Rabu, 8 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Lemang

Lemang tetap merupakan sajian popular di Hari Raya.

Lemang merupakan antara makanan popular menjelang raya dan di sesetengah kawasan di Semenanjung Malaysia ia merupakan hidangan penting di pagi Hari Raya.  Keseluruhan proses membuat lemang memerlukan kerjasama antara ahli keluarga mahupun tetangga. Jadi di sinilah uniknya lemang dalam merapatkan lagi jalinan antara satu sama lain.

Lemang dahulunya hanya dihidangkan untuk hari-hari tertentu sahaja kerana proses pembuatannya yang memakan masa dari penyediaan buluh sehinggalah proses memasak. Namun sebagai sebahagian daripada perniagaan ia adakalanya dijual pada hari-hari lain sepanjang tahun. Ia juga merupakan pengubat rindu pada lemang dan adakalanya ia sedikit sebanyak menghilangkan keunikan lemang yang selama ini lebih eksotik.

Buluh dan Kayu Api


Mencari buluh lemang bukanlah semudah membeli lemang.

Proses membuat lemang bermula dengan mengambil buluh untuk dijadikan buluh lemang. Proses mengambil buluh ini memerlukan ketelitian mengenal antara buluh yang sesuai dengan yang tidak. Anda perlu tahu buluh yang tidak sesuai seperti ‘buluh telur’, dimana ia mungkin akan dimakan api sebelum lemang anda masak. Buluh lemang yang sesuai mempunyai ketebalan dan dinding ruas yang lebih lembab dan dapat bertahan disepanjang proses memasak lemang.

Proses pengambilan buluh juga perlu dilakukan dengan cermat kerana terdapat beberapa kaedah tertentu bagi memastikan kerja dapat dilakukan dengan pantas, selamat dan memastikan anda mendapat buluh yang benar-benar sesuai digunakan untuk tujuan memasak lemang anda.

Proses mencari buluh lemang biasanya akan berlaku seiringan dengan mencari bahan bakar kayu api. Bagi memastikan ia mempunyai bara, kayu api perlulah dari saiz yang besar dan sederhana besar. Tanpa bara, pembakaran lemang anda menjadi sedikit sukar di akhir proses pembakaran tersebut di mana lemang perlu dipanaskan dengan panas bara berbanding api yang menyala bagi mengelakkan hangus.

Sebelum Proses Pembakaran


Santan yang cukup diperlukan untuk memastikan lemang yang baik.
Sebelum proses pembakaran lemang dilakukan bahan-bahan lain akan disediakan termasuklah santan kelapa, beras pulut dan juga daun pisang. Penyediaan santan mungkin memerlukan proses memarut kelapa dalam jumlah yang besar. Manakala beras pulut perlu dibasuh bersih dan ditoskan airnya. Masa itulah daun pisang akan dipotong mengikut saiz buluh supaya ia muat di dalam buluh-buluh tersebut. Proses pengukuran ini amat menarik dan anda perlu berhati-hati bagi mengelakkan pulut menyentuh bahagian dalam buluh.

Beras akan dimasukkan ke dalam buluh terlebih dahulu dan barulah diikuti dengan santan yang telah dicampurkan garam. Pulut diletakkan ¾ memenuhi buluh dan santan menutupi paras pulut. Semasa proses memasak, pulut akan mengembang dan santan juga akan diserap oleh pulut. Pulut yang terlalu banyak akan menyebabkan ia terkeluar daripada buluh semasa proses memasak.

Proses Memasak


Proses pembakaran lemang juga memerlukan kemahiran.

Proses memasak dimulakan sebaik sahaja api telah dinyalakan dan lemang-lemang telah sedia untuk dibakar. Pada permulaan proses api yang besar diperlukan bagi memanaskan lemang dengan cepat. Namun awas buluh juga boleh terbakar jadi api yang besar tidak boleh terlalu hampir dengan lemang.
Semasa proses pembakaran berjalan lemang-lemang akan terus di awasi dan dipusingkan bagi memastikan lemang masak dengan sekata. Paras santan juga diperiksa dan boleh ditambah sekiranya perlu. Santa yang tidak cukup akan menyebabkan pulut tidak masak dan lemang berderai.

Apabila lemang setengah masak proses hentakan perlu dilakukan bagi memadatkan lemang. Ini kerana terdapat ruang-ruang udara di antara beras dan proses memasak menyebabkan udara ini semakin mengembang. Proses hentakan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana buluh boleh pecah.


Lemang dengan padanan terbaiknya, rendang.

Manakala apabila lemang hampir masak pula, api yang kecil (ataupun haba dari bara) diperlukan untuk memastikan lemang dipanaskan secara perlahan. Proses pemusingan yang betul dapat mengelakkan lemang daripada hangus. Lemang yang hangus akan mempunyai kerak yang keras dan sukar untuk dimakan. Keseluruhan proses membakar lemang ini mungkin akan mengambil masa dari 4 - 6 jam.

Walaupun proses penyediaan lemang amatlah rumit, namun ia masih digemari sehingga ke hari ini. Lemang yang dimasak dengan buluh mempunyai aroma yang sukar ditolak apatah lagi apabila dipadankan dengan rendang ayam atau daging di pagi raya bersama keluarga. Apa yang menarik mengenai lemang, selain daripada ianya merupakan  hidangan yang hebat adalah kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Mujur hari ini ia masih boleh dibeli dan turut disediakan pada majlis-majlis rumah terbuka.


Free Download



Jalan-jalan Cari Makan; Cincau

Cincau, bahan yang digunakan untuk pelbagai jenis minuman.

Minuman cincau walaupun bukan secara asalnya berasal dari Malaysia tetapi telah sebati dengan gaya hidup masyarakat tempatan yang berbilang kaum. Minuman ini telah lama terserap di dalam semua masyarakat dan digunakan hampir setiap hari.

Cincau adalah minuman yang diperbuat daripada kumpulan tumbuh-tumbuhan yang juga dikenali sebagai “grass jelly”. Tergolong di dalam kumpulan ‘mint’ atau pudina, maka tidak hairanlah mengapa minuman ini memberikan kesegaran kepada peminumnya. Antara tumbuhan yang popular digunakan untuk menghasilkan cincau adalah dari jenis Mesona chinensis (juga sebagai M. elegans dan M. procumbens). Manakala untuk menghasilkan cincau hitam Mesona palustris digunakan.

Mesona palustris yang digunakan untuk cincau hitam.

Mesona polustris kering untuk diproses.

Pembuatan cincau tidak menggunakan agar-agar. Ianya hanyalah menggunakan tumbuhan cincau dan juga tepung ubi kayu. Pati tumbuhan yang melikat dan juga campuran tepung ubi kayu membolehkan ia membeku sama seperti agar-agar.

Cincau digunakan dengan pelbagai cara. Selain daripada digunakan untuk menyediakan minuman cincau ia juga digunakan sebagai salah satu campuran dalam minuman lain seperti ABC dan Laici Kang. Jadi cincau amat mudah dipadankan dengan apa juga minuman dengan tambahan tekstur bahan kunyahan di dalam minuman tersebut.

Cincau mudah dipadankan untuk apa juga hidangan.

Cincau merupakan antara bahan minuman penting bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara-negara sekitar seperti Indonesia, Vietnam, China, Taiwan dan juga negara-negara Asia Tenggara yang lain. Minuman berasaskan cincau ini bukan sahaja menjadi hidangan minuman yang disediakan di kedai dan restoran, malah turut disediakan sebagai minuman diproses (tin dan kotak).

Ia turut menjadi bahan kajian bagi mengenal pasti potensi sebagai bahan perubatan dan khasiat pemakanan. Apa yang penting ia merupakan antara bahan penyediaan sebahagian minuman tradisi dan budaya penting di Malaysia dan harus dicuba “must try list” sewaktu berada di negara ini.


Free Download



Jalan-jalan Cari Makan; Laici Kang

Laici Kang minuman yang menyegarkan.

Laici Kang merupakan antara minuman kegemaran rakyat Malaysia, terutamanya untuk mengembalikan tenaga selepas kepenatan bekerja. Laici Kang juga antara minuman klasik yang bertahan lama dan sentiasa mendapat sentuhan pembaharuan bagi mempelbagaikan citarasa minuman unik ini.

Menggunakan nama laici menandakan antara bahan yang terdapat di dalamnya adalah buah laici (lychee) iaitu buah yang manis seperti rambutan. Walaupun begitu bahan-bahan yang lebih menarik turut terdapat di dalam minuman ini, yang menjadikan ia adalah antara minuman kegemaran ramai.

Laici Kang dihidangkan dari tengahari sehinggalah ke lewat malam. Dua variasi utamanya adalah ‘Laici Kang Panas’ dan ‘Laici Kang Sejuk’. Manakala variasi isi kandungannya adalah lebih penting kerana, turut memberikan perbezaan kepada rasa dan khasiat minuman istimewa ini. Ia juga antara minuman popular ketika Bulan Ramadhan.


Antara bahan asas dalam Laici Kang.

Seperti juga ABC, kreativiti pembuat Laici Kang bukan sahaja menumpukan kepada rasa minuman ini malah khasiatnya. Ia dikatakan dapat menurunkan panas badan selain daripada beberapa khasiat lain mengikut bahan-bahan yang digunakan seperti barli, selasih, buah kembang semangkuk, agar-agar, buah kabung, katirah, cincau, biji teratai, biji sagu dan sebagainya. Bagi sesetengah pembuat Laici Kang turut menggunakan telur puyuh dan juga sarang burung layang-layang.


Laici (lychee) menjadikan minuman tersebut adalah Laici Kang.

Laici Kang merupakan minuman padanan yang memuatkan bahan-bahan yang menyegarkan selain mempunyai khasiat yang berbeza-beza – bahan tersebut menyebabkan perbezaan harga Laici Kang juga. Selain dari itu bahan yang digunakan mungkin berbeza dengan pengaruh pembuatannya seperti Laici Kang Melayu – lebih menggunakan bahan-bahan ke-Melayuan seperti selasih, kembang semangkuk, barli dan katirah. Manakala Laici Kang dengan pengaruh Cina akan lebih menggunakan bahan-bahan herba Cina seperti biji teratai, goji berry, kurma merah, sarang burung layang-layang dan sebagainya.


Laici Kang herba - menggunakan bahan-bahan herba.

Adapun bahan-bahan ini kebanyakannya amat membantu dalam mengembalikan kesegaran badan selain menyejukkan. Jadi sekiranya anda ingin menikmati Laici Kang yang spesifik mengikut selera anda, mungkin anda boleh memadankan sendiri bahan-bahan kegemaran anda.

Maka Laici Kang adalah sebahagian daripada minuman identiti Malaysia yang unik dan turut berada dalam senarai ‘must try list’ bagi pengunjung-pengunjung ke Malaysia. Jika anda sudah lama tidak merasa minuman ini, mungkin di waktu terdekat nanti boleh lah mencubanya.


Free Download




Selasa, 7 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan; ABC - Air Batu Campur

ABC, minuman penuh warna warni kebanggaan Malaysia.

ABC merupakan antara minuman yang menjadi indentiti Malaysia sejak sekian lama. Ia juga dikenali sebagai Air Batu Campur – ABC atau Ais Kacang merupakan minuman popular ketika cuaca panas di waktu tengahari. Namun kini ABC turut dihidangkan sehingga ke waktu malam.

Minuman ini mempunyai variasi yang banyak mengikut kreativiti pembuatnya, maka anda tidak akan mendapati dua ABC dari pembuat yang berbeza mempunyai rasa yang sama, namun mempunyai beberapa asas yang sama iaitu ais (air batu), sirap, gula melaka (palm sugar), susu cair, jagung manis, agar-agar, buah-buahan, cendol dan kekacang. Jadi ia sememangnya gabungan bahan-bahan manis yang mengembalikan tenaga selepas anda menghabiskan tenaga samada bekerja ataupun melakukan aktiviti-aktiviti sukan.


ABC direka mengikut kreativiti pembuat.


Buah-buah menambahkan lagi keunikan kepada ABC.

Hari ini ABC mempunyai variasi yang lebih luas menggunakan bahan-bahan yang lebih moden mengikut selera pengguna. Menggunakan bahan-bahan tambahan yang lebih banyak seperti tambahan ice-cream, sirap coklat, kekacang yang lebih baik dan bebola daripada sagu atau ubi kayu (iaitu bahan untuk membuat ‘bubble tea’). Selain itu juga ia disediakan di dalam bekas yang lebih besar, cantik serta dihiasi bagi menarik selera pengguna.


Bahan-bahan yang digunakan untuk ABC.

ABC menjadi sebahagian daripada ‘must try list’ bagi pelancong-pelancong yang melancong ke Malaysia selain daripada minuman-minuman utama yang lain seperti teh tarik, cendol, laici kang dan beberapa minuman lagi yang menjadi sebahagian identiti unik Malaysia. ABC boleh didapati di kedai-kedai makanan utama atau gerai kecil yang menjual minuman di merata tempat.

Bagi para pengusaha ABC semoga dapat mengekalkan identiti minuman unik ini walaupun ia semakin berubah mengikut zaman. Manakala para peminat diharap dapat terus menyokong minuman popular ini untuk terus berada di pasaran.


Free Download



Clownfish Penghuni Terumbu Karang Yang Cantik

Clownfish yang terdapat di laut Andaman.

Clownfish merupakan ikan terumbu karang yang cantik dan terkenal sebagai ikan hiasan yang paling digemari. Ikan kecil yang tinggal bersama dengan anemone ini jarang meninggal tempat tinggalnya dan saling membantu antara satu sama lain dalam bentuk penjagaan dan perlindungan.

Clownfish merupakan sub-family kepada Amphiprioninae dan terdapat 30 spesis yang dikenal pasti. Ikan-ikan clownfish terdapat dalam warna-warna kuning, oren, kemerahan dan kehitaman disertai dengan jalur putih atau tompokan. Ikan ini boleh mencapai saiz sehingga 18 centimeter (7.1 in) manakala spesis yang kecil hanya akan mencecah sekitar 10 cm (3.9 in).

Ikan-ikan clownfish mendiami perairan bersuhu panas tropika di perairan India dan Pasifik dari ‘Great Barrier Reef’ sehinggalah ke ‘Laut Merah’. Tinggal di perairan berbatu karang dan lagun-lagun cetek. Namun begitu clowfish tidak terdapat di Lautan Atlantik.

Kesemua ikan 'clownfish' adalah jantan.

Ikan-ikan ini mempunyai mukus istimewa yang dikeluarkan bagi mengelakkan anemone daripada menyengatnya. Manakala ikan-ikan ini juga akan membantu membersihkan animone daripada parasit dan kotoran yang tertinggal pada badan anemone.

Ikan-ikan clownfish akan bertelur pada permukaan-permukaan rata berhampiran dengan anemone dan ini biasanya berlaku pada masa bulan penuh. Telur ini akan berjumlah ratusan hingga ribuan kesemuanya mengikut spesis. Telur-telur ini juga akan dijaga sehingga menetas sekitar 6 – 10 hari berikutnya.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai ikan ini adalah, kesemua ikan clownfish adalah jantan dan salah seekor daripadanya (yang paling dominan) akan bertukar menjadi ikan betina. Manakala ia juga boleh menukar semula jantinanya kepada jantan semula.

Clownfish dari jenis 'saddleback' dari Sulawesi, Indonesia.

Ikan-ikan clownfish amat popular sebagai ikan hiasan dan populasinya boleh terjejas akibat daripada pemburuannya di habitat asal. Bagaimanapun hari ini ikan-ikan ini ada diantaranya yang dibiakkan sepenuhnya di dalam kurungan bagi mengelakkan ianya kepupusan.


Ikan clownfish yang juga popular dengan gelaran Nemo ini akan terus menjadi kegemaran ramai kerana menjadi ikon hidupan laut yang sangat comel untuk tujuan mendidik kanak-kanak dalam pelbagai perkara. Semoga dengan pengenalan ini ia akan terus dipertahankan untuk generasi akan datang.


Clownfish menjaga telur-telurnya.

Lokasi persembunyian clownfish yang amat menarik.

Ikan yang sentiasa mendapat perhatian jurugambar.


Free Download



Isnin, 6 Julai 2015

Penerbangan Serangga Terpantas

Horsefly mempunyai kemampuan penerbangan terpantas dalam dunia serangga.

Serangga biarpun kecil memainkan peranan penting dalam ekosistem dari sekecil-kecil hama hinggalah kepada serangga terbesar iaitu kumbang Goliath. Mungkin ada yang menganggap serangga ini sebagai pembawa penyakit dan mengganggu. Namun begitu tanpa serangga juga banyak perkara di dalam alam ini akan terganggu dan boleh membawa masalah yang besar juga.
Hari ini kita ingin melihat tahap kepantasan serangga-serangga ini dan mungkin ia berkait rapat dengan fungsinya juga di dalam ekosistem secara tidak langsung anda boleh mengetahui juga sejauh manakah kepantasan yang anda perlukan untuk menangkap serangga-serangga ini.

1) Horsefly

Sesuai dengan namanya, horsefly merupakan serangga yang terpaling pantas dengan kemampuan terbang pada kelajuan 145 km/j mempunyai taburan di seluruh dunia. Serangga ini menghabiskan waktunya di dalam bentuk larva selama 1 – 2 tahun dan meluangkan masa dewasanya sebagai lalat dewasa untuk beberapa hari sahaja. Ia boleh membawa penyakit kerana horsefly betina memerlukan darah seperti nyamuk sebelum ia bertelur – dan memindahkan kuman semasa proses menghisap darah ini.

2) Black cutworm moth

Black cutworm mempunyai nama lainnya iaitu ‘Dark sword-grass’ boleh didapati hampir di seluruh kawasan di dunia tetapi lebih banyak terdapat di kawasan bersuhu sederhana di bahagian Utara dan Selatan. Kupu-kupu ini boleh terbang dengan kelajuan sehingga 113 km/j. Namun begitu ia dianggap musuh kepada petani kerana seekor beluncas kupu-kupu ini memerlukan kira-kira 400 cm2 daun sebelum bertukar dewasa. Antara tanaman yang boleh terjejas oleh kupu-kupu ini adalah jagung, kapas, tembakau, bunga matahari, tomato, sugar beet dan kentang.

3) Green darner dragonfly


Pepatung ini antara lainnya merupakan serangga yang bermigrasi daripada bahagian Utara Amerika hingga ke Texas dan Mexico berupaya terbang dengan kelajuan 85 km/j. Ia juga merupakan antara pepatung dengan saiz yang besar iaitu boleh mencapai panjang sehingga 76 mm (3 in) dengan bukaan sayap sehingga 80 mm (3.1 in). Semasa kecil ia tinggal di dalam air dan memakan serangga dan haiwan-haiwan kecil di dalam air.

4) Deer botfly

Deer botfly juga dikenali sebagai ‘deer nose bot’ merujuk kepada semua spesis daripada genus Cephenemiya merupakan serangga yang besar menyerupai bumblebee. Ia perlu terbang mengelilingi kepala haiwan dari jenis rusa untuk meletakkan larvanya pada hidung haiwan tersebut. Larva ini yang akan membesar di bawah lidah haiwan tersebut dan akan keluar dan bertukar dewasa di dalam tanah (2 ke 3 minggu) sebelum bertukar kepada serangga dewasa. Untuk itu ia memerlukan kepantasan penerbangan sehingga 80 km/j.

5) White-spotted prepona butterfly


Merupakan rama-rama yang mendiami kawasan hutan dan memiliki sayap yang berukuran 50-58 mm. Ia juga dikenali dengan naman Archaeoprepona amphimachus mempunyai beberapa sub-spesis yang lain. Rama-rama ini merupakan rama-rama terpantas dengan kelajua penerbangan pada 80 km/j dan didapati di sekitar Mexico ke Bolivia.

6) Brown planthopper

Kupu-kupu ini merupakan serangga yang terdapat di Australia dan Asia dan menjadikan tumbuhtumbuhan sebagai makanannya termasuklah padi (Oryza sativa L.) dan apa yang menjadikan ia merbahaya kepada padi adalah kerana ia membawa virus yang boleh merosakkan tanaman tersebut. Negara-negara yang terlibat dengan serangan brown planthropper termasuklah Australia, Bangladesh, Bhutan, Burma (Myanmaar), Cambodia, China, Fiji, India, Indonesia, Japan, North and South Korea, Laos, Malaysia, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Philippines, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, dan Vietnam. Kupu-kupu ini mempunyai keupayaan terbang pada kepantasan 80 km/j.

7) Regent Skipper

Regent Skipper juga dikenali sebagai Euschemon rafflesia bersempena nama Sir Stamford Raffles merupakan rama-rama yang terdapat di Australia boleh mencapai saiz sehingga 54 mm hingga 61 mm. Rama-rama dewasa akan bertelur di bawah daun yang akan menjadi makanan anaknya nanti. Beluncas-beluncas ini pula akan meluangkan masa untuk makan pada waktu malam dan tinggal di dalam dua daun yang disambungkan menggunakan sutera. Kelajuan penerbangan rama-rama Regent Skipper adalah mencapai 60 km/j.

8) Death’s-head hawkmoth

Merupakan spesis kupu-kupu dengan tabiat yang berbeza iaitu menyerang koloni lebah untuk mendapatkan madu. Mempunyai rupa-bentuk yang mudah dikenali kerana terdapat tanda seakan-akan tengkorak manusia di bahagian atas badannya. Terdapat di beberapa kawasan dengan berlainan spesis iaitu di Eropah, Timur Tengah dan Afrika. Ia mampu menyelinap ke dalam koloni lebah kerana mempunyai kemahiran unik iaitu memiliki bau yang sama seperti lebah. Kelajuan penerbangan kupu-kupu Death’s-head hawkmoth adalah sekitar 53 km/j.

9) Asian giant hornet


Hornet merupakan serangga pemburu dan menjadikan lebah dan serangga-serangga lain sebagai sasarannya. Ia turut berbunuhan sesama sendiri selain daripada berkemampuan membunuh lebah-lebah dengan rahangnya yang kuat. Seekor hornet dari spesis ini mampu membunuh 40 ekor lebah dalam masa seminit. Ia juga mampu terbang sejauh 100 kilometer sehari dengan kelajuan sehingga 40 km/j.

10) Desert locust


Belalang padang pasir (Schistocerca gregaria) sememangnya terkenal sebagai musuh utama tanaman di kawasan-kawasan Afrika, Timut Tengah dan Asia kerana kemampuannya memusnahkan tanaman dan tumbuhan dalam tempoh yang singkat. Malah ia juga turut memakan segala bahagian tumbuhan yang terdiri daripada tanaman dan tumbuh-tumbuhan liar. Serangan belalang ini dianggap salah satu bencana yang serius dan mendapat perhatian antarabangsa. Belalang ini mampu terbang pada kelajuan 33 km/j.

Itulah dia sebahagian serangga dan kepantasan penerbangan masing-masing. Walaupun ia membawa masalah kepada manusia kerana merosakkan tanaman, mungkin ia mempunyai kebaikan tertentu yang tidak kita ketahui. Apa yang penting, semakin kita mengenalinya, semakin kita berkeupayaan untuk mengawal atau memanfaatkannya.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog