Memaparkan catatan dengan label pengangkutan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengangkutan. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Februari 2022

Bagaimana Kita Boleh Membeli Masa?

Kita tidak boleh memberhentikan masa, sebaliknya hanya menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Masa merupakan perkara yang amat penting mempengaruhi kehidupan manusia. Ia terus berlalu tanpa henti dan kita tidak dapat mengembalikan masa atau memperlahankan masa. Oleh kerana masa amat penting, setiap dari kita amat biasa dengan perkataan “jangan membuang masa”, “masa itu emas”, “masa berlalu tak akan kembali” dan sebagainya. Kepentingan masa telah diketahui sejak dahulu lagi, dan ia adakalanya diandaikan sebagai lawan kepada kehidupan, di mana setiap saat membawa kita hampir kepada saat akhir kehidupan. Jadi bagaimanakah kita boleh memanfaatkan masa, bolehkah ianya dibeli, bagi membolehkan kita melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh kehidupan yang pendek ini?
 
Kita mungkin tidak menyedari selama ini, kita telah lama membeli masa. Mungkin apa yang berbeza adalah, sejauh manakah kita sudah membelinya atau mampu membelinya. Masa diukur dalam tempoh masa atau sebanyak manakah perkara yang boleh kita lakukan untuk suatu tempoh masa tertentu. Bagi pengukuran dalam bentuk tempoh masa, tiada banyak perkara yang boleh dilakukan, dimana kita tidak dapat mengubah atau menganjakkan tempoh masa yang telah berlalu. Namun dalam erti kata lain, kita masih boleh melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh masa yang sama - (mendekkan masa untuk sesuatu perkara).

 
Sekiranya dilihat, kehidupan manusia sebelum era teknologi berlaku dengan amat perlahan. Sistem pengangkutan mengambil masa yang lama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang baru. Perjalanan menggunakan kaedah pengangkutan yang kurang efisyen seperti menggunakan haiwan atau pengangkutan air yang perlahan dan adakalanya berbahaya. Penghantaran mesej atau surat menyurat juga amat perlahan dan mengambil masa beberapa hari hingga kepada beberapa minggu. Begitu juga sekiranya anda ingin mendapatkan sesuatu bekalan, ianya perlu didapatkan dari tempat di mana ianya dihasilkan atau, kemungkinan besar, anda tidak dapat mendapatnya langsung. Begitu juga dengan keperluan-keperluan harian seperti memasak, membasuh pakaian, membersihkan rumah, semuanya perlu dilakukan secara “tenaga manusia”. Pada masa tersebut, hanya segelintir dari mereka yang mampu mengupah sejumlah bilangan pembantu rumah bagi meringankan beban-beban kerja tersebut.

Teknologi pengangkutan membantu sistem perdagangan manusia berkembang lebih cepat.  

Keretapi laju, merupakan pengangkutan yang jauh lebih efektif bagi destinasi  di laluannya.

Pembangunan teknologi dan pembangunan tamadun manusia adalah mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan ini. Melalui pembangunan kehidupan secara bermasyarakat, setiap dari anggota masyarakat menyediakan sesuatu keperluan untuk mereka yang lain. Jadi ia bergantung antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan bersama. Petani yang membekalkan sayuran, perlu mendapatkan pakaian daripada penenun kain yang mana beliau juga perlu mendapatkan bekalan daging dari penternak dan seterusnya. Begitulah rantainan hubungkait kehidupan bermasyarakat dan mengapa kita hidup dalam berkumpulan.

 
Pembangunan memperbaiki kehidupan manusia dalam bentuk mempercepatkan proses untuk melakukan sesuatu perkara. Sistem pengangkutan yang membolehkan manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih cepat dan selamat seperti kapal terbang dan keretapi laju (bullet train). Ia juga merupakan nadi utama perdagangan yang membolehkan barangan dijual kepada pengguna yang berada lebih jauh dari tempat dimana ia dihasilkan. Begitu juga dengan teknologi rekabentuk yang membolehkan bangunan dibina secara bertingkat-tingkat bagi memanfaatkan penggunaan ruang. Maka dengan itu, lebih ramai penduduk dapat tinggal berhampiran kawasan bandar yang juga membekalkan pekerjaan bagi sumber pendapatan. Manakala sistem perhubungan juga menjadi lebih pantas berbanding surat menyurat yang memerlukan tempoh penghantaran yang perlahan.

Teknologi keretapi laju yang terus diperbaiki, meningkatkan kepantasannya.

Hari ini kehidupan manusia lebih efisyen dengan rekaan pelbagai mesin untuk kegunaan di rumah. Sejak daripada bangun seawal pagi sehingga tidur, kita dibantu oleh pelbagai rekaan peralatan bagi membolehkan kita memanfaatkan masa dengan lebih baik. Sebahagian daripada mesin ini juga adalah beroperasi secara automatik dengan pengawasan yang minima. Manusia yang memerlukan beberapa orang pembantu di rumah, hari ini hanya memerlukan seorang atau boleh melakukannya sendiri. Hari ini, kesemua peralatan ini dianggap sebagai keperluan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

 
Berbalik kita kepada tajuk asal, “bagaimana kita membeli masa”, adalah bagaimana kita memanfaatkan peralatan yang ada di pasaran bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara lain yang lebih penting. Ya, ia bukanlah datang dengan percuma, melainkan kita perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Apa yang baik, kebanyakan rekaan ini menjadi semakin murah dan mampu dimiliki oleh kebanyakan dari kita. Ia tidak perlu dilihat sebagai satu perkara mewah, sebaliknya sebagai faktor utama membolehkan kita menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat - adakalanya termasuk berehat!


Peralatan rumah yang membantu kerja-kerja seharian menjadi lebih mudah dan pantas.


'Smart Home', merupakan teknologi yang sedang diperbaiki bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia.
 
Tidak terhenti di situ, banyak lagi rekaan yang akan datang untuk memperbaiki rekaan-rekaan yang telah sedia ada sekarang. Melalui penggunaan sistem AI, banyak lagi fungsi boleh ditambah bagi menjadikan proses sesuatu kerja diperbaiki. Kerja-kerja seperti mengemaskan rumah boleh dilkukan sepenuhnya oleh robot, begitu juga dengan mencuci pakaian. Melalui kemudahan-kemudahan seperti inilah kita mempunyai lebih masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, atau menyumbangkan idea dan rekaan baru untuk memenuhi keperluan kita sendiri.
 
Penulisan ini antara lain menggalakkan kita untuk menggunakan kemudahan rekaan-rekaan yang bermanfaat mengikut kemampuan. Kita sepatutnya meluangkan masa untuk menjadi lebih produktif dengan berkongsi perkara-perkara yang lebih bermanfaat, termasuk melakukan perkara untuk tujuan kesihatan seperti bersenam dan berehat. Gunakan masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, berkumpul ban berbincang mengenai idea yang lebih baik, mereka dan mencuba rekaan-rekaan yang belum pernah dicuba. Kehidupan perlu menjadi penjelajahan mental dan fizikal yang berterusan. Jadi, setakat ini sahaja buat kali ini, sehingga bertemu lagi di dalam artikel yang seterusnya.

 

Isnin, 5 Jun 2017

AirAsia Terbaik Asia, Terbaik Dunia

AirAsia mengubah industri pengangkutan udara menjadi lebih mudah.

Asia bukan sahaja terdiri daripada pelbagai negara-negara kecil, malah setiap negara ini terdiri daripada pelbagai etnik, dengan pelbagai gaya hidup yang unik. Antara bahagian yang paling menarik untuk dilawati adalah di sekitar SE Asia yang terdiri daripada 11 buah negara iaitu Brunei, Cambodia, East Timor, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapore, Thailand dan Vietnam.

Semenjak sekian lama negara-negara ini menyimpan keunikan mereka dan jarang sekali dapat dilawati oleh penduduk setempat sehinggalah munculnya syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang merubah segalanya. Melalui kemudahan sistem penerbangan ini, perhubungan antara penduduk SE Asia menjadi semakin rapat dan membolehkan mereka mempelajari keunikan cara hidup masing-masing. Saban hari syarikat penerbangan AirAsia muncul sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia dan terus mengekalkan gelaran ini. Tahniah!

Kakitangan AirAsia yang cekap sedia bertugas.

Antara destinasi penerbangan AirAsia dan kumpulan AirAsia.

Penerbangan Yang Mudah dan Cepat

Semenjak memulakan operasinya 16 November 1996, AirAsia terus memperbaiki sistem operasinya mengikut peredaran masa dan keperluan pengguna. Inilah yang membolehkan ia terus memberikan perkhidmatan yang memudahkan bagi semua. Kesemua urusan boleh dilakukan sendiri oleh pengguna tanpa memerlukan agen, orang tengah ataupun mana-mana kaunter syarikat penerbangan tersebut. Kemudahan sistem atas talian (online) digunakan sepenuhnya bagi memudahkan lagi segala urusan ini.

Pengguna boleh menempah tiket mengikut keperluan mereka sendiri seperti keperluan bagasi, makanan dan minuman dan juga pilihan tempat duduk. Pengguna boleh memilih keperluan ini sekiranya perlu dengan menambah sedikit bayaran tambahan. Tiket yang telah dibeli masih boleh diubah sehinggalah pengguna berpuas hati. Para pengguna juga boleh membuat cetakan “boarding pass” sendiri sekiranya telah berpuas hati dengan tempahan tersebut. Ini membolehkan pengguna terus masuk ke balai perlepasan di lapangan terbang pada hari berlepas.


Sistem pengangkutan yang memudahkan pengguna.

Hub pengangkutan yang lengkap dan teratur.

Perkhidmatan Tambahan

Perkhidmatan tambahan seperti AirAsia Go memudahkan lagi bagi pengguna yang memerlukan perkhidmatan untuk tempahan hotel, pengangkutan dan pakej-pakej lawatan di destinasi-destinasi yang bakal dikunjungi. Antara perkara menarik mengenai hotel-hotel yang ditawarkan oleh AirAsia Go adalah rata-ratanya memuaskan. Ini tidak sama seperti hotel yang ditawarkan oleh laman tempahan hotel yang lain, di mana ada kalanya hotel yang ditawarkan tidak menyamai dengan gambar yang dipaparkan.

Tempahan dengan AirAsia Go juga biasanya memberikan anda pilihan tambang percuma apabila tempahan dilakukan bersama hotel. Ini merupakan satu lagi ciri istimewa AirAsia Go bagi mereka yang hanya melawat untuk melihat-lihat sesuatu kawasan tersebut dan pengguna tidak memerlukan pilihan tempat tinggal yang mewah.

Bantuan Sokongan

Applikasi telefon memudahkan lagi segala urusan.

Kemudahan yang disediakan bukanlah bermakna AirAsia tidak memberikan perkhidmatan sokongan seperti bantuan bagi para pengguna yang memerlukan bantuan. Malah setiap pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi AirAsia dengan beberapa cara termasuk telefon, Online Chat, email dan berhubung terus melalui kaunter-kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Para pengguna juga boleh menggunakan apps yang disediakan mengikut sistem operasi masing-masing seperi Android ataupun AppleiOS. Kesemua kemudahan ini disediakan bagi memudahkan lagi segala urusan bagi pengguna dan juga bagi AirAsia sendiri dan ianya ternyata dapat menjimatkan banyak masa serta melancarkan lagi perjalanan.

Pilihan Penerbangan

Perkhidmatan AirAsia juga menyediakan pilihan penerbangan yang banyak ke serata SE Asia, Asia, Timur Tengah dan destinasi lain termasuk Australia, New Zealand dan Hawaii. Melalui pilihan pelbagai destinasi ini, para pengguna dapat memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh AirAsia untuk tujuan lawatan ke pelbagai destinasi dan mempelajari pelbagai perkara baru.

Bagi mendapatkan destinasi penerbangan yang lebih tepat pengguna bolehlah membuat tinjauan melalui laman web AirAsia sendiri untuk mengetahui destinasi-destinasi terbaru (dengan pertambahan destinasi yang sentiasa ditambah). Selain itu juga pengguna boleh menggunakan penerbangan sambungan daripada kumpulan anak-anak syarikat AirAsia dari serata negara SE Asia untuk pengalaman penerbangan yang lebih unik.


Walaupun terdapat pelbagai syarikat penerbangan yang disediakan di luar sana, setakat ini kesemua penerbangan yang dilakukan oleh MyRokan masih menggunakan perkhidmatan disediakan oleh AirAsia memandangkan kemudahan seperti yang disediakan di atas. Harga tiket yang ditawarkan juga adalah jauh lebih murah di samping perkhidmatan AirAsia Go yang memudahkan lagi untuk urusan penginapan. Kongsi-kongsikan pengalaman anda bersama syarikat penerbangan kegemaran anda.



Free Download



Sistem Penerbangan Murah Terbaik Di Asia

Syarikat penerbangan tambang murah merupakan satu pengangkutan penting.

Perkembangan industri penerbangan murah di Asia banyak membantu meningkatkan industri pelancongan di rantau ini. Malah industri ini sangat berjaya di Asia Tenggara dengan beberapa syarikat penerbangan penerbangan murah terbaik dunia adalah dari negara-negara di Asia Tenggara. Ia bukan sahaja membantu para pelancong tetapi juga bagi ramai penduduk tempatan untuk sama-sama menikmati kemudahan pengangkutan yang suatu masa dahulu hanya boleh digunakan oleh golongan tertentu sahaja.


10. Skymark Airlines

Skymark Airlines merupakan syarikat penerbangan yang beroperasi di Haneda Airport di ÅŒta, Tokyo, Japan dan memulakan operasinya pada 19 September 1998. Ia merupakan syarikat penerbangan kos murah bebas pertama di Jepun dan hampir mengalami bankrup. Walaubagaimanapun setelah melakukan penstrukturan semula syarikat ini masih mampu bertahan dan muncul sebagai antara 10 penerbangan terbaik di Rantau Asia.



9. Nok Air

Syarikat penerbangan murah yang dari Thailand yang semakin meningkat naik, memulakan operasinya pada 23 July 2004 melalui Don Mueang International Airport ke dentinasi-destinasi tempatan di Thailand. Penerbangan antarabangsa pertamanya adalah bermula pada 31 May 2007 dengan penerbangan harian ke Bangalore, India. Nok Air bersama-sama Scoot Airlines daripada Singapore membentuk NokScoot yang beroperasi bagi destinasi-destinasi di luar Thailand.



8. Tiger Airways

Tiger Airways pula adalah syarikat yang berasal dari Singapore dan mula ditubuhkan pada 12 December 2003. Ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat penerbangan bebas dan hanya mula disenaraikan di Bursa Saham Singapore di bawah nama Tiger Airways Holdings pada tahun 2010. Pada tahun 2014 penerbangan Tigerair ditambah lagi ke beberapa destinasi tambahan termasuk Xi'an, China dan Male, Maldives. Tiger Airways dan Scoot adalah sebahagian daripada Singapore Airlines yang memiliki saham terbesar syarikat-syarikat tersebut dengan pentadbiran melalui anak syarikatnya Budget Aviation Holdings.

Website  : www.tigerair.com


7. SpiceJet

SpiceJet merupakan syarikat penerbangan yang ditubuhkan di India pada 23 May 2005 dan beroperasi  melalui hub utamanya di Indira Gandhi International Airport (Delhi). Beroperasi untuk destinasi-destinasi tempatan dan beberapa destinasi antarabangsa. SpiceJet membuat rombakan besar dengan membuat potongan harga sehingga 50% kepada kebanyakan destinasinya pada musim panas 2014 untuk terus bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah yang lain. Selain kini menjadi antara syarikat penerbangan tambang murah yang berpotensi, SpiceJet terus berdaya saing dengan memberi sekali jaminan voucher 1,000 rupee untuk kelewatan penerbangan. SpiceJet merupakan antara syarikat penerbangan terbang murah yang menunjukkan peningkatan yang baik.

Website : spiceJet.com


6. Peach

Peach Aviation merupakan antara syarikat penerbangan murah yang masih baru dari Jepun yang hanya ditubuhkan pada 10 February 2011. Ia merupakan antara syarikat penerbangan harga murah yang menempa nama dengan cepat. Kini Peach turut terbang ke destinasi-destinasi antarabangsa seperi Korea, Hong Kong, China, Taiwan dan Thailand selain destinasi dalam negeri. Destinasi ini akan terus ditambah ke destinasi-destinasi Asia yang lain. Peach juga turut menawarkan banyak perkhidmatan tambahan bagi memenuhi keperluan para penggunanya.

Website: flypeach.com


5. Scoot

Scoot merupakan satu lagi syarikat penerbangan tambang murah yang ditubuhkan di Singapore pada tahun 2011 dan memulakan operasi pada 4 June 2012. Scoot dan juga Tigerair adalah merupakan sebahagian daripada Singapore Airlines yang juga merupakan pemegang saham syarikat-syarikat tersebut. Penerbangan Scoot menumpukan kepada penerbangan jarak jauh dengan destinasi-destinasi seperti di China dan beberapa destinasi sekitar Asia yang lain. Penerbangan Scoot juga termasuk Australia dan Greece. Saiz pesawat-pesawat yang digunakan Scoot juga adalah lebih besar iaitu Boeing 787–8 dan Boeing 787–9. Terdapat banyak kemudahan tambahan bagi para penumpang Scoot selain daripada kelebihan memilih kerusi dengan ruang kaki yang lebih besar.

Website :  flyscoot.com


4. Jetstar Asia

Jetstar Asia telah memulakan operasi sejak tahun 2004 lagi dengan pusat operasinya terletak di Singapore Changi Airport. Ia bukan sahaja merupakan sebahagian daripada Jetstar Airways malah merupakan subsidiari daripada syarikat penerbangan Australia iaitu Qantas. Destinasi-destinasi SE Asianya terdiri daripada Myanmar, Cambodia, Malaysia, Philippines, Thailand dan Vietnam. Manakala destinasi lain termasuklah Japan, Taiwan dan Hong Kong. Ia juga menyediakan penerbangan tambahan bagi syarikat-syarikat Jetstar yang lain seperti Jetstar di New Zealand, Jetstar Pacific dan Jetstar Japan dengan destinasi-destinasi penerbangan yang lebih banyak.

Website: jetstar.com


3. Indigo

Indigo merupakan syarikat penerbangan murah dari India yang mula beroperasi pada tahun 2006 dan menjadi antara syarikat penerbangan tambang murah di Asia. Sehingga kini Indigo memiliki 135 buah kapal terbang dan 458 lagi telahpun ditempah untuk operasinya akan datang. Operasinya tertumpu di kebanyakan destinasi di dalam negeri dan turut melibatkan destinasi luar seperti Thailand, Qatar, UAE, Iran, Singapore dan Nepal. Indigo bakal menambah banyak lagi destinasinya untuk masa-masa akan datang dan mungkin meningkatkan lagi prestasinya sebagai penerbangan tambang rendah yang terbaik!

Website : www.goindigo.in


2. AirAsia X

AirAsia X merupakan sebahagian daripada syarikat penerbangan tambang murah terkenal di dunia iaitu AirAsia dan mula ditubuhkan pada 2007. Ia menumpukan kepada penerbangan jarak jauh seperti termasuk China, Jepun, Korea, Taiwan, Australia, Iran, Australia, New Zealand, Hawaii dan banyak lagi destinasi yang akan terus ditambah. AirAsia kini beroperasi dengan sejumlah 30 buah kapal terbang dan 78 lagi akan mula beroperasi pada tahun 2018. AirAsia X turut mempunyai rangkaian-rangkaian lain iaitu Indonesia AirAsia X dan juga Thai AirAsia X.

Website : www.airasia.com


1. AirAsia

AirAsia bukan sahaja merupakan antara syarikat penerbangan termurah yang awal di dalam senarai ini, malah ia juga muncul sebagai syarikat tambang murah terbaik dunia untuk 8 tahun berturut-turut sehingga tahun 2016. Ia bukan sahaja terus berkembang malah, terus memperbaiki tahap perkhidmatannya bagi memenuhi keperluan para pengguna. Walaupun terdapat pelbagai syarikat penerbangan tambang murah di rantai ini, AirAsia merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan yang terpaling murah dan mudah untuk digunakan. Memulakan operasi semenjak tahun 16 November 1996 kini AirAsia turut mempunyai rangkaian AirAsia di beberapa negara jiran yang turut menambahkan lagi jaringan penerbangan AirAsia. Ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pengangkutan malah meningkatkan lagi ekonomi serantau dengan lebih drastik. Bilangan kapal terbang AirAsia adalah 76 buah dan 365 buah lagi masih di dalam tempahan.

Website : www.airasia.com


Berikut dengan penyenaraian ini maka kita dapat melihat banyak lagi pilihan pengangkutan udara tambang murah yang terdapat di Asia khususnya SE Asia. Walaupun mungkin kita mempunyai syarikat penerbangan pilihan masing-masing, namun maklumat ini mungkin membantu kita dalam melihat pilihan yang turut disediakan. Mungkin ada di antara kita yang ingin mencuba penerbangan yang lain untuk pengalaman ataupun destinasi yang tidak ditawarkan syarikat penerbangan pilihan anda.


Free Download



Khamis, 23 Februari 2017

Pembangunan HSR Oleh China Yang Memberangsangkan

Shanghai Maglev merupakan keretapi terpantas di China.

HSR (High Speed Rail) tidak diketahui secara umum melainkan baru-baru ini. Walaupun China tidak sepopular negara-negara lain seperti Jepun, France dan German namun pembangunan industri HSR di China berlaku dengan kepantasan yang amat pantas memandangkan keupayaan China dalam merealisasikan pembangunannya. Malah rangkaian sistem pengangkutan HSR di China adalah jauh lebih panjang berbanding mana-mana negara di dunia.

Perkhidmatan HSR mula digunakan di China pada April, 2007 dan terus dibangunkan secara berperingkat-peringkat ke seluruh bandar-bandar utama di China. Apa yang menarik, China bukan sekadar membangunkan rangkaian pengangkutan mereka sendiri malah turut membangunkan sistem HSR mereka sendiri melalui pemindahan teknologi dengan syarikat-syarikat lain dari serata dunia. Tanpa kemampuan ini, sistem pengangkutan HSR China mungkin memakan masa yang lebih lama selain memakan kos pembinaan yang lebih tinggi.

Keretapi-keretapi yang dibangunkan di China.

Kilang pemasangan gerabak-gerabak keretapi HSR.

Pembinaan rangkaian landasan HSR yang berlaku secara pesat di serata China.

Dalam tempoh yang singkat, China bukan sahaja berjaya membina rangkaian HSR di negaranya malah membangunkan sistem HSR yang boleh dibangunkan di negara-negara lain. Kemampuan ini bukanlah dilakukan oleh China sahaja, malah secara kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai kepakaran mengenai teknologi HSR seperti negara-negara yang disebutkan di atas.

Melalui pembangunan teknologi oleh China kos pembinaan HSR dapat dikurangkan kerana China turut membina kemudahan pembinaan keseluruhan sistem HSR daripada pembinaan landasan sehinggalah kepada sistem kawalan aliran trafik HSR sendiri. Ini termasuk kilang-kilang pembinaan gerabak moden yang mementingkan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Pembangunan sistem ini termasuklah kemudahan rekabentuk dan pengujian keretapi-keretapi baru yang direkabentuk sendiri di China hasil daripada pemindahan teknologi yang diperolehi dari Alstom (France), Siemens (Germany), Bombardier (Germany) dan juga Kawasaki dari Jepun. Kesungguhan China dalam pembangunan sistem pengangkutan HSR ini dapat menjimatkan masa pengangkutan para pengguna selain meningkatkan lagi taraf pembangunan China yang semakin pesat.


Keretapi HSR yang dibangunkan di China.

Stesyen HSR di Shanghai yang terus menerima laluan-laluan baru.

Penggunaan teknologi dari China ini bukan sahaja lebih murah, malah ia juga lebih pantas memandangkan China turut membina sistem pembinaan rangkaian HSR dalam tempoh yang singkat. Sistem pengangkutan HSR adalah jauh lebih efisyen bagi perjalanan di bawah jarak 500 km (310 mi) kerana ia ternyata lebih pantas berbanding pengangkutan udara. Ia merupakan sebab utama mengapa HSR adalah lebih popular di negara-negara membangun. Apakah pendapat anda mengenai sistem pengangkutan ini?



Free Download


Jumaat, 20 Januari 2017

Selamatkah Udara Di Dalam Pesawat?

Pernahkah anda terfikir mengenai kualiti udara di dalam pesawat?

Bagi yang sering menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara tentunya ingin sekali mengetahui sejauh manakah keselamatan kualiti udara di dalam pesawat dalam memastikan masalah ianya selamat. Perkara ini penting bagi mengelakkan kita merasa risau setiap kali melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan udara.

Sistem pengankutan udara membawa jutaan manusia bergerak dengan lebih pantas ke serata dunia setiap hari. Ia membawa bersama mereka yang mungkin dijangkiti dengan masalah kesihatan yang mungkin berpotensi menjangkiti penumpang-penumpang yang lain. Semasa berada di dalam pesawat, pernafasan mereka yang dijangkiti semestinya akan berada di dalam ruangan kabin kapal terbang bersama penumpang-penumpang yang lain.

Sistem pengaliran udara di dalam pesawat; Lufthansa.

Tombol saluran udara di atas setiap penumpang.

Sistem pengudaraan pesawat moden sememangnya mengutamakan tahap kebersihan kualiti udara ini. Malah ianya direka dengan keupayaan penapisan kualiti udara setaraf dengan bilik pembedahan di hospital. Penggunaan penapisan HEPA berkeupayaan memerangkap antara 94 ~ 99.0 peratus partikel di dalam udara termasuk mikro-organisma yang dihembuskan ke dalam udara.

Kandungan udara di dalam kapal terbang adalah gabungan udara yang disedut dari enjin dan bukanlah semata-mata udara yang dikitar semula dari dalam kabin. Keadaan sistem pengudaraan ini adalah antara perkara yang diberikan penekanan oleh syarikat-syarikat pengeluar kapal terbang seperti Airbus dan Boeing dalam memastikan keselamatan pengguna sistem pengangkutan tersebut.

Anda mungkin tidak perlu berkadaan begini.

Sekiranya mengalami masalah kesihatan gunakan "face mask".

Berbanding dengan sistem pengudaraan, proses jangkitan atau perpindahan patogen berlaku dengan secara terus seperti; duduk bersebelahan/hampir dengan mereka yang dijangkiti, bersentuhan dengan objek atau peralatan yang disentuh oleh pesakit seperti tombol pintu tandas, peralatan-peralatan dan sebagainya.


Jadi apa yang perlu anda risaukan bukanlah sistem pengudaraan tetapi adalah perkara-perkara lain yang lebih utama. Jadi pastikan anda tidak bersentuhan dengan objek-objek ini dan sentiasa membersihkan tangan dengan sempurna sebelum menyentuh makanan dan sebagainya. Ini bagaimanapun diharap tidak menjadikan anda terlalu takut untuk menggunakan perkhidmatan udara sebaliknya mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengelakkan sebarang kemungkinan.



Free Download



Arkib Blog