Rabu, 17 September 2014

Apakah Yang Terdapat Dalam Darah?

Red blood cell
Sel darah merah dalam saluran darah.

Darah merupakan cecair penting yang membawa segala keperluan sel-sel di dalam badan kita daripada zat makanan sehinggalah kepada oksigen yang diperlukan. Malah selain daripada zat-zat penting ini, darah juga turut mengandungi sistem pertahanan badan yang diselenggarakan oleh sel darah putih.

Kandungan utama di dalam darah adalah dikenali sebagai plasma iaitu kandungan utama di dalam darah dengan peratus sehingga 55% daripada keseluruhan kandungan darah.  Selain daripada air plasma juga turut mengandungi;
  • Sel darah
  • Karbon Dioksida
  • Glucose (gula)
  • Hormon
  • Protein

Jenis-jenis sel darah;

Sel darah merah – Sel darah merah merupakan jumlah sel terbanyak di dalam darah. Ia berbentuk cakera yang berlekuk dan mengandungi hemoglobin (Hb atau Hgb). Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu RBC atau erythrocytes.

Hemoglobin merupakan protein yang mengandungi zat besi (iron); yang akan di agih-agihkan kepada sel-sel di dalam badan. 97% daripada kandungan kering sel darah merah ini adalah protein.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat kira-kira 4 bulan. Ia kemudiannya akan dilupuskan oleh dua organ utama dalam badan iaitu limpa dan hati. Sel darah merah akan terus dihasilkan oleh badan mengikut kadar keperluan yang diperlukan.

Sel darah putih (leukocytes) – Sel darah putih merupakan sel yang melakukan kerja-kerja penyingkiran bahan asing di dalam darah (yang terdiri daripada organisma ataupun sel-sel rosak seperti sel kanser). Lymphocytes dan juga ganulocytes (daripada kumpulan sel darah putih) boleh bergerak di dalam dan di luar daripada aliran darah bagi menjangkau bahagian yang diperlukan.

Kandungan normal sel darah putih di dalam 1 liter darah adalah kira-kira 4X1010 atau merupakan 1% daripada keseluruhan darah bagi seseorang manusia normal.

Platelets (thrombocytes) – platelets pula berfungsi untuk mengawal proses pembekuan darah terutama apabila kita mengalami luka. Apabila kita luka, platelets akan menggumpal dan membeku untuk mengelakkan darah terus mengalir.


white blood cell
Sel darah putih dan sel darah merah.

Fungsi Utama Darah


- Darah membawa oksigen ke seluruh bahagian badan untuk semua sel dan tisu.

- Membekalkan segala keperluan nutrient kepada sel, antaranya seperti asid amino, asid lemak dan glukosa.

- Menyingkirkan karbon dioksida, urea dan asid laktik (bahan kumuhan).

- Sel darah putih di dalam darah mengandungi antibodi yang mempertahankan badan daripada jangkitan dan bahan asing.

- Platelets di dalam darah pula membantu proses pembekuan darah bagi memastikan darah tidak terus mengalir keluar apabila berlaku pendarahan.

- Hormon atau penggalak juga terkandung di dalam darah dan menghantarkan isyarat bagi tindakan bahagian-bahagian sel tertentu di dalam badan.

- Ia mengawal kadar keasidan di dalam badan.

- Darah juga merupakan elemen penting dalam mengawal suhu badan. Pengaliran darah dapat membantu mengurang atau menetapkan suhu badan dalam keadaan yang stabil. Juga kita sudah semestinya perlu mengelakkan cuaca yang terlalu panas ataupun sejuk dengan perlindungan pakaian yang bersesuaian.

Bagaimana Sel Darah Dihasilkan?


Blood cell lineage
Pengkhususan sel darah daripada 'stem sel'.

Sel-sel seperti darah putih, darah merah dan platelets dihasilkan oleh sum-sum tulang yang terdapat di dalam bahagian tengah tulang. Bahagian tulang ini mengandungi lemak, darah dan sel yang dikenali sebagai stem sel – iaitu sel yang yang boleh membentuk menjadi pelbagai jenis sel yang lain. Terdapat beberapa bahagian tulang pada badan yang mengandungi sum-sum yang banyak untuk tujuan penghasilan sel darah ini.

Kumpulan Darah


Terdapat 4 kumpulan utama darah iaitu A, B, AB dan O. Kumpulan darah ini penting dalam menjalankan proses perubatan terutamanya apabila pesakit mengalami kekurangan darah dan memerlukan darah tambahan. Darah yang tidak sesuai akan menyebabkan reaksi penolakan yang boleh membahayakan nyawa pesakit dan membawa maut.

Secara ringkasnya darah dari kumpulan O boleh medermakan darah kepada semua jenis kumpulan darah yang lain. Manakala darah dari kumpulan A pula hanya boleh menerima darah dari kumpulan A atau O sahaja. Begitu juga dengan darah dari kumpulan B yang hanya boleh menerima dari kumpulan B atau O pula. Bagi kumpulan AB + (RhD positive) pula ia boleh menerima darah dari mana-mana kumpulan darah.

Walaubagaimanapun sebelum menjalankan sesuatu proses tranfusi darah, pelbagai ujian perlu dijalankan dalam memastikan keserasian sebelum seseorang pesakit boleh menerima darah dari penderma yang lain.


Bagitulah beberapa perkara yang manarik mengenai darah yang terkandung dalam setiap badan manusia. Walaupun ia hanya kelihatan seperti cecair yang berwarna merah, ia sebenarnya mengandungi pelbagai kandungan penting yang memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Bagi memastikan darah berada dalam keadaan yang baik pula, anda perlulah memastikan bahawa anda mengamalkan amalan kesihatan yang baik dan juga pemakanan yang sihat.  Terima kasih.

Artikel berkaitan:

1. Tahukah Anda Mengenai Darah Jenis Bombay?



Free Download



Selasa, 16 September 2014

Rekaan Unik Pemerangkap Air

DropNet Installation
Pemasangan DropNet di kawasan yang sesuai untuk mengumpul embun.

Seorang pelajar German dari bidang rekabentuk telah mencipta sebuah alatan yang mampu memerangkap embun/lembapan daripada udara. Rekaan beliau bukan sahaja mempunyai fungsi yang beguna malah mempuyai beberapa ciri unik yang lain.

Rekaan yang dipanggil DropNet ini adalah hasil kreativiti seorang pelajar bernama Imke Hoehler sebagai sebahagian kerja kursus semasa menuntut dalam bidang rekaan idustri di Germany’s Muthesius Academy of Fine Arts and Design.

DropNet Installation
Ciri-ciri pada DropNet, kemas dan praktikal.

Rekaan Hoehler menggunakan fabrik polypropylene yang murah yang disusun secara melintang dan menegak dan membentuk bentuk seakan-akan segitiga. Jejaring fabrik ini kemudiannya akan mengumpulkan titisan-titisan embun dan mengumpulkannya di bahagian bucu jejaring tersebut. Air yang dikumpulkan juga akan ditapis terlebih dahulu supaya ianya boleh diminum.

Jejaring polypropylene yang diregangkan pada rerangka kelihatan lebih seperti khemah ini dikatakan mampu menahan tiupan anging yang agak kuat. Selain itu juga Hoehler mendakwa yang jaring rekaannya mampu mengumpulkan antara 10-20 liter air sehari dalam keadaan yang sesuai. Manakala apabila dipasang dalam kuantiti yang banyak ia mungkin mampu membekalkan air untuk satu perkampungan. Ia juga mudah dipasang pada permukaan samada rata atau sebaliknya.

DropNet
Kaedah pemasangan yang mudah untuk segala permukaan.

Antara kawasan yang dikatakan sesuai untuk penggunaan rekaan ini antaranya adalah Chile, Haiti, Peru, Nepal dan Spain selain mana-mana kawasan kering dengan ketinggian dari 400m ke 1200m yang mempunyai kumpulan embun yang banyak.

Samada rekaan ini berjaya atau tidak seperti apa yang dikatakan oleh pereka barangan ini, apa yang penting adalah usaha beliau dalam memikirkan sesuatu masalah. Rekaan beliau juga jauh kelihatan lebih cantik berbanding dengan rekaan lain yang ditaja samada oleh kerajaan ataupun syarikat besar. Rekaan yang hebat adalah rekaan yang berguna dan mudah.



Free Download



Tidur Yang Cukup Menjamin Kesihatan Yang Baik


Healthy Sleep
Tidur yang cukup penting untuk memastikan tahap perkembangan yang baik.

Tidur merupakan antara perkara yang menjadi kegemaran sesetengah orang dan ada juga yang mengelakkan tidur bagi meningkatkan lagi waktu yang lebih produktif. Bagi mereka yang menahan daripada tidur hanya semata-mata untuk berjaga dan meluangkan masa tanpa tujuan, fikirkanlah tentang beberapa perkara penting mengenai tidur kerana ia jauh lebih membawa kebaikan daripada meluangkan masa tanpa tujuan.

Tidur Untuk Kerehatan Badan


Anda mungkin mampu menahan diri daripada mengantuk, namun mengantuk adalah satu daripada cara bagaimana badan memberitahu anda yang ia memerlukan rehat. Rehat bagi badan bermaksud, waktu untuk membaik pulih sistem badan supaya dapat berfungsi dengan baik dan membantu anda untuk kekal sihat. Semasa anda tidur sistem badan tetap aktif untuk membaik pulih sel-sel yang telah mati, membina sel-sel baru, mengimbangi tahap hormon dalam badan, menguatkan sistem pertahanan badan (imunisasi), mengatur memori (daya ingatan) dan macam-macam lagi.

Mungkin anda boleh meningkatkan masa bekerja dengan mengelakkan tidur. Namun dengan tidur yang cukup serta cara kerja yang lebih efektif anda tetap mampu menghasilkan kerja yang sama sekiranya tidak lebih baik. Ramai di antara kita yang terperangkap di dalam situasi kuantiti dari kualiti dan dalam sesetengah perkara kita mungkin tidak dapat menghasilkan kerja yang diharapkan. Ini kerana bagi memastikan hasil mutu kerja yang baik, badan perlu berada dalam keadaan yang bersedia untuk memberikan fungsinya pada tahap tertinggi.

Semasa kita tidur badan giat melakukan proses-proses berkaitan membaiki sistem badan. Ia adalah masa di mana sel-sel otot yang rosak akan diperbaiki atau digantikan dengan yang baru. Sebab itulah para atlet perlu mendapat tidur yang cukup kerana selain daripada proses latihan, proses re-generasi badan inilah yang akan memberikan hasil daripada latihan tersebut. Sekiranya atlet tidak mendapat tidur yang cukup maka, tiada otot-otot baru yang akan dihasilkan seterusnya tiada peningkatan di dalam prestasi mereka.

Dalam bidang pelajaran pula, waktu tidur merupakan di mana proses penyimpanan maklumat dilakukan oleh otak. Sebab itulah ramai yang mendapati mereka lebih mudah untuk mengingat apabila mengulangkaji sebentar sebelum bersedia untuk tidur. Mereka yang terus berjaga dan mengulangkaji tanpa mendapat tidur yang cukup pula hanya akan mendapati mereka terlalu letih/mengantuk di dalam kelas dan mungkin tidak melakukan banyak perubahan dalam prestasi pembelajaran mereka.

Kaedah Mendapat Tidur Yang Baik


Brain wave
Otak memerlukan rehat bagi menumpukan pada proses memperbaiki sistem badan.

Bagi mendapatkan tidur yang sempurna anda perlulah memastikan beberapa perkara dilakukan bagi mengelakkan tidur anda terganggu yang menyebabkan anda menjadi letih semasa melakukan aktiviti harian nanti. Waktu rehat/tidur yang diperlukan bagi seseorang individu mungkin berbeza bergantung kepada aktiviti harian masing-masing. Adalah perlu bagi seseorang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, senaman, pergaulan selain daripada pekerjaan dan sebagainya. Beberapa perkara ini mungkin anda perlu berikan perhatian bagi mendapatkan tidur yang sempurna:

i) Tetapkan waktu tidur anda bagi memastikan anda tidak terlewat bangun keesokan harinya. Biasakan masuk tidur dan bangun pagi pada waktu yang sama bagi mengekalkan jadual tidur anda. Melalui cara ini anda tidak akan merasa letih sepanjang hari semasa bekerja.

ii) Kawal stress anda sebelum masuk tidur. Stress boleh mengganggu daripada anda dapat melelapkan mata dengan sempurna. Jadi anda perlulah belajar menangani stress dengan betul untuk mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.

iii) Elakkan makan terlalu banyak pada waktu malam. Perut yang terlalu kenyang boleh mengganggu anda untuk tidur. Sebaiknya anda makan awal dan hanya mengambil makanan yang ringan sekiranya perlu di sebelah malam.

iv) Sekiranya anda mengalami kesukaran tidur setelah mengambil kopi pula, pastikan anda tidak mengambil kopi bermula daripada sebelah petang. Anda mungkin tidak merasa mengantuk untuk masuk tidur awal namun anda mungkin mengalami kesukaran untuk bangun seperti biasa atau akan merasa mengantuk keesokan harinya sewaktu bekerja atau belajar.

v) Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh melengahkan tidur anda seperti bersukan, buku yang terlalu menarik, cerita TV atau apa sahaja. Cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan jadual tidur anda.

vi) Elakkan mengambil pil tidur. Ini kerana ia akan menyebabkan anda akan terus bergantung kepadanya untuk jangka masa panjang. Ia juga mungkin menyebabkan kesan sampingan yang lain kepada anda dengan tidur yang tidak semulajadi.

vii) Sentiasa amalkan kehidupan yang aman harmoni. Iaitu sentiasa mendedahkan diri anda dengan perkara-perkara yang anda senangi serta hidup yang penuh ceria. Ini dapat membantu anda dalam mengenal tanda-tanda daripada badan anda seperti mengantuk, lapar, sakit, pening dan sebagainya. Badan sentiasa memberikan isyarat pada kita, dan adakalanya kita tidak menyedari tanda-tanda ini.

Tabiat-tabiat Tidur Yang Pelik


Michael Phelps
Latihan Michael Phelps merangkumi tidur yang disusun dengan sistematik.

Tidak dinafikan ada di antara kita yang mempunyai tabiat tidur yang pelik dan ianya tidak pula mengganggu tahap kesihatan mahupun aktiviti harian mereka. Antara tabiat tidur pelik yang dimaksudkan antaranya adalah;

Leonardo da Vinci yang biasanya akan mengambil masa untuk tidur seketika (kira-kira 20 minit) setiap 4 jam. Bagi beliau yang memerlukan tahap fokus yang tinggi mungkin perkara ini perlu. Ini kerana otak tidak mampu untuk kekal dalam keadaan konsentrasi yang terlalu lama. Bagi orang biasa tahap pemfokusan akan hanya berada dalam masa 15 minit sebelum hilang tumpuan.

Winston Churchill pula mengambil masa 2 jam setiap hari untuk berehat pada waktu selepas 5:00 petang. Bagi beliau waktu tidur ini sangat penting dan boleh mengembalikan semula kesegaran pada beliau untuk terus kekal cergas melakukan tugasnya sepanjang hari. Sebagai seorang perdana menteri beliau juga amat terkenal sebagai seorang yang amat kuat berjaga malam.

Berbeza pula dengan Michael Phelps yang melengkapkan tempat tidurnya seperti berada pada ketinggian 8,500 ke 9,000 kaki sebagai pelengkap kepada latihannya. Keadaan ini akan mengurangkan tahap oksigen yang mampu dihantar ke otot-ototnya. Ini menyebabkan badannya akan bekerja lebih kuat untuk membawa jumlah oksigen yang cukup untuk badannya. Apabila kembali semula dalam keadaan sebenar, ianya adalah hasil seperti mana yang anda dapat lihat dalam pencapaian atlet cemerlang ini.


Itu adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang perlu anda ketahui mengenai tidur yang mungkin sebahagian daripada kita memandang remeh terhadapnya. Apa yang penting adalah kita perlu memahami keperluan badan kita dari segi fizikal dan juga rohani dalam memastikan keseimbangan dan fungsi badan yang berada dalam keadaan yang baik. Kesihatan yang kita nikmati bukanlah percuma, jadi fikirkanlah dan pertimbangkanlah sebelum ianya terlambat.


Free Download



Ahad, 14 September 2014

Makanan Menyihatkan Lebih Mudah Dari Yang Disangka

Colorful vegetables
Sayuran berwarna-warni bukan sahaja cantik namun berkhasiat.

Makanan merupakan faktor yang berkait rapat dengan tahap kesihatan seseorang. Sejak sekian lama kita sering mendengar ungkapan “anda adalah apa yang anda makan”. Walaupun ungkapan ini adalah satu ungkapan yang biasa, namun tidak ramai yang memberikan perhatian terhadap pemakanan mereka. Ianya hanya akan menjadi penting semula apabila seseorang mengalami masalah kesihatan – dimana segala pemakanan perlu dikawal dengan ketat?

Seperti biasa saya lebih suka mengaitkan alam secara semulajadi tentang bagaimana kita sebenarnya telah disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk hidup dengan lebih sihat dan ceria. Seperti yang kita ketahui alam mempunyai pelbagai kaedah unik dalam memastikan hidupan, malah manusia sendiri mendapat kebaikan dari segala isinya.

Pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang terpaling mudah didapati di sekeliling kita? Begitu juga pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan ini mempunyai warna yang pelbagai  berbeza bagaimana pada mulanya (sewaktu muda atau tahap pucuk) semuanya adalah sama iaitu berwarna hijau.

Alam mempunyai keunikan dalam berkomunikasi melalui beberapa kaedah daripada bentuk, warna, bau dan rasa – dan ada di antaranya yang hanya boleh dikesan oleh sesetengah hidupan (seperti apabila dilihat di bawah cahaya UV). Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana tumbuh-tumbuhan wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu. Apa yang ketara adalah, kita tidak memikirkan betapa kita sentiasa dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Colorful fruits and vegeas
Gabungan sayuran dan buah-buahan.

Keunikan Warna Pada Tumbuhan

Warna pada tumbuhan memainkan peranan yang amat penting. Selain daripada untuk kepentingan tumbuhan itu sendiri mahupun pada haiwan ataupun manusia yang memakannya. Warna memberikan maklumat tertentu mengenai tumbuhan tersebut – iaitu khasiat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana warna tersebut adalah hasil daripada sesetengah zat galian yang terkandung pada daun ataupun buah yang dijadikan sebagai sumber makanan. Selain itu juga warna yang terang pada buah menarik perhatian haiwan-haiwan yang akan membantu menyebarkan biji-benih tumbuhan tersebut bagi memastikannya dapat terus membiak.

Melalui pemahaman inilah maka khasiat daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan dapat dikenal pasti dan didapati hampir kesemua zat pemakanan yang diperlukan oleh manusia dapat disediakan daripada tumbuh-tumbuhan. Selain daripada ianya mudah didapati atau ditanam tumbuhan juga mudah disimpan dan tidak mudah rosak seperti makanan lain (ikan, ayam, daging dan lain-lain).

Berikut adalah beberapa panduan mengenai warna tumbuh-tumbuhan dan beberapa ciri khasiat yang terkandung di dalamnya:

Warna Merah:

Mengandungi nutrient seperti lycopene ellagic acid, quercetin dan hesperidin. Nutrient-nutrient ini dapat mengurangkan risiko kanser prostat, menurunkan tekanan darah, mengurangkan pertumbuhan tumor dan juga kadar kolesterol. Ia membantu menghapuskan radikal bebas serta menyokong tisu sendi dalam kes arthritis.

Warna Oren:

Mengandungi beta-carotene, zeaxanthin, flavonoids, lycopene, potassium dan vitamin C. Nutrient-nutrient ini mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia dan juga risiko kanser prostat, mengurangkan kolestrol dan juga tekanan darah, menggalakkan pembentukan callogen dan sendi yang sihat, membasmi radikal bebas, menggalakkan keseimbangan alkali, memperbaiki kerosakan DNA dan membantu magnesium dan kalsium.

Warna Kuning:

Mengandungi beta-crypthothanxin dan carotenoids lutein serta zeaxanthin yang membantu perhubungan dalaman sel, mengelakkan masalah jantung, mengurangkan risiko katarak  serta mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia.

Warna Hijau:

Mengandungi chlorophyll, fiber, lutein, zeaxanthin, magnesium, kalsium, folate, vitamin C dan beta-carotene yang menghalang tindakan carcinogen serta membantu fungsi badan yang lebih sihat.

Warna Ungu dan Biru:

Mengandungi phytochemical seperti anthocyanin dan phenollic yang merupakan antioksidan yang kuat bagi membantu mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan alzheimers, menguatkan memori dan komunikasi sel serta memperlahankan proses penuaan.

Warna Putih:

Mengandungi beta-glucans, EGCG, SDG, flavonoids, alicon dan  lignan yang mengaktifkan sel darah putih B dan T, membantu sistem imunisasi dan keseimbangan hormon.

Colorful salad
Gabungan sayuran berwanra-warni menambahkan lagi selera.

Itu adalah antara warna-warna biasa yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan yang biasa menjadi sumber makanan bagi haiwan mahupun manusia. Ternyata banyak sekali tumbuh-tumbuhan yang dijadikan sayuran dan ini merupakan keperluan bagi manusia dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Namun apabila tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai makanan kedua selepas sumber haiwan (termasuk ikan, ayam, daging dan sebagainya) tahap kesihatan mudah mengalami masalah.


Sekiranya anda masih berada dalam keadaan sihat atau ingin mengembalikan tahap kesihatan anda menjadi lebih baik diharap artikel kali ini dapat memberikan sedikit bantuan tentang memahami kelebihan khasiat yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan. Mungkin selama ini kita terlupa bahawa kita sentiasa disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.



Free Download



Jumaat, 5 September 2014

Apakah Jam Atom?


Atomic Clock FOCS-1
Jam Atom FOCS-1 di Switzerland dihasilkan pada tahun 2004 mempunyai ralat 1 saat bagi setiap 30 juta tahun.

Jam Atom atau lebih dikenali sebagai ‘atomic clock’ merupakan jam yang diselaraskan waktunya mengikut jam atom yang berada di Colorado, United States sebagai waktu piawai. Jam ini akan menerima isyarat gelombang radio yang dipancarkan melalui beberapa frekuensi untuk melaraskan semula waktu mengikut jam tersebut.

Atomic clock NBS 1
NBS 1 jam atom pertama menggunakan caesium.

Jam atom bukanlah bermaksud jam yang menggunakan kuasa nuklear seperti yang anda sangkakan, ianya hanyalah jam yang menggunakan bahan yang mampu menghasilkan frekuensi yang stabil bagi memastikan jam tersebut mampu memberikan bacaan waktu yang tepat (tanpa perubahan waktu untuk satu tempoh yang lama). Semakin tinggi ketepatan waktu ini maka semakin tepatlah bacaan jam yang dihasilkan.

Usaha untuk membangunkan jam atom telahpun dicadangkan sejak tahun 1879 lagi oleh Lord Kelvin, iaitu seorang pakar fizik matematik dan engineer dari England. Bagaimanapun ia hanya boleh dibangunkan pada 1930’an apabila Isidor Rabi berjaya menemui kaedah ‘magnetic resonance’ sebagai salah satu kaedah yang praktikal untuk membangunkan jam atom ini. Jam atom pertama dihasilkan pada tahun 1949 di US National Bureau of Standards (NBS) atau hari ini dikenali sebagai National Institute of Standards and Technology (NIST). Jam pertama yang dihasilkan ini tidaklah mencapai ketepatan seperti yang diharapkan namun ia merupakan titik tolak penghasilan jam atom yang lebih baik.

Chip scale atomic clock
Jam atom bersaiz mini dihasilkan pada tahun 2004.

Jam atom berketepatan tinggi pertama dihasilkan menggunakan ‘caesium standard’ dan dihasilkan oleh Louis Essen pada tahun 1955 di National Physical Laboratory di UK. Menggunakan kaedah ini piawaian waktu diubah kepada piawaian waktu atom.

Bagi melaraskan waktu mengikut waktu jam atom ini pula alat penerima radio diletakkan di dalam peralatan yang lain seperti jam dan peranti GPS. Penerima radio ini amat kecil dan akan menerima isyarat daripada pemancar-pemancar yang ada untuk melaraskan waktu bagi setiap hari atau selang beberapa hari. Manakala peralatan seperti komputer pula akan diselaraskan waktunya apabila ia disambungkan ke talian internet.


Atomic clock NST F1
NST F1 digunakan sebagai waktu piawai di NIST.

Ketepatan waktu amat penting bagi melancarkan proses pemindahan maklumat, merekod data bagi sistem komunikasi. Malah dalam sektor industri penghasilan peralatan-peralatan ini juga memerlukan satu piawai yang tepat sebagai rujukan yang tetap (standard). Maka penghasilan jam atom sudah pasti merupakan satu penghasilan yang amat penting dalam kehidupan kita hari ini.

Mungkin tidak semua antara kita yang perlu memakai jam berketepatan tinggi seperti jam atom. Namun pengetahuan mengenainya amat penting memandangkan kita menjalankan urusan seharian berpandukan masa piawai tersebut secara sedar ataupun tidak. Setiap kali kita membuat panggilan telefon contohnya waktu yang direkodkan bagi memastikan caj panggilan tersebut perlulah tepat. Bagaimana caj tersebut dikira sekiranya ia menggunakan waktu yang terdapat pada peralatan telefon bimbit anda yang lewat beberapa minit?


Free Download



Isnin, 18 Ogos 2014

Bagaimana Berlian Dipotong?

Diamonds
Berlian, bahan terpaling keras yang sentiasa menjadi buruan.

Berlian merupakan salah satu barang yang beharga menjadi buruan setiap orang bukan bagi wanita sahaja. Oleh kerana ia lebih dikenali sebagai barang untuk perhiasan ramai yang menyangka berlian hanya digunakan untuk membuat barangan perhiasan berbanding kegunaan lainnya. Semenjak sekian lama berlian digunakan untuk pelbagai kegunaan terutamanya melibatkan kerja-kerja kejuruteraan apabila sesuatu bahan yang keras diperlukan.

Proses pembentukan berlian memakan masa ribuan atau mungkin jutaan tahun di dalam perut bumi melalui proses semulajadi dengan haba dan tekanan yang tinggi. Walaupun secara dasarnya berlian adalah merupakan bahan yang terbentuk hanya daripada karbon – iaitu salah satu bahan yang terkandung di dalam hampir kesemua benda di permukaan bumi. Malah badan kita sendiri terdiri daripada 18.5% karbon.

Karbon memerlukan pemanasan sehingga 1,100 Celcius (2,000 Fahrenheit) untuk membentuk berlian. Suhu yang melebihi takat ini juga adalah terlalu panas untuk berlian terbentuk. Pembentukan berlian yang memakan masa berkurun-kurun lamanya dan kebanyakan berlian yang ditemui di permukaan bumi telahpun berusia jutaan atau berbillion tahun lamanya.

Penukaran Batu Menjadi Permata


Diamond raw
Rupa asal berlian sebelum dipotong dan digilap.

Kegemerlapan berlian bukanlah sekadar bergantung kepada kualiti berlian tersebut. Malah antara faktor lain yang benyak mempengaruhi kecantikan berlian adalah pemotongan batu permata tersebut. Teknik permotongan berlian turut menjadi antara perkara penting dalam menentukan berlian dapat ditukar menjadi batu permata yang bernilai tinggi. Sejak sekian lama teknik pemotongan berlian terus diperbaiki oleh pakar-pakar pemotongan batu permata dalam meningkatkan lagi kualiti perhiasan batu permata tersebut.

Pemotongan berlian dan pantulan cahaya.

Selain itu juga kualiti sesuatu berlian mempunyai unit ukuran tersendiri atau lebih dikenali sebagai 4C iaitu carat, clarity, color dan cut (karat – berat, kejernihan, warna dan pemotongan). Maka dengan itulah kaedah pemotongan berlian menjadi amat penting di mana ia berupaya untuk menambahkan lagi gemerlapan batu tersebut dengan memancarkan cahaya yang maksima kepada pemerhati.

Dengan perkembangan teknologi teknik pemotongan berlian dapat dikenalpasti dengan lebih tepat. Selain itu juga pemotongan perlu dilakukan dengan hati-hati bagi memaksimumkan berat batu berlian tersebut. Apa yang menimbulkan persoalan saya adalah, apakah yang digunakan untuk memotong bahan yang paling keras ini?

Diamond cuts
Beberapa jenis potongan yang popular.

Secara umumnya terdapat dua proses pemotongan berlian iaitu pemotongan secara kasar (proses pemotongan berlian kepada ketulan-ketulan yang lebih kecil). Manakala proses yang kedua adalah proses pemotongan membentuk berlian tersebut kepada batu perhiasan.

Proses yang pertama dilakukan dengan memecahkan batu berlian pada titik kelemahan batu berlian tersebut. Ini adalah proses yang sama digunakan untuk memecahkan batu-batu kepada ketulan-ketulan yang lebih kecil. Pemotongan seterusnya adalah proses penggilapan, yang akhirnya turut mengurangkan saiz batu permata ini. Ia merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan kemahiran dalam mendapatkan bentuk potongan yang sesuai.

Diamond heart
Pemotongan yang cantik memerlukan kemahiran dan ketelitian.

Sejak ratusan tahun dahulu, proses pemotongan batu berlian ini dilakukan dengan menggunakan pemotong berlian. Apa yang menarik, ia juga menggunakan sebuk berlian (diamond dust). Proses menggilap perlu dilakukan dengan memastikan pisau pemotong tersebut sentiasa dibasahi dengan minyak zaitun (bagi mengelakkan ia menjadi panas dan rosak).

Selain itu juga alat pemotong yang menggunakan ‘diamond dust’ ini juga turut digunakan untuk dalam industri untuk pemotongan bahan keras seperti logam, asphalt, simen dan lain-lain bagi mempercepatkan proses pemotongan. Malah di dalam industri semiconductor juga ia turut digunakan sebagai bahan pemotong.

Bahan Terpaling Keras


Skala Mohs digunakan untuk mengukur kekerasan sesuatu bahan terutamanya mineral. Nama tersebut adalah bersempena nama seorang saintis mineral German, Friedrich Mohs. Skala tersebut adalah dibaca seperti berikut mengikut turutan dari lebut ke keras.

  1. Talkum – mudah dihancurkan dengan menggunakan kuku.
  2. Gypsum – dihancurkan dengan cakaran kuku.
  3. Calcite – boleh dicalarkan dengan kepingan koin tembaga.
  4. Flourite – tidak calar dengan koin tembaga, dan tidak mencalarkan kaca.
  5. Apatite – mencalarkan kaca, manakala boleh dicalarkan oleh pisau.
  6. Orthoclase – mencalarkan kaca dengan mudah, dan hanya boleh dicalarkan dengan kikir.
  7. Quartz (amethyst, citrine, tigereye, aventurine) – tidak boleh dicalarkan dengan kikir.
  8. Topaz – hanya boleh dicalarkan oleh corundum dan berlian.
  9. Corundum (sapphire dan ruby) – hanya boleh dicalarkan oleh berlian.
  10. Berlian – hanya boleh dicalarkan oleh berlian yang lain.


Menggunakan skala ini tiada bahan asli di bumi yang mampu mencalarkan berlian. Bagaimanapun baru-baru ini terdapat terdapat bahan yang dihasilkan secara sintetik untuk menghasilkan bahan yang melebihi kekerasan berlian. Jadi bahan ini digunakan untuk tujuan industri bagi tujuan pemotongan seperti juga berlian di mana ia boleh dihasilkan dengan harga yang jauh lebih murah.


Maka dengan ini dapatlah kita mengetahui dengan lebih lanjut keistimewaan dan cerita disebalik berlian yang amar berharga. Disamping proses pembentukannya yang amat kompleks juga penggunaannya yang pelbagai – sememangnya ia amat berharga. Namun begitu manusia sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka dan mencipta bahan yang dapat memberikan manfaat sama seperti berlian. Menarik kan!..


Free Download



Arkib Blog