Rabu, 18 Julai 2012

Steven R. Covey Meninggal Pada Usia 79 - Terima Kasih Atas Sumbangan Beliau

Nama beliau mungkin tidak asing lagi bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan terutamanya. Walaupun secara tidak langsung hasil kerja beliau begitu dikenali di seluruh dunia malah di Malaysia juga. Bagi yang minat membaca tentunya anda pernah mendengar hasil penulisan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People".

Pertama kali saya mengenali hasil kerja beliau adalah semasa di tahun 'satu' semasa di UTM iaitu pada tahun 1995. Pada masa itu saya cuma dikenalkan dengan kaedah pengurusan masa yang disampaikan oleh beliau melalui bukunya "First Thing First" - satu lagi hasil kerja beliau yang amat popular. Apa yang menarik ianya disampaikan sendiri oleh seorang pensyarah di UTM (jadi mudahlah untuk ianya difahami). Karangan beliau terus popular dan saya semakin tertarik dengan hasil kerjanya. Jadi saya cuba untuk mengenal hasil-hasil kerja beliau bermula dari situ.

Setelah menempuh alam pekerjaan pula saya terlibat dengan lebih banyak program yang berasaskan daripada "The Seven Habbits of Highly Effective People", menjadikan nama beliau lebih menonjol kepada saya. Begitu juga dengan kemudahan jaringan internet untuk saya mendapatkan maklumat terperinci tentang hasil kerjanya yang lain.


Nama penuh beliau ialah Stephen Richards Covey dilahirkan pada 24 Oktober, 1932 di Salt Lake City, Utah dan meninggal dunia pada 16 Julai, 2012 di Idaho Falls, Idaho US. Membesar di sebuah ladang pembekal telur di luar kawasan bandar. Semasa kecil beliau mengalami masalah pada pembesaran kakinya yang memerlukan beliau menggunakan tongkat. Namun semangatnya yang tinggi tidak menghalang beliau untuk terus mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan.


Buku karangan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People", bersama buku-bukunya yang lain terjual melebihi 25 juta naskah di serata dunia. Buku-buku beliau juga turut diterjemah kepada bahasa-bahasa lain bagi mudah difahami. Antara buku lain yang ditulis oleh beliau ialah "First Thing First", "Principle Centered Leadership", dan "The Seven Habits of Highly Effective Families". Pada tahun 2004 beliau melengkapkan hasil penulisan beliau melalui buku "The 8th Habit". Manakala sebagai penutup pada tahun 2008 beliau menghasilkan pula "The Leader In Me - How School and Parents Around the World Are Inspiring Greatness, One Child at a Time".

Pada tahun 1996, Majalah Time menamakan beliau sebagai salah seorang tersenarai di dalam 25 Rakyat Amerika yang berpengaruh, manakala Forbe pula menobatkan "Seven Habits" sebagai salah satu daripada 10 buku pengurusan terbaik.

Beliau membuka Covey Leadership Center pada tahun 1983 dengan mempertaruhkan segala hak miliknya sebagai sebuah pusat latihan dan consultant. Pada tahun 1997 pula ia bergabung bersama Franklin Quest, pakar dalam pengurusan masa dan membentuk Syarikat Franklin Covey Co. Sehingga hari ini syarikat ini telah beroperasi di 50 buah negara dan memperolehi jualan sebanyak USD160.8 juta pada tahun lepas.

Jadi itulah sedikit sebanyak mengenai Stephen R. Covey yang ingin saya kongsi bersama. Tujuan saya menceritakan mengenai beliau adalah sebagai tanda memperingati hasil usaha beliau dalam membina kejayaan diri dalam memajukan orang lain. Sudah tentu ramai lagi tokoh-tokoh cemerlang di luar sana untuk kita sama-sama hargai dan semestinya akan cuba untuk saya kongsi dalam blog saya ini. Mungkin anda boleh membantu dengan memberi cadangan tentang tokoh kesayangan anda di ruangan komen. Terima kasih.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog