi yang dikenali sebagai ‘long black’ dihasilkan menggunakan ‘double espresso’ ke dalam air dengan kuantiti yang sama untuk mengekalkan crema (buih daripada espresso). Penggunaan susu menghasilkan pelbagai jenis kopi berikutnya; susu stim menghasilkan caffè latte, dua bahagian susu yang sama daripada susu stim dan buih susu menghasilkan cappuccino, tambahan krim buih susu panas di atas kopi menghasilkan caffè macchiato. Penambahan buih ke atas kopi membolehkan lakaran-lakaran dihasilkan yang dikenali sebagai ‘latte art’.


Banyak lagi perkara-perkara yang menarik mengenai kopi yang akan kita pelajari di masa akan datang. Pada kali ini kita hanya ingin melihat bagaimana kopi tersebar dan menjadi sebahagian minuman penting masyarakat dunia. Namun populariti ini bukanlah berlaku dengan sendirinya, ia juga dipengaruhi oleh banyak faktor termasuk penghasilan produk-produk baru, pengiklanan, trend dan gaya hidup. Adakah anda telah mencuba resepi kopi terpelik baru-baru ini!


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog