Memaparkan catatan dengan label tradisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tradisi. Papar semua catatan

Rabu, 23 November 2016

Rumah Penghulu Abu Seman, Kuala Lumpur

Rumah Penghulu Abu Seman dengan ciri-ciri binaan Melayu lama.

Rumah Penghulu Abu Seman atau adakalanya cuma dikenali sebagai Rumah Penghulu merupakan antara tarikan yang popular di Kuala Lumpur, tetapi ia jarang dikunjungi oleh penduduk tempatan sendiri. Ini kerana ia tidak seperti tarikan yang lain yang lebih menonjol bagi kita semua. Namun begitu, Rumah Penghulu ini merupakan antara tarikan penting untuk kita mengenali lebih dekat mengenai senibina Melayu tradisi.

Ia merupakan sebuah Rumah Melayu lama yang didirikan secara berperingkat antara tahun 1910 dan 1930-an. Ia merupakan rumah milik asal seorang penghulu kampung iaitu Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah. Ia pada asalnya berada di lokasi Kampung Sungai Kechil namun dibaik pulih semula dan dipindahkan  (1996-1997) oleh Badan Warisan Malaysia.

Ia merupakan lokasi lawatan penting sebagai contoh bagi senibina Rumah Melayu lama. Melalui lokasi barunya iaitu Bandaraya Kuala Lumpur dengan dikelilingi oleh bangunan-bangunan tinggi, Rumah Penghulu ini sendiri berada di dalam kawasan yang dipenuhi dengan tanaman herba-herba tradisional & warisan yang mengandungi lebih daripada 50 jenis herba & pokok yang menambahkan lagi keunikan lokasi ini sebagai lokasi pendidikan.

Bahagian dapur dengan peralatan yang unik.

Ruang tamu dengan hamparan tikar mengkuang.

Bahagian sambungan antara beberapa bahagian rumah.

Selain senibina rumah, ruang dalaman, hiasan, peralatan dan persekitarannya, pengunjung sebenarnya boleh menyertai banyak lawatan berpandu yang disediakan oleh banyak badan pelancongan di Kuala Lumpur bagi menikmati aktiviti tambahan. Aktiviti tersebut termasuk aktiviti untuk kanak-kanak, aktiviti senibina dengan memeriksa senibina rumah tersebut menggunakan pelan, aktiviti cara kehidupan kampung bagi orang dewasa dan juga macam-macam lagi mengikut pakej yang disediakan.


Anda juga boleh menyertai lawatan berpandu yang disediakan di sini pada pukul 11:00 am dan juga pada 3:00 pm, Isnin hingga Sabtu. Ianya ditutup pada hari Ahad dan juga Cuti Umum. Sumbangan sebanyak RM10.00 dikenakan bagi yang menyertai lawatan berpandu ini yang juga akan memberikan banyak informasi berguna. Ia mengambil masa selama satu jam.


Jumlah minimum peserta 10 orang/ kumpulan

Dewasa : RM68/seorang
Pelajar : RM45/seorang
Kanak-kanak : RM45/seorang
No. Tel: +603-2144 9273


Satu pengalaman indah memandang ke luar jendela.





Free Download




Isnin, 21 November 2016

Muzium Etnologi Dunia Melayu, Kuala Lumpur

Bahagian hadapan Muzium Etnologi Dunia Melayu.

Satu lagi muzium yang agak menarik bagi para peminat sejarah kebudayaan dan tradisi dunia Melayu. Ini kerana muzium ini bukan sahaja dikhususkan untuk orang-orang Melayu di Malaysia sahaja malah turut melibatkan semua masyarakat rumpun Melayu yang merangkumi kawasan yang lebih luas.

Terletak berhampiran bangunan Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu ini adalah lebih kecil dan di bahagian hadapan binaannya diperbuat daripada kayu yang menyerupai binaan rumah-rumah Melayu lama. Apa yang menarik di sini, muzium ini turut menyertakan bahan-bahan pameran dari serata kawasan rumpun Melayu termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Afrika Selatan, Madagaskar dan juga daripada rumpun Melayu Polenesia. Ini akan membuka lebih pengetahuan anda mengenai dunia Melayu secara keseluruhannya.

Antara koleksi pameran yang diperagakan di muzium ini termasuklah barangan tekstil, senjata, ukiran, alat logam dan teknologi, perhiasan diri, alat muzik dan sebagainya. Tidak lupa juga aktiviti riadah lain orang Melayu seperti wau, wayang kulit (yang merangkumi beberapa buah negara Malaysia, Indonesia dan Thailand), gasing dan lain-lain lagi. Melalui pendedahan ini maka agak mudah untuk kita memahami mengenai kaitan antara kita yang sebenarnya berada di dalam satu rumpun yang besar.

Banyak lagi bahan-bahan pameran di sini yang akan menimbulkan banyak pertanyaan mengenai Dunia Melayu sebenarnya. Mungkin sebahagiannya akan terjawab dan yang selainnya anda perlulah mengusahakan jawapannya. Ia bagaikan menyatukan cebisan-cebisan teka-teki yang agak menarik untuk diperhatikan. Namun setelah anda mengetahuinya, maka ketahuilah oleh kita bahawa kita semua berasal dari rumpun yang sama.

Keris dari senegap dunia Melayu.

Peralatan dapur yang digunakan oleh orang-orang Melayu.

Teknologi pengangkutan air dan perkapalan.

Seni ukiran kayu.

Harga Tiket Muzium Etnologi Dunia Melayu

Jenis Pelawat

Warganegara: RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara): Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara): Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara): RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM): Percuma
Bukan Warganegara: RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara): RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara): Percuma

Waktu Buka

Dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi - 6.00 petang.
*Tutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Pengangkutan

Dengan Bas atau Teksi Dengan Komuter/ Putra LRT Turun di stesen KL Sentral, berjalan sejauh 0.5 km ke Muzium Negara. Termasuk juga MRT apabila ia mula beroperasi nanti


Note: kredit gambar dari hafidzahmad.com



Free Download





Ahad, 20 November 2016

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Kuala Lumpur

Pintu masuk utama ke Muzium Seni Kraf Orang Asli.

Muzium Seni Kraf Orang Asli (Orang Asli Craft Museum) terletak di Jalan Damansara iaitu bersebelahan dengan bangunan Muzium Negara, Kuala Lumpur. Ia berbeza dengan Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak, Selangor. Sesuai dengan namanya, ia bertujuan untuk memperkenalkan seni kraft orang asli kepada orang ramai selain perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kebudayaan masyarakat ini.

Selain daripada barangan kraft tersebut ia juga turut memaparkan kaitan-kaitan barangan tersebut bagi kehidupan orang asli yang menyentuh kisah-kisah mitos dan lagenda, kebudayaan dan kepercayaan mereka. Bahan-bahan pameran ini ada diantaranya yang dipamerkan secara tetap dan ada juga yang dipamerkan secara bermusim.

Terdapat galeri yang telah diperbesarkan dibahagi kepada lapan segmen yang menggambarkan kehidupan orang asli yang turut merangkumi latar belakang suku kaum orang asli, taburan geografi dan demografi, ukiran patung, ukiran topeng, kediaman tradisi, peralatan memburu dan menangkap ikan, kematian, alat muzik, aksesori pakaian dan anyaman. Segala bahan ini disampaikan menggunakan pelbagai kaedah termasuklah penggunaan multimedia bagi memudahkan lagi proses pembelajaran mengenai kehidupan masyarakat orang asli ini.


Koleksi topeng-topeng yang dipamerkan.

Ukiran-ukiran kayu masyarakat orang asli.

Peralatan menangkap ikan.

Harga Tiket Muzium Kraf Orang Asli

Jenis Pelawat
Kadar
Warganegara
RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU)
RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara)
RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM)
Percuma
Bukan Warganegara
RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara)
RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara)
Percuma

Waktu Buka
9.00 pagi - 6.00 petang (setiap hari)
Tutup pada hari raya pertama Aidilfitri & Aidiladha

Pengangkutan

Pengunjung boleh menaiki teksi atau bas KL HOP-ON  HOP-OFF, bas percuma (Go KL) atau pengangkutan alternatif lain yang berpusat di Stesen KL Sentral, iaitu komuter, LRT, Monorel atau berjalan selama 20 minit. Anda juga bakal berpeluang menggunakan perkhidmatan MRT apabila ianya dibuka nanti.

