Memaparkan catatan dengan label herba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label herba. Papar semua catatan

Isnin, 12 Jun 2017

Herba-Herba Yang Boleh Ditanam Di Dalam Rumah


Penggunaan herba dalam masakan merupakan antara faktor utama menjadikan makanan menyelerakan. Sehubungan itu, penanaman herba di dalam rumah (di ruang dapur terutamanya) merupakan satu perkara yang bukan dikira asing lagi. Tambahan pula herba-herba ini dapat menyegarkan lagi ruangan dapur di samping sebagai sebahagian daripada hiasan ruangan dapur anda.

Herba-herba yang dipilih untuk tanaman dalaman adalah herba yang bersaiz kecil, memerlukan jumlah cahaya yang sederhana, dan penjagaan yang minimum. Namun begitu, ini tidak bermaksud ia tidak memerlukan penjagaan langsung. Kebiasaannya, pokok herba mengalami renjatan apabila dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain; jadi pastikan perubahan ini tidak terlalu drastik sewaktu anda mengalihkannya daripada tempat pembelian (nursery) dan apabila dibawa pulang ke rumah.

Adapun antara herba-herba yang sesuai untuk ditanam di dalam rumah adalah antaranya seperti berikut;


Pegaga - Pegaga (Centella asiatica) sesuai dijadikan ulam, selain boleh dimasak sebagai bahan campuran. Pegaga yang sihat mempunyai daun yang hijau dan ini menambahkan lagi seri di ruang dapur.


Daun Saderi - Daun saderi (Apium graveolens) mudah hidup apabila direndamkan di dalam air. Namun untuk membesar, ia perlu dialihkan ke dalam bekas yang mempunyai tanah dengan pembajaan yang cukup. Saderi dapat membangkitkan bauan makanan seperti sup dan ia sesuai juga dimakan mentah.


Pudina - Pudina (Mentha × piperita) memberikan rasa yang menyegarkan. Walaupun jarang digunakan dalam masakan Melayu, ia masih mudah diterima kerana pudina digunakan dalam banyak barangan seharian seperti; ubat gigi, ice-cream, gula-gula getah dan biskut. Malah anda boleh mencampurkan pudina ke dalam teh anda untuk merasai kesegaran teh pudina.


Kucai - Kucai (Allium tuberosum) tumbuhan bebawang namun bukanlah bawang. Bahagian yang biasa digunakan pada tumbuhan ini adalah daunnya. Kucai menaikkan aroma makanan dan sesuai untuk makanan goreng ataupun berkuah. Berasal daripada China, ia telah lama digunakan di dalam masakan banyak masyarakat di dunia.


Rosemary – Rosemary (Rosmarinus officinalis) merupakan herba yang berasal dari kawasan Mediterranean dan banyak digunakan dalam masakan-masakan Eropah dan Barat. Namun ia merupakan herba yang semakin diterima ramai. Ia boleh ditanam di kawasan beriklim tropika dengan penjagaan yang baik.


Kesum – Daun Kesum (Polygonum minus) kebiasaannya tumbuh di kawasan berair seperti tali air dan paya. Namun ia masih boleh ditanam di dalam bekas dengan penjagaan yang baik. Penggunaan kesum amat penting di dalam masakan seperti ‘asam pedas’ dan juga ‘laksa’. Ia juga merupakan tumbuhan yang mudah dijaga.


Kemangi – Juga dikenali sebagai selasih Thai (Ocimum basilicum) merupakan antara herba yang banyak digunakan di dalam masakan Thai dan Vietnam. Malah terdapat dari jenis selasih (basil) ini yang biasa ditanam di US. Selasih Thai merupakan ramuan penting dalam penyediaan masakan ‘kari merah’ dan ‘kari hijau’ Thai.


Tulasi - Tulasi juga dipanggil thulasi, atau holy basil (Ocimum tenuiflorum) dan di dalam masakan Thai ianya dikenali sebagai Thai holy basil; merupakan tumbuhan berbeza daripada kemangi (Ocimum basilicum). Selain untuk masakan Tulasi juga digunakan untuk merawat beberapa masalah kesihatan.


Thyme - Thyme (Thymus vulgaris) merupakan tumbuhan berusia pendek yang kecil. Ia bagaimanapun mudah ditanam dengan keratan batang ataupun biji benih. Thyme adalah herba yang mempunyai aroma yang lebih baik berbanding ‘oregano’ dan lebih manis berbanding ‘sage’.


Taragon - Taragon (Artemisia dracunculus) ditanam untuk fungsi utamanya sebagai herba kulinari terutamanya di dalam masakan Perancis. Taragon sesuai digunakan untuk masakan ayam, ikan dan juga telur. Malah ia juga digunakan untuk menghasilkan ‘cuka taragon’.


Daun Bawang – Bawang kecil dari pelbagai spesies (Allium cepa) paling mudah ditanam di dapur malah daunnya sesuai digunakan untuk menambah perisa sebarang makanan daripada telur goreng, nasi goreng, masakan ikan, ayam dan sebagainya. Jadi, daun bawang ini adalah herba pertama yang anda perlu tanam memandangkan peluang keberhasilan anda adalah 90%.

Banyak herba-herba yang mudah hidup di ruangan dapur. Bagi anda yang biasa ke dapur tentu arif dengan herba-herba yang biasa digunakan. Apa kata, setiap lebihan bahan tersebut direndamkan di dalam air. Sekiranya ia bercambah dan menunjukkan perkembangan yang positif, alihkan sahaja ke dalam bekas tanaman dengan kandungan tanah yang sesuai. Perkembangan tersebut menunjukkan ia berada dalam suasana yang sesuai.

Antara lain menanam herba di dapur dapat memastikan anda mendapat bekalan herba yang segar selain daripada bebas daripada penggunaan racun serangga atau bahan kimia lain (selagi anda tidak menggunakan ke atasnya). Ia juga dapat menjimatkan kerana anda akan mengambilnya terus mengikut sukatan yang diperlukan. Maka tiada pembaziran untuk lebihan herba yang perlu dibuang kerana ianya masih lagi berada pada pokoknya.


Tanaman sebegini antara lain melatih anda untuk berjinak-jinak dengan tanaman herba yang lebih besar untuk diusahakan di sekitar rumah pula. Maka dengan itu, bermula secara kecil-kecilan memberikan anda lebih kefahaman mengenai penjagaan pokok-pokok herba tersebut. Mungkin satu hari nanti anda boleh menjualnya pula.


Free Download




Khamis, 6 April 2017

Pernahkah Anda Mencuba Teh Herba Atau Tisane

Teh herba mempunyai pelbagai kebaikan.

Kita mungkin biasa dengan minuman teh (Camellia sinensis) yang sudah biasa dengan masyarakat dunia. Minuman teh secara umumnya juga dikaitkan dengan bahan-bahan yang telah dikeringkan dan direndam didalam air panas untuk mengeluarkan aromanya ke dalam minuman. Ini secara tidak langsung bahan-bahan kering yang dihasilkan bukan daripada teh juga dikenali sebagai teh; namun ia digelar sebagai teh herba atau ‘tisanes’.

Apa yang menarik teh-teh herba dihasilkan daripada pelbagai bahan seperti herba, rempah, buah-buahan, bungaan dan sebagainya yang kebiasaannya tidak mengandungi ‘caffeine’. Oleh itu teh herba ini lebih mudah diminum - namun anda juga perlu diambil secara berhati-hati mengikut tahap kesihatan pengguna (seperti ibu mengandung, pesakit buah pinggang dan pengidap-pengidap penyakit tertentu).

Penggunaan teh herba ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah digunakan dari zaman Egyp Purba dan juga Cina Purba lagi yang menceritakan mengenai kehebatan minuman teh herba yang dikenali sebagai ‘liang cha’.

Bunga raya kering untuk tujuan minuman 'hibiscus tea'.

Bunga-bungaan yang digunakan untuk menghasilkan teh herba.

Minuman teh-teh herba ini boleh didapati samada yang telah siap dijual di kedai-kedai perubahan herba ataupun anda boleh menyediakannya sendiri. Apa yang penting bahan yang digunakan perlulah bebas daripada bahan racun seperti racun serangga serta bahan kimia yang lainnya. Jadi dengan menyediakannya sendiri, anda dapat memastikan teh herba anda selamat daripada bahan-bahan beracun.

Boleh dikatakan kebanyakan masyarakat di dunia mempunyai keunikan teh herba masing-masing. Di Egyp minuman teh herba yang dihasilkan daripada bunga raya atau ‘hibiscus tea’ (karkade) merupakan antara minuman popular yang dihidangkan di kedai teh (teahouse). China merupakan antara masyarakat yang dikenali kaya dengan pelbagai jenis minuman dalam kategori ini untuk tujuan minuman biasa mahupun untuk tujuan perubatan. Manakala di Sri Lanka juga pelbagai minuman yang dihasilkan daripada tumbuhan herba seperti iramusu (Smilax regelii), beli (Bael), ranawara (Senna auriculata), polpala (Aerva lanata), weniwel (Coscinium fenestratum), dan kothala-himbutu (Salacia reticulata) yang juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis masalah kesihatan.


Teh herba dengan pelbagai bahan seperti kelapa, rooibos, halia, kayu manis, pelaga, apple, lada hitam dan badam.

Teh pudina antara minuman yang menyegarkan.

Minuman teh herba ini merupakan satu kumpulan minuman yang amat besar untuk tujuan yang pelbagai. Bagi yang berminat bolehlah mengenali kumpulan teh-teh yang tergolong dalam kategori ini dengan lebih lanjut. Teh herba tidak seperti teh biasa mempunyai pelbagai manfaat sekiranya disediakan dan diambil dengan cara yang betul.


Free Download





Ahad, 13 November 2016

Pokok Herba Yang Sesuai Ditanam di Sekitar Rumah

Persekitaran rumah boleh dihiasi dengan tanaman yang juga merupakan sayuran.

Hobi bercucuk tanam merupakan satu hobi yang bukan sahaja dapat mengisi masa lapang malah ia juga memberikan banyak faedah lain sekiranya bahan tanaman bukan sahaja boleh digunakan semula malah ada di antaranya yang boleh dijual. Banyak tumbuhan herba dan rempah yang sesuai dijadikan sebagai tanaman dalam masa yang sama amat cantik sebagai hiasan.

Mari kita lihat serba ringkas beberapa tanaman yang mudah ditanam dan mempunyai faedah seperti yang dinyatakan di atas.

Pandan

Pandan di pinggir halaman rumah.

Pandan boleh ditanam terus di atas tanah atau di dalam pasu. Penjagaannya juga tidak cerewet. Pandan mempunyai pelbagai kegunaan daripada masakan, pewarna, pewangi, penghalau serangga dan boleh juga digunakan untuk membuat bunga rampai. Saiz pokok pandan boleh dikawal menggunakan saiz bekas tanamannya. Sekiranya ia di tanam di atas tanah, ia perlu dikawal bagi mengelakkan ia merebak terlalu besar (sekiranya perlu).

Penggunaan tanah yang hitam adalah baik untuk pandan. Kawasan yang redup dan tanah yang lembab juga adalah sesuai. Sekiranya ditanam di dalam pasu pastikan ia tidak mempunyai terlalu banyak tunas bagi memastikan saiz daunnya cukup besar.

Cili Padi

Cili padi yang sihat menghasilkan buah yang cantik.
Cili padi dan lain-lain cili (cili besar/ cili benggala) juga sesuai sebagai tanaman hiasan rumah. Namun pokoknya mungkin tidak bertahan untuk tempoh yang terlalu lama dan anda sentiasa perlu menukar dengan pokok yang baru. Pokok cili juga sering menjadi serangan ulat kutu daun. Jadi anda mungkin boleh menyemburnya menggunakan pencuci pinggan (penggunaan racun serangga adalah tidak digalakkan bagi tujuan keselamatan).

Pokok-pokok cili akan kelihatan menarik sekiranya ia cukup subur. Apatah lagi apabila ia dipenuhi dengan buah yang sihat berwarna merah apabila masak. Jangka hayatnya juga sebenarnya bergantung kepada penjagaan. Namun begitu anda tidak perlu merasa risau kerana ia sememangnya adalah tanaman berjangka pendek.

Serai

Serai sesuai ditanam di pinggir rumah.

Serai juga merupakan antara herba penting yang boleh ditanam di sekitar rumah. Walaupun ia boleh ditanam di dalam pasu, serai lebih menarik sekiranya ditanam di atas tanah. Apa yang penting tanah yang digunakan untuk tanaman serai perlu mempunyai saliran yang baik kerana ia mudah rosak sekiranya berkeadaan lembab.

Seperti juga pandan, serai amat penting dalam kebanyakan masakan terutamanya bagi resepi dari SE Asia. Serai yang subur akan kelihatan rimbun dan cantik. Sekiranya serai anda telah menjadi kecil dan tua, anda dinasihatkan menggantikan keseluruhan rumpun serai tersebut bagi membolehkan rumpun baru tumbuh dengan lebih subur.

Cekur Manis

Cekur manis dengan buahnya.

Cekur manis atau dikenali juga sebagai pucuk manis merupakan tanaman yang sesuai untuk tanaman di atas tanah dan juga di dalam pasu. Saiznya yang agak sederhana tinggi, baik sebagai hiasan dan juga dalam masa yang sama merupakan sayuran yang enak. Ia boleh dicantas untuk dijadikan sayuran dan dibiarkan untuk terus bertunas kembali seperti biasa.

Cekur manis ditanam dari keratan batangnya selain daripada biji. Tanaman menggunakan tanah hitam adalah baik untuk cekur manis. Penjagaannya yang mudah juga menjadikan ia satu lagi pilihan yang baik.

Puding Belacan

Cantik sebagai hiasan, puding belacan juga enak dalam masakan.

Puding belacan mempunyai daun dalam satu warna sahaja. Namun ia mempunyai bunga dan bentuk daunnya juga tidak kurang menarik. Sekiranya dijaga dengan rapi ia tetap kelihatan cantik sebagai tanaman hiasan. Namun apa yang paling menarik mengenai puding belacan adalah ia digunakan di dalam masakan rendang yang amat digemari di beberapa negeri di Semenanjung.

Penjagaan puding belacan juga tidak cerewet, sekiranya ia telah menumbuhkan tunas. Tanah subur yang gembur akan menghasilkan daun yang cukup lebar dan sesuai untuk masakan. Ia perlu dicantas untuk mengelakkan nya dari mencapai ketinggian yang terlalu tinggi. Pada masa yang sama, ia juga mempunyai bunga bersaiz kecil yang akan menambahkan lagi keunikannya sebagai tanaman hiasan.

Kunyit dan Halia

Kunyit yang subur mempunyai daun yang berkilau.

Kunyit dan halia merupakan antara herba yang menarik untuk ditanam di halaman dan juga di dalam pasu. Kunyit yang subur bukan sahaja cantik, malah daunnya merupakan antara bahan masakan yang agak penting dalam membangkitkan aroma masakan yang menyelerakan.

Walaupun kunyit dan halia mempunyai penjagaan yang lebih kurang serupa, namun ia mempunyai bentuk fizikal yang sedikit berbeza di antara kedua jenis tumbuhan ini. Kunyit sesuai ditanam di dalam pasu menggunakan tanah bakar dengan pencahayaan yang cukup namun tidak terdedah terus kepada cahaya matahari.

Bawang

Bawang antara herba yang paling mudah ditanam.

Bawang putih dan bawang merah kedua-duanya boleh ditanam dengan mudah di dalam bekas kecil atau pasu. Daun bawang bukan sahaja sesuai untuk masakan, malah boleh digunakan sebagai hiasan tambahan, juga perasa di dalam hampir setiap masakan.

Tanah subur yang berpasir sesuai digunakan kerana bawang tidak sesuai untuk tanah yang terlalu lembab. Kawasan dengan pencahayaan penuh seperti di hadapan tingkap dapur boleh dimanfaatkan untuk membesarkan pokok bawang ini. Tanamkan lebihan bawang yang digunakan ke dalam tanah dan tunggu sahaja sehingga ia mengeluarkan hasil daunnya yang memberangsangkan.

Saderi

Sayuran segar terus dari pasu di rumah anda.

Saderi seperti juga bawang, ditanam daripada lebihan yang digunakan untuk masakan. Tanah subur berpasir juga digunakan untuk membesarkan tunggul saderi yang telah digunakan untuk masakan tadi. Pastikan ia tidak kering sebelum ditanam ke dalam tanah yang telah disediakan.

Kawasan seperti tingkap dapur merupakan antara kawasan yang menyediakan pencahayaan yang sesuai untuk saderi. Namun kaki lima luar rumah juga boleh digunakan untuk menempatkan tanaman saderi anda (namun elakkan pancaran terus terik matahari). Ia akan terus mengeluarkan daun yang boleh digunakan untuk masakan selagi tidak diambil berlebihan dan menyebabkan tunggul utamanya mati.

Ruangan dalam rumah juga boleh digunakan untuk menyimpan pokok-pokok kecil.

Banyak lagi sayuran dan herba yang boleh ditanam dengan kaedah yang ringkas seperti ini. Walaupun ia secara umumnya bukanlah merupakan tanaman hiasan, namun semua pasti setuju bahawa setiap tanaman yang sihat adalah amat cantik dipandang. Penanaman tanaman seperti ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga, malah ia juga adalah lebih sihat kerana anda sendiri dapat mengetahui samada anda menggunakan racun serangga atau bahan kimia berbahaya dalam proses pembesarannya. Ia juga salah satu penghargaan atas hasil usaha anda membesarkannya.



Free Download


Sabtu, 29 Oktober 2016

Membuat Sabun Anda Sendiri Satu Aktiviti Menarik

Sabun buatan sendiri, mudah dan ringkas.

Sabun merupakan bahan penting untuk membersihkan kotoran kerana sifatnya yang mampu menanggalkan kotoran berminyak berbanding menggunakan air sahaja. Teknik pembuatan sabun menjadi semakin mudah dengan kemudahan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sabun semakin mudah untuk didapati. Seperti juga pembuatan lilin, sabun merupakan satu lagi bahan yang mudah dibuat secara kecil-kecilan di rumah.

Para peminat pembuatan sabun kebiasaannya mempunyai resepi kegemaran mereka sendiri. Ini kerana anda boleh memilih sendiri bahan wangian yang ingin digunakan di dalam sabun, malah anda boleh menambah bahan kegemaran anda di dalamnya. Sabun buatan sendiri ini juga boleh dibentuk mengikut kesukaan anda menjadikan ia sabun yang lebih menarik untuk digunakan atau sesuai sebagai barangan hadiah.

Bahan-bahan Utama Untuk Membuat Sabun


Persiapan membuat sabun perlu dilakukan dengan teliti.

Antara bahan-bahan utama dan sampingan untuk membuat sabun.

Lye merupakan bahan utama yang digunakan untuk membuat sabun atau lebih dikenali sebagai sodium hydroxide. Lye yang digunakan kebiasaannya adalah di dalam bentuk kristal kerana ia merupakan 100% sodium hydroxide. Penggunaan lye yang tidak asli boleh menjejaskan penghasilan sabun anda kerana sukatannya mungkin berbeza - maka pastikan bahan utama ini adalah menggunakan bahan asli, melainkan anda telahpun mahir menghasilkan sabun sendiri.

Perhatian; Lye merupakan bahan yang sangat menghakis dan digunakan untuk kerja-kerja mencuci kotoran degil. Anda perlu berhati-hati semasa mengendalikan bahan ini. Sentiasa menggunakan sarung tangan dan elakkan ia daripada terkena pada kulit ataupun pakaian anda. Elakkan juga termakan atau terhidu wap semasa menggunakan bahan ini.

Bahan lemak boleh terdiri daripada pelbagai minyak sayuran daripada minyak kelapa, minyak zaitun, minyak badam, minyak bunga matahari dan sebagainya. Hasil gabungan antara lye dan minyak inilah yang sebenarnya membentuk sabun. Bagaimanapun anda perlu mencampurkannya dalam nisbah yang betul bagi membolehkan sabun yang dihasilkan selamat digunakan. Jadi untuk permulaan, gunakan resepi sabun yang telah disediakan daripada pembuat sabun yang lain.

Bahan-bahan tambahan adalah bahan yang boleh dicampurkan untuk memberikan keunikan tersendiri kepada sabun yang anda hasilkan. Bahan-bahan ini terdiri daripada pelbagai jenis bahan daripada bahan herba seperti lavender, chamomile, lemongrass (serai) dan sebagainya. Bahan pewangi seperti minyak essential juga biasa ditambah untuk memberikan aroma kepada sabun yang dihasilkan.

Bahan pewarna juga merupakan antara bahan penting untuk memberikan sabun anda warna yang lebih menarik. Ia merupakan bahan penting sekiranya anda menghasilkan sabun untuk dijual ataupun sebagai barangan hiasan dan hadiah. Anda boleh menggunakan bahan pewarna asli sekiranya tidak mahu menggunakan bahan pewarna tiruan.

Bahan tambahan yang lain pula adalah bahan yang juga memberikan sabun anda faedah tambahan seperti aloe vera, oatmeal, susu tepung, tanah liat, cornmeal, garam, serbuk kopi, loofah, beras dan sebagainya.

Walaupun sabun merupakan satu bahan yang ringkas, anda boleh menghasilkan sabun yang mempunyai banyak kebaikan selain fungsinya hanya sebagai pembersih sahaja. Namun untuk mendapatkan hasil yang baik, anda perlulah rajin mencuba dan mempelajari lebih banyak mengenai selok-belok teknik penghasilan sabun ini. Anda juga perlu mengenali bahan-bahan yang boleh digunakan dan kebaikannya untuk ditambahkan ke dalam sabun anda.


Sabun buatan sendiri lebih mudah dipelbagaikan.

Sabun dengan bahan-bahan tambahan.

Contoh Resepi Sabun 1

Bahan-bahan:
  • ⅔ cawan minyak kelapa (pastikan berkualiti baik)
  • ⅔cawan minyak zaitun
  • ⅔cawan minyak tambahan - samada minyak badam, minyak bunga matahari, minyak grapeseed atau minyak safflower.
  • ¼ cawan lye - juga dikenali sebagai 100% sodium hydroxide biasanya dibekalkan di kedai hardware sebagai bahan pencuci.
  • ¾ cawan air sejuk - gunakan air suling atau air yang telah ditapis.

Kaedah:

  1. Pastikan anda menggunakan kelengkapan perlindungan seperti sarung tangan dan juga penutup mata (sekiranya perlu) sebelum memulakan langkah mengendalikan lye. Gunakan sukatan seperti di atas dan campurkan lye secara perlahan-lahan ke dalam air. Pastikan anda tidak menyedut wap yang terhasil. Kacau perlahan-lahan sehingga larutan menjadi jernih dan biarkan seketika sementara anda menyediakan bahan-bahan lain.
  2. Campurkan ketiga-tiga minyak yang telah disukat dan dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro (microwave) atau panaskan bekas minyak di dalam periuk yang berisi air yang diletakkan di atas api. Panaskan minyak sehingga suhu lebih kurang 120°F (49°C). Tunggu sehingga suhu kedua-dua bahan menjadi agak sejuk sekitar 95°F hingga 105°F (35°C hingga 41°C). Suhu yang terlalu sejuk boleh mengakibatkan tekstur sabun yang berketul.
  3. Pada suhu yang sesuai campurkan kedua lye ke dalam minyak perlahan-lahan dan kacau sehingga anggaran 5 minit. Kedua-dua bahan perlu bercampur rata sebelum anda perlu terus memukul larutan seperti membuat adunan kek (boleh juga gunakan pemukul telur). Larutan dikira sempurna apabila ia menjadi likat dan meninggalkan kesan apabila ia jatuh ke atas permukaan larutan tersebut.
  4. Langkah terakhir adalah mencampurkan bahan-bahan tambahan daripada bahan herba, pewarna mahupun bahan tambahan lain. Pastikan kuantiti yang ditambah sesuai bagi mengelakkan kualiti sabun yang terjejas. Larutan sedia dituangkan ke dalam acuan sebelum ditutup dengan plastik dan dilapik dengan tuala bagi mengekalkan haba (supaya sabun terbentuk secara perlahan-lahan).
  5. Selepas 24 jam periksa sabun sekiranya ia masih sejuk atau lembut, biarkannya untuk tempoh 12 – 24 jam lagi di dalam acuan. Setelah betul-betul sejuk dan keras keluarkan sabun dan letakkan di atas kepingan kerta atau rak pembakar. Sekiranya anda perlu memotong sabun tersebut, ini merupakan masa yang sesuai untuk melakukannya. Sabun perlu disimpan selama 4 minggu untuk matang. Pada masa yang sama ia perlu dibalikkan untuk mendedahkan setiap bahagian kepada angin.
  6. Apabila sabun telah betul-betul matang ia perlu dibalut dengan kertas minyak atau disimpan di dalam bekas kedap udara. Ini kerana sabun menarik lembapan dari udara dan ini dalam masa yang sama mungkin akan memerangkap habuk.
Lavender merupakan bahan yang paling popular sebagai tambahan kepada sabun.

Pudian juga merupakan bahan tambahan yang sesuai.

Perhatian: Lye boleh di neutral kan menggunakan cuka putih dan anda perlu membersihkan kesan lye selepas selesai kerja-kerja dilakukan. Sekiranya terdapat saki baki tertinggal, biarkan beberapa hari dan cucilah kemudiannya menggunakan air panas (kerana ia telah bertukar menjadi sabun).

Resepi-resepi Sabun Lain;

Sabun Shea Butter CP
  • Minyak kelapa 16 oz. (473 ml)
  • Minyak zaitun 18 oz. (532 ml)
  • Minyak sawit 16 oz. (473 ml)
  • Shea butter 4 oz. (118 ml)
  • Tallow 16 oz. (473 ml)
  • Lye 9.815 oz. (290 ml)
  • Jumlah air yang digunakan 23 oz. (683 ml)


Sabun Honey Bee Cold Process
  • Minyak zaitun 32 oz. (946 ml)
  • Minyak sawit 16 oz. (473 ml)
  • Tallow 24 oz. (710 ml)
  • Lye 9.477 oz. (280 ml)
  • Jumlah air yang digunakan 24 oz. (710 ml)


Resepi sabun yang pertama adalah jauh lebih mudah untuk dicuba di peringkat awal. Anda juga boleh mencari resepi-resepi sabun lain yang lebih mudah dalam usaha memahami lebih lanjut mengenai teknik-teknik pembuatan sabun di rumah. Melalui pengalaman, anda mungkin dapat mereka resepi sabun anda sendiri dengan kebaikan-kebaikan seperti yang anda inginkan. Selamat mencuba.





Free Download



Arkib Blog