Memaparkan catatan dengan label rekaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rekaan. Papar semua catatan

Isnin, 19 Jun 2017

Keretapi Mewah Baru Jepun, East Japan Railway Co.

Shiki-shima antara keretapi mewah Jepun terbaru yang unik.

Kini kita melihat pula keretapi baru dari Negara Jepun yang baru sahaja memulakan operasinya pada 1 Mei, 2017 yang dikendalikan oleh syarikat, East Japan Railways Co. yang dikenali sebagai Train Suite Shiki-shima. Walaupun ianya lebih dikenali sebagai keretapi mewah, banyak perkara yang boleh dipelajari di sini yang menyebabkan mengapa ia telahpun habis ditempah sehingga Mac 2018.

Keretapi yang hanya membawa 34 penumpang dengan hanya 17 suites dalam satu-satu masa ini mengenakan tambang sebanyak ¥950,000 (USD8,569) seorang untuk bilik yang dikongsi daripada 10 gerabaknya. Jadi apakah yang membuatkan pelanggan berpuas hati untuk menggunakan perkhidmatan ini, mungkin antara sebabnya adalah kerana pelbagai keunikan yang ditawarkannya.




Gerabak moden train ini menyediakan pemandangan menyeluruh dari sisi mahupun bumbung train yang melalui laluan pergunungan dan juga pantai Jepun yang menarik. Malah ia juga adalah perjalanan yang memakan masa selama 4 hari di dalam train mewah ini. Apa yang lebih menarik ciri-ciri kemewahan ini adalah dihasilkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri yang mengukir nama dalam bidang rekaan.

Warna menarik “champagne-gold” pada keretapi ini juga adalah hasil rekaan daripada pereka Jepun iaitu Ken Kiyoyuki Okuyama yang turut menggunakan bahan-bahan seperti kayu, kertas Jepun yang dikenali sebagai “washi” selain ‘Japanese lacquer’ dalam menghasilkan rekaannya. Maka di sinilah antara keunikan sebenar keretapi mewah ini yang mencerminkan keunikan budaya Jepun sendiri.

Selain daripada itu, tikar Jepun yang dikenali sebagai ‘tatami’ juga digunakan pada suite Shikishima beserta tub mandi cypress yang memberikan pengalaman mandian harum menyegarkan. Manakala sofa yang digunakan di lounge keretapi ini pula dihasilkan menggunakan teknik melentur kayu secara tradisional menggunakan ‘steam’. Bagi karpet-karpetnya pula adalah dihasilkan daripada Oriental Carpet Mills yang sedia terkenal dengan kerja-kerja karpet bagi Vatican Palace dan juga Kyoto State Guest House.





Tidak kurang juga set makan menggunakan sudu garpu dari nikel dan perak yang dihasilkan oleh Yamazaki Kinzoku Kogyo yang lebih dikenali sebagai pereka set makan yang digunakan untuk majlis makan malam pada penganugerahan Nobel Prize. Jadi sebagai hidangannya pula, para penumpang akan dihidangkan dengan hidangan tempatan di mana keretapi ini lalu atau singgahi.


Keretapi “Suite Shiki-shima”, bukanlah keretapi mewah pertama yang dilancarkan di Jepun, namun apa yang menarik adalah penerapan ciri-ciri budaya yang diketengahkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri. Ianya dihasilkan dengan menampilkan hanya yang terbaik bagi memberikan keselesaan penuh kepada bakal penumpang. Jadi, ia tidak dikira mahal sekiranya ia adalah sepadan dengan servis yang ditawarkan. Semoga paparan kali ini juga dapat memberikan kita panduan dalam dunia perniagaan.



Free Download



Khamis, 15 Jun 2017

System Penjagaan Taman Berkuasa Solar Dari FuseProject

Edyn Smart Gardening System, sistem tanaman integrasi yang lengkap.

Penjagaan taman merangkumi pengawasan berterusan dari segala aspek termasuk keadaan pokok, pembajaan, pengairan, keadaan tanah, suhu dan sebagainya. Maka pereka kreatif moden memikirkan pelbagai kaedah untuk memudahkan para peminat seni taman tidak meninggalkan hobi mereka semata-mata kerana kesibukan urusan harian.

Antara rekaan kreatif dalam teknik penjagaan taman ini adalah rekaan dari FuseProject yang dikenali sebagai “Edyn Smart Gardening System”. Sistem yang direka untuk taman moden ini bukan sahaja membantu para peminat taman untuk satu sistem penjagaan sahaja, malah ia merangkumi segala aspek termasuk memberi pendapat mengenai jenis tanaman yang sesuai mengikut sesuatu keadaan tanah, pencahayaan, pH tanah dan sebagainya. Ia merupakan sistem tanaman yang lengkap dan amat memudahkan sekiranya digunakan dengan betul.

Segala hasil pengukuran dipaparkan melalui telefon dengan mudah.

Tidak memerlukan sistem pendawaian yang menyukarkan.

Menggunakan tenaga solar di celah-celah tanaman anda.

Ia mempunyai pelbagai ‘sensor’, untuk membuat pelbagai ujian dan merekodkan ujian ini untuk paparan anda secara langsung. Ia juga boleh direkodkan untuk semakan akan datang. Kesemua kawalan dan rekod ini boleh diikuti melalui telefon bimbit anda dari mana-mana. Selain itu Edyn juga menggunakan tenaga solar untuk membekalkan tenaga kepada peralatan elektroniknya. Jadi anda tidak perlu bersusah payah menyediakan pendawaian untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan ini.


Mudah dikendalikan melalui telefon bimbit anda.

Komponen-komponen yang melengkapkan sistem ini.

Edyn merupakan sistem tanaman yang amat canggih dan boleh diperkembangkan lagi untuk aplikasi yang lebih besar. Apa yang menarik di sini, mereka yang menanam dalam saiz yang kecil juga boleh menggunakan Edyn dengan kos yang lebih rendah. Sistem ini ternyata dapat menjimatkan banyak masa para penanam dalam usaha mendapatkan tanaman yang sihat serta hasil yang lebih baik. Satu lagi rekaan yang menarik.


Free Download



Electrolux Moots Konsep Tanaman Rumah Masa Depan

Pasu bunga pintar dengan paparan skrin LED.

Pernahkah anda terfikir memiliki pasu tanaman pintar yang memudahkan kerja-kerja tanaman di dalam rumah anda sendiri? Berikutan dengan perkembangan teknologi hari ini, pelbagai perkara boleh dilakukan. Apa yang diperlukan adalah bagaimanakah menggunakan idea kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

Electrolux Moots sebenarnya bukanlah baru, namun tidak banyak rekaan sepertinya yang dihasilkan. Ia adalah sebuah bekas tanaman pintar yang boleh memberi tahu anda bilakah tanaman anda memerlukan penjagaan seperti air dan baja misalnya. Ia juga dilengkapi dengan skrin paparan untuk memaparkan maklumat-maklumat tersebut.

Bukan itu sahaja, anda boleh memiliki sejumlah Moots yang akan berkomunikasi di antara mereka bagi memudahkan anda mengawasi tanaman anda dari satu tempat sahaja. Ini dapat memudahkan lagi kerja-kerja memantau tanaman kesayangan anda.

Moots boleh berkomunikasi antara satu sama lain.

Terdapat 3 saiz, beserta lampu untuk penambahan cahaya.

Moots didatangkan dengan 3 saiz iaitu 15, 20 dan 25 cm. Hanya pasu utama yang mempunyai skrin paparan yang akan memaparkan keadaan tumbuh-tumbuhan di dalam kumpulan yang sama.

Moots mempunyai ciri-ciri seperti;

  • Bekas luaran yang mempunyai skrin paparan dan juga dinding lutsinar yang membolehkan anda melihat ke dalamnya.
  • Bekas dalaman untuk menempatkan tanaman selain tiang dilengkapi dengan lampu LED untuk pencahayaan tambahan tanaman anda sekiranya perlu.



Ciri-ciri Moots untuk kesihatan tanaman kesayangan anda.

Ia merupakan antara pasu yang canggih dan pengenalan kepada teknologi tanaman hiasan dalaman yang masih baru. Pada masa-masa akan datang mungkin akan ada lebih banyak rekaan yang bukan sahaja lebih menarik tetapi lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua.


Free Download



Selasa, 18 April 2017

Penggunaan Mesin Ringkas Di Sawah (Rice Field)

Tanpa mesin, penggunaan tenaga manusia yang tinggi diperlukan untuk kerja-kerja di sawah (rice field).

Kerja-kerja penanaman padi merupakan kerja yang memerlukan ketelitian bagi para petani yang mempunyai sawah bersaiz kecil (terutamanya sawah lereng bukit seperti di Bukittinggi, Padang, Sumatra dan juga di Bali). Sawah-sawah kecil seperti ini menyukarkan penggunaan mesin yang besar dan kebanyakan kerja perlu dilakukan menggunakan tenaga manusia.

Walaubagaimanapun penggunaan mesin ringkas dapat membantu para petani mempercepatkan proses penanaman atau sedikit sebanyak membantu para petani menjimatkan tenaga untuk menumpukan masa kepada perkara-perkara lain. Sesetengah kerja seperti merumput misalnya memerlukan petani membongkok dan boleh mengakibatkan sakit bahagian belakang dalam jangka panjang.

Kali ini kita akan melihat beberapa mesin ringkas untuk kegunaan petani-petani kecil. Sesetengah mesin ini boleh dihasilkan sendiri, kerana tidak semua mesin memerlukan jentera bermotor. Para petani juga digalakkan mencuba idea-idea baru bagi membantu mereka memudahkan kerja-kerja di sawah.


Contoh peralatan ringkas tanpa motor.

Mengalih anak padi menggunakan tenaga manusia.

Mesin ringkas menabur benih dikendalikan oleh seorang individu.

Lihatkan betapa cepat dan mudah proses mengalih anak padi ini.

Mesin berjentera membolehkan kawasan yang lebih besar dikerjakan.

Bagi petani kecil, mesin yang lebih kecil pula boleh digunakan.

Mesin merumput tanpa jentera.

Ini pula adalah mesin merumput berjentera.

Semoga paparan ringkas kali ini membolehkan para petani mencari mesin yang dapat membantu mereka meningkatkan hasil pengeluaran. Perlu diingat walaupun kita telah menemui kaedah yang baik, mungkin kita masih boleh mengolahnya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik lagi.

Free Download





Jumaat, 24 Mac 2017

Penggunaan Buluh di Bali

Binaan rumah buluh yang menakjubkan di Bali oleh Ibuku.

Buluh merupakan antara bahan yang telah lama digunakan oleh manusia sejak sekian lama. Keistimewaan tumbuhan ini adalah ia mudah digunakan kerana fizikalnya yang mudah dibentuk mengikut kegunaan atau terdapat jenis buluh yang sesuai untuk fungsi-fungsi tertentu. Oleh sebab itulah, buluh digunakan untuk menyediakan masakan sehinggalah membina tempat tinggal.

Walaupun keunikan penggunaan buluh di Bali dilihat lebih kepada penggunaannya untuk tujuan pembinaan chalet-chalet atau hotel daripada hotel biasa sehinggalah kepada hotel bertaraf lima bintang, namun buluh memainkan peranan yang lebih penting dalam kehidupan masyarakat di Bali. Buluh yang digunakan untuk tujuan pembinaan ini bukan sahaja digunakan dengan kaedah tradisi, malah ia dibentuk untuk menghasilkan bangunan-bangunan unik yang sebelum ini belum pernah dicuba dalam senibina tradisi masyarakat setempat.

Buluh juga dihargai di negara-negara lain seperti di Jepun.
Buluh masih digunakan sebagai penyokong binaan di Bali.
Rumah-rumah buluh di Biyukukung, Ubud.

Bangunan-bangunan yang dihasilkan menggunakan buluh bukan sahaja memberikan keselesaan, ia sebenarnya memberikan suasana yang lebih semulajadi. Ini memberikan ketenangan kepada siapa sahaja. Ia tidak memerangkap haba seperti mana bangunan yang dihasilkan menggunakan bahan lain terutamanya konkrit. Teksturnya sendiri menghasilkan permukaan yang amat menarik serta berkilat (sekiranya tidak terdedah kepada air; hujan misalnya). Gabungan bahan-bahan lain pula menjadikan bangunan daripada buluh mempunyai nilai yang amat tinggi.

Buluh-buluh di Bali ditanam di lereng-lereng kawasan pergunungan di Bali selain buluh yang hidup secara liar di hutan. Ladang buluh ini antaranya dapat dilihat dengan jelas di luar pekarangan Pura Luhur Batukaru, Tabanan. Buluh-buluh yang matang dan sesuai untuk digunakan akan diasingkan dan diletak di pinggir jalan menuju ke pura ini. Buluh ini adalah buluh untuk digunakan untuk tujuan pembinaan kerana mempunyai ketebalan yang tinggi selain saiz yang besar.

Terdapat banyak bangunan terutamanya hotel dan chalet di Bali yang dibina menggunakan buluh sebagai bahan binaannya. Selain menghasilkan binaan yang unik, kebanyakan bangunan-bangunan ini dihasilkan mengikut rekaan kontemporari (ia bukan binaan tradisi; hasil pengolahan arkitektur menggunakan buluh). Hasilnya potensi binaan buluh menjadi lebih meluas dan lebih banyak binaan yang unik cuba dihasilkan.

Buluh mudah digunakan untuk menghasilkan bentuk-bentuk baru.

Binaan unik begini sukar dihasilkan dengan bahan lain.

Sebuah cafe yang dibina menggunakan buluh di Pantai Seminyak.
Antara restoran lain yang menggunakan buluh sebagai bahan binaan.

Walaubagaimanapun buluh masih lagi digunakan untuk tujuan-tujuan lain selain digunakan sebagai bahan makanan, perkakasan, peralatan rumah, perhiasan, pertanian, sokongan binaan dan sebagainya. Anda dapat melihat buluh-buluh digunakan sebagai sokongan untuk membuat bangunan-bangunan konkrit di Bali. Walaupun ia tidak lagi digunakan di kawasan-kawasan bandar lain seperti di Malaysia, ia adalah satu kaedah penggunaan sumber alam yang baik (selagi ia tidak mendatangkan bahaya).


Apa yang menarik di sini, sumber alam seperti buluh, jika terus digunakan tetap menghasilkan satu hasil yang baik. Seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain, setiap bahagian tumbuhan ini mempunyai kegunaan tersendiri. Jadi mengapa kita tidak menggunakan potensinya untuk kebaikan kita semua.







Free Download







Arkib Blog