Isnin, 19 Jun 2017

Keretapi Mewah Baru Jepun, East Japan Railway Co.

Shiki-shima antara keretapi mewah Jepun terbaru yang unik.

Kini kita melihat pula keretapi baru dari Negara Jepun yang baru sahaja memulakan operasinya pada 1 Mei, 2017 yang dikendalikan oleh syarikat, East Japan Railways Co. yang dikenali sebagai Train Suite Shiki-shima. Walaupun ianya lebih dikenali sebagai keretapi mewah, banyak perkara yang boleh dipelajari di sini yang menyebabkan mengapa ia telahpun habis ditempah sehingga Mac 2018.

Keretapi yang hanya membawa 34 penumpang dengan hanya 17 suites dalam satu-satu masa ini mengenakan tambang sebanyak ¥950,000 (USD8,569) seorang untuk bilik yang dikongsi daripada 10 gerabaknya. Jadi apakah yang membuatkan pelanggan berpuas hati untuk menggunakan perkhidmatan ini, mungkin antara sebabnya adalah kerana pelbagai keunikan yang ditawarkannya.




Gerabak moden train ini menyediakan pemandangan menyeluruh dari sisi mahupun bumbung train yang melalui laluan pergunungan dan juga pantai Jepun yang menarik. Malah ia juga adalah perjalanan yang memakan masa selama 4 hari di dalam train mewah ini. Apa yang lebih menarik ciri-ciri kemewahan ini adalah dihasilkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri yang mengukir nama dalam bidang rekaan.

Warna menarik “champagne-gold” pada keretapi ini juga adalah hasil rekaan daripada pereka Jepun iaitu Ken Kiyoyuki Okuyama yang turut menggunakan bahan-bahan seperti kayu, kertas Jepun yang dikenali sebagai “washi” selain ‘Japanese lacquer’ dalam menghasilkan rekaannya. Maka di sinilah antara keunikan sebenar keretapi mewah ini yang mencerminkan keunikan budaya Jepun sendiri.

Selain daripada itu, tikar Jepun yang dikenali sebagai ‘tatami’ juga digunakan pada suite Shikishima beserta tub mandi cypress yang memberikan pengalaman mandian harum menyegarkan. Manakala sofa yang digunakan di lounge keretapi ini pula dihasilkan menggunakan teknik melentur kayu secara tradisional menggunakan ‘steam’. Bagi karpet-karpetnya pula adalah dihasilkan daripada Oriental Carpet Mills yang sedia terkenal dengan kerja-kerja karpet bagi Vatican Palace dan juga Kyoto State Guest House.





Tidak kurang juga set makan menggunakan sudu garpu dari nikel dan perak yang dihasilkan oleh Yamazaki Kinzoku Kogyo yang lebih dikenali sebagai pereka set makan yang digunakan untuk majlis makan malam pada penganugerahan Nobel Prize. Jadi sebagai hidangannya pula, para penumpang akan dihidangkan dengan hidangan tempatan di mana keretapi ini lalu atau singgahi.


Keretapi “Suite Shiki-shima”, bukanlah keretapi mewah pertama yang dilancarkan di Jepun, namun apa yang menarik adalah penerapan ciri-ciri budaya yang diketengahkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri. Ianya dihasilkan dengan menampilkan hanya yang terbaik bagi memberikan keselesaan penuh kepada bakal penumpang. Jadi, ia tidak dikira mahal sekiranya ia adalah sepadan dengan servis yang ditawarkan. Semoga paparan kali ini juga dapat memberikan kita panduan dalam dunia perniagaan.



Free Download



Jumaat, 16 Jun 2017

Keretapi Mewah Merentasi Peru, Belmond Andean Explorer

Antara laluan menarik di sepanjang perjalanan Belmond Andean Explorer.

Belmond Andean Explorer merupakan keretapi mewah pertama yang beroperasi di Amerika Selatan membawa para penumpang menjelalah laluan dari Arequipa dan Cusco di Peru. Para penumpang akan dibawa dalam perjalanan antara 2 ke 3 hari yang mewah selain turut membenarkan penumpang singgah di beberapa kawasan menarik untuk dikunjungi di antara laluan tersebut seperti; Machu Picchu, Sacred Valley, Bandar Purba Cusco, Colonial Arequipa dan Colca Canyon.

Ruang makan yang amat selesa.

Ruang rehat yang rapi amat menenangkan.

Dek khas untuk pemandangan yang lebih luas.

Keretapi ini dilengkapi dengan 24 bilik mewah selain turut menyediakan segala keperluan para penumpang seperti gerabak yang menyediakan ruang makan mewah, serta loceng untuk anda memanggil bantuan daripada para pekerja yang diletakkan di sisi katil penumpang. Pelbagai hiburan dan acara disediakan kepada para penumpang di sepanjang perjalanan. Ia juga disertakan dengan dek pandang luar khas untuk memberikan penumpang pemandangan persekitaran yang lebih menyeluruh.


Bilik tidur yang juga amat selesa.

Keretapi merentasi dataran rumput.

Satu perjalanan yang pasti meninggalkan kenangan manis.

Perjalanan yang dilalui keretapi ini juga menyediakan pengalaman yang amat berbeza, kerana selain mendaki sehingga ke ketinggian 4,800 meter ia juga melewati kawasan-kawasan yang berada jauh di pendalaman. Perjalanan sejauh 700km ini akan memberikan para penumpang lebih pengalaman mempelajari sejarah bandar-bandar lama Peru yang dihubungkan melalui trek keretapi ini.



Free Download



Khamis, 15 Jun 2017

System Penjagaan Taman Berkuasa Solar Dari FuseProject

Edyn Smart Gardening System, sistem tanaman integrasi yang lengkap.

Penjagaan taman merangkumi pengawasan berterusan dari segala aspek termasuk keadaan pokok, pembajaan, pengairan, keadaan tanah, suhu dan sebagainya. Maka pereka kreatif moden memikirkan pelbagai kaedah untuk memudahkan para peminat seni taman tidak meninggalkan hobi mereka semata-mata kerana kesibukan urusan harian.

Antara rekaan kreatif dalam teknik penjagaan taman ini adalah rekaan dari FuseProject yang dikenali sebagai “Edyn Smart Gardening System”. Sistem yang direka untuk taman moden ini bukan sahaja membantu para peminat taman untuk satu sistem penjagaan sahaja, malah ia merangkumi segala aspek termasuk memberi pendapat mengenai jenis tanaman yang sesuai mengikut sesuatu keadaan tanah, pencahayaan, pH tanah dan sebagainya. Ia merupakan sistem tanaman yang lengkap dan amat memudahkan sekiranya digunakan dengan betul.

Segala hasil pengukuran dipaparkan melalui telefon dengan mudah.

Tidak memerlukan sistem pendawaian yang menyukarkan.

Menggunakan tenaga solar di celah-celah tanaman anda.

Ia mempunyai pelbagai ‘sensor’, untuk membuat pelbagai ujian dan merekodkan ujian ini untuk paparan anda secara langsung. Ia juga boleh direkodkan untuk semakan akan datang. Kesemua kawalan dan rekod ini boleh diikuti melalui telefon bimbit anda dari mana-mana. Selain itu Edyn juga menggunakan tenaga solar untuk membekalkan tenaga kepada peralatan elektroniknya. Jadi anda tidak perlu bersusah payah menyediakan pendawaian untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan ini.


Mudah dikendalikan melalui telefon bimbit anda.

Komponen-komponen yang melengkapkan sistem ini.

Edyn merupakan sistem tanaman yang amat canggih dan boleh diperkembangkan lagi untuk aplikasi yang lebih besar. Apa yang menarik di sini, mereka yang menanam dalam saiz yang kecil juga boleh menggunakan Edyn dengan kos yang lebih rendah. Sistem ini ternyata dapat menjimatkan banyak masa para penanam dalam usaha mendapatkan tanaman yang sihat serta hasil yang lebih baik. Satu lagi rekaan yang menarik.


Free Download



Electrolux Moots Konsep Tanaman Rumah Masa Depan

Pasu bunga pintar dengan paparan skrin LED.

Pernahkah anda terfikir memiliki pasu tanaman pintar yang memudahkan kerja-kerja tanaman di dalam rumah anda sendiri? Berikutan dengan perkembangan teknologi hari ini, pelbagai perkara boleh dilakukan. Apa yang diperlukan adalah bagaimanakah menggunakan idea kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

Electrolux Moots sebenarnya bukanlah baru, namun tidak banyak rekaan sepertinya yang dihasilkan. Ia adalah sebuah bekas tanaman pintar yang boleh memberi tahu anda bilakah tanaman anda memerlukan penjagaan seperti air dan baja misalnya. Ia juga dilengkapi dengan skrin paparan untuk memaparkan maklumat-maklumat tersebut.

Bukan itu sahaja, anda boleh memiliki sejumlah Moots yang akan berkomunikasi di antara mereka bagi memudahkan anda mengawasi tanaman anda dari satu tempat sahaja. Ini dapat memudahkan lagi kerja-kerja memantau tanaman kesayangan anda.

Moots boleh berkomunikasi antara satu sama lain.

Terdapat 3 saiz, beserta lampu untuk penambahan cahaya.

Moots didatangkan dengan 3 saiz iaitu 15, 20 dan 25 cm. Hanya pasu utama yang mempunyai skrin paparan yang akan memaparkan keadaan tumbuh-tumbuhan di dalam kumpulan yang sama.

Moots mempunyai ciri-ciri seperti;

  • Bekas luaran yang mempunyai skrin paparan dan juga dinding lutsinar yang membolehkan anda melihat ke dalamnya.
  • Bekas dalaman untuk menempatkan tanaman selain tiang dilengkapi dengan lampu LED untuk pencahayaan tambahan tanaman anda sekiranya perlu.



Ciri-ciri Moots untuk kesihatan tanaman kesayangan anda.

Ia merupakan antara pasu yang canggih dan pengenalan kepada teknologi tanaman hiasan dalaman yang masih baru. Pada masa-masa akan datang mungkin akan ada lebih banyak rekaan yang bukan sahaja lebih menarik tetapi lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua.


Free Download



Rabu, 14 Jun 2017

Lukisan Meningkatkan Daya Ingatan

Melakar membantu meningkatkan kemampuan mengingat.

Mengingat atau menghafal sesuatu bukanlah mudah, namun sekiranya anda melukiskan setiap perkara yang anda cuba ingati, ia mungkin boleh membantu meningkatkan tahap ingatan anda. Ini bukanlah perkara yang baru diketahui, tetapi kebanyakan kita tidak ingin melakukannya kerana tidak boleh melukis dengan baik.

Apa yang menarik, untuk tujuan mengingat ini anda tidak semestinya mempunyai bakat melukis yang hebat. Ianya cukup sekadar anda mengetahui apakah yang anda lukiskan. Anda mungkin mengetahui mereka yang sering dilihat melukis sesuatu semasa di dalam kelas - dan mereka adalah dari kalangan orang-orang yang mempunyai pencapaian yang baik. Jadi kecenderungan melakar ini membantu mereka untuk mengingat pelajaran dengan lebih baik.

Pelbagai jenis carta memudahkan proses menganalisis maklumat.

Otak manusia memproses gambar dengan lebih efektif.

Kajian mengenai perkara ini turut diterbitkan di dalam “Quarterly Journal of Experimental Psychology”, yang melaporkan kajian terhadap sekumpulan orang yang dikaji untuk samada menulis atau melakarkan beberapa perkataan mudah untuk diingati. Kemudian mereka diminta untuk mengingati sebanyak mungkin perkataan-perkataan yang ditulis atau dilakarkan tadi. Keputusan yang didapati adalah, mereka yang melakarkan perkataan tersebut lebih mudah mengingati berbanding mereka yang hanya menulisnya. Menurut ketua penulis kajian ini iaitu Jeffrey Wammes dari University of Waterloo, “Peserta biasanya mengingati lebih daripada dua kali ganda perkataan yang ditulis berbanding perkataan yang ditulis”.

Leonardo da Vinci dikenali sebagai seorang genius berbakat luar biasa.

Gambarajah dapat menerangkan sesuatu dengan lebih mudah.

Apa yang menarik untuk anda ketahui mengenai perkara ini adalah, anda tidak perlu melukis sesuatu perkara dengan ketepatan yang tinggi. Jadi anda tidak memerlukan bakat luar biasa semata-mata untuk anda mengingati sesuatu. Lukisan ringkas, sama juga seperti ‘peta minda’, carta, ‘fish bone chart’ dan sebagainya memudahkan proses mengingat di samping membuka lebih banyak peluang untuk anda mengembangkan lagi idea mengenai sesuatu perkara.


Ini juga menerangkan mengapa kebanyakan pengkaji seperti ‘Leonardo da Vinci’, mempunyai bakat melukis di samping kebijaksanaan rekaan luar biasa. Jadi, berilah galakan kepada anak-anak anda untuk melakar sesuatu bagi melatih mereka meningkatkan tahap ingatan serta mengembangkan idea mereka. Jadi tidaklah mereka melakar di dinding rumah anda lagi.



Free Download



Arkib Blog