Memaparkan catatan dengan label telefon pintar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label telefon pintar. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Julai 2020

Cara Mendapatkan Password Atau Berkongsi Kata Laluan Untuk WiFi Melalui Pengesan QR

Terdapat banyak cara untuk anda mendapatkan sambungan internet melalui talian WiFi. Cara yang paling biasa ialah dengan memasukkan kata laluan. Cara lain pula ialah dengan menggunakan fungsi butang WPS pada router di mana anda hanya perlu hidupkan fungsi WPS pada komputer atau telefon pintar anda, dan kemudian tekan butang WPS pada router untuk mendapatkan sambungan WiFi secara terus.

Bagaimana pula jika anda telah pun mempunyai sambungan WiFi tetapi anda tidak tahu kata laluan WiFi tersebut untuk dikongsi dengan rakan atau keluarga anda? 

Kini terdapat fungsi terbaru di mana anda boleh mendapatkan sambungan WiFi dari router dengan hanya mengesan kod QR pada peranti anda. Fungsi ini hanya boleh didapati pada telefon pintar Android 10 ke atas. Jika anda ingin berkongsi kata laluan WiFi dengan rakan-rakan atau keluarga anda, cara mengesan kod QR adalah cara yang terbaik.

Perlu diingatkan bahawa untuk mengesan kod QR ini, telefon anda dan rakan atau keluarga anda perlu menggunakan telefon Android 10 ke atas. Jika anda ingin berkongsi kata laluan WiFi kepada rakan atau keluarga anda, sambungan WiFi mestilah telah disambungkan kepada telefon anda terlebih dahulu. Selepas itu barulah anda boleh menggunakan cara ini.

CARA-CARA

1. Pergi kepada Settings / Tetapan dan pilih WiFi.
*Pilihan Settings / Tetapan adalah bergantung kepada jenama telefon Android. Tetapi kebanyakannya adalah sama.



2. Tekan pada talian WiFi yang anda ingin kongsi bersama rakan atau keluarga anda. Imej kod QR akan dipaparkan selepas itu.



3. Selepas itu rakan atau keluarga anda boleh menggunakan mana-mana aplikasi pengesan kod QR dan mula mengesan kod QR tadi.


Anda juga boleh menyimpan imej kod QR tadi dan menghantar terus kepada rakan atau keluarga anda. Mereka boleh menggunakan aplikasi pengesan kod QR yang mampu mengesan kod melalui imej. Dengan cara ini, anda masih boleh berkongsi walaupun rakan atau keluarga anda tidak berada di tempat yang sama.

Sesetengah aplikasi pengesan kod QR mampu memberikan maklumat terperinci mengenai talian WiFi tersebut termasuk nama dan kata laluan. Jadi, anda boleh mendapatkan kata laluan atau menghantar terus imej kod QR kepada rakan atau keluarga anda.

 

Adakah memiliki lebih Ingatan RAM memberikan kelebihan kepada telefon pintar?

Adakah memiliki lebih Ingatan Capaian Rawak (RAM) memberikan lebih kelebihan pada telefon pintar? Ini adalah persoalan biasa muncul di fikiran semua terutamanya mereka yang ingin membeli telefon pintar baru.

Sebelum itu, apa itu RAM? RAM adalah singkatan kepada "Random Access Memory" atau di dalam bahasa Melayu bermaksud 'Ingatan Capaian Rawak'. RAM berfungsi sebagai tempat simpanan data sementara. Boleh dikatakan hampir kesemua peralatan elektronik menggunakan RAM kerana data daripada RAM dapat dibaca dengan cepat dan pantas. Fungsi RAM pada telefon pintar ketika boleh dikatakan hampir sama dengan fungsi RAM pada komputer.



Kemunculan model-model telefon pintar terbaru kini mempunyai RAM yang tinggi jika dibandingkan dengan model-model yang terdahulu. Malah, telefon pintar klon juga kini mempunyai RAM yang tinggi. Ini menunjukkan yang kapasiti RAM adalah amat penting untuk dunia telefon pintar sekarang.

Pada beberapa tahun lepas, 1GB RAM dikira sebagai cukup untuk menampung aplikasi-aplikasi ketika itu. Kemudian ia dinaikkan kepada 2GB dan seterusnya. Buat masa kini, mempunyai 2GB RAM adalah sekadar cukup-cukup makan. Walau bagaimanapun, ianya dikira masih tidak mencukupi kerana terdapat banyak aplikasi-aplikasi terbaru yang memerlukan RAM yang lebih.

Buat masa ini, mempunyai RAM sebesar 3GB adalah cukup untuk penggunaan aplikasi biasa seperti media sosial, mesej dan permainan yang bersaiz kecil. Tetapi RAM bersaiz 4GB adalah piawai terbaru untuk ketika ini di mana ianya dikira saiz yang sesuai untuk kegunaan umum.



Dari segi permainan mobil, RAM memainkan peranan penting kerana permainan mobil kini semakin banyak yang mempunyai saiz yang besar dan memerlukan kapasiti RAM yang tinggi. Malah, permainan kecil yang berkonsepkan teka-teki juga kini memerlukan RAM yang tinggi.

Tetapi prestasi permainan mobil masih lagi sangat bergantung kepada kekuatan cip pemproses grafik. Mempunyai RAM yang tinggi tetapi mempunyai cip grafik yang bertaraf rendah tidak semestinya mampu memberikan prestasi terbaik kepada sesetengah permainan mobil. 

Tugas utama RAM adalah untuk mempercepatkan proses aplikasi berfungsi. Lebih laju kelajuan, lebih cepat aplikasi dapat berfungsi. Tetapi kini ia dilihat lebih kepada berapa banyak aplikasi yang dapat dibuka dan berfungsi dalam satu masa.

Ini adalah benar kerana, data maklumat aplikasi yang dibuka disimpan di dalam RAM untuk kegunaan seterusnya tanpa perlu mengambil data maklumat dari storan. Ini membolehkan data dapat dibaca dengan pantas jika dibandingkan dengan data yang baru diambil dari storan. Proses ini hanya berlaku selagi aplikasi tidak ditutup sepenuhnya.


Kebanyakkan aplikasi popular ketika ini terutamanya aplikasi media sosial dan mesej masih lagi berjalan walaupun aplikasi ini telah ditutup. Salah satu sebab mengapa telefon mengambil banyak memori daripada RAM.

Kesimpulannya, mempunyai RAM yang mencukupi adalah amat penting dan kapasiti RAM yang tinggi mampu memberikan prestasi terbaik kepada telefon pintar.
 

Ahad, 21 Jun 2020

Permainan Pokemon Mobile Yang Membantu Dan Mendorong Anak-Anak Memberus Gigi


Pokemon Smile merupakan sebuah aplikasi permainan percuma untuk Android dan iOS yang mendorong kanak-kanak memberus gigi. 



Aplikasi ini dicipta untuk memperbaharui tabiat kanak-kanak memberus gigi. Aplikasi ini menggunakan kamera telefon untuk memantau kanak-kanak ketika mereka memberus gigi mereka. Selepas memberus gigi, mereka boleh bertarung dan menangkap Pokemon kegemaran mereka untuk dijadikan koleksi sama seperti di aplikasi Pokemon Go.

Semasa permulaan, kanak-kanak (atau anda) boleh memilih Pokemon kegemaran mereka.




Pokemon Smile menggunakan teknologi AR di mana penggunaan kamera depan akan digunakan supaya kanak-kanak dapat melihat diri mereka memberus gigi disamping dengan 'topi' khas yang disediakan. Sekali gus bermain dengan permainan supaya mereka lebih seronok memberus gigi. Sebagai contoh, kuman akan datang menyerang ketika mereka memberus gigi termasuk pokemon yang datang secara rawak.

Setelah selesai memberus gigi, kanak-kanak boleh mengetuk skrin untuk melemparkan bola Pokeball kepada Pokemon yang "dikalahkan" untuk menangkap Pokemon tersebut. Mereka juga akan mendapat hadiah seperti topi dan pelekat AR dengan setiap misi yang selesai.


Ada lebih dari 100 Pokemon untuk ditangkap dalam permainan sehingga anak-anak anda dapat mengumpulkan kesemuanya. Pokemon Smile juga dapat memberikan sehingga tiga notifikasi setiap hari untuk memberus gigi dan mengatur pemasa untuk setiap sesi memberus gigi.

Khamis, 15 Jun 2017

System Penjagaan Taman Berkuasa Solar Dari FuseProject

Edyn Smart Gardening System, sistem tanaman integrasi yang lengkap.

Penjagaan taman merangkumi pengawasan berterusan dari segala aspek termasuk keadaan pokok, pembajaan, pengairan, keadaan tanah, suhu dan sebagainya. Maka pereka kreatif moden memikirkan pelbagai kaedah untuk memudahkan para peminat seni taman tidak meninggalkan hobi mereka semata-mata kerana kesibukan urusan harian.

Antara rekaan kreatif dalam teknik penjagaan taman ini adalah rekaan dari FuseProject yang dikenali sebagai “Edyn Smart Gardening System”. Sistem yang direka untuk taman moden ini bukan sahaja membantu para peminat taman untuk satu sistem penjagaan sahaja, malah ia merangkumi segala aspek termasuk memberi pendapat mengenai jenis tanaman yang sesuai mengikut sesuatu keadaan tanah, pencahayaan, pH tanah dan sebagainya. Ia merupakan sistem tanaman yang lengkap dan amat memudahkan sekiranya digunakan dengan betul.

Segala hasil pengukuran dipaparkan melalui telefon dengan mudah.

Tidak memerlukan sistem pendawaian yang menyukarkan.

Menggunakan tenaga solar di celah-celah tanaman anda.

Ia mempunyai pelbagai ‘sensor’, untuk membuat pelbagai ujian dan merekodkan ujian ini untuk paparan anda secara langsung. Ia juga boleh direkodkan untuk semakan akan datang. Kesemua kawalan dan rekod ini boleh diikuti melalui telefon bimbit anda dari mana-mana. Selain itu Edyn juga menggunakan tenaga solar untuk membekalkan tenaga kepada peralatan elektroniknya. Jadi anda tidak perlu bersusah payah menyediakan pendawaian untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan ini.


Mudah dikendalikan melalui telefon bimbit anda.

Komponen-komponen yang melengkapkan sistem ini.

Edyn merupakan sistem tanaman yang amat canggih dan boleh diperkembangkan lagi untuk aplikasi yang lebih besar. Apa yang menarik di sini, mereka yang menanam dalam saiz yang kecil juga boleh menggunakan Edyn dengan kos yang lebih rendah. Sistem ini ternyata dapat menjimatkan banyak masa para penanam dalam usaha mendapatkan tanaman yang sihat serta hasil yang lebih baik. Satu lagi rekaan yang menarik.


Free Download



Isnin, 8 Ogos 2016

Aplikasi Meneroka Dunia Biologi Secara Global

Pelbagai maklumat biologi boleh dikongsi melalui iNaturalist.

Kebanyakan dari kita hari ini memiliki telefon pintar yang berupaya memberikan pelbagai kebaikan dan tidak digunakan sebaiknya. Selain sepatutnya ianya digunakan untuk tujuan menambah maklumat berguna, ia juga mungkin dapat membantu kita memberikan sumbangan kepada maklumat ilmu pengetahuan itu sendiri. Tanpa penglibatan semua, usaha pengumpulan maklumat menjadi agak sukar.

Sehubungan itu para penyelidik menggunakan kemudahan telefon bimbit untuk tujuan perkongsian maklumat dalam usaha mengesan spesis-spesis baru di seluruh dunia. Para pengguna bukan sahaja boleh mendapat maklumat mengenai sesuatu haiwan yang mereka temui, malah boleh berbincang bersama mereka yang lebih arif di dalam lapangan tersebut.

Contoh serangga yang dikongsi ke platform iNaturalist.

Kerja-kerja mengesan spesis hdiupan mengambil masa yang lama.

Usaha yang dijalankan ini telah menemukan lebih banyak spesis-spesis baru dari seluruh kawasan di merata dunia. Penemuan ini dapat memudahkan para penyelidik dan kita sendiri mengawasi spesis-spesis penting daripada mengalami kepupusan. Sebaliknya ia juga mungkin spesis yang menyebarkan penyakit dan dapat pula kita berhati-hati.

Antara applikasi yang digunakan untuk mengesan spesis serangga juga hidupan lain adalah iNaturalist yang boleh dimuat turun untuk telefon bimbit Android mahupun iOS. Aplikasi ini memudahkan anda berkongsi maklumat penting penemuan anda termasuk lokasinya. Penemuan ini seterusnya akan dikongsi bersama ramai lagi pengguna lain yang juga dari kalangan amatur dan pakar untuk membantu anda mengesan spesis yang anda temui.

Aktiviti berkumpulan menjadi satu bentuk riadah.

Rangkaian iNaturalist di seluruh dunia.

'Interface' applikasi iNaturalist (iOS).

iNaturalist kini digunakan oleh lebih daripada 250,000 pengguna dan mengandungi sekitar 3 juta pemerhatian. Malah, banyak spesis baru dikesan melalui perkongsian seperti ini. Perkongsian melalui internet bukan sahaja menjimatkan masa tetapi turut memberi peluang kepada semua untuk turut sama memberikan sumbangan kepada dunia sains.


Banyak lagi applikasi-applikasi seumpama ini yang boleh digunakan untuk perkongsian maklumat hidupan mahupun tumbuhan. Jadi selain menggunakan telefon bimbit anda untuk tujuan berhubung bersama keluarga dan rakan, apa salahnya bersama-sama memberi bantuan kepada tujuan yang tidak kurang pentingnya.


Free Download



Sabtu, 26 Mac 2016

Mengenal Spesis Tumbuhan Menggunakan App

Mengenal tumbuhan dengan mudah menggunakan Pl@ntNet.

Mengenal tumbuhan merupakan antara perkara yang rumit bagi orang biasa yang bukan ‘botanist’. Oleh sebab itu minat untuk mengenali tumbuhan tidak berkembang dengan baik – bahan rujukannya pula seperti buku dan perisian komputer juga tidak membantu sekiranya anda tidak mempunyai asas yang baik dalam bidang tumbuh-tumbuhan.

Terdapat lebih daripada 400,000 jenis tumbuhan berbunga dan untuk mengenali setiap satunya bukanlah satu perkara yang mudah. Jadi dengan adanya kemudahan telefon pintar hari ini, maka ianya digunakan untuk tujuan mengenal spesis-spesis tumbuhan ini dan ianya dilakukan beramai-ramai secara global. Melalui cara ini maklumat yang lebih banyak dan tepat dapat dikumpul dalam satu pengkalan data untuk rujukan bersama.

Ia akan bertindak sebagai sebuah rangkaian sosial yang besar bagi mengumpulkan data-data seperti gambar, nama dan maklumat-maklumat lain mengenai tumbuhan tersebut. Ia dibangunkan oleh saintis dari empat organisasi kajian di Perancis termasuk Cirad, IRA, Inria/IRD, dan juga Tela Botanica Network.

Maklumat mengenai tumbuhan dipaparkan menggunakan telefon pintar.

Contoh daripada gambar skrin app tersebut.

Mengenali spesis tumbuhan di masa sahaja.

Selain daripada berkongsi maklumat daripada pengguna lain, ia juga boleh mengenali pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang ada di dalam pengkalan datanya. PlantNet setakat ini mempunyai lebih daripada 4,100 spesis tumbuh-tumbuhan liar daripada Perancis sendiri dan ianya turut disertakan di dalam app tersebut. Jumlah tumbuhan ini akan terus berkembang mengikut perkembangan pengguna ini nanti.

Jadi setiap pengguna bukan sahaja boleh menggunakan app ini untuk mengenali tumbuhan tertentu, malah dapat pula berkongsi maklumat dengan pengguna-pengguna yang lain. Ini dapat membantu kita mengenali antara tumbuhan berguna, berubat, beracun dan sebagainya. Walaupun hari ini kita dengan mudah boleh mendapatkan sumber makanan dan ubatan dari tumbuhan dengan mudah dari pasaran, namun banyak lagi spesis tumbuhan berguna yang semakin dilupakan.


