Khamis, 12 Disember 2013

Keunikan Hasil Kraftangan Mengkuang

Pokok mengkuang yang berduri

Mengkuang adalah sejenis pokok dari keluarga pandan juga, cuma ianya tidaklah berbau wangi seperti pandan yang digunakan dalam masakan. Walaupun pokoknya berduri dan selalunya tumbuh di kawasan berpaya namun pandan telah lama berbakti kepada masyarakat Melayu untuk menghasilkan pelbagai barangan berguna untuk kegunaan seharian.

Seni anyaman mengkuang yang biasanya diwarisi turun-temurun ini membolehkan mengkuang menghasilkan barangan seperti tikar hamparan, bekas-bekas makanan, bekas simpanan, beg tangan dan barangan hiasan. Dengan kreativiti hari ini pelbagai lagi barangan dihasilkan melalui teknik cantuman pelbagai seni yang lain seperti sulaman dan anyaman yang digabungkan.

Dalam menghasilkan seni anyaman mengkuang apa yang memainkan peranan penting adalah teknik pemprosesan daun mengkuang untuk membolehkan ianya digunakan. Ini kerana daun mengkuang yang masih berada pada pokoknya perlu diambil dengan teliti bagi mengelakkan ianya rosak. Proses seterusnya pula memastikan daun mengkuang dapat bertahan dan boleh dianyam dengan mudah. Terdapat juga proses mewarna bagi menghasilkan hasil anyaman yang lebih cantik serta meningkatkan lagi hasil seni anyaman mengkuang.

Pelbagai hasil produk mengkuang

Proses mengambil daun mengkuang dilakukan dengan teliti selain daripada mengelakkan duri dari daun mengkuang ia juga bagi memastikan daun dapat digunakan semaksimum yang boleh dengan mengelakkan kerosakan pada daun. Proses berikutnya adalah pembuangan duri pada batang daun, manakala duri pada tepi daun biasanya akan dibuang semasa proses beriutnya nanti. Daun mengkuang selepas itu akan dilayur di atas api yang sederhana bagi melebutkannya sebelum dipotong dengan peralatan seperti sesikat yang dibuat menggunakan pisau yang menentukan saiz mengkuang yang akan dianyam. Kemudian daun akan dilurut bagi melembutkannya sebelum direndam semalaman.

Proses rendaman adalah untuk melembutkan lagi daun mengkuang. Selain itu juga ia adalah untuk mebolehkan daun mengkuang tahan lebih lama. Proses ini juga akan melunturkan sebahagian warna hijau pada daun mengkuang. Selepas itu barulah daun-daun dikeringkan dengan menjemurnya dibawah cahaya matahari. Setelah betul-betul kering daun akan kelihatan bewarna putih dan agak berpintal. Proses melurut berikutnya dapat melembutkannya semula untuk membolehkan ianya dianyam.

Dodol dalam bekas mengkuang lebih enak

Proses anyaman berbeza mengikut sesuatu barangan yang ingin dihasilkan. Di sinilah kemahiran sebenar seorang tukang anyaman diperlukan. Selain daripada kepakaran menganyam, teknik penghasilan sesuatu barangan juga perlu diketahui. Antara barangan yang popular dianyam menggunakan mengkuang adalah tikar hamparan. Tikar hamparan mengkuang selain daripada sejuk ia juga tidak menakung peluh apabila kita tidur di atasnya seperti tikar getah. Tikar mengkuang juga adakalanya dianyam dengan motif bunga-bungaan. Ia biasanya digunakan dalam menyambut tetamu untuk majlis-majlis tertentu.

Bekas simpanan makanan daripada mengkuang pula seperti untuk menyimpan makanan tradisi melayu seperti dodol dapat megelakkan dodol daripada tengik dan tahan lebih lama. Ini kerana bekas daripada daun mengkuang tidak memerap makanan seperti bekas plastik tetapi mampu menghalang daripada makanan tersebut terdedah kepada udara dan gangguan perosak. Ia juga memberi sedikit aroma bauan daripada daun mengkuang tersebut.

Hari ini seni anyaman mengkuang lebih kepada sebagai bahan hiasan. Jadi ianya digabungkan menjadi barangan-barangan hiasan sebagai pameran sahaja. Namun begitu ia tetap menarik dalam menampilkan hasil seni budaya yang bermutu tinggi selain daripada menonjolkan hubungkait budaya Melayu dalam mengolah kekayaan alam untuk kegunaan seharian.

Bekas mengkuang yang dihias cantik


Free Download






Telescope Terbesar European Extremely Large Telescope (E-ELT)

Rupa bentuk E-ELT yang akan didirikan

European Extremely Large Telescope (E-ELT) akan menjadi telescope bumi yang terpaling besar apabila siap dibina kelak. Dibina oleh European Southern Observatory (ESO) telescope yang berukuran 39.3 meter ini akan mengambil masa sedekat untuk disiapkan. Ianya akan di bina di Cerro Armazones, Chile berhampiran pusat pemerhatian Paranal (Paranal Observatory)

Dengan keluasan kanta primer berukuran 39.3 meter ia mampu mengumpulkan 15 kali ganda lebih cahaya berbanding dengan telescope biasa yang beroperasi sekarang. Menggunakan rekaan lima-cermin (five-mirror) yang turut menggunakan kaedah terkini 'adaptive optics' untuk mengurangkan kesan gangguan daripada atmosfera bumi akan menghasilkan imej cerapan yang lebih berkualiti.

Kanta primer yang terdiri daripada kepingan kecil.

Keseluruhan kanta primer yang berukuran 39.3 meter diameter tersebut adalah terdiri daripada 798 kepingan hexagon, dimana setiap satunya adalah berukuran 1.45 meter dengan ketebalan 50 mm. Berbanding dengan telescope komposit lain yang biasanya menggunakan kanta komposit yang lebih besar dan tebal. Setiap kepingan kanta ini akan dikawal dengan lebih 6,000 actuator yang akan mengubah bentuknya pada kelajuan ribuan kali per saat. Ini bagi membolehkan telescope ini memperbaiki kesan yang disebabkan dari gangguan oleh atmosfera bumi. Binaan utama telescope ini akan mencecah sehingga 2,800 tan. 

Telscope terbesar yang beroperasi hari ini adalah Gran Telescopio Canarias, mempunyai diameter 10.4 meter dan mempunyai keluasan pengumpulan cahaya pada 74 meter persegi. Terdapat beberapa lagi telescope gergasi yang dirancangkan pembinaannya seperti Giant Magellan Telescope yang berukuran 25 meter diameter dan dengan keluasan pengumpulan cahaya seluas 368 meter persegi. Manakala Thirty Meter Telescope yang akan dibina di Hawaii pula mempunyai diameter 30 meter dan mempunyai keluasan pengumpulan cahaya seluas 655 meter persegi. Jadi E-ELT ini akan mempunyai diameter 39.3 meter dan jumlah keluasan pengumpulan cahayanya pula adalah 978 meter persegi.

Walaupun ketiga-tiga telescope gergasi ini mempunyai kanta primer komposit, setiap telescope ini sebenarnya mempunyai perbezaan ketara dari segi pembinaan dan ukuran setiap kepingan cermin pantulan yang digunakan. Walaupun begitu kedudukan lokasi telescope ini juga turut memainkan peranan penting bagi memastikan ianya dapat melakukan cerapan dengan baik. Antara kelebihan telescope ini dibina di permukaan bumi berbanding telescope di ruang angkasa ialah penyelenggaraanya lebih mudah memandangkan saiznya yang terlalu besar. Selain itu teknologi 'adaptive optics' juga membolehkan pencerapan berkualiti dilakukan sama seperti di ruang angkasa.

Lokasi pembinaan E-ELT di Cerro Armazones, Chile.

Adalah diharap semoga perjalanan pembinaan telescope-telescope gergasi ini berjalan lancar dan dapat menyajikan kita dengan penemuan-penemuan baru yang masih menjadi tanda tanya bagi kita. Apa yang penting semoga kita terus sama-sama menjelajahi dunia sains dalam memahami keajaiban alam semesta.



