Memaparkan catatan dengan label komputer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label komputer. Papar semua catatan

Khamis, 25 Februari 2016

Penyimpan Data Terbesar 5D di Dalam Disk Kecil 360TB

5D disc, yang dihasilkan oleh ORC, University of Southampton.

Sebuah disk simpanan terkecil telah dihasilkan yang mampu menyimpan data bukan sahaja berkapasiti 360 TB, malah mampu bertahan sehingga 13.8 billion tahun. Disk yang dihasilkan oleh para pengkaji dari University of Southampton itu bersaiz 5D (five-dimensional) di dalam bentuk kaca yang bersamaan dengan 10 juta disk Blu-ray. Ia bakal mejadi satu lagi “Rosetta Stone”, yang akan ditinggalkan untuk rujukan generasi akan datang.

Menggunakan kaca yang dibentuk secara nano (nanostructured), bahagian  Optoelectronics Research Centre (ORC) di universiti tresebut berjaya merakam dan mencapai semula data tersebut melalui penulisan laser sepantas fempto saat (femtosecond): 10−15 atau 1/1,000,000,000,000,000 saat.

Selain daripada berkemampuan untuk menyimpan sehingga 360 TB data, ia juga mampu bertahan sehingga suhu yang tinggi iaitu 1,000°C – manakala pada suhu biasa ia akan mampu bertahan untuk jangka waktu yang lebih lama (13.8 billion tahun pada 190°C ).

Jadi bagaimana nama 5D diberikan kepada disk ini? Ia adalah kerana susunan tiga-dimensi setiap titik di dalam lapisan, manakala selebihnya adalah berdasarkan kepada saiz dan orentasi titik tersebut. Struktur nano ini boleh dibaca menggunakan mikroskop optik seiring dengan polarizer (penapis yang direka untuk menapis polarisasi cahaya).


5D disc yang menyimpan data UDHR.

"Memeory crystal" yang digunakan di dalam filem Superman.

Proses menulis data pada disk (lihat video).

Teknologi ini amat membantu bagi institusi-institusi besar yang memerlukan simpanan yang besar dan tahan lama seperti arkib negara, muzium, perpustakaan, pusat simpanan data, dan juga syarikat-syarikat yang meyimpan data dalam saiz besar seperti Google, Apple dan Facebook.

Teknologi ini telah mula diuji pada tahun 2013, apabila 300 kb maklumat fail teks digital berjaya disimpan di dalam 5D.

Buat masa ini beberapa teks penting dalam sejarah manusia telah berjaya disimpan di dalam disk ini termasuklah Universal Declaration of Human Rights (UDHR), Newton’s Opticks, Magna Carta dan juga Kings James Bible. Salinan file UDHR yang disimpan di dalam 5D ini kemudiannya telahpun diserahkan kepada UNESSCO oleh ORC pada majlis International Year of Light (IYL) yang diadakan di Mexico.

Diberi gelaran sebagai ‘Superman memory crystal’, bersempena dengan “memory crystals” yang digunakan di dalam cerita Superman, data disimpan secara ‘self-assembled’ di dalam struktur nano dibina di dalam penyatuan quartz.


Ia di dalam proses mencari rakan industri dalam usaha mengkormersilkan teknologi ini untuk digunakan dengan lebih meluas. Sama-sama kita nantikan.






Free Download



Sabtu, 16 Januari 2016

Dr. Nicolas Wöhrl Mencipta Berlian Sintetik Demi Quantum Computer

Berlian merupakan bahan penting untuk quantum computer.


Dunia saintis amat menakjubkan kerana adakalanya untuk mendapatkan sesuatu para saintis perlu memikirkan bagaimanakah ia perlu dihasilkan. Tidak semua perkara yang diingini boleh didapati dengan mudah, dan kebanyakannya pula perlu dihasilkan sendiri kerana masih belum dicipta. Jadi untuk menjadi seorang saintis yang berjaya, adalah kemahiran untuk mengadakan sesuatu yang masih belum ada!...

‘Quatum Computer’ merupakan satu impian para penyelidik kerana kebolehannya untuk menyelesaikan masalah dengan lebih pantas berbanding dengan komputer ‘binary’ biasa. Namun begitu untuk menghasilkan processor yang berkemampuan untuk menghasilkan ciri-ciri yang diingini hanya satu bahan yang didapati sesuai – iaitu berlian.

Berbalik kepada asal mengapa keperluan untuk mereka satu kaedah baru amat penting adalah, keupayaan saiz transistor yang dimuatkan ke dalam cip silicon hampir mencapai tahap maksimum. Walaupun menurut Moore's law di mana kepadatan transistor di dalam cip silicon berganda setiap dua tahun, namun ia mempunyai tahap tepu – iaitu ia tidak akan mencapai saiz yang lebih kecil daripada satu atom. Maka di sinilah, kaedah sistem komputer perlu berpindah kepada quatum computer yang menggunakan ‘quantum bits’ (qubits).


Berlian yang dihasilkan dengan teknik penghabluran carbon.

Bidang mengenai quantum computer mula diperkenalkan pada tahun 1980 oleh Paul Benioff dan juga Yuri Manin, Richard Feynman pada tahun 1982, dan David Deutsch pada tahun 1985. Walaubagaimapun sehinga pada tahun 2016, penghasilan quantum computer masih dikira sebagai tahap permulaan. Namun begitu ia mendapat perhatian yang amat serius daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan dan tentera untuk pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan.

Apakah yang menyebabkan ianya suatu yang sukar? Kesukarannya adalah untuk mendapatkan bahan yang mampu untuk menyimpan dan mempergunakan quantum bits (qubits). Oleh kerana keadaan quatum mudah berubah dan menjadikan ia sukar dikawal, cabaran yang paling utama adalah untuk mendapatkan bahan yang boleh menyimpan qubits untuk satu jangkamasa yang lama. Kemampuan ini hanya boleh dibekalkan oleh berlian.

Dari sinilah Dr. Nicolas Wöhrl iaitu seorang professor dari University of Duisburg-Essen dari bidang fizik mencari kaedah untuk menghasilkan berlian secara sintetik. Dua kaedah yang digunakan adalah termasuk melalui kaedah penghasilan yang menyamai bagaimana berlian dihasilkan secara semulajadi. Penghasilan secara begini bagaimanapun menghasilkan berlian yang mepunyai warna disebabkan oleh kehadiran atom nitrogen yang tinggi. Jadi kaedah yang digunakan seterusnya adalah secara penyusunan atom carbon untuk membentuk kristal berlian.

Amat menarik kerana ia menghasilkan berlian yang boleh digunakan untuk menyimpan data qubits seperti yang diperlukan untuk quatum computer. Dr. Nicolas Wöhrl bukan sahaja menghasilkan berlian untuk quantum computer pada asalnya, namun ia merupakan salah satu bahan yang paling sesuai untuk tujuan ini.

Penghasilan quantum computer amat penting bagi membolehkan manusia terus menerokai lebih banyak bidang yang masih belum mampu diterokai oleh teknologi hari ini antaranya termasuk teleportation, astronomi, fizik, kimia dan juga untuk tujuan keselamatan sistem komputer itu sendiri seperti meng-encrypt kod keselamatan peribadi atau maklumat sulit. Jadi ia satu kajian yang perlu diteruskan.


D-Wave antara quantum computer terawal.

Pada December 2015 NASA mendedahkan quantum computer pertama dengan harga USD15 juta yang dihasilkan oleh syarikat perkomputeran Canada iaitu D-Wave di Quantum Artificial Intelligence Laboratory. Peralatan tersebut adalah dibeli pada tahun 2013 dari gabungan bersama Google dan Universities Space Research Association.


Jadi apa yang menarik di sini adalah dalam mencipta sesuatu adakalanya anda perlu mencipta suatu bahan lain terlebih dahulu, dan ianya juga tidak kurang menarik. Sekalipun quantum computer masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan, sekurang-kurangnya berlian tersebut masih boleh digunakan untuk barangan perhiasan!.



Free Download



Khamis, 14 Januari 2016

Sejarah Teknologi Storan

Pita magnetik merupakan kaedah penyimpanan data terawal.

Teknologi simpanan digital adalah berkembang secara perlahan sejak tahun 1920-an lagi. Walaupun hari ini kita mampu menyimpan fail dalam sebuah memori kad yang kecil, suatu masa dahulu ia memerlukan ruang yang amat besar untuk menghasilkannya. Jadi sejarah perkembangan storan ini sedikit sebanyak dapat memberi kita gambaran bagaimana teknologi simpanan digital juga penting dalam pembangunan dunia digital.

1928 Magnetic Tape

Seorang jurutera German Fritz Pfleumer, mengpatent pita magnetic pada tahun 1928. Rekaan ini adalah berdasarkan rekaan wayar magnetik rekaan Vlademar Poulsen

1932 Magnetic Drum

Pereka Autria, G. Taushek mencipta ‘magnetic drum’ pada tahun 1932. Rekaan ini pula adalah berdasarkan kepada penemuan oleh Fritz Pfleumer.

1946 Williams Tube


Williams Tube.

Seorang professor iaitu Fredrick C. Williams dan rakannya menghasilkan ‘random access computer memory’ yang pertama di University of Manchester di United Kingdom. Beliau menggunakan ‘electrostatic cathode-ray tubes’ yang disusun secara selari untuk menghasilkan simpanan digital. Simpanan sebanyak 1024 bits data dihasilkan pada tahun 1948.

Selectron Tube

The Radio Corporation of America (RCA) menghasilkan ‘Selectron tube’ pada tahun 1948, merupakan salah satu bentuk memori komputer terawal yang menyerupai rekabentuk oleh Williams-Kilburn.

1949 Delay Line Memory

‘Delay line memory’ mengandungi bentuk maklumat yang berhubung membentuk laluan lengah. Satu gelung tertutup membolehkan pusingan maklumat pada hujung laluan lengahan yang disambungkan pada permulaan litar penguat. Fungsi ini menyamai seperti pengulangan nombor telefon daripada direktori sehingga salah satu nombor di dail.

Magnetic Core

‘Magnetic core memory’ juga dikenali sebagai ‘ferrite-core memory’, menggunakan cincin magnetik kecil diperbuat daripada seramik untuk menyimpan data daripada kutub medan magnet yang dikandunginya.

1956 Hard disk
‘Hard disk’ atau cakera keras menggunakan plat berputar yang menyimpan dan mengembalikan data yang disimpan dalam bentuk bit data digital daripada permukaan plat magnetik.

1963 Music tape


Antara penyimpanan data popular suatu masa dahulu.

Philips memperkenalkan pita kaset pada tahun 1963. Pada mulanya ia adalah direka untuk digunakan pada mesin; bagaimanapun ia kemudiaannya lebih popular digunakan dalam rakaman muzik. Pada tahun 1979, Sony's Walkman memperhebatkan lagi penggunaan pita ini sebagai pita rakaman audio yang meluas dan popular.

1966 DRAM (PDF)

Pada 1966, Robert H. Dennard mereka sel DRAM. Dynamic Random Access Memory atau (DRAM) di mana satu sel mengandungi satu transistor. DRAM sel menyimpan satu bit data sebagai cas di dalam litar. Sel-sel DRAM ini mempertingkatkan kepadatan keseluruhan memori.

1968 Twistor Memory

‘Twistor memory’ adalah hasil daripada Bell Labs dengan membungkus pita disekeliling wayar yang mengalirkan arus elektrik. Bell Labs menggunakan ‘Twistor tape’ antara 1968 sehingga pertengahan 1970-an sebelum ia ditukar kepada chip RAM.

1970 Bubble Memory

Andrew Bobeck mereka ‘Bubble Memory’ pada tahun 1970, di mana lapisan magnet nipis digunakan untuk menyimpan satu bit data pada keluasan kecil kawasan yang dimagnetikkan seperti ‘bubble’ (buih/belon). Penghasilan ‘Twistor memory’ membolehkan beliau mereka ‘Bubble Memory’.

1971 8" Floppy

IBM memulakan penghasilan sistem yang murah untuk memuatkan ‘microcode’ ke dalam System/370 mainframes. Dengan ini terhasillah 8-inch floppy. Ia merupakan simpanan mudah bawa diperbuat daripada filem magnetik dipermukaan plastik, untuk memudahkan dan penyimpanan data yang pantas.

1976 5.25" Floppy

5.25-inch floppy disk dihasilkan pada tahun 1976 oleh Allan Shugart. Penghasilan ini adalah kerana 8-inch floppy adalah terlalu besar untuk kebanyakan komputer desktop. 5.25-inch floppy ini mempunyai ruang penyimpanan sehingga 110 kolibyte. Ia juga adalah lebih murah dan pantas berbanding floppy sebelumnya.

1980 CD

Pada 1960, James T. Russel menyarankan untuk menggunakan cahaya untuk merakam dan memainkan muzik. Ini menyebabkan beliau mencipta rakaman dan main semula ‘optical digital television’ pada tahun 1970; bagaimanapun ciptaan ini kurang mendapat perhatian. Pada tahun 1975 wkil Philips menziarahi makmal Russel dan membayar jutaan wang untuk beliau menghasilkan ‘compact disc’ (CD). Pada 1980, Russel menyiapkan projek tersebut dan memberikannya kepada Sony.

1981 3.5" Floppy

‘3.5-inch floppy disk’ mempunyai kelebihan berbanding floppy sebelumnya. Ia dilengkapi dengan pelindung logam yang mengelakkan ia daripada mudah rosak.

1984 CD Rom

CD-ROM atau ‘Compact Disk Read-Only Memory’ digunakan sama seperti ‘audio compact disks’ untuk menyimpan maklumat digital. CD-ROM mengandungi lurah-lurah kecil maklumat digital pada permukaan bawah cakera plastik yang membolehkan lebih banyak data disimpan.

1987 DAT

Pada 1987, Sony memperkenalkan Digital Audio Tape (DAT), untuk membuat rakaman dan memainkan data. Ia mengandungi pita audio pada permukaan 4 millimeter pita magnetik didalam bekas yang tertutup.

1989 DDS

Pada 1989, Sony dan Hewlett Packard memperkenalkan format Digital Data Storage (DDS)yang membolehkan data komputer disimpan didalam pita magnetik. Teknologi Digital Data Storage (DDS) adalah hasil daripada teknologi Digital Audio Tape (DAT).

1990 MOD (PDF)

Magneto-Optical disc terhasil pada tahun 1990. Disk optik ini menggunakan gabungan teknologi optik dan magnetik untuk menyimpan dan mencapai semula maklumat  digital. Drive istimewa ‘magneto-optical’ diperlukan untuk membaca semula maklumat dalam disk bersaiz 3.5 ke 5.25 inch.

1992 MiniDisc

MiniDisk juga mampu untuk menyimpan segala jenis maklumat digital. Bagaimanapun ia lebih popular digunakan untuk audio. Sony memperkenalkan mini disc pada tahun 1991. Pada tahun 1992 pula Philips memperkenalkan Digital Compact Cassette System (DCC). MiniDisk dicipta untuk menukarkan teknologi ‘audio cassette’ sebelum ianya hilang pada tahun 1996.

1993 DLT (PDF)

Digital Equipment Corporation mecipta ‘Digital Linear Tape’ (DLT), sebagai alternatif kepada teknologi pita magnetik untuk digunakan sebagai penyimpanan komputer.

1994 Compact Flash

CompactFlash (CF), atau juga dikenali sebagai “flash drives”, menggunakan ‘flash memory’ di dalam cakera tertutup untuk menyimpan maklumat digital. Peralatan CF digunakan pada kamera digital dan komputer untuk menyimpan maklumat digital.

Zip

Pemacu Zip biasa digunakan pada tahun 1994 untuk simpanan fail digital. Ia merupakan disk mudah alih yang diperkenalkan oleh Iomega.

1995 DVD

DVD pula merupakan generasi seterusnya bagi teknologi simpanan disk. DVD adalah lebih besar dan pantas untuk penyimpanan data multimedia.

SmartMedia

Toshiba pula memperkenalkan SmartMedia, yang juga merupakan ‘flash memory card’, pada musim panas 1995 untuk bersaing dengan MiniCard dan SanDisk.

Phasewriter Dual

Phasewriter Dual (PD) merupakan peralatan pertama yang menggunakan teknologi ‘phase-change’ dalam penyimpanan maklumat digital. Panasonic memperkenalkan alatan Phasewriter Dual pada tahun 1995. Ia kemudiannya digantikan dengan CD-ROM dan DVD.

CD-RW

‘Compact Disc Rewritable disc’ adalah singkatan bagi CD-RW, merupakan versi CD-ROM yang boleh ditulis semula di atas data sebelumnya.

1997 Multimedia Card


MMC Card digunakan pada peralatan digital.

Multimedia Card (MMC) menggunakan standard ‘flash memory card’ untuk menyimpan data digital. Ia diperkenalkanoleh Siemen dan SanDisk pada 1997.

1999 Microdrive

Merupakan ‘USB Flash Drive’ menggunakan ‘NAND-type flash memory’ untuk penyimpanan data. USB Flash Drive akan dipadangkan kepada antaramuka USP pada komputer standard.

SD Card

Memori format pada Secure Digital (SD) menggunakan ‘DRM encryption’ untuk membolehkan pemindahan fail yang lebih pantas. SD card standard berukuran 32 mm X 32 mm X 2.1 mm digunakan pada peralatan media digital mudah alih.

2003 Blu Ray (PDF)

Blu-Ray adalah generasi berikutnya ‘optical disc’ (cakera optik), untuk menyimpan maklumat video (HD) dan juga sebagai simpanan High Density.  Blu-Ray mendapat namanya daripada ‘blue laser’ (laser biru) yang membolehkan lebih banyak data disimpan berbanding DVD biasa. Pesaingnya adalah HD-DVD.

xD-Picture Card

Olympus dan Fujifilm memperkenalkan xD-Picture Card pada 2002, yang khas digunakan pada peralatan kamera Olympus dan Fujifilm.

2004 WMV-HD

Windows Media High Definition Video (WMV-HD) adalah untuk high definition video dikhaskan bagi Microsoft Media Video dengan ‘nine codecs’. WMV-D adalah sesuai digunakan pada komputer dengan format Windows Vista, Microsoft Windows XP. Tambahan lagi WMV-D juga turut sesuai dengan Xbox-360 dan Sony's PlayStation 3.

HD-DVD


HD-DVD adalah pesaing kepada Blue-ray.

High-Density Digital Versatile Disc (HD-DVD), merupakan format media digital optik, yang menggunakan saiz sama seperti Blu-Ray. Ianya adalah diperkenalkan oleh Toshiba, NEC, and Sanyo.

Holographic (PDF)


Holographic memory teknologi akan datang.

Penyimpanan komputer berikutnya adalah dalam bentuk teknologi ‘holographic’. Memori ‘holographic’ boleh menyimpan data dengan kepadatan tinggi dalam bentuk kristal dan juga ‘photo-polymers’. Kelebihannya adalah pada kebolehannya menyimpan jumlah media yang dirakam berbanding hanya pada permukaan cakera. Antara lain ia membolehkan aspek 3D yang membolehkan fenomena jumlah Bragg untuk berlaku.

Untuk membolehkan lebih banyak peralatan canggih masa depan, teknologi storan akan terus berkembang. Suatu masa nanti lebih banyak maklumat akan boleh disimpan untuk satu saiz yang amat kecil. Mungkin kita tidak dapat menggambarkannya dengan jelas namun perkara ini perlu berlaku untuk membolehkan dunia teknologi terus berubah.



Free Download



Rabu, 18 Mac 2015

PC ‘Open Source’, Murah dan Mudah Dipelbagaikan

Raspberry Pi Board
Raspberry Pi, komputer 'Open Souce' yang terpaling murah.

Komputer peribadi atau lebih dikenali sebagai Personal Computer atau PC mungkin menjadi sebahagian keperluan kebanyakan kita untuk menjalankan urusan harian mahupun keperluan hiburan. Kepesatan dunia penghasilan chip pada kos yang lebih murah membolehkan PC dihasilkan pada kos yang lebih murah berbading dahulunya.

PC ‘Open Source’, iaitu komputer peribadi yang dihasilkan tanpa sebarang ‘operating system’ seperti Microsoft Windows ataupun Mac. Jadi ia boleh digunakan untuk sebarang ‘operating system’ mengikut pilihan pengguna untuk menyempurnakan pelbagai keperluan termasuk menjalankan mesin mahupun mereka bentuk produk baru.

PC – PC ini bukan sahaja murah malah ia amat sesuai untuk digunakan bagi tujuan pendidikan, malah ia digunakan untuk tujuan mempelajari teknik-teknik pemprogramman komputer di negara seperti United Kingdom yang terkenal dengan Raspberry Pi. Terdapat banyak projek-projek yang dikongsi oleh pengemar-pengemar hobi ini di laman web. Bagi mengenali PC-PC ‘Open Source’ ini, berikut adalah beberapa jenis model yang boleh didapati secara online.

Raspberry Pi

Merupakan antara PC yang paling popular kerana harganya yang paling murah dan mudah dikendalikan. Bersesuaian untuk mengendlikan Android ia biasa digunakan oleh programmer bagi menguji aplikasi untuk telefon pintar dan tablet. Banyak projek yang boleh dihasilkan menggunakan Raspberry Pi termasuklah ‘jukeboxes’, kamera digital, media station, mesin kopi, mini robot dan sebagainya.

Raspberry Pi diperkenalkan dengan 2 model iaitu model A berharga USD25 dan Model B USD35. Perkakasan utamanya termasuklah chip CPU Broadcom dengan kelajuan 700MHz berdasarkan rekaan ARM11. Pemprosesan videonya mampu mengendalikan kandungan multimedia sehingga 1080p dan dilengkapi dengan port HDMI menjadikan ianya amat sesuai sebagai server media.
Papan utama Raspberry Pi ini turut menyediakan ‘slot’ Secure Digital dan MultimediaCard untuk tambahan ruang simpanan. Perbezaan ketara adalah Model A mempunyai RAM bersaiz 256MB dan satu port USB, manakala Model B mempunyai 512MB RAM, port ethernet dan dua port USB.

BeagleBoard

BeagleBoard
BeagleBoard lebih kuat berbanding Raspberry Pi.

Sekiranya anda ingin memilih PC yang mempunyai keupayaan yang lebih tinggi berbanding Raspberry Pi, BeagleBoard menyediakan rangkaian yang bermula dengan harga USD45. Selain daripada boleh dikendalikan menggunakan Android, BeagleBoard dan BeagleBone turut mengendalikan variasi Linux seperti Ubuntu, ArchMobile, Gentoo and Angstrom.

BeagleBoard juga boleh digunakan mengikut kesesuaian kreativiti pengguna dan boleh digunakan untuk jam penggera radio Wi-Fi, kereta kawalan berkuasa solar, komputer di dalam kereta dan sebagainya. Sama juga dengan komputer-komputer ‘Open Source’ yang lain senarai projek ini biasanya terdapat banyak disedikan di laman web kelab PC-PC tersebut.

Sesuai dengan harganya, BeagleBoard menggunakan ARM Cortex-A8 processor daripada Texas Instrument, 3D graphics accelerator dan port USB. Lain-lain perkakasan termasuklah 512MB RAM DDR3 beserta 2GB memori dan soket HDMI dan juga ethernet. Harga BeagleBoard terpaling mahal adalah USD149 iaitu BeagleBoard-XM menyediakan lebih kuasa dengan 1GHz Cortex-A8 processor dengan lebih soket USB iaitu 4, soket ethernet dan juga slot MMC/SD.

PandaBoard ES

PandaBoard ES
PandaBoard ES menyediakan lebih ciri-ciri tambahan.

Merupakan antara PC ‘Open Source’ yang terpantas setakat ini dengan dilengkapi oleh processor daripada Texas Instrument ‘dual-core’ OMAP4460 dengan 1.2GHz ARM Cortex-A9 CPU. Walaupun mempunyai harga yang agak mahal iaitu USD182, ia turut menyediakan pelbagai kelebihan yang tidak terdapat pada PC-PC ‘Open Source’ yang lain.

Antara ciri yang membuatkan PandaBoard lebih istimewa adalah ‘Imagination Technologies’ PowerVR SGX540 pemprosesan graphic yang digunakan untuk menghasilkan gambar 1080p pada telefon pintar dan juga tablet. Ia juga turut dilengkapi dengan Wi-Fi dan Bluetooth selain menyediakan 1GB DDR2 DRAM, komponen sisipan kamera, dan soket-soket SD, USB dan HDMI.

MinnowBoard

MinnowBoard
MinnowBoard yang menggunakan chip Intel x86.

MinnowBoard merupakan PC ‘Open Source’ pertama yang dilengkapi dengan Intel x86 processor. Namun begitu pada harga USD200 ia masih agak mahal berbanding PC-PC lain yang menggunakan CPU ARM.

Walaubagaimanapun MinnowBoard dengan pemprosesan 1GHz Intel Atom E640 menyediakan lebih kuasa berbanding ARM processor. Selain daripada dilengkapi dengan soket Gigabit ethernet dan SATA untuk menyokong keupayaan penyimpanan yang lebih tinggi. Ia juga dilengkapi dengan soket HDMI dan micro-SD untuk penambahan simpanan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai MinnowBoard ini pengguna perlulah mencari lebih maklumat mengenainya kerana MinnowBoard mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakan ianya daripada PC-PC ‘Open Source’ yang lain.


Bagi anda yang mahu berjinak-jinak dengan dunia PC ‘Open Source’ ini adalah digalakkan untuk mencuba Raspberry Pi kerana ianya jauh lebih murah dan mudah untuk diselenggarakan. Sekiranya dimanfaatkan dengan betul, ia mungkin dapat membantu anda untuk menyediakan sendiri sebuah PC yang boleh digunakan untuk melayari internet dan menikmati hiburan pada harga yang jauh lebih murah berbanding sebuah telefon pintar berjenama. 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 17 Mac 2015

Berkenalan Dengan Jutawan Programmer Termuda Dari UK


Nick D'Aloisio with Summly
Nick D'Aloisio bersama Summly semasa berusia 17 tahun.

Nick D’Aloisio bukanlah remaja yang pertama mencipta nama melalaui dunia perkomputeran namun kejayaan beliau merupakan kejayaan terbesar apabila berjaya menjual hasil ciptaan beliau kepada syarikat internet gergasi seperti Yahoo pada harga USD30 juta yang menjadikan beliau jutawan termuda hasil dari titik peluhnya sendiri.

Seperti yang kita sedia maklum mencipta satu kejayaan besar bukanlah mudah. Menjalani satu perjalanan hanya akan terasa manisnya saat tiba ke sesuatu destinasi sehingga susah payah menempuh perjalanan tersebut tidak lagi dirasai. Namun begitu apa yang jelas remaja ini telahpun memilih satu minat yang amat memberikan keberuntungan kepada dirinya sendiri.

Dilahirkan pada 1 November, 1995 di England dari sebuah keluarga yang berasal dari Australia. Dimana mereka kemudian berpindah semula sejurus selepas D’Alosio dilahirkan. Keluarga ini kemudiannya kembali semula ke United Kingdom apabila D’Alosio mencapai umur tujuh tahun. Beliau kemudiannya meneruskan kehidupan dan berpendidikan di sana.

Nick D'Aloisio with Trimit
Nick D'Aloisio berusia 15 tahun bersama Trimit.

Merujuk kepada kejayaan beliau di dalam dunia pemprogramman D’Alosio menjelaskan beliau mempelajari dunia pemprogramman selama 12 tahun. Dengan menjelaskan dirinya sebagai ‘asli internet’ (native internet) iaitu lahir ketika internet telah wujud dan tidak tahu bagaimana dunia tanpa internet. Nick juga menjelaskan – “beliau letih dengan jumlah carian yang terlalu besar di internet, jadi memutuskan mencipta satu algoritma untuk memotong teks yang kemudiannya membawa idea algoritma untuk memadatkan isi berita”. Idea beliau ini kemudiannya mendapat perhatian daripada syarikat gergasi Yahoo.

Kejayaannya bermula apabila dapat menghasilkan Trimit sebuah aplikasi iOS pada Mac 2011, yang menggunakan perkakasan analitikal untuk memadatkan isi kandungan teks kepada 1000, 500, atau 140 – huruf ringkasan teks. Aplikasi ini turut mendapat perhatian Apple yang menyenaraikan Trimit sebagai salah sebuah aplikasi yang perlu diberikan tumpuan di dalam App Store. Malah ia turut menarik minat billionaire terkenal Hong Kong iaitu Li Ka-shing yang menyediakan dana sebanyak USD300,000 sebagai modal teroka (venture capital). Dengan mengambil kira pelbagai komen pendapat daripada aplikasi Trimit ianya kemudian diperbaik pulih, dilancarkan semula pada 2011 sebagai Summly.

Summly App
Aplikasi Summly untuk iOS.

Summly dapat menyelesaikan masalah bagaimana berita dibentangkan di dalam telefon pintar, dengan versi pengenalannya dimuat turun lebih daripada 200,000 pengguna. Sehingga November, 2012 D’Aloisio menerima USD1,000,000 modal teroka (venture funding) baru daripada beberapa celebriti seperti Yoko Ono, Ashton Kucher dan Stephen Fry, sebagai tambahan daripada usahawan Hong Kong, Li Ka-shing. Sehingga pada Mac, 2013 Summly dijual kepada Yahoo pada harga USD30 juta.


Nick D'Aloisio in London
D'Aloisio di Central Hall Westminster, London 2012, .

Itu adalah sedikit sebanyak perkara menarik yang anda ketahui mengenai remaja yang menjadi jutawan pada usia belasan tahun ini hanya dengan pemprogramman komputer. Walaupun secara ringkasnya ia kelihatan bagaikan satu perjalanan mudah, anda perlulah membuat carian sendiri bagaimana D’Aloisio melakukan usaha beliau membangunkan Summly sehingga mendapat perhatian dunia. Terlalu banyak perkara yang perlu diambil kira selain daripada idea yang baik sahaja. 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Ahad, 15 Mac 2015

Pengagihan Sejuta Mikro Komputer Secara Percuma Oleh BBC

BBC Micro
BBC Micro yang digunakan pada 1980-an.


Hari ini komputer menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan seharian kita. Samada daripda komputer berbentuk Komputer Peribadi (personal computer) di rumah sehinggalah kepada telefon pintar (smart phone) yang digunakan oleh sebahagian besar daripada kita. Ramai yang biasa menggunkan peralatan komputer/berkomputer namun dalam masa yang sama tidak ramai yang boleh menjadikan ianya berfungsi sebagaimana dikehendaki iaitu melalui pemprograman (programming).

Baru-baru ini BBC mengumumkan akan mengagihkan sehingga sejuta unit mikro-komputer untuk kanak-kanak yang berumur 11 tahun di serata UK bagi memastikan mereka mendapat pendedahan kepada dunia pemprograman. Dianggarkan jumlah keperluan pemprogram (programmer) akan terus meningkat di masa-masa akan datang dan jumlah mereka yang berkemampuan untuk tujuan ini semakin berkurangan.

Raspberry Pi
Raspberry Pi, merupakan komputer mini pada kos yang berpatutan.

Ini bukanlah kali pertama BBC melakukan usaha seperti ini malah kali pertama ianya dilakukan adalah padatahun 1980 dengan projek yang dikenali sebagai BBC Computer Literacy Project dengan mewujudkan sebuah rancangan yang dikenali sebagai The Computer Programme. Melalui syarikat Acorn Computers sebuah komputer baru direka dan dinamakan sebagai BBC Micro yang digunakan dari tahun 1981 sehinggalah pada tahun 1994.

Oleh kerana komputer ini mempunyai kelajuan yang amat terhad – sesuai untuk digunkan untuk teknologi perkomputeran pada awal pengenalan komputer, ianya digunakan untuk tujuan pemprograman sahaja. Malah BBC turut mempunyai bahasa pengatucaaran sendiri yang dikenali sebagai BBC Basic. Pada masa tersebut antara bahasa pengatucaraan yang biasa digunakan adalah Microsoft Basic, ISO Pascal, S-Pascal, BCPL, Forth, LISP, Logo, Turtle Graphics, Micro-PROLOG, COMAL, Microfocus CIS COBOL.

Arduino
Arduino untuk fungsi pemprograman mudah.

Berbalik kita kepada projek yang akan dilakukan oleh BBC kali ini agak jauh berbeza. Hari ini komputer mempunyai keupayaan yang lebih tinggi disamping kos penghasilan yang jauh lebih murah. Namun begitu keperluan kepakaran pemprogram (programmer) juga semakin berkurangan untuk mengolah kemampuan komputer/peralatan berkuasa tinggi di masa-masa akan datang.

Kali ini BBC akan bekerjasama dengan lebih banyak organisasi bagi memastikan komputer yang akan dibekalkan nanti mampu berdaya saing untuk keperluan pasaran dalam jangka panjang. Antara organisasi terlibat termasuklah ARM, British Computing Society, Freescale, Google, Microsoft dan Samsung untuk mewujudkan satu lagi revolusi media digital. Bersama-sama dengan organisasi-organisasi ini sebuah peranti baru direka khas yang dikenali sebagai Mirco Bit untuk membantu golongan muda mempelajari coding dan memprogram basics.

Galileo from Intel
Galileo seperti juga Raspberry tetapi lebih mahal.

Walaupun peralatan sebenar masih belum lagi dikeluarkan, namun BBC telah mengumunkan bahawa peralatan tersebut akan lebih menyerupai komputer Pi yang mudah dipadankan dengan peralatan-peralatan lain seperti Arduino, Galileo, Kano dan Raspberry Pi (juga boleh dipadankan dengan Micro Bit yang lain). Ia akan dilancarkan menjelang September ini dan bersesuaian dengan beberapa perisian pemprogramman seperti Touch Develop, Python dan juga C++.

Sejajar dengan ini BBC turut akan mengadakan kursus khas untuk melengkapkan latihan yang akan membantu para pelajar mempelajari pemprograman dengan lebih berkesan melalui pejabatnya di Birmingham dan seterusnya ke seluruh negara.

Itu adalah antara beberapa usaha negara maju seperti UK yang sememangnya sudah terkenal dengan kepesatan teknologi. Manakala negara-negara lain seperti India juga tidak ketinggalan dalam usaha membangunkan tenaga-tenaga pakar masa hadapan mereka termasuk dalam menyediakan komputer dan harga pelan internet yang lebih murah.


Menyedari keperluan ini samada anda ingin mengambil tahu tentang kepentingan pemprograman atau hanya ingin terus menggunakan sahaja peralatan komuter sebagai pengguna merupakan pilihan masing-masing. Namun begitu usaha yang ditunjukkan oleh BBC ini merupakan satu contoh yang patut dicontohi oleh kita yang terlalu bergantung kepada apa yang telah disediakan dan menjadi pengguna sahaja. 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog