Memaparkan catatan dengan label seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seni. Papar semua catatan

Isnin, 29 Ogos 2016

Bagaimana Kertas Mencorak Budaya Jepun

Origami merupakan budaya Jepun yang popular menggunakan kertas.

Walaupun kertas mula dicipta di China sekitar 105 A.D. oleh Cai Lun, penghasilan kertas merebak dengan cepat ke bahagian-bahagian lain terutamanya Jepun dan Korea. Ia seterusnya mencorakkan budaya hidup masyarakat setempat terutamanya masyarakat Jepun yang mempunyai pelbagai keunikan budaya menggunakan kertas.
Jepun mempunyai kertasnya sendiri yang dikenali sebagai washi (和紙), yang bermaksud waJepun’ dan shikertas’. Kertas washi dihasilkan daripada serat kulit kayu gampi, tumbuhan mitsumata  (Edgeworthia chrysantha), atau  kozo (paper mulberry). Ia juga adakalanya dihasilkan menggunakan buluh, hemp, padi ataupun gandum. Kertas ini dihasilkan menggunakan tangan secara tradisional oleh keluarga-keluarga di Jepun menjelang 1800’s. Pada masa tersebut terdapat sekitar 100,000 keluarga yang menghasilkan kertas menggunakan tangan ini. Ia bagaimanapun semakin berkurangan apabila persaingan dari negara-negara lain semakin meningkat berikutan penggunaan mesin-mesin moden.

Sugiharagami (杉原紙), sejenis kertas "washi".

Edgeworthia chrysantha atau mitsumata.
Penghasilan washi secara tradisional dilakukan menjelang musim sejuk bagi memastikan air digunakan adalah sejuk untuk mengelakkan bakteria yang boleh menyebabkan pereputan serat yang digunakan. Ia juga membantu untuk menghasilkan kertas yang lebih bermutu. Selain itu ia juga memberikan para petani pendapatan tambahan ketika musim sejuk.
Proses penghasilan washi bermula dengan batang-batang (kozo, gampi atau mitsumata) yang dicantas dan direndam. Kulitnya akan diasingkan sebelum kulit dalamnya pula dikeluarkan untuk dibersihkan dan diketuk dan ditegangkan.
Serat yang yang telah diketuk ini kemudiannya dimasukkan ke dalam bahan cecair  yang dicampurkan tororo-aoi (akar bunga raya yang ditapai) untuk menambahkan kelikatan yang kemudiannya membentuk pes.

Pes ini kemudiannya akan diratakan di atas jejaring buluh untuk membentuk kertas. Kertas-kertas kemudiannya akan diasingkan sebelum ianya dikeringkan di atas kayu di bawah matahari atau di dalam bangunan menggunakan pemanas.
Washi mempunyai banyak kelebihan tersendiri memandangkan ia dihasilkan secara tradisional membolehkan ia menghasilkan kertas yang lebih tahan lasak untuk kegunaan-kegunaan yang tidak boleh digunakan untuk kertas biasa. Teksturnya juga memberikan kertas washi penampilan tersendiri dan amat sesuai digunakan sebagai kad ucapan atau buku catatan peribadi. Kertas-kertas washi juga merupakan kertas yang kurang berasid dan tahan untuk tempoh yang lebih lama. Malah terdapat kertas washi yang masih bertahan setelah 1,000 tahun dihasilkan.

Ukiyo-e, merupakan seni blok cetakan.

Sajak "waka", oleh Ōshikōchi Mitsune di atas kertas suminagashi.
Kegunaan kertas washi boleh dilihat dalam kebanyakan hasil kerja tangan masyarakat Jepun selain hanya digunakan untuk tujuan penulisan dan cetakan. Walaupun Jepun terkenal dengan seni lipatan kertas yang dikenali sebagai origami, penggunaan washi meliputi lebih dari itu antaranya termasuk; chiyogami, ikebana, katazome, patung kertas, jahitan, shibori, shodo, sumi-e, suminagashi, ukiyo-e, washi eggs dan chigirie. Malah ia turut digunakan dalam banyak perkara lain seperti untuk membuat pakaian, masakan, perabut, barangan dan digunakan juga di dalam perayaan-perayaan khas. Tidak lupa juga kertas digunakan untuk membuat dinding bilik yang ringan.

Begitu sekali kertas dimanfaatkan di Jepun. Apa yang menarik, kertas-kertas washi yang dihasilkan amat menarik dengan penuh kesenian. Walaupun ia tidak dapat menandingi harga murah kertas-kertas yang dihasilkan menggunakan mesin moden, kertas washi tidak dapat diganti dengan kertas biasa. Semoga kita mencontohi kegigihan masyarakat Jepun dalam memperkayakan budaya mereka dengan keunikan budaya kita masing-masing. 

Free Download



Selasa, 26 Julai 2016

Mengenali Peralatan Lacquerware

Lacquerware seindah seramik seringan kayu.

Peralatan lacquerware lazimnya peralatan yang diperbuat daripada kayu dan disaluti dengan lacquer yang berkilat. Laquer walaupun kelihatan seperti varnish, ia adalah sedikit berbeza dari segi komposisi dan juga proses pembuatannya. Sejarah peralatan lacquer bermula lebih awal di China dan kemudiannya merebak ke serata bahagian negara-negara Asia yang lain yang membentuk pelbagai variasi.

Lacquer memberikan perlindungan  kepada bahan yang digunakan untuk membuat sesuatu peralatan. Antara peralatan lacquer yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini dihasilkan daripada Dynasty Han yang ditemui di Mawangdui di China kira-kira abad ke-2 BC. Malah teknik penghasilan peralatan lacquer telahpun diperbaiki semenjak Dynasti Shang lagi (ca. 1600–1046 BC) yang menjadi salah satu hasil seni yang menarik. Jadi ia seharusnya bermula lebih awal dan terus berkembang ke negara-negara berdekatannya termasuk Jepun, Korea, Vietnam dan Myanmar. Ia turut dihasilkan di negara-negara lain seperti Thailand, India dan juga Timur Tengah.

Lacquerware daripada Dinasty Han.

Lacquerware China dengan tatahan 'mother of pearl'.

Perbezaan geografi dan tradisi memberikan impak kepada penghasilan barangan lacquerware ini. Ini turut memberi pengaruh kepada bahan utama untuk membuat lacquer daripada bahan-bahan yang terdapat di sesuatu kawasan tersebut. Seterusnya proses penghasilannya juga lebih dipengaruhi oleh bahan-bahan tempatan dengan teknik yang penghasilan yang lebih mengutamakan ciri-ciri budaya setempat. Barangan lacquerware di China dihasilkan dengan teknik yang lebih ‘sophisticated’ dengan penggunaan bahan-bahan hiasan termasuk emas dan ‘mother of pearl’ dengan bahan utamanya diperbuat daripada kayu. Manakala di Myanmar pula ianya lebih dihiasi dengan motif-motif lukisan tempatan yang menarik dengan bahan utamanya diperbuat daripada buluh.

Toxicodendron vernicifluum daun dan bunga.

Toxicodendron vernicifluum ditoreh untuk getahnya.

Melanorrhoea usitata juga dikenali sebagai Gluta usitata atau ringas.

Lacquer dihasilkan daripada getah pokok. Pokok-pokok yang digunakan pula adalah berbeza bagi lacquer yang dihasilkan di China, Korea dan Jepun iaitu Toxicodendron vernicifluum atau lebih dikenali sebagai ‘Chinese lacquer tree’, manakala di negara seperti Myanmar lacquer adalah dihasilkan daripada getah pokok Melanorrhoea usitata yang juga dikenali sebagai ‘Burmese lacquer’. Oleh kerana getah yang diperolehi ini berbeza, maka lacquer yang dihasilkan juga adalah sedikit berbeza, namun kedua-duanya mampu menghasilkan barangan lacquer yang cukup menarik. Namun lacquer turut dicampur bahan-bahan lain untuk menjadikannya lebih licin seperti di China, serbuk tanduk rusa digunakan, manakala di Myanmar pula serbuk dari tulang lembu pula digunakan.

Proses pembuatan barangan lacquer ini merupakan satu proses yang amat panjang, kerana ia memerlukan beberapa lapisan lacquer yang perlu disalutkan ke atas barangan yang dihasilkan. Ini diikuti dengan proses pengeringan selama beberapa hari, sebelum proses lapisan berikutnya boleh dilakukan. Bagi barangan yang mempunyai lukisan berwarna pula lapisan lacquer akan dikenakan untuk setipa warna yang dikenakan dan proses yang sama akan dilakukan secara berulang-ulang. Ini bermakna keseluruhan proses boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan lamanya untuk menyiapkan satu barangan lacquer.


Barangan yang dihasilkan dengan penuh teliti.

Koleksi yang amat cantik.

Ianya bukan tembikar tetapi lacquerware.

Japan lacquerware, menambilkan ciri-ciri budaya yang unik.

Melihat kepada ketelitian dan masa yang diambil untuk menghasilkan barangan ini, maka tidak hairanlah mengapa harganya dijual agak tinggi. Namun begitu, barangan lacquer bukan sahaja cantik tetapi dapat digunakan untuk tempoh masa yang lebih lama. Selain daripada barangan seramik, barangan lacquer merupakan antara barangan unik yang berasal dari China yang kemudiannya dimajukan lagi ke negara-negara lain.






Free Download



Ahad, 24 Julai 2016

Keunikan Rekaan Tepak Sireh (Betel Set) dan Peralatan Lain

Bekas kapur sireh yang diperbuat daripada tulang yang diukir berasal dari Sumatra.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 90-an mungkin dapat melihat lebih banyak berkenaan budaya memakan sireh. Walaupun ia sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat di negara kita, namun budaya  memakan sireh amat terkenal di serata Asia Tenggara dan juga negara-negara lain seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan mungkin juga beberapa negara berhampiran.

Kepentingan pemakanan ini dapat dilihat daripada peralatan yang dihasilkan untuk menyimpan sireh dan juga bahan-bahan lain seperti pinang, gambir, kapur dan lain-lain (mungkin tembakau dan rempah). Oleh itu peralatan seperti tepak sireh diperbuat daripada pelbagai bahan dan diukir dengan begitu cantik ; bagi menggambarkan kepentingannya.

Peralatan tepak sireh digunakan dalam pelbagai majlis, dan untuk tujuan istiadat sudah tentu tepak sireh yang diperbuat daripada bahan yang lebih baik beserta ukiran halus digunakan. Anda mungkin tidak menyangka bahawa terdapat banyak sekali rekaan tepak sireh menggunakan pelbagai bahan daripada pelbagai negara yang popular dengan sireh ini.

Mungkin kita tidak perlu mengamalkan lagi budaya memakan sireh, namun keunikan budaya ini melambangkan kehalusan dan ketelitian adat budaya kita dalam bermasyarakat. Bersama-sama ini kita akan melihat sebahagian daripada peralatan tersebut.

Bekas Sireh dari Tembaga Parsi

Bekas sireh yang diperbuat daripada tembaga.

Bekas yang diperbuat daripada tembaga ini nampak kukuh dan kelihatan amat lama. Ia diperkatakan berasal dari tahun 1800-an dari India. Walaupun bekas ini sama seperti bekas-bekas yang lain, ia mungkin digunakan untuk menyimpan daun sireh dan bahan-bahan makanan sireh yang lain. Rekaannya adalah lebih ringkas, namun ia tetap melambangkan betapa pentingnya bahan yang disimpan di dalam bekas tersebut.


Bekas Pinang Daripada Perak

Bekas ini pula diukir dan diperbuat daripada perak.

Bekas pinang daripada perak ini adalah antara peralatan yang diperbuat daripada tahun 1940 adalah daripada hasil rekaan Cina Peranakan. Sama seperti rekaan pertama di atas, bekas ini tidak mempunyai bahagian-bahagian di dalamnya. Motif yang diukir di permukaan kotak ini pula jelas menunjukkan figura Cina dengan motif-motif bunga yang lain.


Bekas Sireh “Burmese Lacquer” (Kun-it)

Kun-it, amat cantik kerana ia diukir dan berkilat.

Lacquerware merupakan sebahagian hasil kepakaran masyarakt Burma sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas sireh ini juga dihasilkan sebahagian daripada hasil kraft menggunakan lacquer. Ia diperbuat daripada buluh yang diukir dengan motif-motif yang menarik, diwarnai dan dilapisi dengan lacquer yang menambahkan lagi kecantikan bekas sireh ini. Ia juga merupakan sebahagian hasil berasal dari Daerah Bagan, di Myanmar.


Tepak Sireh Perak, Batavia, Dutch East Indies

Set tepak sireh pembesar Belanda di Indonesia.

Ianya merupakan tepak sireh yang digunakan pembesar-pembesar belanda yang menduduki kawasan jajahan seperti Indonesia yang menjadikan budaya memakan sireh sebagai satu elemen penting di dalam kemasyarakatan. Tepak sireh ini dikatakan diperbuat pada awal 1900 dan masih dalam keadaan yang baik. Tepak sireh yang diperbuat dari bahan perak/emas dan batu berharga ini, adalah lazimnya digunakan oleh para pembesar sahaja.


Tepak Sireh Perak, Peranakan

Antara tepak sireh yang eksklusif dan sukar ditemui.

Satu lagi contoh tepak sireh yang diperbuat daripada perak dengan ukiran yang halus. Set penuh seperti ini dilengkapi dengan bekas sireh, kapur, pinang, kacip dan beberapa bekas yang lain. Tepak sireh ini adalah dari jenis rekaan yang lebih baru sekitar 1900. Namun begitu sekarang rekaan ini sukar didapati.

Tepak Sireh Buah Manggis

Tepak sireh ini boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Tepak sireh ini saya berikan nama sebagai buah manggis kerana ia mempunyai bekas yang menyerupai buah manggis. Ia boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur dan tidak dinyatakan tahun dan maklumat lebih jelas mengenai rekaan tepak sireh ini. Ia mempunyai jumlah set yang cukup termasuk, kacip, pemegang sireh, bekas pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Set-set seperti ini bukanlah digunakan oleh orang-orang biasa atau untuk kegunaan harian. Selain daripada rekaan yang unik, ia juga diperbuat dengan penuh kehalusan.

Tepak Sireh, Rajasthan India

Tepak sireh kegunaan harian dari Rajasthan, India.

Ini mungkin direka untuk kegunaan harian. Jelas menunjukkan ianya digunakan dengan kerap sehingga permukaan kayu ini haus. Namun begitu ia jelas menunjukkan bahagian-bahgian tertentu untuk hidangan sireh yang lengkap. Tepak sireh kegunaan harian seperti ini sememangnya akan direka seringkas mungkin kerana ianya akan mudah rosak (akibat pemakaian yang kerap). Walaupun begitu, tepak sireh ini tetap kelihatan unik.


Itu hanyalah sedikit daripada banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan budaya pemakanan sireh yang mungkin anda begitu kagum mengenainya. Walaupun kita tidak lagi mengamalkan pemakanan sireh, tidak sepatutnya ianya dilupakan kerana ia merupakan antara keunikan budaya kita yang amat berharga. Jadi sekiranya anda berpeluang, cari-carilah lebih banyak perkara berkaitan dengan sireh dan tepak sireh ini.


Free Download



Rabu, 18 Mei 2016

Kamera Resolusi Untra-high Google Mengambil Gambar Secara Terperinci

Google Art Camera membuat rakaman terperinci hasil seni penting.

Telah banyak kamera beresolusi tinggi yang dihasilkan kebelakangan ini, namun apa bezanya kamera resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Cultural Institute (GCI) yang dikenali sebagai “Art Camera”. Projek yang telah berjalan selama 5 tahun yang dikenali sebagai “Art Project” ini bermula sejak 2011 lagi dan digunakan untuk misi yang amat penting iaitu menyimpan gambar-gambar terperinci hasil-hasil lukisan penting dari seluruh dunia.

Gambar-gambar yang diambil adalah bersaz sehingga Gigapixel dan dimuatkan ke dalam laman web Google Cultural Institute (GCI). Gambar yang kaya dengan pixel ini membolehkan pemerhati membuat tinjauan terperinci daripada gambar pada saiz asal sehinggalah pada pembesaran imej bagi melihat lebih dekat kesan-kesan halus berus lukisan pelukis tersebut. Apa yang lebih baik, melalui kaedah ini juga kesan terperinci yang boleh diperhatikan adalah sehingga ke tahap kesan-kesan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Membuat rakaman hasil karya seni.

Pandangan sisi Google Art Camera.

Ia boleh dikendalikan dengan lebih mudah.

Bagi mendapatkan kualiti sebegini ianya memerlukan peralatan yang mahal dan hanya boleh dilakukan oleh mereka-mereka yang benar-benar berpengalaman. Jadi kerja-kerja mengumpul maklumat penting hasil seni ini akan menjadi satu kerja yang menelan kos yang amat tinggi. Maka Google memutuskan untuk membina satu kamera yang mempunyai fungsi khusus untuk kerja-kerja ini bagi memudahkan tujuan tersebut.

Menggunakan Art Camera kerja-kerja merakamkan imej terperinci hasil seni bersaiz gigapixel dapat dilkakukan pada jangka masa yang lebih singkat daripada biasa selain mudah dibawa bagi kerja-kerja tersebut dijalankan di muzium-muzium di serata dunia. Ia juga direka supaya dapat melakukan kerja-kerja tersebut dengan lebih efektif menggunakan sistem robotik yang membolehkan kamera membuat rakaman setiap inci hasil seni tersebut. Ia turut dilengkapi dengan teknologi laser dan sonar bagi membantu mendapatkan fokus yang tepat untuk setiap gosokan berus.

Melalui teknik ini, pemeriksaan terperinci pada lukisan (hasil seni) dapat dilakukan tanpa memindahkannya atau mendedahkannya kepada risiko kerosakan. Apabila kerja-kerja mengambil gambar terperinci ini selesai, ribuan imej-imej dari Art Camera tersebut akan digabungkan (stitched) menjadi satu imej yang sempurna.

Rakaman sekata untuk setiap inci lukisan.

Ciri-ciri halus lukisan dapat diperhatikan dengan jelas.

Google sehingga kini telah mengeluarkan 1000 hasil pertama gambar dengan kualiti resolusi ultra ini yang dihasilkan menggunakan kamera tersebut. Gambar-gambar tersebut adalah termasuk hasil karya oleh Pissarro, Signac, Rembrandt, Van Gogh dan Monet. Selain itu Google juga akan membekalkan kamera-kamera tersebut ke institusi-institusi di seluruh dunia bagi membolehkan kerja-kerja mendokumentasi karya seni dapat dilakukan.


*Art Project adalah merupakan salah satu daripada hasil Google Cultural Institute (GCI), yang membolehkan pengguna membuat tinjauan daripada muzium dan arkib secara online. Terdapat banyak lagi hasil-hasil kerja yang dihasilkan oleh CGI dalam memperkayakan hasil budaya dan seni dari seluruh dunia. Menarik!


Free Download



Rabu, 13 April 2016

Kecantikan Bulu Berkilauan Burung Merak Dari Jarak Dekat

Kecantikan bulu burung merak dari dekat.

Burung merak terkenal kerana memiliki warna bulu yang cantik berkilauan. Walaupun ciri-ciri warna berkilauan tersebut dimiliki oleh burung-burung lain serta hidupan lain, burung merak mempunyai kelebihan dari segi saiz ekornya yang besar. Ini ditambah lagi dengan corak pada ekornya yang menyerupai mata yang banyak.

Warna berkilauan (iridescent) ini amat istimewa kerana ia bukanlah seperti warna biasa yang dihasilkan oleh pigment, tetapi adalah permukaan halus pada bulu burung tersebut yang memantulkan cahaya berbeza mengikut sudut yang dipadang oleh pemerhati. Sebab itu warnanya akan terus berubah di dalam julat tertentu mengikut permukaan sesuatu kawasan pada bahagian bulu burung tersebut. Anda boleh mengikuti kisah bagaimana cahaya ini dipantulkan daripada kisah rama-rama morpho.

Oleh kerana tertarik dengan warna bulu burung merak, seorang ‘software engineer’ dan photographer dari Canada mengambil keputusan untuk melihat kecantikan bulu burung ini secara dekat menggunakan mikroskop yang dibesarkan sebanyak 500 kali ganda. Beliau amat tertarik dengan keistimewaan bulu burung merak yang mampu bertukar-tukar warna dari biru kepada keemasan mengikut sudut pandangan pemerhati.




Waldo Nell menggunakan kamera Canon Rebel T3i yang dipadankan bersama mikroskop Olympus BX53 untuk mendapatkan gambaran jelas bulu burung tersebut. Cahaya dipancarkan dari sudut yang berbeza bagi menghasilkan pantulan cahaya menarik untuk dirakamkan dengan kamera yang digunakannya.

Namun begitu bulu burung merak bukanlah satu-satunya yang menjadi bahan tatapan Waldo Nell di bawah mikroskop, malah beliau akan meletakkan hampir apa sahaja di bawah mikroskop untuk melihat secara dekat mengenai objek tersebut.

Walaupun bulu burung merak digunakan untuk menarik perhatian pasangan, ia juga mungkin mempunyai fungsi lebih dari itu. Manakala bagi manusia pula, bulu burung ini biasa digunakan untuk tujuan perhiasan dan ini adakalanya menjadi ancaman kepada burung tersebut.




Keunikan ciri-ciri ‘iridescent’ ini mungkin satu hari nanti boleh digunakan oleh manusia pada pakaian dan barangan pula. Jadi kita akan mempunyai pakaian yang berkilauan atau mungkin kenderaan dan bangunan yang berkilauan juga. Menakjubkan!




Free Download



Arkib Blog