Rabu, 11 Disember 2013

Telescope Terbesar Di Angkasa MOIRE

MOIRE telescope di ruang angkasa

Telescope angkasa seperti Spitzer, Hubble dan yang bakal dilancarkan iaitu Webb merupakan telesopce yang beroperasi di angkasa berbanding telescope yang biasa yang berada di permukaan bumi. Satu kelebihan telescope ini adalah lokasinya yang berupaya mendapatkan lebih banyak cahaya tanpa ditapis oleh atmosfera bumi. Bagaimanapun dari segi saiz, adalah sukar untuk menghantar telescope bersaiz besar ke orbit kerana untuk menghantar peralatan ke angkasa memerlukan kos yang besar serta teknologi yang baru.

Dari segi saiz Spitzer mempunyai kanta utama berukuran 0.85 meter (33.5”) diameter manakala Hubble pula adalah 2.4 meter (94.5”) diameter. Sehubungan itu telescope Webb adalah berukuran 6.5 meter (255.6”), namun ia bukan berbentuk kanta biasa yang bulat. Ia sebenarnya terdiri daripada pecahan-pecahan kanta yang mengumpul cahaya yang membentuk kanta primernya. Dengan mempunyai kanta utama yang lebih besar, lebih banyak cahaya yang dapat dikumpulkan daripada objek yang jauh dan mendapatkan gambar yang lebih jelas. Seperti yang kita ketahui, kejayaan telescope Hubble selama ini telah banyak membantu penemuan-penemuan baru yang berkaitan dunia astronomi yang mustahil dilakukan daripada telescope di permukaan bumi.

Perbezaan saiz kanta primer telescope angkasa

Sehubungan itu terdapat satu lagi usaha yang untuk membina sebuah lagi telescope yang dikenali sebagai Membrane Optical Imager for Real-Time Exploitation (MOIRE) yang akan di tempatkan di ruang angkasa. Telescope ini akan berada di ruang angkasa pada jarak 22,000 batu dari permukaan bumi dan ianya akan menghala ke arah bumi. Ianya lebih bertujuan untuk mendapatkan gambaran permukaan bumi berbanding angkasa dan ianya juga dibangunkan dengan pembiayaan yang dikeluarkan oleh DARPA.

Apa yang menariknya telescope ini merupakan telescope terbesar yang akan berada di ruang angkasa dengan saiznya menjangkau 20 meter diameter. Jadi untuk membangunkan telescope sebesar ini dan diletakkan di ruang angkasa memerlukan satu kaedah yang jauh berbeza sari segi peralatan, teknik penghantaran dan keseluruhan telescope tersebut. Banyak perkara yang menarik mengenai telescope ini selain daripada saiznya sahaja kerana ia berbeza sekali dengan telescope-telescope yang lain.

Oleh kerana saiznya yang terlalu besar ia akan dilipat seperti payung semasa dilancarkan di dalam roket ke angkasa. Apabila sampai ke orbit di ruang angkasa barulah ianya dibuka bersama lelengan teleskop yang panjangnya kira-kira 60 meter. Ianya adalah jarak untuk kanta utama menumpukan cahaya bagi membolehkan gambar diambil. Apa yang menarik kanta utama ini terdiri daripada kepingan kanta-kanta kecil yang menumpukan cahaya kepada bahagian utama keseluruhan system telescope tersebut.

Berbeza dengan telescope yang lain yang mengunakan kaca sebagai bahan utama untuk kantanya. MOIRE menggunakan plastic untuk menjadikan ianya lebih ringan bagi membolehkan ianya diterbangkan ke angkasa. Selain itu juga kanta ini telah dipertingkan efisyensinya berbanding plastik biasa bagi meningkatkan kualiti telescope yang dihasilkan. Melalui pencapaian ini tahap tersebut dapat digandakan hampir dua kali ganda iaitu daripada 30 peratus kepada 55 peratus. Ini membolehkan ianya digunakan untuk telescope MOIRE itu nanti.

Antara kanta yang digunakan untuk MOIRE

Sehingga ini MOIRE mejalankan beberapa ujian akhir untuk memastikan misi ini Berjaya dialankan ter masuk pengujian di permukaan bumi dan juga pelancaran telescope berukuran 10 meter ke orbit. Kejayaan penggunaan teknologi pemfabrikasi optik ini adalah dengan bantuan kepakaran daripada Lawrence Livermore yang membolehkan telescope bersegmen dilakukan.


Menarik sekali mengenai telescope gergasi ini. Jadi sama-sama kita saksikan samada telescope ini akan mampu berada di ruang angkasa seperti yang dirancangkan. Selain itu juga kita menantikan James Webb Space Telescope atau dikenali sebagai Webb telescope yang akan dilancarkan pada 2018 nanti. 


Free Download






Isnin, 9 Disember 2013

Bunga-bungaan Harum Untuk Halaman

Bunga Cina menghasilkan bauan harum untuk halaman.

Bunga-bungaan yang harum bukan sahaja menjadi kegemaran surirumah dan pekebun malah setiap orang yang meluangkan masa di persekitarannya tentu dapat merasakan perbezaan kesegaran udara yang nyaman daripada bauan yang dihasilkan. Terdapat pelbagai tanaman hiasan yang menarik, tetapi sekiranya ianya menghasilkan bauan yang harum, tentu menambahkan lagi keunikan taman anda. Mari ikuti sebahagian daripada bunga-bungaan tersebut.

Jasmine/ Melati


Jasmine memang terkenal dan digunakan untuk membuat haruman. Terdapat lebih daripada 200 spesis melati dan yang paling terkenal adalah melati putih (jasminum sambac). Selain daripada bauan yang harum warnanya yang putih juga menjadi simbol kesucian pokok ini. Maka haruman jasmine menjadi salah satu haruman yang sesuai sekali bagi wanita. Pokok jasmine tumbuh dengan memerlukan sokongan dan boleh mencecah sehingga 3-5 meter tinggi. Ia juga sering dijadikan hiasan kepala selain kalungan bunga. Bunga yang kering juga boleh dijadikan teh selain dirposes untuk membuat pati haruman.

Ros/ Mawar


Ros tidak asing lagi sebagai haruman yang sememangnya popular sejak dahulu lagi. Walaupun pohonnya berduri ros tetap menjadi pilihan setiap pengemar tanaman. Selain popular sebagai hadiah untuk meluahkan kasih sayang bunga ros juga digunakan untuk membuat haruman. Juga terdapat teh yang dihasilkan daripada bunga dan buah dari spesis bungaan ini. Haruman ros berbau lembut dan amat menyamankan.

Frangipani


Nama bunga ini adalah bersempena nama seorang bangsawan Itali yang pada abad ke-16 yang menggunakan bunga ini untuk membuat haruman. Ia juga dikenali sebagai Plumeria dan bunga ini juga merupakan antara spesis daripada bunga kemboja yang sememangnya mengeluarkan haruman terutama pada waktu malam.

Bunga ini sememangnya harum dan biasanya dijual kepada pengeluar haruman untuk dijadikan pati haruman. Ia juga sering digunakan di spa-spa untuk perawatan berkaitan seperti mandi bunga dan sebagainya.

Sweet Alyssum


Sweet Alyssum adalah tumbuhan yang kecil yang berbunga sepanjang tahun. Pokok hanya sekitar 5-30cm sahaja. Pokok ini akan dipenuhi dengan bunga-bunga bersaiz kecil iaitu 5mm sahaja dan mengeluarkan bauan yang manis. Bunganya mempunyai 4 kelopak dari warna seperti putih, pink, merah, violet atau lilac. Pokok ini berasal dari kawasan di Mediterranean dan kawasan sekitarnya. Penanamannya adalah melalui biji yang biasanya diterbangkan angin.

Chocolate Cosmos


Bunga istimewa ini berasal dari Mexico dan adalah dari spesis bunga kosmos namun mempunyai bauan yang harum seakan-akan vanilla/coklat. Mempunyai ketinggian antara 49-60cm dan boleh berbunga sepanjang tahun. Cuma usia pokok ini tidaklah terlalu lama. Bunga ini juga dikatakan telah pupus namun diperkenalkan semula pada tahun 1902. Bauannya lebih ketara ketika musim panas.


Wisteria


Wisteria merupakan spesis tumbuhan kekacang yang melilit pada pohon lain untuk tumbuh dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Ia merupakan tumbuhan asal di bahagian Timur Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. Spesis yang dikatakan mengeluarkan bauan yang harum adalah daripada jenis Chinese Wisteria. Tumbuhan ini juga tumbuh dengan melilit pada pohon yang lain dan adakalanya boleh mengancam tumbuhan tersebut. Jadi bagi tumbuhan ini sebaiknya ia disediakan sokongan sendiri.

Sweet Pea


Juga merupakan tumbuhan kekacang yang melilit. Ia merupakan hasil daripada pendebungaan silang untuk menghasilkan bauan yang lebih enak pada lewat tahun 1870an oleh pengeluar bungaan berbangsa Scottish. Terdapat pilihan warna dari merah ke pink atau putih ke kuning. Pokok ini boleh memanjat sehingga 1-2meter dan mempunyai bunga yang bersaiz 2-3.5cm.

Lily of the Valley


Bunga ini amat terkenal kerana bauannya yang harum dan sering digunakan sebagai pewangi. Namun begitu tumbuhan ini juga beracun dan perlu diberikan perhatian terutama kepada kanak-kanak. Ia tumbuh pada kawasan yang bercuaca dingin dan biasanya mengeluarkan bunga pada lewat musim bunga. Bunganya yang cantik seakan-akan loceng bersaiz di antara 5-10mm mengeluarkan bauan yang memikat. Walaupun ia beracun ia tetap merupakan antara bungaan yang popular dijadikan wangian.

Gardenia/ Bunga Cina


Bunga Gardenia terdiri dari beberapa spesis yang juga dikenali di negara kita sebagai bunga Cina dengan bauan yang harum seakan-akan bunga melur. Bunganya yang mempunyai kelopak yang tebal dan berwarna putih kekuningan ini mempunyai bau yang kuat tetapi lembut. Ia merupakan satu lagi bunga yang sering digunakan di dalam wangian. Pokok bunga ini agak besar dan ada juga spesis yang lebih kecil. Bauan daripada bunga ini jelas sekiranya ia berada di halaman rumah.


Four O'Clock


Bunga ini juga dikenali sebagai Marvel of Peru atau nama saintifiknya Mirabilis Jalapa mempunyai bunga yang pelbagai warna. Terdapat juga pokok yang menghasilkan pelbagai warna selain daripada kombinasi pelbagai warna pada satu bunga. Bauannya adalah bertujuan menarik perhatian serangga yang terdiri daripada rama-rama jadi bunganya kembang pada lewat petang dan layu keesokan harinya. 

Terdapat banyak lagi bunga-bunga yang berbau harum yang sesuai sekali dijadikan tanaman di sekitar rumah bagi menyegarkan lagi udara persekitaran halaman atau taman. Suasana begini tentu sahaja menyamankan bagi anda seisi keluarga meluangkan masa bersama di waktu petang atau hujung minggu untuk beristirehat. Bagi yang serius dengan tanaman bunga pula bolehlah menjadi pembekal pada pembeli yang menggunakan bunga-bungaan untuk dijadikan pati haruman.



Free Download



Ahad, 8 Disember 2013

Keistimewaan Bunga Telang, Nasi Kerabu

Bunga Telang Biru
Bunga Telang merupakan rahsia kenapa Nasi Kerabu bewarna biru. Bagi saya sendiri selalu tertanya kenapa nasi kerabu berwarna biru dan bagaimana ianya dihasilkan. Nasi kerabu yang popular di pantai timur ini, kini menjadi sajian di merata tempat di sekitar Malaysia terutama di bazar ramadhan dan gerai-gerai yang menjual makanan dari pantai timur.


Bagi yang tidak mengenali bunga telang mungkin tidak menyangka ia digunakan untuk mewarnakan makanan kegemaran ramai ini. Ini kerana bunga telang tumbuh meliar di pinggir halaman atau belukar. Pokoknya yang melilit seperti juga pokok bunga seri pagi memerlukan pokok lain atau pagar sebagai sokongan bagi membolehkan ia menjalar dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Keistimewaan utama bunga ini adalah ia sangat berguna sebagai pewarna makanan.

Bunga telang atau nama saintifiknya 'Clitoria ternata' tumbuh di sekitar kawasan khatulistiwa di Asia, namun ia juga diperkenalkan ke kawasan lain seperti Afrika, Australia dan Amerika. Ia juga dikenali dengan nama seperti kembang telang (Sunda), kembang teleng (Jawa), temen raleng (Bugis) dan lain-lain lagi. Bunga ini juga digunakan di dalam makanan di Thailand dan Burma.

Bunga dan Kacang Telang

Seperti tumbuhan kekacang yang lain pokok bunga telang tumbuh daripada biji dari kekacangnya. Tumbuhan ini melilit jadi ia memerlukan 'junjung' seperti pokok kacang panjang atau biasanya di tanam supaya melilit di pagar. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan kesuburan tanah kerana seperti juga pokok semalu yang mempunyai backteria 'rhizobia' yang mengikat Nitrogen di dalam udara untuk digunakan oleh tumbuhan. Jadi melalui pereputan pokok ini ia akan mengembalikan semula kesuburan kepada tanah.

Bunganya akan melayu setelah tamat proses pendebungaan dan akan menghasilkan kantung kekacang yang berukuran 5 - 7 cm panjang. Ianya agak leper seperti juga kacang peas dan mengandungi antara 6 ke 10 biji kacang di dalam satu kantung. Kacang yang telah matang akan kelihatan coklat manakala bijinya akan bewarna gelap. Biji ini bolehlah disemai sekiranya anda berminat untuk menanam pokok bunga telang.

Teh Bunga Telang

Untuk menggunakannya sebagai pewarna makanan, ia direndam di dalam air panas yang kemudian digunakan untuk memasak nasi, bagi nasi kerabu. Selain itu ia juga digunakan untuk menyediakan minuman yang dikenali sebagai 'nam dok anchan' di Thailand. Ia akan betukar warna kepada 'pink-purple' apabila dicampurkan sedikit perahan limau. Tedapat juga makanan yang menggunakan bunga ini yang dipanggil sebagai kuih ketan atau pulut tai tai oleh masyarakat Peranakan/Nyonya.

Untuk merawat bisul bunga telang dilumatkan secukupnya dan dicampurkan dengan asam jawa yang kemudiannya digunakan pada kawasan yang menghidapi bisul. Selain itu air rebusan akar telang putih juga boleh digunakan untuk tujuan membersihkan darah.

Tom dok anchan dari Thailand
Nasi Kerabu merupakan makanan popular Pantai Timur, Malaysia.
Nasi Kerabu mudah dipadankan dengan sebarang hidangan.

Air rebusan akar telang juga dikatakan merawat demam serta masalah berkaitan pernafasan seperti kahak dan bronkitits, selain membantu melawaskan pembuangan air kecil. Untuk tujuan ini akar pokok telang yang kering direbus di dalam air (4 cawan) sehingga tinggal 2 cawan. Air yang telah sejuk, bolehlah diminum 2 kali sehari.

Keradangan mata juga (mata kelihatan merah) boleh dirawat menggunakan air daripada rendaman bunga telang. Rendam bunga telang secukupnya di dalam air sehingga air bertukar menjadi biru. Gunakan air tersebut untuk mencuci mata yang kemerahan.

Begitulah antara keistimewaan tumbuhan pokok telang ini. Bagi yang tidak mengetahui keistimewaanya mungkin menyangka ianya adalah pokok biasa yang tumbuh di belukar. Tapi anda mungkin bertukar pendapat sekiranya anda selalu menikmati hidangan nasi kerabu. Mungkin terdapat banyak lagi keistimewaan pokok serta bunganya. Jadi bagi sesiapa yang tahu bolehlah berkongsi maklumat di dalam komen. Terima kasih.

Benih pokok ini boleh didapati dari: tanamsendiri.com


Free Download



Keistimewaan Pokok Puding

Puding terdiri daripada pelbagai jenis

Pokok puding telah menjadi tanaman hiasan kepada kebanyakan rumah di Malaysia sejak dahulu lagi. Keistimewaan pokok ini walaupun tidak mempunyai bunga yang menarik tetapi daun dan pokoknya sendiri adalah sangat cantik. Terdiri dari berbagai spesies pokok puding mempunyai pelbagai bentuk daun dan pelbagai warna. Jadi pokok puding tidak memerlukan bunga yang cantik untuk kelihatan menarik untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan.

Pokok puding adalah tumbuhan sederhana jadi ia sesuai sekali ditanam di persekitaran rumah kerana ia tidak mengancam keselamatan sekiranya tumbuh terlalu besar. Dengan bentuk, serta warna daun yang menarik pokok puding sesuai sekali untuk menjadi hiasan di halaman. Dari spesies puding sahaja terdapat pelbagai pilihan menarik untuk dipadankan dengan kesesuaian taman anda. Terdapat pelbagai keistimewaan lain pokok puding, selain daripada hiasan, iaitu sebahagian spesies boleh dimakan dan ada juga yang mempunyai faedah perubatan.



Kaedah penaman pokok ini juga amat mudah iaitu melalui keratan batang sahaja. Sebaiknya anda menggunakan "poly bag" untuk menanam pokok ini dan bolehlah mengalihkannya ke tanah atau pasu apabila sudah tumbuh dan memiliki akar yang kuat. Pokok ini boleh diatur dengan susunan yang sesuai mengikut ruang taman yang anda sediakan. Malah ia juga sesuai sebagai tanaman di dalam rumah, cuma pastikan ia mendapat cahaya yang secukupnya.

Puding yang digunakan dalam masakan

Bagi jenis puding yang boleh dimakan atau dikenali sebagai "puding belacan", daunnya berwarna merah hati (agak gelap) dan mempunyai daun yang lebih lembut. Jarang dijadikan hiasan, tetapi rasanya memang amat sedap bila dicampurkan ke dalam masakan rendang ayam atau daging. Pokoknya agak tinggi berbanding dengan pokok puding yang lain dan berbunga agak besar dan menarik. Namun penanamannya juga adalah melalui keratan batang sahaja. Hidangan istimewa ini lebih terkenal di Negeri Sembilan dan adakalanya ia dianggap istimewa. Bagi saya sendiri, ia memang istimewa.



Pokok puding juga dikatakan mempunyai keistimewaan lain seperti membantu melawaskan pembuangan air besar dan kekejangan perut. Untuk ini akar pokok puding berdaun hijau dan merah digunakan. Seperti biasa air rebusan akar pokok tersebut perlu diminum. Selain itu juga, air akar puding berdaun hijau digunakan untuk merawat demam panas dengan meminum air rebusan tersebut dan disapukan pada badan.

Bentuk daun dan warna yang menarik

Selain daripada itu air rebusan daun puding juga dikatakan berpotensi dijadikan sebagai ubat perancang keluarga. Jadi ia perlu dielakkan bagi wanita-wanita yang merancang untuk hamil atau ibu-ibu yang sedang mengandung.

Bagi yang meminati tanaman bolehlah memperluaskan koleksi tanaman pokok puding anda kerana pokok ini sesuai sekali menjadi hiasan untuk mengindahkan lagi kawasan taman ataupun halaman rumah anda. Warna serta bentuk daun yang menarik menjadi daya tarikan utaman pokok ini. Jadi anda tidak perlu risau untuk menunggu sehingga ia berbunga. Ia juga sesuai bagi mereka yang mempunyai konsep halaman/taman tropika atau Bali. Bagi mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan lebih mengenai pokok ini bolehlah berkongsi pandangan anda di sini.

Rimbunan pokok puding



Free Download



Rabu, 4 Disember 2013

Muzium-muzium Di Negeri Melaka

Melaka bukan sahaja popular sebagai Bandar Bersejarah malah ia turut menyediakan produk pelancongan yang amat bersesuaian sekali dengan gelaran ini. Maka dengan itu Negeri Melaka menyediakan sejumlah muzium-muizum untuk dikunjungi oleh pelancong dari dalam mahupun dari luar.

Terdapat lebih kurang 20 buah muzium untuk pelbagai pameran bahan yang unik di bawah penyeliaan Perbadanan Muzium Melaka. Muzium-muzium ada yang terletak di sebuah bangunan yang sama memandangkan ianya cuma mempamerkan bahan-bahan yang mudah seperti Muzium Layang-Layang dan Muzium Kecantikan. Berlainan pula dengan Muzium Kapal Selam yang menjadikan kapal selam tersebut sebagai bahan pamerannya sendiri. Mari kita lihat Muzium-muzium ini secara sepintas lalu.

Muzium Sejarah & Etnografi

Muzium ini ditempatkan di Bangunan Stadthuys yang dibina pada zaman pemerintahan Belanda pada tahun 1650an. Muzium ini mempamerkan tentang sejarah awal penubuhan Melaka, zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Di aras bawah muzium ini memberikan penekanan khusus kepada corak kehidupan masyarakat tempatan yang berbilang bangsa. Antara yang dipamerkan adalah adat istiadat perkahwinan, cara kehidupan seharian, diorama pertanian serta pelbagai peralatan yang digunakan oleh masyarakat Melaka termasuk artifak-artifak bersejarah seperti koleksi porselin, senjata dan pelbagai jenis mata wang.

Muzium Kapal Selam

Kapal Selam FS Ouessant Agosta 70 merupakan kapal selam latihan krew-krew Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibawa pulang dari Perancis oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk dijadikan sebagai muzium di Kompleks Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang, Melaka. Kerja-kerja untuk membawa pulang kapal selam FS Ouessant Agosta 70 ini dari pengkalannya di Brest, Perancis telah dimulakan pada 9 Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November 2011. Fokus utama pameran Muzium Kapal Selam FS Ouessant Agosta 70 ini ialah sejarah kapal selam dan perkembangan terutamanya di negara kita.

Muzium Pendidikan

Bangunan yang menempatkan Muzium Pendidikan Melaka telah dibina oleh British pada tahun 1884. Fokus utama muzium ini adalah berkaitan sejarah pendidikan di Melaka bermula dari zamanKesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan British, pendidikan pada zaman pemerintahan Jepun, pendidikan selepas merdeka serta pendidikan masa kini termasuk peranan institusi perguruan dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka dalam memacu kemajuan pendidikan negeri.

Muzium Satera

Bangunan bercirikan seni bina Inggeris ini telah dijadikan sebagai Muzium Sastera Melaka dan dirasmikan pembukaannya pada tahun 1984 oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Mohd Zin Bin Ab. Ghani. Sejarah kesusasteraan dan pengkaryaan bermula dari era awal penulisan, cerita-cerita rakyat, tokoh-tokoh penulis Melaka, perkembangan kesusasteraan Melayu moden, menjadi fokus utama muzium ditambah lagi dengan pelbagai koleksi asal manuskrip tulisan tangan dan juga koleksi karya penulis-penulis tempatan.

Muzium Pemerintahan Demokrasi

Bangunan yang pada asalnya merupakan Bangunan Dewan Undangan Negeri Melaka kini ditukar menjadi muzium yang mempamerkan sejarah pemerintahan di Malaysia termasuk amalamdemokrasi melalui pilihanraya. Muzium ini turut memaparkan susur galur sejarah awal Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehingga kepada kejayaan-kejayaan cemerlang yang dikecapi oleh negara dalam sistem pemerintahannya.

Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka

Sejarah dan perkembangan institusi Yang di-Pertua Negeri Melaka kini terpahat di dalam sebuah bangunan indah yang dahulunya dikenali sebagai Seri Melaka. Sebelum dijadikan sebuah muzium, bangunan ini berfungsi sebagai kediaman rasmi dan pejabat Yang di-Pertua Negeri sehingga tahun 1996. Fokus utama muzium adalah berkaitan peranan dan sumbangan Yang di-Pertua Negeri Melaka bermula dari Tun Leong Lew Koh (Gabenor pertama) sehingga era Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob dalam menerajui negeri. Kegunaan asal ruang-ruang di muzium ini dikekalkan dengan mempamerkan pelbagai koleksi milik peribadi setiap Yang di-Pertua Negeri.

Muzium Belia Malaysia

Muzium Belia Malaysia terletak di Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan muzium ini pernah dijadikan rumah paderi pada zaman Belanda, Sekolah Tinggi Melaka dan Pejabat Pos Besar Melaka. Kini fungsinya bertukar kepada sebuah muzium yang mendokumentasikan kegiatan belia melalui bahan-bahan dan maklumat berkaitan aktiviti belia di Malaysia dan antarabangsa. Antara yang menjadi fokus utama adalah paparan mengenai persatuan-persatuan belia di Malaysia di bawah Majlis Belia Malaysia, sudut Menteri-Menteri Belia dan Sukan, pakaian-pakaian rasmi persatuan, logo-logo dan diorama pembacaan ikrar sempena sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan.

Muzium Islam Melaka

Muzium Islam Melaka ditempatkan di bangunan lama Majlis Islam Melaka (MAIM). Bangunan ini adalah tinggalan warisan Belanda yang kini rekabentuk dalamnya disesuaikan dengan konsep imbasan era kegemilangan Islam di Melaka dan Nusantara. Antara kleksi yang dipamerkan adalah replika Al-Quran terawal, sejarah masjid-masjid di Melaka, replika Pedang Rasulullah SAW, kitab-kitab agama dan tokoh-tokoh agama serta ulama dari Melaka dan Malaysia.

Muzium Rakyat

Muzium ini ditempatkan di bangunan yang pernah menjadi pejabat pentadbiran Majlis Perbandaran Melaka Tengah (MPMT) bersama-sama dengan Muzium Kecantikan, Muzium Layang-layang dan juga Galeri 3D. Muzium Rakyat terletak di tingkat bawah mempamerkan aspek pembangunan serta kejayaan yang dicapai oleh Negeri Melaka meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosio budaya dan infrastruktur. Terdapat juga Galeri Gasing yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat pelbagai jenis gasing termasuk jenis jantung, berembang, talar dan uri. 

Muzium Kecantikan

Muzium ini terletak di aras dua bangunan yang sama menempatkan Muzium Rakyat. Pameran menjurus kepada penafsiran kecantikan melalui perbandingan antara kebudayaan dan zaman yang berlainanwalaupun terpaksa menghadapi pelbagai pantang larang dan menanggung kesakitan. Dibuka kepada pengunjung pada tahun 1996, bahan pameran yang dipamerkan adalah mengenai perubahan kekal pada tubuh badan untuk kelihatan cantik seperti rajahan pada kulit atau tatu, pemakaian piring bibir, melonjongkan kepala, pemakaian bengkung dan membedung kaki.

Muzium Layang-layang

Muzium ini dirasmikan pembukaannya pada September 1995 oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Muzium ini memaparkan sejarah bermulanya permainan layang-layang di seluruh dunia sebagai alat komunikasi, sukan pada waktu lapang dan digunakan semasa peperangan. Layang-layang pelbagai jenis dan saiz menjadi tarikan utama muzium disamping pelbagai maklumat yang boleh diperolehi seperti teknik pembuatan secara tradisional dan teknik permainan bagi setiap layang-layang. Turut dipamerkan adalah jenis Wau Malaysia atau Wau Bulan yang terkenal di negeri Terengganu dan Kelantan.

Muzium Setem Melaka

Setem merupakan aset beharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah kepada mereka yang menghargainya. Pengumpul setem akan membelanjakan sejumlah wang, tenaga dan masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui berada dalam koleksi simpanan mereka. Maka dengan itu Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad telah menubuhkan Muzium Setem Melaka pada tahun 2007 di bangunan lama Muzium Melaka bagi mempamerkan setem-setem terawal Malaysia dan luar negara sehingga yang terkini.

Muzium Istana Kesultanan Melaka

Keindahan Muzium Kesultanan Melaka

Muzium Istana Kesultanan Melaka dibina berdasarkan catatan Sejara Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina istana zaman Sultan Mansur Shah. Selain daripada reka bentuk bangunan, pelbagai ukiran dan susun aturnya,, pelawat berpeluang menambah pengetahuan berhubung institusi Kesultanan Melayu Melaka dan menerokai suasana dalaman sebuah  istana melalui diorama Balairong Seri, deligasi pedagang-pedagang, diorama pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat serta bilikk beradu Sultan. Pelbagai model istana Melayu turut dipamerkan disamping peragaan pakaian tradisional, aksesori perhiasan, senjata  dan peralatan tembikar.

Muzium Dunia Melayu Dunia Islam

Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bangunan Bastion House, Jalan Kota, Melaka. Bangunan ini dibina pada zaman pemerintahan Ingggeris bagi menempatkan pegawai dan pentadbirannya di Melaka. Muzium ini menjadi rujkan berkaitan masyarakat Melayu dari segi sosio budaya dan ekonomi seluruh Nusantara. Koleksi  yang dipamerkan merangkumi bahan sastera, manuskrip, cap mohor, senjata, alat muzik dan sebagainya.

Muzium Samudera

Muzium Samudera dibina pada awal tahun 1990 bberdasarkan sebuah replika kapa Portugis yang bernama Flor de La Mar. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh  Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 13 Jun 1994. Paparan utama muzium ini adalah berkaitan sejarah kedaulatan Melaka dan juga perkembangan perdagangan dari zaman Kesultanan Melayu hingga ke era Portugis, Belanda dan Inggeris. Bahan pameran terdiri daripada peta-peta lama, model-modell kapal, senjata serta kelengkapan artifak berkaitan maritim, diorama-diorama disamping disediakan satu sudut khas mengenai  Panglima Awang, anak Melayu pertama mengelilingi dunia.

