Rabu, 11 Mei 2016

Teratai Keajaipan Dari Tanah Berlumpur

Mengapakah teratai dianggap sebagai bunga suci oleh sesetengah masyarakat?

Teratai (Nelumbo nucifera) mempunyai pelbagai nama kerana ia merupakan antara tumbuhan yang penting oleh kebanyakan masyarakat di mana ia didapati tumbuh. Ia juga diberi nama Indian lotus, sacred lotus, bean of India, selain pelbagai nama lagi mengikut kawasan terutama di Asia dan Amerika Selatan. Oleh kerana faedah tumbuhan ini, ia malah dianggap sebagai bunga ‘suci’ memandangkan kegunaannya yang penting.

Bunga teratai buka sekadar digunakan pada bahagian bunganya sahaja, malah bahagian dari bunga sehinggalah kepada akarnya boleh dijadikan sebagai sumber makanan kepada manusia. Selain sebagai sumber makanan, sudah tentu bahagian-bahagian tertentu pokok teratai juga turut digunakan untuk kegunaan-kegunaan lain. Maka tidak hairanlah sekiranya ia dianggap sebagai tumbuhan penting oleh kebanyakan masyarakat yang mengenalinya.

Bunga teratai selain dimakan juga digunakan dalam upacara tertentu.

Kantung biji teratai juga digunakan sebagai hiasan.

Bahagian- bahagian teratai ini banyak digunakan oleh masyarakat seperti Korea yang menggunakan bahagian bunga dan daun sebagai tisane (teh herba). Yeonkkotcha (연꽃차) disediakan menggunakan kelopak bunga teratai putih yang telah kering, manakala yeonipcha (연잎차) pula disediakan menggunakan daun teratai yang masih muda. Di Vietnam pula, batang teratai muda digunakan sebagai bahan penyediaan salad. Salah satu bahagian yang penting pada teratai adalah akar (rhizom) yang dipanggil ǒu () di dalam Bahasa Cina, thambou oleh Manipuri, kamal kakri dalam Hindi, renkon (レンコン, 蓮根) dalam Bahasa Jepun, yeongeun (연근) dalam Bahasa Korea, boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan dan dalam penyediaan herba perubatan tradisional. Teratai juga boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat pakaian.

Walaupun bahagian-bahagian teratai boleh dimakan mentah kebanyakannya, adalah digalakkan supaya ianya dimasak terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang parasit, terutama bagi bahagian akarnya yang kebiasaannya terendam di dalam lumpur.

Selain daripada digunakan dalam bentuk segar, akar teratai juga boleh disediakan dalam bentuk jeruk menggunakan cuka beras, gula dan cili/bawang putih. Teksturnya yang rangup dan dengan rasa yang sedikit sengit amat sesuai digunakan dalam masakan Asia seperti salad, atau digabungkan bersama udang, minyak bijan atau daun ketumbar. Malah setiap masyarakat mempunyai kaedah tersendiri dalam menyediakan akar teratai.

Sup akar teratai antara makanan terkenal.

Petani akar teratai di China.

Selain daripada bahagian-bahagian yang disebutkan tadi, biji teratai juga merupakan satu lagi sumber makanan yang penting dan digemari. Bijinya juga dinikmati dengan pelbagai cara samada di keringkan atau dijadikan bertih seperti ‘popcorn’ (phool makhana) atau direbus dan dijadikan pes. Ia juga kerap dinikmati sebagai minuman dicampurkan bersama longan atau lai chi kang. Biji teratai digunakan dalam pelbagai kuih muih dan antaranya adalah kuih bulan (mooncakes), daifuku dan puding tepung beras.

Disebalik ciri-ciri kehidupannya yang mudah, teratai merupakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat pemakanan antaranya adalah vitamin C, potassium, thiamin, riboflavin, vitamin B6, phosphorus, copper, juga manganese dan serat. Jadi teratai boleh dikatakan antara tumbuhan yang mempunyai zat pemakanan yang cukup baik berbanding dengan sayur-sayuran yang lain.


Jadi sekarang tahulah kita mengapa bunga teratai dianggap sebagai tumbuhan suci dalam budaya sesetengah masyarakat yang menghargai jasanya dalam membekalkan sumber makanan yang berkhasiat. Walaupun ianya tumbuh di dalam tanah berlumpur, bunganya tetap kelihatan cantik dan berwarna penuh ceria selain membekalkan hidupan-hidupan lain pelbagai kebaikan. Jadilah seperti teratai.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog