Memaparkan catatan dengan label senibina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label senibina. Papar semua catatan

Ahad, 25 Oktober 2015

Keunikan Senibina Tanah Minang – Padang, Sumatra

Keunikan senibina Minangkabau dengan ukiran berwarna.

Bukittinggi lebih dikenali sebagai Tanah Minang terletak di Daerah Padang, Sumatra Barat yang merangkumi beberarapa kawasan utama daripada Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Padang Panjang dan Bukittinggi. Walaupun senibina utama di sini didominasi oleh senibina Minang dengan ciri-ciri bumbung bertanduk, sebenarnya daerah ini turut dibina dengan pelbagai senibina yang menceritakan latar belakang sejarah daerah ini sendiri dalam mengharungi arus masa dalam era yang berbeza.

Senibina di Daerah Padang rata-ratanya mengekalkan senibina dari kehidupan Masyarakat Minang sendiri. Tiada senibina lama yang ditinggalkan daripada zaman sebelumnya (kerana seperti yang kita ketahui keseluruhan Kepulauan Sumatra dan Jawa suatu masa dahulu pernah dipengaruhi oleh kepercayaan lain seperti Hindu dan Buddha). Cuma ciri-ciri ini hanyalah dalam bentuk warna yang digunakan pada ukiran-ukiran kayu pada bangunannya. Berbeza dengan kawasan-kawasan lain di sekitar Kepulauan Melayu – ukiran  kayu tidak diwarnakan sepertimana di sini.

Senibina Lapangan Terbang Minangkabau di Padang diilhamkan dari senibina Minangkabau sendiri.

Antara Rumah Gadang Lama yang terletak di pendalaman kampung di Bukittinggi.

Antara rumah lama yang masih terdapat di Pagar Ruyung.

Ciri-ciri Unik Senibina Minang

Ciri-ciri unik utama Minang adalah senibina Rumah Gadang dengan bumbung berbentuk tanduk yang masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan  di sekitar kawasan ini. Bangunan utama seperti yang dijadikan sebagai ‘Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ di Padang Panjang misalnya merupakan satu contoh yang baik bagi senibina Minangkabau yang asli.

Keunikan Rumah Gadang bukan sahaja terletak pada rupa bentuk binaannya malah fungsinya juga yang menempatkan beberapa keluarga dari satu generasi di bawah satu bumbung. Fungsinya ini pula dipengaruhi oleh corak kehidupan masyarakat setempat yang mengamalkan Adat Pepatih dan mengutamakan perlindungan kepada kaum wanita, manakala bagi yang lelaki pula perlu mendapat pendidikan yang cukup – maka mereka perlu tidur di surau sambil menjalani pembelajaran agama di sana.


Balai Adat, Koto Gadang, Bukittinggi.

Rumah Gadang di Pandai Sikek, Padang Panjang.
Rumah kampung dengan senibina Rumah Minang.

Senibina rumah gadang amat unik kerana ia tidak mempunyai dinding yang lurus, sebaliknya condong dan membesar di bahagian atasnya. Manakala di bahagian tepi pula adalah lebih tinggi berbanding bahagian tengahnya. Ia merupakan satu bentuk senibina yang jarang digunakan dalam senibina lama yang kebiasaannya menggunakan bentuk yang rata untuk lantai dan dinding. Namun begitu rumah-rumah gadang merupakan antara senibina yang mampu bertahan walaupun ditimpa gempa bumi.  Selain daripada rupa bentuknya yang unik ini, ia juga dibina tanpa menggunakan paku – mungkin antara peyumbang yang menjadikan ia satu binaan yang kukuh.

Masih terdapat beberapa binaan rumah gadang asli di beberapa kawasan di sekitar Padang. Rumah Gadang lama yang masih kekal sehingga hari ini antaranya adalah Rumah Kampai Nan Panjang yang terletak 13 km dari Batu Sangkar di kawasan yang dikenali sebagai Sungai Belimbing. Rumah Gadang ini dikatakan berusia lebih daripada 200 tahun (dan usia sebenar tidak diketahui). Rumah gadang yang asli menggunakan ijuk sebagai bahan binaan bumbungnya. Namun kebanyakan bumbung rumah gadang yang masih kekal ditukarkan kepada bahan lain kerana ijuk sukar digunakan dan mudah terbakar.

Rumah Gadang Kampai Nan Panjang  berusia ratusan tahun. - wikipedia.


Rumah Gadang di kawasan Solok yang dikenali sebagai "Nagari seribu rumah gadang" - gambar dari blog nashbahry.

Salah satu kawasan yang popular dengan rumah gadang adalah di Solok, juga di dalam Daerah Padang. Ia diberikan nama jolokan sebagai “Nagari seribu rumah gadang” kerana mempunyai jumlah rumah gadang yang lebih banyak di sini. Di lain-lain kawasan juga rumah-rumah gadang dapat diperhatikan seperti di kawasan Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Padang Panjang dan Bukittinggi. Apa yang menarik, senibina rumah gadang ini adalah variasi reka bentuk antara rumah-rumah gadang tersebut dan juga dekorasi yang digunakan. Jadi rumah gadang mempunyai pelbagai perbezaan yang perlu anda amati.

Masjid moden yang dibina di perkampungan Danau Maninjau.
Terdapat pancuran air dari sungai mengalir dari gunung yang jernih. 

Senibina Lain

Walaupun Padang rata-ratanya didominasi oleh senibina Minangkabau, apa yang akan anda temui di sini sebenarnya adalah variasi senibina yang amat luas. Variasi senibina ini terdapat bukan sahaja pada bangunan-bangunan zaman Belanda, malah bangunan selepas zamannya juga turut mempunyai ciri-ciri senibina yang berbeza.

Rumah lama yang didirikan dari zaman Belanda.
Rumah moden yang dibina dengan bercirikan tinggalan Belanda.

Bangunan-bangunan di zaman Belanda terdapat banyak di kawasan Koto Gadang – iaitu kawasan penempatan orang-orang Belanda semasa menduduki kawasan Bukittinggi yang turut membina Jam Gadang di Bukittinggi sendiri. Ciri-ciri bangunan binaan Belanda ini lebih ringkas dan menggunakan dinding batu. Reka bentuknya pula lebih geomatrik, bersegi dan simetri.

Variasi senibina yang paing ketara di daerah ini pula dapat dilihat daripada binaan masjid-masjid yang banyak dibina di sekitar Daerah Padang. Ia merupakan penyumbang kepada senibina yang paling luas di sini. Berbanding dengan bangunan-bangunan biasa yang lain, senibina masjid-masjid di sini bukan hanya dipengaruhi oleh senibina Minang, malah bebas menzahirkan kreativiti senibina yang mencerminkan fungsinya sebagai antara bangunan penting masyarakat setempat.

Khubah Perak antara binaan khubah yang popular di sekitar Dearah Padang. 

Binaan Masjid Baru ini mengetengahkan sinibina moden.

Masjid lama yang terletak di perkampungan Koto Gadang, Bukittinggi.

Masjid kecil di tengah kampung ini juga tidak kurang menariknya.

Mahupun bangunan masjid lama ataupun baru ia dibina dengan reka bentuk yang amat unik. Jadi anda boleh melihat ciri-ciri keunikan pada setiap binaan masjid di daerah ini. Rekaan masjid di sini mempunyai bumbung daripada berbentuk khubah dan pelbagai bentuk geomatrik. Ini ditambah lagi dengan ciri-ciri binaan bangunan itu sendiri yang adakalanya menyerupai bangunan moden yang cantik. Bagi sesetengah masjid pula ia dibina dilengkapi dengan kolam air daripada air jernih yang mengalir dari gunung – seperti masjid di kawasan Danau Maninjau.

Mungkin banyak perkara yang boleh diperhatikan di daerah ini yang menampilkan ciri-ciri keunikan binaan masyarakat di sini. Terutama kehalusan seni ukiran kayu yang berwarna-warni.  Bahan-bahan binaan lama yang terdiri daripada kayu, buluh, ijuk dan sebagainya semakin kurang digunakan oleh kerana perubahan zaman. Namun begitu keunikan senibina yang luas ini juga mencerminkan Tanah Minang, bukanlah hanya didominasi oleh satu pemikiran yang tertutup tapi turut menerima idea-idea lain yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.


Rumah dari zaman pendudukan Belanda di Kota Gadang, Bukittinggi.

Ijuk sebagai bahan asli binaan bumbung Rumah Minang.

Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberikan panduan kepada anda dalam membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri binaan (architecture) yang terdapat di Daerah Padang. Antara lainnya membuka kepada rekaan-rekaan baru yang mungkin sebelumnya dirasakan janggal untuk dicuba. Maka dengan ini juga saya mengucapkan tahniah bagi masyarakat di sana yang mampu melahirkan binaan-binaan yang unik di daerah mereka.




Free Download



Sabtu, 3 Oktober 2015

Destinasi – Amsterdam Zaandam Inntel Hotel, Netherlands

Inntel Zaandam dengan rekabentuk unik.

Netherland atau  juga dikenali sebagai Belanda merupakan sebuah negara yang unik, yang terkenal dengan kincir anginnya. Kira-kira 26% daripada bahagian negerinya berada di bawah paras laut, dan kebanyakan bahagian negerinya adalah rata.

Netherland bukan sahaja kaya dengan keyunikan mukabuminya itu, malah senibinanya juga amat unik berbanding dengan negara-negara lain di sekitar Eropah. Jadi keunikan ini boleh dilihat dengan ketara seperti yang terdapat pada senibina Amsterdam Zaandam Inntel Hotel. Iaitu sebuah hotel empat bintang yang dibina bercirikan rumah-rumah tradisional yang terdapat di sekitar Daerah Zaan.
Sesuai dengan kategorinya iaitu empat bintang hotel ini menyediakan kemudahan yang cukup untuk pengunjungnya seperti bilik-bilik yang selesa, Wellness Club, kolam renang, WiFi percuma bagi melengkapi keperluan moden disebalik senibinanya yang penuh tradisi.

Lokasi hotel ini juga agak strategik dan dikelilingi dengan pusat-pusat membeli belah dan hiburan. Lokasi-lokasi lawatan lain seperti muzium juga terletak tidak berapa jauh dari sini. Jadi ia sememangnya merupakan salah satu hotel yang amat sesuai untuk penginapan dan juga lawatan ke kawasan sekitarnya.


Pandangan hadapan hotel.


Pandangan panorama sekitar hotel.
Rekaan hotel ini berjaya menyatukan ciri-ciri unik tradisi dari daerah Zaan digabungkan dengan rekabentuk moden. Ini membuatkan anda ingin sekali mengunjunginya dan tinggal di sini. Malah warna-warna garangnya juga adalah adaptasi dari lukisan seorang pelukis Perancis iaitu Claude Monnet (1840-1926) semasa beliau tinggal di Daerah Zaan.

Sama juga dengan hotel-hotel lain, hotel ini menyediakan kemudahan asas yang diperlukan termasuk sewaan basikal, simpanan barang, kemudahan komputer berinternet dan sebagainya. Turut disediakan adalah kemudahan pandu arah secara digital untuk menerokai daerah ini dengan lebih mudah bagi pengungjung. Ia juga turut menyediakan cenderahati bagi pelanggan.

Daerah Zaan yang terkenal dengan senibina tradisi.

Peta digital untuk kemudahan pengunjung.


Wellness Club.

Sekiranya anda berminat berpeluang melawati Netherlands ke kawasan ini jangan lepaskan peluang anda untuk menginap di kemudahan penginapan yang amat istimewa ini. Ia juga merupakan satu lagi senibina pencetus inspirasi. Lawati website hotel di sini.
Free Download



Khamis, 27 Ogos 2015

Sagrada Família Senibina Menakjubkan Antoni Gaudi

Sagrada Família
Sagrada Família, pembinaannya diteruskan sehingga tahun 2026.

Sebuah senibina yang menakjubkan mula didirikan pada tahun 1882 (lebih dari 100 tahun dahulu) di dimana proses pembinaannya masih diteruskan dan dikatakan hanya akan disiapkan pada tahun 2026 nanti. Bangunan yang direka oleh seorang pereka tersohor ini iaitu Antoni Gaudi merupakan antara beberapa bangunan dengan rekabentuk yang berbeza daripada rekabentuk bangunan-bangunan biasa. Ia merupakan satu daripada tujuh bangunan rekaannya yang dinobatkan sebagai bangunan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Antoni Gaudi i Cornet nama penuh Antoni Gaudi (dilahirkan pada 25 Jun 1852 – 10 Jun 1926) merupakan seorang arkitek Spanish Catalan yang berasal dari Reus. Menghasilkan rekaan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di mana kebanyakan bangunan rekaan beliau didirikan di Bandar Barcelona dan ini termasuklah rekaan teragung beliau iaitu Sagrada Familia.


Proses pembinaan terus dijalankan.

Rekaan beliau dipengaruhi dengan corak hidupnya yang mendalam terhadap; senireka, alam semulajadi dan keagamaan. Malah setiap rekaannya menitik beratkan setiap penggunaan bahan-bahan sehingga kepada perincian halus penggunaan ‘stained glass’, besi keluli, dan juga kerja-kerja kayu. Beliau juga menitik beratkan penggunaan bahan yang dikenali sebagai ‘trencadís’, iaitu penggunaan bahan terbuang seperti kepingan ‘ceramics’. Dimana penggunaan bahan-bahan seperti ini dapat dilihat dengan jelas pada binaan seperti Casa Milà dan juga Casa Batlló.

Sagrada Família berbeza dengan bangunan-bangunan lain rekaannya dari segi saiz dan juga rekaan. Pada  rekaan Sagrada Família, Antoni Gaudi menampilkan segala luahan yang ingin dilahirkannya pada bangunan tersebut. Walaupun beliau sendiri tidak mensasarkan binaan ini perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat, ia akhirnya memakan masa sehingga ratusan tahun untuk disiapkan setelah mengalami pelbagai fasa masa termasuk perang saudara di Sepanyol (Spanish Civil War).


Tiang-tiang seperti pokok yang menyokong bumbungnya.
Rekaan 'facade' dipenuhi dengan ukiran halus.

Antara lain yang menyebabkan bangunan ini dibina dengan perlahan adalah kerana ia dibangunkan dengan dana sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai. Perang menyebabkan kerja-kerja pembinan terhenti. Malah terdapat beberapa insiden yang menyebabkan bangunan mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki semula. Kerja-kerja penyambungan semula hanya dilakukan pada tahun 1950-an.  Sehingga tahun 2010 apabila ia mencapai kepada tahap-tahap mencabar pada rekaan tersebut.

Secara keseluruhan bangunan ini penuh dengan mesej yang berkait dengan Agama Kristian, dimana beliau sendiri merupakan seorang pereka yang kuat dipengaruhi dengan senibina ini. Keseluruhan binaan pada Sagrada Família banyak terselit unsur-unsur keagamaan dari segi struktur binaan, mahupun pada ukiran-ukiran yang terdapat padanya. Bukan itu sahaja, binaan struktur yang berbeza seperti ruangan dalam bangunan memperlihatkan pendekatan yang lebih unik digunakan oleh Antoni Gaudi.


Antara pemandangan dalaman bangunan.

Kemajuan dalam teknik pembinaan seperti penggunaan komputer (computer-aided design) adalah antara faktor yang membantu untuk mempercepatkan lagi proses pembinaan pada bangunan unik ini. Selain itu juga penggunaan peralatan-peralatan moden lain (‘CNC milling’ misalnya) juga turut membantu berbanding dengan teknik ukiran tangan manusia.

Kerja-kerja pembinaan bangunan ini akan diteruskan sehingga tempoh jangkaan siapnya iaitu 2026 nanti. Namun begitu ia terus menjadi antara lokasi lawatan popular di Barcelona yang turut menjadi sumber pembiayaan pembangunanya yang pada tahun 2009 perbelanjaan diperlukan beranggaran €18 juta. Namun begitu ia terus berhadapan dengan ancaman lain seperti pembinaan keretapi laju AVE iaitu keretapi bawah tanah yang dibimbangi akan melemahkan struktur bangunan ini. Walaupun tiada keroskan dilaporkan disepanjang pembinaannya namun pergerakan keretapi di bawahnya ini mungkin memberi kesan jangka panjang.

Pemandangan bangunan pada waktu malam.


Terlalu banyak perkara yang menarik mengenai bangunan Sagrada Família sebagai hasil rekaan senibina penuh bersejarah, budaya dan keagamaan. Ini kerana ia menampilkan ciri-ciri kepercayaan pereka dimana pada masa yang sama mengingatkan kita, bahawa kita mempunyai kepercayaan masing-masing. Maka untuk mengenali Sagrada Família dengan lebih dekat, anda perlulah membuat kajian sendiri dan melawatinya sekiranya berkesempatan.




Free Download



Rabu, 6 Mei 2015

Bangunan-bangunan Pintar di Dunia


Bangunan pintar merupakan bangunan yang mempunyai ciri-ciri istimewa dalam memastikan bangunan tersebut memberikan fungsi yang diperlukan dengan tenaga yang lebih jimat, kurang pencemaran, menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan pelbagai lagi. Ia merupakan satu ciri-ciri penting dalam seni reka bangunan pada masa ini memandangkan isu penggunaan tenaga menjadi satu perkara penting di samping mengelakkan masalah pencemaran yang semakin meruncing.

Berikut adalah beberapa bangunan di serata dunia yang merupakan bangunan-bangunan pintar dengan beberapa ciri-cirinya;

Leadenhall Building, London


Bangunan Leadenhall ini mempunyai spesifikasi penjimatan tenaga yang lebih menyeluruh. Mengandungi 293 meter untuk mengesan penggunaan cahaya. Selain itu juga ia menguatkan pemasangan pengaliran air yang perlahan manakala panel pemantul di bahgian luarnya pula membenarkan ruang pengaliran udara pada setiap tingkat ke-7 untuk membenarkan pengaliran udara yang lebih lancar selain mengurangkan penggunaan penghawa dingin.

Capital Tower, Singapore


Merupakan antara bangunan pintar terawal selama lebih 15 tahun, Bangunan Capital Tower di Singapura ini siap di bina pada tahun 2000. Menggunakan sistem kawalan yang dikenali sebagai ‘Integrated Intelligent Building System’ (IBMS) untuk mengawal perkhidmatan dan kemudahan di dalam bangunan tersebut. Selain itu ia turut dilengkapi dengan sistem parking pintar yang menyediakan paparan semasa di pintu masuk tempat letak kereta bangunan tersebut.

Lift-lift di dalam bangunan ini juga turut dilengkapi dengan paparan yang memaparkan berita-berita semasa. Melalui pengurusan tenaga  ‘eco-friendly’ yang digunakan pada bangunan ini menjadikan ia antara bangunan pintar yang mendahului bangunan-bangunan lain.

David Brower Centre, California


Seperti bangunan-bangunan pintar yang lain juga bangunan ini menggunakan tenaga dengan efisyen disamping penjanaan tenaga solar sebanyak yang mungkin.

Kesemua bahagian di dalam bangunan mendapat cahaya matahari dengan baik bagi mengurangkan penggunaan lampu. Manakala panel-panel solar digunakan untuk menyediakan perlindungan dari cahaya matahari selain daripada menjana tenaga elektrik.

Ia juga turut dilengkapi dengan pengesan Co2 untuk mengaktifkan kemasukan udara segar secara automatik.

Port of Portland, Oregon


Bangunan ini dilengkapi dengan sistem pengurusan air buangan yang bertaraf dunia. Ia berjaya mengurangkan penggunaan air sebanyak 75% dengan menggunakan air yang digunakan oleh 500 pengguna bangunan tersebut.

Menggunakan sistem yang dikenali sebagai The Living Machine, yang juga menganugerahkan bangunan tersebut dengan pensijilan LEED Platinum, menghasilkan air berkualiti yang digunakan untuk tujuan pengepaman tandas dan juga menara penyejuk bangunan tersebut.

SAP America Headquarters, Pennsylvania


Bagunan yang dilengkapi dengan bumbung hujau (dipenuhi tumbuhan) menerima penganugerahan terbesar LEED Certified Platinum di negeri Pennsylvania.

Meliputi 210,000 kaki persegi bangunan ini mempunyai banyak ciri-ciri istimewa dalam menggunakan sumber dan tenaga secara optimum. Ia bukan sahaja menggunakan simpanan air hujan bagi tujuan pengepaman tandas malah untuk tujuan penyiraman pokok-pokok pada landskap bangunan.

Bangunan ini juga turut menggunakan perigi geothermal, sistem kalibrasi kilat dan juga sistem pengaliran angin yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga.



Terminal B di Mineta San Jose International Airport ini mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri yang menyebabkan ia tersenarai di dalam bangunan-bangunan pintar. Selain daripada rekabentuk yang membolehkan ia menggunakan sebanyak mungkin cahaya daripada matahari, ia juga dilengkapi dengan sistem self –checking serta pengimbasan bagasi.

Selain itu juga para penumpang yang menunggu boleh menggunakan “Air Chair”, kerusi yang dilengkapi dengan soket untuk tujuan mengecas peralatan elektronik. Bangunan ini juga direka bagi mempunyai sistem pengaliran udara yang menjimatkan tenaga.

The New York Times, NY


Bangunan untuk akhbar harian New York yang berumur 164 tahun ini siap dibina pada tahun 2007 dilengkapi dengan tirai seramik yang melindinginya daripada matahari.

Tirai seramik merupakan tiub yang berfungsi untuk memantulkan cahaya matahari bagi menghasilkan warna-warna yang berbeza. Menggunakan tingkap daripada lantai ke syiling bagi memastikan cahaya yang maksima untuk menerangi bahagian dalaman bangunan ini. Selain itu juga ia turut dilengkapi dengan pelindung matahari yang dilengkapi dengan pengesan untuk mengurangkan cahaya matahari memasuki bangunan secara terus dan ini mengurangkan suhu panas di dalam bangunan.

Beijing Airport, T3 Terminal


Beijing Airport T3, merupakan terminal kedua terbesar selepas Dubai International Airport. Dibina bagi menyediakan kemudahan pengangkutan menjelang Olimpik di Beijing pada tahun 2008.

Terminal ini dilengkapi dengan 25,000 monitor dan pengesan (sensors) untuk memastikan keselamatan dan juga penggunaan tenaga yang efisyen. Terdapat 10 stesen kerja yang mengawal air, suhu dan pengaliran udara melalui sistem automasi Schneider Electric yang dibekalkan oleh IBM, bagi memastikan kesemua sistem kawalan dan lebih daripada 1,600 kipas berfungsi dengan baik.

Musée du quai Branly, Paris


Pada tahun 2006, seluas 800 meter persegi dinding muzium ini telah ditukar kepada dinding daripada tumbuh-tumbuhan hidup dari serata dunia. Terdapat kira-kira 15,000 tumbuhan, daripada 150 jenis di tanam memenuhi ruang dinding bangunan ini dalam usaha untuk memperbaiki kualiti udara di persekitaran tersebut juga sebagai langkah penjimatan tenaga.

The Gates' Home, Washington


Rumah kediaman milik Bill Gates ini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar yang mampu menukarkan persekitaran di dalam bilik mengikut ciri-ciri yang bersesuai dengan seseorang yang tinggal di rumah tersebut. Manakala tetamu pula akan dibekalkan pin untuk menukarkan tetapan ini sebaik sahaja memasuki bilik tersebut.


Dilengkapi dengan sistem server bagi keseluruhan kawasan, kolam renang 18 m (60 ft.) dengan sistem bunyi dalam air, gimnasium berkeluasan 230 m2 (2,500 ft.2), ruang makan berkeluasan 93 m2 (1,000 ft.2) dan lantai dengan dengan sistem pemanas. 




Free Download



Arkib Blog