Muzium Samudera Fasa II

Muzium ini terletak di bangunan gudang lama Guthrie bersebelahan replika Kapal Flor de La Mar. Sebagai kesinambungan dari penubuhan Muzium Samudera, ianya ditubuhkan berdasarkan tema Alam Samudera dan Kemanusiaan untuk menggambarkan kedudukan Melaka dalam sejarah maritim dan perdagangan laut disamping  mencerminkan cara manusia menguruskan dan memanfaatkan samudera. Pamerannya berkonsepkan proses ketamadunan dan perubahan teknologi yang berkembang seiring dengan arus pembangunan negara. DDunia maritim diolah menggunakan teknik pameran dan peragaan terkini dan rekabentuk dalaman muzium dibina menyerupai badan kapal dengan pintu angin dan galang yang jelas kelihatan.

Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia

Muzium ini asalnya terletak di pengkalan TLDM di Lumut kini telah dipindahkan ke Melaka bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengunjunginya dan  mendapat maklumat tentang sejarah, peranan dan sumbangan serta aktiviti-aktiviti TLDM. Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai  pada 28 Oktober 1995 dan kerja-kerja naik taraf telah dijalankan pada tahun 2005 seiring dengan perkembangan dan pembangunan semasa TLDM. Tarikan utama muziuum adalah sebuah helikopter jenis WASP HAS MK 1, yang pernah digunakan oleh unit udara TLDM dan juga kapal EX-KD   Terengganu yang terlibat dalam pelbagai tugas penting TLDM selama 31 tahun semenjak ditauliahkan pada tahun 1963.

Muzium Al-Quran

Muzium Al-Quran Melaka menjadi sebuah lagi mercu tanda kegemilangan syiar Islam di Melaka. Ianya ditempatkan di Bangunan Fasa II Kompleks Al-Aziim, Bukit Palah Melaka. Muzium ini memperagakan sejarah penurunan wahyu pertama sehingga kepada perkembangan Islam di Zaman Rasulullah  SAW, para sahabat dan penyebarannya ke seluruh Timur Tengah, India, China dan Alam Melayu. Muzium ini merupakan destinasi terunggul untuk dilawatii bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat berhubung Al-Quran dan sejarah perkembangannya di Malaysia.

Muzium Chetti

Muzium Chetti yang terletak di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka amat bersesuaian dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri Melaka. Muzium ini memperlihatkan kebudayaan dan adat istiadat masyarakat Chetti  dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Pelbagai maklumat mengenai sejarah dan susur galur masyarakat Chetti boleh didapati di sini. Peralatan-peralatan bagi upacara keagamaan, perkahwinan, memasak serta pakaian menjadi tarikan utama kepada muzium yang memaparkan identiti dan jati diri masyarakat minoriti negeri ini.

Muizum Orang Asli

Muzium ini diadaptasi dari replika rumah orang asli yang terdapat di negara ini terletak bersebelahan Taman Buaya, Ayer Keroh Melaka. Ianya telah dibuka kepada orang ramai pada 3 Februari 1997  dengan mengkhususkan kepada peragaan bahan dan peralatan harian suku kaum asli seperti Senoi, Jahut dan Mah Meri. Antara paparan utama muzium ini adalah berkaitan adat perkahwinan dan upacara kematian masyarakat orang asli disamping pelbagai hasil kerja tangan yang unik seperti ukiran kayu dan anyaman.

Begitulah sebahagian keunikan muzium-muzium yang terdapat di Negeri Melaka. Maka dengan itu sekiranya anda berkunjung ke sini pastikan anda meluangkan masa yang cukup untuk melawati pelbagai destinasi menarik di Negeri Melaka. Bagi memudahkan kunjungan pastikan anda meneliti terlebih dahulu setiap lokasi bagi menjimatkan masa dengan mengunjungi lokasi-lokasi yang berhampiran terlebih dahulu. Semoga Melaka akan terus memelihara dan mempertingkatkan lagi usaha dalam mempamerkan bahan-bahan di kesemua muzium mereka. Teruskan Melaka!


Free Download



Arkib Blog