Free Download



Rabu, 11 Disember 2013

Telescope Terbesar Di Angkasa MOIRE

MOIRE telescope di ruang angkasa

Telescope angkasa seperti Spitzer, Hubble dan yang bakal dilancarkan iaitu Webb merupakan telesopce yang beroperasi di angkasa berbanding telescope yang biasa yang berada di permukaan bumi. Satu kelebihan telescope ini adalah lokasinya yang berupaya mendapatkan lebih banyak cahaya tanpa ditapis oleh atmosfera bumi. Bagaimanapun dari segi saiz, adalah sukar untuk menghantar telescope bersaiz besar ke orbit kerana untuk menghantar peralatan ke angkasa memerlukan kos yang besar serta teknologi yang baru.

Dari segi saiz Spitzer mempunyai kanta utama berukuran 0.85 meter (33.5”) diameter manakala Hubble pula adalah 2.4 meter (94.5”) diameter. Sehubungan itu telescope Webb adalah berukuran 6.5 meter (255.6”), namun ia bukan berbentuk kanta biasa yang bulat. Ia sebenarnya terdiri daripada pecahan-pecahan kanta yang mengumpul cahaya yang membentuk kanta primernya. Dengan mempunyai kanta utama yang lebih besar, lebih banyak cahaya yang dapat dikumpulkan daripada objek yang jauh dan mendapatkan gambar yang lebih jelas. Seperti yang kita ketahui, kejayaan telescope Hubble selama ini telah banyak membantu penemuan-penemuan baru yang berkaitan dunia astronomi yang mustahil dilakukan daripada telescope di permukaan bumi.

Perbezaan saiz kanta primer telescope angkasa

Sehubungan itu terdapat satu lagi usaha yang untuk membina sebuah lagi telescope yang dikenali sebagai Membrane Optical Imager for Real-Time Exploitation (MOIRE) yang akan di tempatkan di ruang angkasa. Telescope ini akan berada di ruang angkasa pada jarak 22,000 batu dari permukaan bumi dan ianya akan menghala ke arah bumi. Ianya lebih bertujuan untuk mendapatkan gambaran permukaan bumi berbanding angkasa dan ianya juga dibangunkan dengan pembiayaan yang dikeluarkan oleh DARPA.

Apa yang menariknya telescope ini merupakan telescope terbesar yang akan berada di ruang angkasa dengan saiznya menjangkau 20 meter diameter. Jadi untuk membangunkan telescope sebesar ini dan diletakkan di ruang angkasa memerlukan satu kaedah yang jauh berbeza sari segi peralatan, teknik penghantaran dan keseluruhan telescope tersebut. Banyak perkara yang menarik mengenai telescope ini selain daripada saiznya sahaja kerana ia berbeza sekali dengan telescope-telescope yang lain.

Oleh kerana saiznya yang terlalu besar ia akan dilipat seperti payung semasa dilancarkan di dalam roket ke angkasa. Apabila sampai ke orbit di ruang angkasa barulah ianya dibuka bersama lelengan teleskop yang panjangnya kira-kira 60 meter. Ianya adalah jarak untuk kanta utama menumpukan cahaya bagi membolehkan gambar diambil. Apa yang menarik kanta utama ini terdiri daripada kepingan kanta-kanta kecil yang menumpukan cahaya kepada bahagian utama keseluruhan system telescope tersebut.

Berbeza dengan telescope yang lain yang mengunakan kaca sebagai bahan utama untuk kantanya. MOIRE menggunakan plastic untuk menjadikan ianya lebih ringan bagi membolehkan ianya diterbangkan ke angkasa. Selain itu juga kanta ini telah dipertingkan efisyensinya berbanding plastik biasa bagi meningkatkan kualiti telescope yang dihasilkan. Melalui pencapaian ini tahap tersebut dapat digandakan hampir dua kali ganda iaitu daripada 30 peratus kepada 55 peratus. Ini membolehkan ianya digunakan untuk telescope MOIRE itu nanti.

Antara kanta yang digunakan untuk MOIRE

Sehingga ini MOIRE mejalankan beberapa ujian akhir untuk memastikan misi ini Berjaya dialankan ter masuk pengujian di permukaan bumi dan juga pelancaran telescope berukuran 10 meter ke orbit. Kejayaan penggunaan teknologi pemfabrikasi optik ini adalah dengan bantuan kepakaran daripada Lawrence Livermore yang membolehkan telescope bersegmen dilakukan.


Menarik sekali mengenai telescope gergasi ini. Jadi sama-sama kita saksikan samada telescope ini akan mampu berada di ruang angkasa seperti yang dirancangkan. Selain itu juga kita menantikan James Webb Space Telescope atau dikenali sebagai Webb telescope yang akan dilancarkan pada 2018 nanti. 


Free Download






Isnin, 9 Disember 2013

Bunga-bungaan Harum Untuk Halaman

Bunga Cina menghasilkan bauan harum untuk halaman.

Bunga-bungaan yang harum bukan sahaja menjadi kegemaran surirumah dan pekebun malah setiap orang yang meluangkan masa di persekitarannya tentu dapat merasakan perbezaan kesegaran udara yang nyaman daripada bauan yang dihasilkan. Terdapat pelbagai tanaman hiasan yang menarik, tetapi sekiranya ianya menghasilkan bauan yang harum, tentu menambahkan lagi keunikan taman anda. Mari ikuti sebahagian daripada bunga-bungaan tersebut.

Jasmine/ Melati


Jasmine memang terkenal dan digunakan untuk membuat haruman. Terdapat lebih daripada 200 spesis melati dan yang paling terkenal adalah melati putih (jasminum sambac). Selain daripada bauan yang harum warnanya yang putih juga menjadi simbol kesucian pokok ini. Maka haruman jasmine menjadi salah satu haruman yang sesuai sekali bagi wanita. Pokok jasmine tumbuh dengan memerlukan sokongan dan boleh mencecah sehingga 3-5 meter tinggi. Ia juga sering dijadikan hiasan kepala selain kalungan bunga. Bunga yang kering juga boleh dijadikan teh selain dirposes untuk membuat pati haruman.

Ros/ Mawar


Ros tidak asing lagi sebagai haruman yang sememangnya popular sejak dahulu lagi. Walaupun pohonnya berduri ros tetap menjadi pilihan setiap pengemar tanaman. Selain popular sebagai hadiah untuk meluahkan kasih sayang bunga ros juga digunakan untuk membuat haruman. Juga terdapat teh yang dihasilkan daripada bunga dan buah dari spesis bungaan ini. Haruman ros berbau lembut dan amat menyamankan.

Frangipani


Nama bunga ini adalah bersempena nama seorang bangsawan Itali yang pada abad ke-16 yang menggunakan bunga ini untuk membuat haruman. Ia juga dikenali sebagai Plumeria dan bunga ini juga merupakan antara spesis daripada bunga kemboja yang sememangnya mengeluarkan haruman terutama pada waktu malam.

Bunga ini sememangnya harum dan biasanya dijual kepada pengeluar haruman untuk dijadikan pati haruman. Ia juga sering digunakan di spa-spa untuk perawatan berkaitan seperti mandi bunga dan sebagainya.

Sweet Alyssum


Sweet Alyssum adalah tumbuhan yang kecil yang berbunga sepanjang tahun. Pokok hanya sekitar 5-30cm sahaja. Pokok ini akan dipenuhi dengan bunga-bunga bersaiz kecil iaitu 5mm sahaja dan mengeluarkan bauan yang manis. Bunganya mempunyai 4 kelopak dari warna seperti putih, pink, merah, violet atau lilac. Pokok ini berasal dari kawasan di Mediterranean dan kawasan sekitarnya. Penanamannya adalah melalui biji yang biasanya diterbangkan angin.

Chocolate Cosmos


Bunga istimewa ini berasal dari Mexico dan adalah dari spesis bunga kosmos namun mempunyai bauan yang harum seakan-akan vanilla/coklat. Mempunyai ketinggian antara 49-60cm dan boleh berbunga sepanjang tahun. Cuma usia pokok ini tidaklah terlalu lama. Bunga ini juga dikatakan telah pupus namun diperkenalkan semula pada tahun 1902. Bauannya lebih ketara ketika musim panas.


Wisteria


Wisteria merupakan spesis tumbuhan kekacang yang melilit pada pohon lain untuk tumbuh dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Ia merupakan tumbuhan asal di bahagian Timur Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. Spesis yang dikatakan mengeluarkan bauan yang harum adalah daripada jenis Chinese Wisteria. Tumbuhan ini juga tumbuh dengan melilit pada pohon yang lain dan adakalanya boleh mengancam tumbuhan tersebut. Jadi bagi tumbuhan ini sebaiknya ia disediakan sokongan sendiri.

Sweet Pea


Juga merupakan tumbuhan kekacang yang melilit. Ia merupakan hasil daripada pendebungaan silang untuk menghasilkan bauan yang lebih enak pada lewat tahun 1870an oleh pengeluar bungaan berbangsa Scottish. Terdapat pilihan warna dari merah ke pink atau putih ke kuning. Pokok ini boleh memanjat sehingga 1-2meter dan mempunyai bunga yang bersaiz 2-3.5cm.

Lily of the Valley


Bunga ini amat terkenal kerana bauannya yang harum dan sering digunakan sebagai pewangi. Namun begitu tumbuhan ini juga beracun dan perlu diberikan perhatian terutama kepada kanak-kanak. Ia tumbuh pada kawasan yang bercuaca dingin dan biasanya mengeluarkan bunga pada lewat musim bunga. Bunganya yang cantik seakan-akan loceng bersaiz di antara 5-10mm mengeluarkan bauan yang memikat. Walaupun ia beracun ia tetap merupakan antara bungaan yang popular dijadikan wangian.

Gardenia/ Bunga Cina


Bunga Gardenia terdiri dari beberapa spesis yang juga dikenali di negara kita sebagai bunga Cina dengan bauan yang harum seakan-akan bunga melur. Bunganya yang mempunyai kelopak yang tebal dan berwarna putih kekuningan ini mempunyai bau yang kuat tetapi lembut. Ia merupakan satu lagi bunga yang sering digunakan di dalam wangian. Pokok bunga ini agak besar dan ada juga spesis yang lebih kecil. Bauan daripada bunga ini jelas sekiranya ia berada di halaman rumah.


Four O'Clock


Bunga ini juga dikenali sebagai Marvel of Peru atau nama saintifiknya Mirabilis Jalapa mempunyai bunga yang pelbagai warna. Terdapat juga pokok yang menghasilkan pelbagai warna selain daripada kombinasi pelbagai warna pada satu bunga. Bauannya adalah bertujuan menarik perhatian serangga yang terdiri daripada rama-rama jadi bunganya kembang pada lewat petang dan layu keesokan harinya. 

Terdapat banyak lagi bunga-bunga yang berbau harum yang sesuai sekali dijadikan tanaman di sekitar rumah bagi menyegarkan lagi udara persekitaran halaman atau taman. Suasana begini tentu sahaja menyamankan bagi anda seisi keluarga meluangkan masa bersama di waktu petang atau hujung minggu untuk beristirehat. Bagi yang serius dengan tanaman bunga pula bolehlah menjadi pembekal pada pembeli yang menggunakan bunga-bungaan untuk dijadikan pati haruman.



Free Download



Ahad, 8 Disember 2013

Keistimewaan Bunga Telang, Nasi Kerabu

Bunga Telang Biru
Bunga Telang merupakan rahsia kenapa Nasi Kerabu bewarna biru. Bagi saya sendiri selalu tertanya kenapa nasi kerabu berwarna biru dan bagaimana ianya dihasilkan. Nasi kerabu yang popular di pantai timur ini, kini menjadi sajian di merata tempat di sekitar Malaysia terutama di bazar ramadhan dan gerai-gerai yang menjual makanan dari pantai timur.


Bagi yang tidak mengenali bunga telang mungkin tidak menyangka ia digunakan untuk mewarnakan makanan kegemaran ramai ini. Ini kerana bunga telang tumbuh meliar di pinggir halaman atau belukar. Pokoknya yang melilit seperti juga pokok bunga seri pagi memerlukan pokok lain atau pagar sebagai sokongan bagi membolehkan ia menjalar dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Keistimewaan utama bunga ini adalah ia sangat berguna sebagai pewarna makanan.

Bunga telang atau nama saintifiknya 'Clitoria ternata' tumbuh di sekitar kawasan khatulistiwa di Asia, namun ia juga diperkenalkan ke kawasan lain seperti Afrika, Australia dan Amerika. Ia juga dikenali dengan nama seperti kembang telang (Sunda), kembang teleng (Jawa), temen raleng (Bugis) dan lain-lain lagi. Bunga ini juga digunakan di dalam makanan di Thailand dan Burma.

Bunga dan Kacang Telang

Seperti tumbuhan kekacang yang lain pokok bunga telang tumbuh daripada biji dari kekacangnya. Tumbuhan ini melilit jadi ia memerlukan 'junjung' seperti pokok kacang panjang atau biasanya di tanam supaya melilit di pagar. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan kesuburan tanah kerana seperti juga pokok semalu yang mempunyai backteria 'rhizobia' yang mengikat Nitrogen di dalam udara untuk digunakan oleh tumbuhan. Jadi melalui pereputan pokok ini ia akan mengembalikan semula kesuburan kepada tanah.

Bunganya akan melayu setelah tamat proses pendebungaan dan akan menghasilkan kantung kekacang yang berukuran 5 - 7 cm panjang. Ianya agak leper seperti juga kacang peas dan mengandungi antara 6 ke 10 biji kacang di dalam satu kantung. Kacang yang telah matang akan kelihatan coklat manakala bijinya akan bewarna gelap. Biji ini bolehlah disemai sekiranya anda berminat untuk menanam pokok bunga telang.

Teh Bunga Telang

Untuk menggunakannya sebagai pewarna makanan, ia direndam di dalam air panas yang kemudian digunakan untuk memasak nasi, bagi nasi kerabu. Selain itu ia juga digunakan untuk menyediakan minuman yang dikenali sebagai 'nam dok anchan' di Thailand. Ia akan betukar warna kepada 'pink-purple' apabila dicampurkan sedikit perahan limau. Tedapat juga makanan yang menggunakan bunga ini yang dipanggil sebagai kuih ketan atau pulut tai tai oleh masyarakat Peranakan/Nyonya.

Untuk merawat bisul bunga telang dilumatkan secukupnya dan dicampurkan dengan asam jawa yang kemudiannya digunakan pada kawasan yang menghidapi bisul. Selain itu air rebusan akar telang putih juga boleh digunakan untuk tujuan membersihkan darah.

Tom dok anchan dari Thailand
Nasi Kerabu merupakan makanan popular Pantai Timur, Malaysia.
Nasi Kerabu mudah dipadankan dengan sebarang hidangan.

Air rebusan akar telang juga dikatakan merawat demam serta masalah berkaitan pernafasan seperti kahak dan bronkitits, selain membantu melawaskan pembuangan air kecil. Untuk tujuan ini akar pokok telang yang kering direbus di dalam air (4 cawan) sehingga tinggal 2 cawan. Air yang telah sejuk, bolehlah diminum 2 kali sehari.

Keradangan mata juga (mata kelihatan merah) boleh dirawat menggunakan air daripada rendaman bunga telang. Rendam bunga telang secukupnya di dalam air sehingga air bertukar menjadi biru. Gunakan air tersebut untuk mencuci mata yang kemerahan.

Begitulah antara keistimewaan tumbuhan pokok telang ini. Bagi yang tidak mengetahui keistimewaanya mungkin menyangka ianya adalah pokok biasa yang tumbuh di belukar. Tapi anda mungkin bertukar pendapat sekiranya anda selalu menikmati hidangan nasi kerabu. Mungkin terdapat banyak lagi keistimewaan pokok serta bunganya. Jadi bagi sesiapa yang tahu bolehlah berkongsi maklumat di dalam komen. Terima kasih.

Benih pokok ini boleh didapati dari: tanamsendiri.com


Free Download



Arkib Blog