Monday, December 16, 2013

Keunikan Hidupan Laut, Landak Laut

Landak laut dari spesis Echinus melo

Landak laut sejenis hidupan berduri yang mendiami perairan cetek atau kawasan terumbu karang. Fizikalnya yang berduri seakan-akan landak memberikannya nama landak laut atau 'sea urchins' adakalanya juga dipanggil 'sea hedgehogs'. Di Indonesia ia juga dikenali sebagai bulu babi. Sebenarnya terdapat pelbagai spesis landak laut yang mendiami perairan laut dari kawasan pantai hinggalah sehingga mencapai kedalam 5,000 meter dalam. Saiznya yang berbeza-beza iaitu di antara 3 hingga 10 cm dan adakalanya dipenuhi duri yang panjang. Terdapat pelbagai warna landak laut daripada hitam, kehijauan, coklat, purple, biru dan merah. Dengan pergerakan yang perlahan makanan utama landak laut kebiasaannya adalah terdiri daripada lumut. Manakala pemangsanya pula terdiri daripada memerang laut, tapak sulaiman, belut dan ikan-ikan. Selain itu juga manusia turut menjadikan landak laut ini sebahagian daripada hidangan.


Mulut landak laut dengan 5 batang gigi

Mulut landak laut berada dibahagian bawah yang menghadap ke permukaan pasir. Manakala bahagian atasnya adalah selaput keras seperti cengkerang yang juga diselaputi dengan kulit. Ia bergerak menggunakan sejenis tiub khas yang menggunakan tenkanan air. Terdapat juga tiub yang mampu melekat pada permukaan batu-batu untuk membolehkan landak laut ini bergerak. Begitu juga lubang insang landak laut pada kawasan berhampiran mulutnya.

Tiub khas yang membantu landak laut bergerak

Pada sesetengah spesis landak laut ia dilengkapi dengan duri yang panjang dan tajam. Duri ini boleh mengakibatkan kesakitan yang pedih namun ianya tidak mendatangkan kemudaratan yang serius sekiranya dapat dikeluarkan sepenuhnya. Tidak dapat dinyatakan samada duri landak laut berbisa walaupun terdapat spesis landak laut (pedicellariae) yang mempunyai bisa. Kebiasaannya duri landak laut berukuran 1 hingga 3 cm dan tidak terlalu tajam. Bagaimanapun terdapat spesis seperti 'diadema antillarum' yang mempunyai duri yang lebih runcing yang mencapai sehingga 10 hingga 30 cm panjang. Duri landak laut yang tajam ini mudah tertinggal di dalam daging sekiranya tercucuk dan mengakibatkan kesakitan.

Landak laut 'Slate pencil' spesis yang dimakan
(Eucidaris tribuloides)

Sistem saraf landak laut lebih ringkas dan tidak dilengkapi dengan otak. Walaubagaimanapun sistem saraf ini dapat membantu landak laut sensitif terhadap sentuhan, cahaya dan kondisi kimia disekelilingnya. Walaupun tidak dilengkapi mata, saintis beranggapan keseluruhan badan landak laut bertindak sebagai satu mata majmuk bagi landak laut. Selain itu ia turut dilengkapi organ yang membantunya untuk sentiasa dalam keadaan menegak.

Walaupun makanan utama landak laut adalah terdiri daripada lumut dan rumpai laut ia juga menjadikan 'invertabrata' lain sebagai makanannya. Landak laut adakalanya memakan keseluruhan kawasan sekitarnya sehingga terang. Ini menyebabkan landak laut adakalanya dianggap sebagai ancaman kepada kawasan terumbu karang sama seperti tapak sulaiman terutamanya 'crown of thorn'.

Landak laut putih
(Tripneustes ventricosus)

Walaupun landak laut dipenuhi duri namun ia tetap dijadikan sebahagian makanan oleh ramai masyarakat di dunia. Isi landak laut dijadikan hidangan yang digemari di banyak kawasan dengan pelbagai bentuk hidangan. Di kawasan seperti Mediterranean, landak laut dari spesis 'Parancentrotus lividus' biasanya dimakan mentah dengan perahan lemon dan hidangan ini dikenali sebagai 'ricci'. Ia juga turut digunakan dalam hidangan Itali untuk dijadikan sos pasta. Begitu juga di Chile ia dihidangkan mentah dengan lemon, bawang dan minyak zaitun.

Berbeza pula bagi landak laut Strongylocentrotus droebachiensis yang terdapat di Anlantik Utara yang kebanyakannya dieksport ke Jepun. Begitu juga di New Zealand, landak laut spesis 'Evechinus chloroticus' walaupun dimakan oleh masyarakat tempatan, namun turut dieksport ke Jepun.

Landak laut merah (Astropyga radiata)

Di Jepun, landak laut juga dikenali sebagai 'uni' (うに) dan harga isi landak laut boleh menjangkau sehingga A$450/kg: biasanya dihidangkan mentah sebagai sashimi atau sushi, bersama sos soya dan wasabi. Pembekal utama landak laut kepada Jepun adalah Amerika Syarikat, Korea Selatan dan lain-lain negara seperti yang disebutkan tadi. Permintaan negara Jepun yang tinggi bagi landak laut adalah dikhuatiri boleh mengakibatkan kepupusan landak laut.

Di Malaysia juga landak laut telah diberikan perhatian sebagai sumber ekonomi terutamanya di Sabah. Perkara ini telah diberikan penekanan daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk membuat kajian selanjutnya tentang kaedah pembiakan landak laut untuk tujuan komersil seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Jepun. Ini adalah penting bagi mengelakkan landak laut liar yang dikutip tanpa kawalan boleh mengakibatkan kepupusan - sumber Utusan 07/03/2012

Landak laut Echinothrix calamaris

Jadi di Malaysia juga landak laut menjadi sebahagian daripada menu bagi masyarakat Sabah dan kemungkinan juga Sarawak. Mungkin terdapat pelbagai resipi bagi landak laut. Ini kerana selain isi landak laut yang boleh dipelbagaikan, kulitnya juga digunakan dengan memasukkan beras dan direbus dimana ia dikenali sebagai 'oko-oko' oleh kaum Bajau di Pulau Gaya - sumber Kosmo 25/08/2011

Wah menarik kan! Landak laut yang selama ini amat ditakuti kerana duri yang sememangnya kelihatan tajam dan mengerikan (spesis yang biasa dijumpai di Malaysia) ini sebenarnya amat digemari di merata dunia. Maka tidak hairanlah mengapa ia dilengkapi duri bagi mengelakkan ia diganggu dengan begitu mudah. Jadi sememangnya ia memerlukan kajian terperinci untuk dikormersilkan bagi mengelakkan kepupusan memandangkan ia mungkin akan diminati oleh semua masyarakat setelah mereka mengetahui akan keunikan sebenar landak laut.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...