Melalui app ini kita boleh mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam mengenali spesis-spesis tumbuhan tempatan mahupun antarabangsa. App yang disediakan untuk iOS dan juga Adroid ini boleh dimuat turun melalaui link ini. Semoga ia mendatangkan manfaat kepada anda dan orang lain.







Free Download



Ahad, 6 September 2015

Tukar Kamera Telefon Anda Menjadi Kamera Infra Merah (Infared)

Haba hanya boleh dilihat dengan kamera inframerah.

Kamera infra merah (infrared) sebelum ini hanya digunakan dalam teknologi ketenteraan kerana harganya yang agak mahal. Teknologi ini tidak dikongsikan kepada penggunaan orang ramai. Namun baru-baru ini sebuah syarikat dikenali sebagai FLIR menyediakan kamera yang boleh digunakan pada ‘smartphone’ anda untuk menjadikannya kamera inframerah.

Walaupun ramai yang tertanya apakah kegunaan kamera inframerah bagi orang awam. Soalan ini mungkin tidak terlalu sukar apabila anda memerlukannya. Kamera inframerah boleh mengesan haba walaupun ianya tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Ini bermakna selain daripada haba, banyak lagi perkara lain yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Mata manusia hanya sensitif kepada jarak gelombang elektromagnetik tertentu yang dipanggil cahaya nampak. Manakala haba juga menghasilkan gelombang pada jarak pendek yang tidak dapat dilihat oleh manusia.


Keupayaan pengelihatan manusia amat terbatas.

Kamera inframerah dapat mengesan haba yang dihasilkan oleh benda-benda hidup (terutama berdarah panas) seperti haiwan peliharaan atau mungkin mengesan orang yang bersembunyi di dalam gelap. Selain itu juga, ia boleh mengesan kebocoran paip di dalam syiling dan lantai misalnya. Anda juga boleh mengetahui sesuatu objek yang telah betul-betul sejuk atau masih panas yang kelihatan sama sahaja.

Kamera ini mungkin boleh membantu bagi mereka yang meminati kegiatan luar seperti “camping” dan “jungle trekking”. Ia boleh mengesan sekiranya ada kehadiran haiwan-haiwan yang tidak diingini disamping mengawasi ungun api yang dinyalakan telah betul-betul padam sebelum anda meninggalkan kawasan perkhemahan.


Kamera FLIR dipasang pasa telefon bimbit.

Mengesan objek panas penting dalam sesuatu lapangan.

Mungkin anda tidak mempunyai idea khusus apakah yang mungkin digunakan menggunakan kamera ini nanti. Namun begitu anda mungkin menggunakan dengan pelbagai kaedah mengikut kreativiti anda sendiri.

Kamera yang dihasilkan FLIR ini telahpun dipadankan dengan paparan gabungan kamera inframerah dan juga kamera dari telefon anda. Imej yang dihasilkan lebih mudah dibaca berbanding kamera infrared biasa yang digunakan oleh tentera (mungkin dari segi sensitiviti atau resolusinya sahaja yang tidak dapat menandingi kamera yang digunakan tentera).

Terdapat beberapa model untuk dipadankan dengan telefon samada yang menggunakan iOS (Apple) mahupun Android. Terdapat juga model yang boleh dipadankan terus kepada telefon FLIR ONE First Gen. Anda boleh melihat sendiri kamera-kamera yang disediakan oleh syarikat ini melalui laman webnya di FLIR.


Ianya masih di peringkat awal penghasilannya untuk kegunaan telefon bimbit. Mungkin di masa-masa akan datang kegunaanya akan terus dipertingkatkan untuk menghasilkan gambar infrared dalam resolusi yang lebih besar dengan kegunaan yang lebih menyeluruh. Terdapat lebih banyak kamera inframerah untuk kegunaan lain yang dihasilkan oleh FLIR di website nya. Jadi sekarang anda tahu, yang manakah lebih sesuai untuk kegunaan anda.


Free Download



Arkib Blog