Pegawai untuk dihubungi

Asmawi Bin Mohamed Yunos - Ketua Muzium MSKOA (asmawi@jmm.gov.my)

Address:

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, 50566 Kuala Lumpur

Tel:  603-22671000 samb.154 / 171 / 153
Fax: 603-2282 7294 / 2287 1275









Free Download





Selasa, 15 November 2016

3 Lokasi Keugamaan Utama Lawatan Penting di Kuala Lumpur

Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Malaysia dihuni oleh 3 kaum majoriti utama dan banyak lagi kaum-kaum lain yang turut mewarnai kemeriahan negara ini. Walaupun begitu tidak ramai diantara kita yang mengetahui atau sempat meluangkan masa untuk mengenali dengan lebih dekat lokasi-lokasi rumah-rumah ibadat masing-masing. Namun ia merupakan satu usaha yang bagus bagi memupukkan lagi persefahaman antara kaum dan merapatkan keeratan persahabatan yang sedia terjalin.

Melawat ke rumah-rumah ibadat kaum lain bukanlah suatu yang dilarang. Apa yang penting kita perlulah mengharmoti garis panduan dan menghormati kawasan ibadat bagi kaum-kaum lain. Jadi pelajarilah cara yang betul sebelum masuk ke rumah ibadat mereka - dan pastikan anda menghormati rumah ibadat mereka sesuai seperti mana anda ingin mereka menghormati rumah ibadat anda pula. Anda juga digalakkan melawat pada waktu yang sesuai untuk melawat untuk tidak mengganggu apa-apa aktiviti keagamaan yang dijalankan.

Berikut adalah 3 lokasi penting keagaam di Kuala Lumpur yang tidak patut dilepaskan bukan sahaja oleh para pelancong, malah kita sendiri warga kota dan juga seluruh rakyat Malaysia. Lokasi-lokasi tersebut adalah seperti berikut;

Masjid Negara Kuala Lumpur

Ruangan dalam masjid.

Persekitaran masjid yang dihiasi dengan air pancut.

Masjid Negara Kuala Lumpur merupakan masjid utama bagi penduduk Muslim di Kuala Lumpur dibina dengan senibina Islam dengan melambangkan ciri-ciri unik tersendiri. Masjid utama ini mampu memuatkan sehingga 15,000 orang jemaah dalam satu-satu masa. Kubahnya yang unik mempunyai 18 segi yang melambangkan 13 negeri di dalam Malaysia. Manakala 5 tiangnya pula melambangkan 5 rukun di dalam Agama Islam. Terdapat menara yang menempatkan pembesar suara setinggi 74m yang membolehkan suara azan didengari dari kawasan yang lebih luas.

Bagi para pelawat yang ingin melawati masjid negara, waktu lawatan adalah selepas waktu solat dilakukan. Pakaian yang sesuai turut disediakan dan panduan kawasan-kawasan yang boleh dilawati juga disediakan. Waktu lawatan adalah seperti berikut; 9am - tengahari, 3 - 4 pm & 5:30 - 6:30 pm. Jumaat pagi ianya adalah ditutup untuk lawatan.

Thean Hou Temple

Thean Hou Temple, sebuah kuil yang cantik.

Pemandangan sewaktu sambutan Hari Wesak.

Tiang-tiang di dalam tokong Thean Hou.

Ia merupakan antara tokong (temple) yang tercantik di negara ini. Thean Hou temple terletak di kawasan tinggi iaitu Robson Heights yang juga menyediakan pandangan memukau persekitaran Kuala Lumpur. Antara masa yang paling sesuai untuk melawati temple ini adalah semasa perayaan Hari Wesak ataupun semasa perayaan Tahun Baru cina.

Terdapat banyak perkara menarik untuk diperhatikan di sini, dari segi senibinanya yang unik juga hiasan-hiasan yang terdapat di sekitar temple ini antaranya adalah ukiran zodiak cina, ukiran naga dan phoenix dan juga lain-lain hiasan yang memenuhi setiap ruang temple tersebut.

Ia adalah binaan yang besar dengan ruang sembahyang utama yang terletak di tingkat-3 yang juga menempatkan patung-patung dewa-dewi penting bagi kaum Cina. Banyak lagi perkara yang unik dapat diperhatikan di sini untuk dipelajari. Waktu lawatan yang sesuai adalah antara 9am - 6pm melalui stesyen monorel yerdekat iaitu Tun Sambanthan.

Batu Caves

Batu Caves dengan patung Murugan di hadapannya.

Pemandangan pada waktu malam.

Tangga mendaki ke gua Batu Caves.

Batu Caves merupakan rumah ibadat bagi Kaum India yang terbesar di Malaysia. Disebalik pembinaannya Batu Caves ini telahpun digunakan sejak 120 tahun. Ia merupakan lokasi paling meriah sewaktu sambutan Thaipusam setiap tahun yang biasanya dilangsungkan pada lewat January atau pada awal February selama 3 hari.

Antara perkara yang menarik dan terkernal mengenai Kuil Gua Batu ini adalah terdapat kira-kira 272 anak tangga untuk melewati sehingga ke puncak kuil. Selain itu juga terdapat patung bersaiz gergasi yang dikenali sebagai patung Murugan yang bersaiz 42.5m dengan warna keemasan yang diletakkan di hadapan jalan utama menaiki ke gua batu tersebut.

Selain gua batu utama terdapat juga gua-gua lain yang dibuka untuk lawatan (Dark Cave: www.darkcavemalaysia.com) dengan bayaran masuk sebanyak RM35 dewasa/ RM25 kanak-kanak: 10am - 5pm, Selasa - Jumaat; 10:30am - 5:30pm Sabtu & Ahad dengan jurupandu bagi setiap 20 minit. Lawatan ini akan membawa anda untuk menerokai kawasan dalam gua dan melihat keunikan binaan gua selain daripada flora dan faunanya.

Waktu lawatan yang sesuai ke Batu Caves adalah antara 7am - 9pm melalui pelbagai pilihan pengangkutan. Bayaran masuk ke Kuil Gua adalah percuma tetapi ke lokasi-lokasi lain mungkin akan dikenakan bayaran.


Terdapat banyak lagi rumah-rumah ibadat penting di sekitar ibu negara dan anda boleh melawatinya sekiranya telah mendapat kebenaran dari pihak pentadbir/pengurusan. Seperti yang dijelaskan pada awal artikel ini, tujuan lawatan adalah untuk mempelajari mengenai adat budaya kaum lain dan anda perlulah menghormati kawasan penting mereka pula sewaktu melakukan lawatan. Adalah diharap kita mengambil peluang ini untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi.



Free Download


Ahad, 13 November 2016

Kemanakah Hilangkan Cerita Rakyat Lama Malaysia?

Cerita Rakyat merupakan kekayaan budaya dan juga memupuk nilai murni.

Cerita Rakyat merupakan antara cerita yang penting suatu ketika dahulu di peringkat asas di sekolah-sekolah rendah. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak dalam memupuk nilai budaya malah budi bahasa dan pekerti yang tinggi anak-anak bangsa suatu ketika dahulu. Ia bagaimanapun hilang pada sekitar tahun 2000 dan usaha untuk mendapatkan buku cerita-cerita rakyat menjadi semakin sukar.

Cerita rakyat, walaupun adakalanya sukar diterima akal, namun masih mempunyai nilai-nilai murni. Adakalanya ia juga membuatkan kita tertanya mengenai kebenarannya. Apa pun ia sendiri memupuk sifat berfikir dan menilai. Mungkin faktor logika bukan menjadi tujuan utama dalam cerita-cerita rakyat, atau sesetengahnya tidak dapat lagi dibuktikan dengan pandangan akal semata. Namun begitu nilai-nilai kebudayaan serta teladan yang diselitkan di dalam cerita rakyat adalah terlalu tinggi untuk diabaikan.

Kami cuba menjejaki saki-baki cerita-cerita rakyat yang dikongsikan oleh penulis-penulis blogger yang lain termasuk juga buku-buku yang masih lagi ada di dalam penerbitan di pasaran. Sedikit sebanyak, cerita rakyat diketengahkan semula walaupun hari ini ia ditampilkan dalam bentuk yang berbeza.

Bahan dalam bentuk buku:

Bagi bahan bacaan berbentuk buku, antara buku yang masih boleh didapatkan antaranya adalah Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia yang diterbitkan semula oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Buku ini boleh dibeli secara online di lama web kedai buku mereka. Terdapat juga beberapa judul lain seperti:

*buku-buku ini adalah penerbitan semula pada tahun 2013

Manakala daripada penerbitan bahan multimedia pula Cerita Rakyat Malaysia (Buku & VCD-Rom) yang dikeluarkan oleh Unik Edu Solution boleh dibeli terus melalui Lazada secara online. Ia merupakan bahan yang mengandungi pelbagai media dalam menyampaikan maklumat dengan lebih menarik. Ia mengandungi pelbagai cerita-cerita rakyat lama dalam usaha meningkatkan semula nilai-nilai murni di kalangan golongan kanak-kanak.

Selain cerita tersebut terdapat lagi beberapa judul berkaitan cerita rakyat yang juga boleh didapati terus melalui Lazada.

Bahan baru, cerita rakyat diterbitkan dalam bentuk multimedia.

Manakala daripada bahan perkongsian blog pula, tiada blog yang secara khususnya berjaya menampilkan cerita rakyat secara konsisten. Kebanyakan blog-blog cerita rakyat ini tidak dikemaskinikan lagi. Walaupun ramai yang menunjukkan minat untuk mendapatkan isi kandungannya.

Antaranya:

  1. azman-hashim.blogspot.my – blog yang memuatkan sedikit mengenai cerita-cerita pendek dan juga beberapa tips lain berkaitan bercerita dan sajak. Ia dimulakan sekitar tahun 2011 dan tidak diteruskan lagi. Ia masih boleh dilawati melalui link seperti yang disediakan.
  2. butang-emas.net – blog yang lebih seruis yang juga memuatkan beberapa kesusasteraan merupakan bahan bacaan dan rujukan yang baik. Sama juga seperti blog yang pertama, isi kandungan terakhir yang dimuatkan adalah pada tahun 2011. Apa yang berbeza, bahan kandungan blog ini juga sesuai untuk bacaan orang-orang dewasa.
  3. alynn-media2u-koleksiceritarakyat.blogspot.my – blog yang ditulis lebih awal dengan sedikit kandungan mengenai cerita-cerita rakyat. Ia dimulakan dan berakhir pada tahun yang sama iaitu pada 2009. Blog ini walaubagaimanapun masih boleh di akses melalui link yang disediakan.
  4. muhammadnuradil.blogspot.my – mengandungi kisah-kisah ringkas yang menarik. Namun ia juga tidak diteruskan lagi. Kali terakhir ianya dikemaskini adalah pada tahun 2013. Namun bahan yang ditulis di dalam blog ini amat menarik untuk bacaan pembaca kecil kerana kisahnya ringkas namun mengandungi unsur-unsur teladan yang baik.
  5. ceritarakyatmalaysia.blogspot.my - merupakan sebuah blog yang dimiliki oleh sebuah sekolah. Merupakan satu usaha yang baik, namun tidak lagi diteruskan. Mengandungi sejumlah cerita-cerita pendek yang sesuai untuk bacaan murid-murid. Ia bagaimanapun hanya ditulis sehingga tahun 2010 sahaja. Adalah diharap ia dapat diteruskan semula dan dalam masa yang sama usaha ini dapat dicontohi oleh sekolah-sekolah yang lain. Ia adalah dimiliki oleh SMK Kuala Kubu Bharu.


Pak Pandir merupakan kisah popular sebagai teladan.

Sang Kancil yang menjadi idola simbol kebijaksanaan. 

Begitulah sukarnya untuk kita menemukan semula cerita-cerita lama yang telah hilang, yang kini semakin dirasakan betapa baiknya nilai-nilai yang terkandung di dalam cerita tersebut. Adalah diharap kita dapat memanfaatkan bahan-bahan yang cuba dihasilkan oleh mereka-mereka yang berusaha menampilkan bahan-bahan ini bagi kita. Manakala bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya pula adalah diharap dapat menggiatkan lagi usaha ini. Inilah makna penghargaan selagi sesuatu perkara itu masih boleh didapati, berbanding apabila ia telah hilang, maka tidak semuanya akan kembali lagi.



Free Download


Arkib Blog