Memaparkan catatan dengan label destinasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label destinasi. Papar semua catatan

Isnin, 4 Julai 2022

Tanggungjawab Kita Apabila Melawat ke Taman Haiwan

Semakin banyak taman haiwan dibuka di serata kawasan.

Taman haiwan merupakan antara lokasi lawatan popular bagi pelancong tempatan mahupun luar negara. Tidak dinafikan, taman-taman haiwan ini memainkan peranan penting bagi masyarakat dalam menyediakan aktiviti yang berunsur pendidikan yang amat penting bagi masyarakat moden. Namun dengan peningkatan jumlah taman haiwan yang dibina, dapatkah kita memastikan bahawa kepentingan sebenar dalam membina taman haiwan diberikan keutamaan, selain daripada tujuan utama pembinaannya iaitu keuntungan?
 
Dengan jumlah taman haiwan yang semakin tinggi, ia adalah merupakan satu kebaikan bagi masyarakat dalam menyaksikan haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat yang ada di antaranya sukar untuk ditemui atau hanya boleh didapati di negara-negara tertentu yang sukat untuk dilawati. Apa yang membimbangkan adalah, benarkah haiwan-haiwan ini mendapat perlindungan secukupnya bagi memastikan keselesaan mereka terjamin, bukan sahaja daripada pembina taman malah para pelawat? Ini adalah perkara yang penting untuk dibincangkan kerana, ia adalah lebih penting berbanding pembinaan taman itu sendiri. Sekiranya kebajikan haiwan-haiwan tidak dipelihara dengan baik, maka tiada gunanya ia dibuka dan sebagai pengunjung pula, kita tidak seharusnya menyokong pembinaan taman seperti ini.

 
Pembinaan taman haiwan sememangnya memerlukan perbelanjaan yang besar kerana haiwan-haiwan ini memerlukan penjagaan yang rapi dan mungkin ada diantaranya yang memerlukan penjagaan khusus seperti bilik khas dan suhu tertentu (bagi haiwan seperti burung penguin misalnya). Penyediaan kemudahan seperti ini bukan sahaja memerlukan perbelanjaan yang besar bagi pembinaannya, malah ia juga memerlukan perbelanjaan yang berterusan bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik. Lain-lain keperluan haiwan-haiwan ini termasuklah, keluasan kawasan yang selesa, bekalan makanan yang sesuai (kerana mungkin ada di antaranya memerlukan makanan khusus), dan penjagaan berterusan bagi memastikan haiwan-haiwan ini berada dalam keadaan yang baik. Kegagalan menyediakan keperluan-keperluan di atas bukan sahaja menyebabkan kegagalan taman haiwan beroperasi dengan baik, malah boleh mengakibatkan kematian kepada haiwan-haiwan yang berada di taman tersebut.

Penjualan makanan haiwan merupakan antara salah satu peluang untuk taman haiwan menambahkan pendapatan.

Pengalaman memberi makanan kepada haiwan menjadi satu kenangan manis. Namun ia perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan pemberian makanan yang salah.
 
Secara umumnya tiada haiwan yang suka berada di dalam kurungan (dengan keluasan yang terbatas). Keadaan ini sendiri memberikan tekanan kepada haiwan-haiwan yang dikurung. Walaubagaimanapun, haiwan-haiwan ini tidak sesuai untuk dilepaskan kerana ia telah berada lama di dalam kurungan dan tidak sesuai untuk dilepaskan kepada keadaan liar semula. Berbeza dengan haiwan berada di dalam keadaan liar, mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis sumber makanan berbanding di dalam kurungan yang mungkin hanya diberikan makanan dari jenis-jenis tertentu sahaja (walaupun makanan ini lebih terjamin). Adalah sukar bagi menentukan keperluan setiap spesies haiwan dengan tepat melainkan oleh pakar bagi jenis haiwan tersebut. Sebagai contoh, sesuatu spesies haiwan mungkin memerlukan berapa ekar keluasan di dalam habitat liar, dan keluasan seperti ini adalah mustahil bagi taman haiwan.
 
Adalah diketahui bahawa taman haiwan tidak dapat menyediakan kesemua keperluan yang diperlukan oleh haiwan-haiwan ini, namun setidak-tidaknya kepentingan haiwan ini tidak diabaikan. Sekiranya keadaan di mana memberikan kesan negatif kepada haiwan-haiwan ini, maka ia perlulah diberikan perhatian yang secukupnya. Ia bukan sahaja memberikan kebaikan untuk haiwan-haiwan tersebut, malah kepada jangka panjang taman haiwan itu sendiri apabila haiwan-haiwan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Keperluan ini bukanlah sukar, sekiranya perancangan yang rapi dilakukan dengan baik sebelum sesuatu haiwan di bawa ke dalam taman tersebut.
 
Interaksi dengan pengunjung

Kandang khas memastikan pengunjung dan haiwan berada dalam keadaan selamat dan lebih mudah untuk didekati.

 
Apa yang menarik mengenai taman haiwan adalah ia menyediakan peluang untuk para pengunjung berinteraksi dengan haiwan-haiwan tertentu dengan lebih dekat. Kadar interaksi ini pula adalah berbeza daripada taman-taman haiwan yang lain (bergantung kepada jenis kemudahan yang dimiliki oleh taman-taman tersebut). Walaupun kemudahan berinteraksi ini merupakan daya tarikan yang paling menarik, ia juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada haiwan dan juga pengunjung sendiri. Ia adalah antara punca kematian haiwan-haiwan di taman haiwan dan boleh juga mengakibatkan kecederaan kepada pengunjung sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Maka langkah-langkah sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan haiwan dan pelawat mendapat perlindungan yang sepatutnya.
 
Bagi interaksi bersama pelawat ini merupakan beberapa perkara perlulah dipenuhi antaranya:
 
1. Maklumat yang cukup diberikan kepada pengunjung bagi mengelakkan interaksi yang boleh membahayakan haiwan atau pelawat seperti jenis makanan yang boleh diberikan, jarak yang selamat bagi mendekati haiwan. Mengelakkan interaksi yang berlebihan mungkin boleh menyelamatkan haiwan-haiwan ini untuk jangka panjang.
 
2. Menyediakan penjaga yang mencukupi bagi kawasan-kawasan yang menyediakan interaksi bersama haiwan bagi membantu para pelawat mendapatkan maklumat yang tepat mengenai haiwan-haiwan tersebut. Dalam banyak keadaan, para pelawat tidak mendapat bantuan yang diperlukan sebelum melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

 
3. Maklumat di dalam brochure, papan tanda maklumat, monitor iklan, website, penjaga/pelatih haiwan dan sebagainya. Maklumat amat penting bagi membantu para pelawat untuk mengetahui perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika mendekati haiwan. Sememangnya sukar bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan berkesan, maka dengan itu ia perlu dikongsi sebanyak-banyaknya bagi memastikan para pelawat mengetahuinya.
 
4. Kurungan yang sesuai. Bagi sesetengah taman, kurungan khas digunakan bagi membolehkan haiwan-haiwan dapat berinteraksi dengan pelawat dengan lebih mudah. Namun adakalanya interaksi ini terlalu dekat kepada pelawat, atau kawasan yang terlalu padat dengan haiwan dan pelawat mengakibatkan haiwan-haiwan berasa tidak selesa, malah ada di antaranya yang tercedera. Terdapat banyak kejadian dimana haiwan-haiwan diberikan makanan yang tidak sepatutnya oleh pelawat atau dicederakan kerana pelawat ingin mengambil gambar.
 
5. Pemeriksaan kesihatan haiwan dari semasa ke semasa. Ia perlu menjadi rutin harian dan berterusan sepanjang hari. Sebarang kejadian mungkin berlaku dan keselamatan pelawat dan haiwan perlu diberikan perhatian yang secukupnya. Langkah keselamatan ini termasuklah bagi memastikan kemungkinan penyebaran penyakit antara pelawat dan haiwan dan sebaliknya.
 
Tanggungjawab pelawat

Mengenali haiwan merupakan peluang terbaik bagi kanak-kanak dan mungkin juga untuk mereka yang dewasa.

 
Walaupun penyediaan kemudahan keselesaan dan keselamatan haiwan adalah wajib disediakan oleh pembina taman haiwan. Para pelawat juga memainkan peranan penting bagi memastikan haiwan-haiwan ini juga selesa dan selamat ketika dikunjungi. Sentiasa pastikan keselamatan haiwan-haiwan ini diberikan keutamaan, ini kerana ia diletakkan di dalam kawasan yang sememangnya memberikan tekanan kepada mereka.
 
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian untuk melawati taman haiwan.
 
1. Pastikan anda mengetahui sedikit sebanyak mengenai haiwan yang dilawati. Adakalanya maklumat ini disediakan di taman-taman haiwan. Kini, maklumat-maklumat ini juga boleh diperolehi dengan mudah dari telefon bimbit anda. Ini bagi mengelakkan kita daripada melakukan kesilapan yang mungkin boleh membahayakan haiwan tersebut seperti - memberikan makanan yang boleh menyebabkan kematian.
 
2. Patuhi langkah-langkah keselamatan yang telah disediakan oleh penyedia taman, ia adalah untuk menjaga keselamatan haiwan-haiwan dan juga para pengunjung.
 
3. Elakkan daripada menyergah haiwan-haiwan di taman haiwan kerana ini boleh mengakibatkan haiwan-haiwan menjadi takut atau menjadi agresif dan mencederakan anda. Haiwan mempunyai refleksi yang pantas bagi menjaga keselamatan mereka. Kerap berlaku kecederaan apabila haiwan terkejut oleh tindakan pelawat yang menyebabkan mereka terkejut.

Semakin banyak taman haiwan dibuka dengan pelbagai saiz dan jenis-jenis haiwan yang dipamerkan.

 
4. Anda tidak perlu menyentuh haiwan-haiwan di taman haiwan sekiranya anda takut, geli atau tidak selesa kepadanya (begitu juga bagi orang lain, elakkan daripada memaksa mereka). Keadaan ini boleh menyebabkan haiwan tidak selesa dan tertekan.
 
5. Jangan berikan makanan kepada haiwan di taman haiwan sekiranya anda tidak pasti ianya selamat untuk dimakan oleh mereka. Ini kerana di dalam satu taman haiwan mungkin terdapat lebih daripada satu haiwan dan anda mempunyai beberapa jenis makanan untuk diberikan kepada pelbagai spesies haiwan (dapatkan bantuan para pelatih haiwan).
 
6. Pastikan keselamatan haiwan dan diri anda menjadi kepentingan utama ketika melawati taman haiwan. Elakkan daripada melakukan sebarang perkara yang boleh memudaratkan haiwan ataupun diri anda.

 
7. Laporkan kepada penjaga taman sekiranya terdapat haiwan-haiwan yang cedera di dalam taman atau sebarang perkara yang mungkin merbahaya kepada haiwan. Ia juga boleh dilaporkan kepada pengurusan taman melalui email yang biasanya terdapat di laman website mereka. Pastikan anda dapatkan gambar tarikh dan masa bagi memudahkan untuk tindakan selanjutnya.
 
8. Bantu pelawat-pelawat lain sekiranya anda mendapati mereka tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai keselamatan haiwan dan pelawat ketika berada di taman haiwan. Langkah ini dapat membantu mereka juga menjadi lebih peka mengenai isu keselamatan ini dan membantu orang lain pula.
 
Tanggungjawab bersama

Setiap penyelia taman perlulah memastikan haiwan-haiwan yang cedera diasingkan dan diberikan penjagaan yang sewajarnya. Para pelatih perlu peka dan memeriksa keadaan haiwan setiap hari. 

Haiwan yang sakit perlu diasingkan dan sangkar perlu disanitasi dengan betul bagi mengelakkan penyakit berjangkit kepada haiwan mahupun pengunjung!

 
Perlu diingat, walaupun pengusaha taman bertanggungjawab menyediakan kemudahan bagi menjamin keselamatan haiwan-haiwan di dalam taman yang disediakan, keselamatan haiwan-haiwan ini menjadi tanggungjawab bersama pengunjung juga. Tanpa kerjasama bersama pengunjung, nasib haiwan-haiwan ini mungkin berakhir dengan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan. Adakalanya pihak pengurusan mungkin terlepas pandang dan di sinilah para pelawat perlu membantu dengan berkongsi maklumat bersama-sama pengusaha taman.
 
Adalah amat dikesalkan sekiranya haiwan-haiwan ini dieksploitasi bagi mengaut keuntungan semata tanpa mengendahkan keselamatan mereka. Taman-taman seumpama ini perlu diambil tindakan dan ditutup serta-merta. Sekiranya anda mendapati taman-taman yang tidak diselenggarakan dengan baik, pastikan anda mendapatkan bantuan, kerana ini boleh menyelamatkan nyawa haiwan-haiwan yang tidak dapat membela nasib mereka sendiri. Sebagai manusia yang boleh berfikir dengan baik, kita perlu memikul tanggungjawab ini bersama dan memastikan kita memastikan ketenteraman bukan sahaja bagi kita sesama manusia, malah untuk hidupan-hidupan lain juga yang hidup bersama-sama di dunia ini.

Isnin, 6 Jun 2022

Pulau Pinang (Penang) Lokasi Pelancongan Dalam Negeri Yang Unik

Pulau Pinang merupakan antara bandaraya penting di Malaysia sebagai destinasi ekonomi mahupun pelancongan.

Pulau Pinang bukanlah lokasi pelancongan baru di Malaysia, malah ia sedari dulunya terkenal sebagai pulau yang penting untuk pelbagai aktiviti ekonomi di Tanah Melayu semasa zaman penjajahan Belanda dan British. Kini tinggalan ini bukan sahaja menjadi satu identiti unik bagi Pulau Pinang, malah ia ditambahkan lagi dengan pelbagai lokasi dan aktiviti-aktiviti baru yang menjadikan Pulau Pinang destinasi dalam negeri yang penting untuk dilawati.
 
Pulau Pinang merupakan destinasi yang sememangnya popular di kalangan pelancong dalam dan luar negeri. Pembangunan industri dan populasi di Pulau Pinang membolehkan ia terus membangun sebagai negeri perindustrian dan menjadi destinasi pelancongan penting di Malaysia. Bagi memenuhi peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Pinang, ia boleh dilawati dengan pelbagai jenis kenderaan samada kerata, bas, keretapi dan feri serta kapal terbang. Ini bermakna anda boleh melawati Pulau Pinang dengan pelbagai kaedah dan tidak perlu bergantung kepada satu-satu jenis pengangkutan sahaja.

Pemandangan pantai yang menarik di Batu Ferringhi

 
Bagi lawatan ke Pulau Pinang oleh myrokan baru-baru ini, kaedah pengangkutan yang digunakan adalah keretapi (ETS) dari Kuala Lumpur (KL Sental) ke Butterworth. Ternyata kaedah pengangkutan ini amat mudah digunakan kerana ia berada di pusat bandar Kuala Lumpur tanpa memerlukan masa menunggu seperti perkhidmatan pengangkutan udara. Hanya anda memerlukan sedikit masa untuk mengambil pengangkutan feri dari jeti di Butterworth ke Pulau Pinang dan dalam masa yang sama, kemudah di jeti ini masih melakukan kerja-kerja menaik taraf. Adalah diharap kerja-kerja ini dapat disiapkan segera bagi memudahkan lagi pergerakan pelawat-pelawat ke Pulau Pinang.
 
Lokasi lawatan di Pulau Pinang

ESCAPE Penang merupakan antara destinasi lawatan menarik untuk dilawati.

Antara aktiviti menarik untuk dicuba di Komtar, Penang.

Pengalaman meniti jambatan kaca di Komtar, Penang.

 
Pulau Pinang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati daripada pantai untuk perkelahan sekeluarga, tanah tinggi untuk pemandangan kawasan sekitar, taman tema dengan aktiviti menarik, rumah-rumah ibadah untuk pelbagai kaum di Pulau Pinang, bangunan-bangunan dengan senibina unik dan kawasan dataran tempat berkumpul pelbagai lapisan masyarakat serta pelawat ke Pulau Pinang. Selain daripada lokasi-lokasi menarik ini, Pulau Pinang juga terkenal dengan makanan yang unik kepada Pulau Pinang yang boleh dinikmati di beberapa lokasi khusus di sekitar pulau ini.
 
Adalah sukar untuk melakukan keseluruhan aktiviti yang ditawarkan di Pulau Pinang dalam satu lawatan, melainkan anda meluangkan masa untuk tempoh yang lama di Pulau ini. Adalah sebaiknya merancang lebih awal sekiranya anda ingin melakukan sesuatu aktiviti yang spesifik semasa lawatan ke Pulau Pinang. Anda juga perlu melihat faktor-faktor lain seperti musim cuti persekolahan ataupun cuti umum yang mungkin mempengaruhi jumlah pelawat ke sesuatu destinasi yang ingin anda kunjungi.
 
Sememangnya tedapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Pinang merangkumi aktiviti hiburan keluarga, lawatan pendidikan, lokasi-lokasi bangunan bersejarah, pantai yang unik serta pemandangan yang menarik. Sekiranya anda tidak boleh melakukan kesemua aktiviti ini dalam satu lawatan, maka sebaiknya bolehlah melakukan sebahagiannya dan kembali semula untuk lawatan akan datang.

Menara pagoda merupakan antara binaan unik di Kek Lok Si Temple.

Binaan patung Dewi Kuan Yin yang boleh dilihat dari jauh.

Antara binaan lain yang terdapat di Kek Lok Si Temple.

 
Antara tempat-tempat lawatan yang perlu diberikan tumpuan antaranya adalah Georgetown, Butterworth, Batu Ferringhi, Air Hitam, Teluk Bahang dan banyak lagi. Namun lokasi-lokasi utama merupakan tumpuan utama pelbagai aktiviti adalah di sekitar Georgetown dan Butterworth dimana terletaknya kemudahan-kemudahan asas pengangkutan, keperluan asas dan hiburan.
 
Georgetown merupakan pusat bandar utama yang menempatkan bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar. Kompleks bangunan ini turut dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti pelancongan menarik bagi semua peringkat umur. Anda boleh meluangkan masa dengan melawat ke bumbung bangunan untuk melihat pemandangan sekitar Pulau Pinang serta merasai pengalaman menyeberangi jambatan berlantaikan kaca yang mungkin sedikit mendebarkan. Sementara itu terdapat pelbagai aktiviti lain yang bercorak hiburan dan pendidikan bagi kanak-kanak dan seluruh ahli keluarga.
 


Terletak di kawasan Georgetown juga adalah bangunan-bangunan dari zaman kolonial yang mempunyai nilai-nilai sejarah. Ia juga kaya dengan senireka unik dan ukiran-ukiran tradisi yang sukar untuk dilakukan pada hari ini (kerana akan memakan perbelanjaan yang besar). Antara bangunan yang menarik termasuklah bangunan masjid dan gereja lama, menara jam, deretan rumah-rumah kedai lama dan bangunan yang dijadikan muzium. Terdapat pelbagai senireka unik bangunan-bangunan ini walaupun ia didirikan pada masa yang seakan-akan sama.
 
Dari segi makanan pula, Pulau Pinang sememangnya popular dengan restoran-restoran nasi kandar dan makanan-makanan dari pelbagai bangsa yang lain. Namun begitu, nasi kandar merupakan antara makanan yang unik bagi negeri ini. Bagi yang ingin merasai keunikan nasi kandar di Pulau Pinang terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan ini, di mana ia merupakan konsep berbanding jenis masakan. Nasi kandar adalah nama yang diberikan kerana ia suatu masa dahulu di jual dengan menggunakan kandar oleh pengusaha-pengusaha ini. Apa yang dapat dikongsikan di sini, perbezaan antara restoran nasi kandar yang mempunyai kualiti terbaik adalah restoran yang menghidangkan makanan yang segar (baru disediakan) - dan ia terus disediakan sepanjang hari.
 
Aktiviti-aktiviti lain di sekitar Pulau Pinang


Antara masjid lama terletak di Georgetown.

Muzium Baba dan Nyonya antara lokasi lawatan menarik.

Manakan Baba dan Nyonya yang perlu dicuba di restoran Baba dan Nyonya.

Ruang tengah di Muzium Baba dan Nyonya.

 
Terdapat pelbagai lokasi menarik untuk dilawati di Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan pelawat. Daripada destinasi persisir pantai sehinggalah ke puncak tertinggi di Pulau Pinang boleh dilawati oleh para pengunjung. Terletak di kawasan Teluk Bahang merupakan taman tema yang menempatkan gelongsor air terpanjang di dunia. Ia merupakan taman yang dilengkapi dengan pelbagai jenis permainan air dan sukan lasak yang mencabar fizikal dan mental. Taman ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk kemudahan para pengunjung dari parking kenderaan, kemudahan penyimpanan barang, sewaan kemudahan, bilik mandi dan persalinan. Taman yang dikenali sebagai ESCAPE Penang ini memerlukan masa sekitar sehari bagi membolehkan anda untuk mencuba kebanyakan aktiviti yang disediakan.
 


Semasa perjalanan ke Teluk Bahang anda mungkin akan melewati kawasan persisir pantai yang juga dikenali sebabai Batu Ferringhi. Terdapat kawasan-kawasan yang sesuai untuk dilawati bersama keluarga. Atau anda juga boleh menginap di hotel-hotel yang berhampiran pantai sekiranya ingin meluangkan lebih masa di kawasan berhampiran pantai. Antara hotel-hotel menarik di persisir pantai ini termasuklah Shangri-La, Rasa Sayang; Shangri-La Golden Sands; Parkroyal, Hard Rock Hotel Penang; Bayview Beach Resort dan banyak lagi mengikut keperluan para pengunjung. Kawasan ini juga turut mempunyai gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan selain pasar malam yang mungkin menarik minat sebahagian pengunjung.

Kelantan House, antara hotel unik dari bangunan warisan dunia UNESCO.

Bilik di dalam hotel Kelantan House yang unik. 

 
Manakala bagi kawasan-kawasan yang menarik di kawasan tanah tinggi pula adalah Bukit Bendera yang terletak berhampiran satu lagi tarikan menarik iaitu Kek Lok Si Temple. Bukit Bendera boleh dilawati dengan menaiki train bukit atau dikenali sebagai funicular train. Pada ketinggian melebihi 700 meter dari aras laut anda bukan sahaja boleh menikmati pemandangan pulau yang menarik malah menikmati udara nyaman di tanah tinggi. Terdapat banyak tarikan di atas Bukit Bendera yang menjadikan lawatan ke sini mungkin masa beberapa jam kerana banyak aktiviti boleh dilakukan. Oleh kerana ia hanya boleh dilawati dengan menaiki train khas ini, maka untuk lawatan pada musim cuti persekolahan keadaannya mungkin sedikit sesak dan anda mungkin mengambil masa beberapa jam untuk menunggu giliran menaiki train ke puncak bukit.
 


Satu lagi tarikan menarik di kawasan berhampiran adalah Kek Lok Si Temple yang sekian lama merupakan antara tarikan unik bagi Pulau Pinang. Walaupun merupakan rumah ibadah, ia dibuka untuk lawatan kepada orang ramai bagi kawasan-kawasan tertentu. Terdapat beberapa bangunan khusus yang boleh dilawati di dalam kompleks yang terletak di lereng bukit ini. Selain daripada bangunan-bangunan dengan senibina unik, terdapat juga taman-taman yang menarik di persekitaran rumah-rumah ibadah yang didirikan. Anda boleh mengenal pasti lokasi kawasan ini dengan melihat patung bersaiz besar Dewi Kuan Yin yang terletak di kawasan kompleks Kek Lok Si ini.
 
Aktiviti di waktu malam

Padang Kota menajdi tumpuan penduduk tempatan mahupun pelawat dari luar.

Pemandangan waktu malam dari Bayview Geaorgetown.

Seperti bandar-bandar lain, Pulau Pinang tidak sunyi pada waktu malam. Menjadi kawasan pelancongan yang penting, terdapat beberapa tempat yang menjadi tumpuan para pelawat dalam dan luar negeri. Antara tempat lawatan terkenal di sekitar Georgetown adalah Padang Kota yang menempatkan kawasan makan dan juga kawasan riadah di sepanjang pantai berhampiran dataran padang kota. Ia menjadi tumpuan para pelawat dari luar dan juga penduduk tempatan untuk berehat atau meluangkan masa pada waktu malam. Anda boleh melihat pelbagai aksi menarik para pengunjung dan penghibur jalanan yang memenuhi kawasan ini yang turut dikunjungi oleh pelbagai lapisan umur masyarakat. Sama juga dengan kawasan-kawasan yang lain, ia adalah lebih sesak pada waktu-waktu musim cuti sekolah dan cuti umum.
 
Itu hanyalah sebahagian kecil mengenai Pulau Pinang dan pastinya anda akan berpeluang menemui pelbagai lagi perkara-pekara menarik semasa lawatan anda yang mungkin mempunyai tujuan tersendiri ke Pulau Pinang. Dalam lawatan yang dilakukan oleh myrokan baru-baru ini, keadaan industri pelancongan adalah pada tahap pemulihan (masih terdapat banyak perniagaan yang belum kembali pulih sepenuhnya). Maka keadaan ini mungkin akan berterusan untuk beberapa ketika sehingga Pulau Pinang kembali semula sepertimana ianya sebelum pandemik yang melumpuhkan industri pelancongan di seluruh dunia.

Jumaat, 3 Disember 2021

Jalan-Jalan ke Kampung Baru, Kuala Lumpur

Pintu gerbang masuk ke Kampung Baru dengan ukiran yang menarik. 

 
Merupakan satu-satunya kawasan perkampungan yang masih bertahan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, Kampung Baru sendiri menjadi bahan tarikan menarik kepada para pengunjung dari dalam dan luar negeri. Selain daripada rumah-rumah dengan senibina lama, Kampung Baru juga terkenal sebagai lokasi makanan terutamanya “Nasi Lemak Kampung Baru”. Terdapat pelbagai kedai makanan di lokasi yang disediakan, begitu juga dengan pengusaha Nasi Lemak yang terdiri daripada beberapa pengusaha yang kebanyakannya begitu dikenali oleh penggemar makanan.

 
Lokasi gerai-gerai makanan ini ditempatkan di lokasi yang strategik, iaitu di sepanjang Jalan Raja Muda Musa di mana kedai-kedai ini lebih mudah untuk dilawati. Terdapat juga lokasi tempat letak kereta - bagi yang datang dengan menaiki kereta. Kawasan ini juga mudah dilawati dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Ia terletak berhampiran dengan Stesyen Monorel Medan Tuanku, atau menggunakan laluan Pintasan Saloma bagi yang datang dari arah KLCC. Dengan menggunakan perkhidmatan awam, anda lebih mudah untuk meneroka kawasan sekitar setelah menikmati makanan-makanan menarik di kawasan Kampung Baru.

Para peniaga amat mementingkan keselamatan para pelanggan.

Terdapat pelbagai jenis lauk untuk dipadankan dengan Nasi Lemak kegemaran anda.

Anda boleh memilih sebarang lauk (untuk tujuan percubaan, di sini jumlah lauk agak banyak).

Walaupun terkenal dengan Nasi Lemak Kampung Baru, sebenarnya terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh dicuba di sini. Terdapat juga Nasi Baryani, Tom Yam, Seafood, Western Foods, Kambing Bakar, Cendol Durian dan sebagainya. Pendek kata, anda perlu mengunjungi kampung baru beberapa kali sekiranya ingin betul-betul menikmati makanan-makanan yang terdapat di sini. Apa yang dapat diperhatikan, terdapat juga restoran makanan kampung Melayu yang menyediakan juadah makanan unik seperti daging salai, rendang dan ulam-ulaman. Ini amat menarik, dan merupakan antara sebab mengapa ia perlu dikunjungi semula.
 
Kawasan sekitar Kampung Baru

Pemandangan persekitaran menarik mengelilingi Kampung Baru.

Slogan menarik, kehilangan satu huruf - harap diganti dengan segera.

Walaupun kebanyakan kedai-kedai makan berada di lokasi Jalan Raja Muda Musa, kawasan-kawasan berhampiran juga turut terdapat restoran-restoran yang unik. Kawasan ini diselenggarakan dengan baik, jadi ia kelihatan teratur serta bersih. Terdapat pintu gerbang menarik yang dibina bagi menyambut pengunjung yang mengunjungi kawasan ini. Pintu gerbang yang dibina dengan senibina ukiran Melayu ini amat cantik dan mengetengahkan lagi keunikan budaya Melayu yang penuh kehalusan yang tersendiri. Terdapat juga paparan tulisan “I @ Syurga Makanan”, yang menandakan tema kawasan yang dikhususkan bagi peniaga-peniaga makanan. Bagaimanapun salah satu huruf kelihatan telah hilang - dan perlu digantikan. Diharap ia akan segera diperbaiki, kerana ianya agak menarik untuk terus dikekalkan.

 
Kawasan ini sememangnya menarik untuk dikunjungi kerana para pengunjung juga masih boleh melihat senibina rumah-rumah kampung Melayu. Samada datang dari arah Stesyen Monorel Medan Tuanku yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti Pusat Membeli Belah Quill City Mall dan juga Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur sebelum melalui Jalan Raja Abdullah yang juga dipenuhi dengan kedai-kedai makanan selain rumah-rumah kampung. Manakala bagi mereka yang ingin melawati Kampung Baru dari arah KLCC pula menggunakan Pintasan Saloma yang juga merupakan satu lagi ikon menarik bagi Kuala Lumpur. Daripada pintasan tersebut anda boleh mengambil laluan dari Jalan Hassan Salleh untuk menuju ke Jalan Raja Muda Musa.

Kampung Baru, merupakan kampung yang masih kekal di tengah bandar Kuala Lumpur.

Bangunan-bangunan yang mengelilingi kawasan Kampung Baru.

Menara Berkembar KLCC tetap menjadi pemandangan yang indah dari Kampung Baru.

Kampung Baru sememangnya telah terkenal sejak sekian lama sebagai kawasan tumpuan peminat makanan. Apa yang menarik, hari ini ia turut diberikan nafas baru dengan pembangunan kawasan sekeliling serta penyelenggaraan yang teratur. Adalah dengan ini diharap ianya akan terus dipelihara bersama bukan sahaja oleh badan-badan kerajaan, malah para peniaga dan juga para pengunjung. Saya mungkin ke sana lagi, untuk mencuba restoran yang lain pula.


Selasa, 20 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Ga Tan

Ga Tan sup ayam untuk membantu penyembuhan.

Ga Tan, terdapat beberapa jenis variasi yang ditemui mengenainya. Namun begitu kesemua variasi tersebut merujuk kepada sup yang diperbuat daripada ayam menggunakan herba tertentu dan baik untuk kesihatan. Ga Tan juga ada yang disediakan atau dinikmati bersama mi dan juga nasi. Jadi, mungkin Ga Tan bukan merupakan menu pilihan, tetapi ia juga merupakan antara makanan penting apatah lagi untuk tujuan menjaga kesihatan.

Ga Tan mungkin lebih dikenali sebagai sup ayam manis dan lebih popular di bahagian utara, menggunakan herba-herba yang memberikan ianya rasa manis juga dikenali sebagai tonik Vietnam. Ia dikatakan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan tak kira samada anda menghidap selesema, demam dan sebagainya. Mungkin ia meningkatkan lagi tahap keupayaan badan untuk melawan penyakit.

Ga tan yang menggunakan ginseng dan disediakan di dalam bekas batu.

Ga tan yang mengandungi sayur-sayuran atau dedaun herba.

Ga tan yang mempunyai kuah gelap.

Antara bahan yang digunakan untuk menyediakan Ga Tan adalah buah ‘American dried fig’, kurma merah, kurma manis, goji berries, longan kering, ‘pei ji’ dan ‘yuk chuck’ yang menyebabkan ga tan jenis ini mempunyai rasa yang manis. Namun begitu bahan-bahan ini juga mempunyai variasi mengikut kesesuaian. Jadi untuk menyediakan ga tan anda perlulah merujuk kepada mereka yang arif mengenai bahan-bahan campurannya.

Kedua ga tan juga merujuk kepada sup ayam (tonik Vietnam) yang disediakan di dalam tin minuman coke yang juga popular di bahagian Utara Vietnam seperti Bandar Hanoi. Ga Tan membawa maksud “ayam luruh dari tulang”. Jadi dari namanya anda mungkin dapat menggambarkan mengenai minuman/ makanan yang dimaksudkan. Namun ia digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit sama juga seperti ga tan yang disediakan di atas.

Ga tan juga biasa disediakan bersama dengan mi.

Ga tan dengan mi.

Menggunakan buah kelapa sebagai bekas.

Ini Ga tan di dalam tin menggunakan ayam muda.

Namun ga tan di dalam tin coke ini mempunyai warna gelap kehijauan dan rasa yang sedikit pahit pula. Mungkin pada variasi ini rasa pahit adalah disebabkan bahan campuran yang digunakan berbeza daripada ga tan seperti di atas. Namun ia merupakan antara minuman popular dengan harga sekitar 40,000 VND (USD 2.50, AUD 3.30) untuk minuman bersaiz tin coke.


Mungkin ia kelihatan agak kurang menyenangkan bagi yang tidak biasa. Jadi mengetahui mengenai resipinya anda boleh cuba menyediakannya sendiri. Ini kerana, masakan ini mungkin mempunyai kebaikan seperti yang dikhabarkan.


Free Download



Keretapi Mewah Jepun, Twilight Express Mizukaze

Twilight Express Mizukaze dengan warna hijau zamrud.

Tahun ini sahaja menyaksikan 2 keretapi mewah baru dilancarkan di Jepun. Satu daripadanya adalah Train Suite Shiki-Shima dari East Japan Railway Co. yang baru sahaja dilancarkan pada 1 Mei 2017 yang lepas. Kini giliran Twilight Express Mizukaze pula memulakan perjalanan pertamanya pada 18 Jun 2017. Keretapi yang dikendalikan oleh West Japan Railway Co. mempunyai ciri-ciri unik seperti Train Suite Shiki-Shima.

Train yang pertama berlepas dari Stesen Osaka pada pagi Sabtu dengan upacara perasmian pertamanya yang dilakukan oleh kakitangan JR West. Sedikit berbeza train ini mempunyai warna hijau gelap (emerald-green) dan bentuk hadapan yang agak unik.

Tingkap ruang pemerhati yang luas amat menarik.

Laluan kawasan pergunungan di Barat Jepun.

Keretapi ini akan membawa 30 orang penumpang pada satu-satu masa menggunakan 10 gerabaknya. Daripada 10 gerabak tersebut 2 daripadanya adalah gerabak pemerhati (observation car) yang berada di hadapan dan di belakang keretapi tersebut selain gerabak lounge dan juga gerabak untuk makan malam (dining).

Para penumpang ditawarkan untuk perjalanan 2 hari 1 malam, atau 3 hari 2 malam di sepanjang perjalanan tersebut yang akan melewati kawasan Osaka, kawasan pantai barat Jepun dan juga Gunung Daison. Para penumpang akan berhenti untuk tujuan lawatan pada setiap hari samada di Word Heritage Site Itsukushima Shrine untuk melihat upacara dan persembahan muzik serta tarian; selain itu mungkin juga melawati Kurashiki’s Ohara Museum of Art; beserta lawatan ke kawasan Tottori Sand Dunes yang juga merupakan salah satu daripada UNESCO Global Geopark

Bahagian bar yang menyediakan suasana rehat.

Ruang makan untuk menikmati hidangan istimewa.

Keretapi ini mempunyai ciri-ciri rekaan yang jauh berbeza daripada Train Suite Shiki-Shima namun ia tetap merupakan hasil reka bentuk oleh pereka-pereka tempatan seperti Tetsuo Fukuda (福田 哲夫) dan juga arkitek dan pereka dalaman Kazuya Ura ( 一也?). Setiap gerabak mempunyai keunikan tersendiri untuk membolehkan penumpang menikmati sepenuhnya pengalaman ketika menyertai perjalanan bersama train ini. Setiap gerabak mempunyai tingkap yang luas sehingga ke aras bumbungnya membolehkan para penumpang menyaksikan pemandangan luaran yang menarik.

Begitu juga dengan pilihan hidangan yang akan ditawarkan kepada para penumpang juga adalah merupakan dalam pemerhatian oleh kolumnis makanan iaitu Takeshi Kadokami (門上 武司), manakala ianya resipinya pula direka oleh chef Yoshihiro Murata (村田 吉弘), pemilik Restoran Kikuoi di Kyoto dan Hajime Yoneda (米田 ), iaitu pemilik Restoran Hajime.

Ruang tidur bilik utama yang amat menarik.

Bilik mandi bilik utama .

Tempahan untuk keretapi ini juga telah penuh sehingga November nanti walaupun harga tempahan adalah menjangkau sehingga ¥ 270,000 ke ¥ 750,000 (USD 2,400 ke USD 6,700) seorang. Selain keretapi ini dan juga Train Suite Shiki-Shima, terdapat satu lagi train mewah yang beroperasi di Jepun sejak 2014 lagi iaitu Kyushu Seven Stars yang dikendalikan oleh Kyushu Railway Company (JR Kyushu).


Itu merupakan satu lagi kisah yang menarik mengenai pilihan keretapi mewah yang disediakan di Jepun. Seperti yang telah dikongsikan sebelum ini, ia menunjukkan betapa pengguna amat mementingkan kualiti yang setimpal dengan wang yang mereka perlu keluarkan. Sekiranya anda sedia menyediakan yang terbaik, maka ramai pula yang menghargainya.


Free Download



Arkib Blog