Memaparkan catatan dengan label khasiat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khasiat. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Jun 2016

Memperbaiki Kulit Bermasalah Acne (Jerawat)

Jerawat, jangan biarkan ianya berterusan.

Semua orang ingin memiliki kulit cantik tanpa cela bebas dari pada sebarang kesan parut. Walaubagaimanapun kita akan melalui pelbagai tahap kehidupan dengan persekitaran yang brbeza. Masalah kulit bukanlah satu perkara yang pelik apa yang membezakannya adalah tahap masalah yang dihadapi oleh seseorang sahaja. Sekiranya anda mengalami sebarang masalah kulit ini, tidak perlulah anda merasa risau atau merendah diri, sebaliknya cubalah fahami punca masalah dan jenis rawatan yang sesuai untuk digunakan.

Kebanyakan masalah kulit tidaklah begitu sukar untuk diatasi melainkan apabila ianya mencapai tahap yang serius. Selagi punca sebenar dapat dikesan, kaedah mengatasinya juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Masalah yang tidak dirawat boleh menyebabkan gejala yang lebih serius dan sukar dikawal kemudiannya. Jadi, pastikan anda bertindak awal dalam menanganinya.

Punca-punca Masalah Kulit (Jerawat)

Masalah kulit boleh disebabakan oleh pelbagai faktor, jadi anda tidak perlu merasa pelik mengapa anda mengalaminya. Perubahan keadaan sekeliling, pemakanan, tahap kesihatan, pengambilan ubatan serta tekanan boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan kulit. Keadaan ini boleh bertukar dengan cepat, maka apa yang anda perlu lakukan adalah mengawal supaya ianya tidak berlanjutan dan menjadi serius.

Faktor-faktor yang mudah dikawal seperti pemakanan dan tekanan adalah bergantung kepada anda sendiri. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat dan tidak membiarkan stress berlanjutan – pastikan kerisauan anda dan dapatkan bantuan mereka yang bolehmemberikan anda nasihat untuk mengatasinya.


Keadaan masalah yang biasa.

Jangkitan akan menyebabkan masalah yang lebih serius.

Faktor pengambilan ubat-ubatan dan perubahan hormon adalah sukar untuk dielakkan. Bagi keadaan ini, apa yang anda boleh lakukan adalah mengawal masalah pada kulit supaya tidak menjadi serius. Masalah kulit akan hilang apabila keadaan anda kembali stabil dan ubatan punca masalah tidak lagi diperlukan.

Semasa megalami masalah jerawat apa yang anda perlu dielakkan adalah;
  • Memicit jerawat (yang menyebabkan kecederaan pada kulit).
  • Mencuci kulit secara berlebihan – penggunaan bahan kimia.
  • Hanya menumpukan rawatan luaran – kerana jerawat adakalanya disebabkan faktor dalaman juga, seperti pemakanan, masalah usus dan sebagainya.
  • Tidak mencuba perawatan lain apabila rawatan yang digunakan tidak berjaya.
  • Tidak mendapat air yang mencukupi.
  • Tidak mencari rawatan yang sesuai.

Kaedah Rawatan

Berikut adalah beberapa rawatan penting apabila anda mengalami kesan-kesan masalah kulit terutamanya jerawat (acne).

Pembersihan Lembut

Pembersih lembut bermakna ia tidak terlalaku kuat sehingga menyebabkan kerosakan keapada kulit. Proses pembersihan bertujuan mengelakkan jangkitan, membersihakan segala kekotoran pada permukaan kulit serta membunuh mikro-organisma merbahaya seperti bakteria daripada permukaan kulit.

Pembersih muka yang lembut biasanya boleh disediakan sendiri dengan bahan-bahan yang terdapat di rumah. Hari ini juga pembersih seperti ini mudah didapati dari pasaraya dan farmasi. Membersihkan kulit merupakan langkah utama dalam penjagaan kulit dari masalah acne dan sebagainya. Pembersih lembut tidak menyebabkan kulit kering yang menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak.


Satu lagi perkara yang sering dilupakan oleh pengidap masalah kulit. Ia merupakan satu langkah yang penting kerana ia adalah proses yang mengembalikan semula keseimbangan kulit selepas proses mencuci/pembersihan kulit dilakukan. Kulit kembali terdedah kepada jangkitan bakteria, sejurus proses pembersihan dilakukan. Penggunan toner ini dapat mengembalikan pH kulit kembali semula kepada pH yang sepatutnya dan mengelakkan pertumbuhan bakteria.

Penyegar juga boleh dihasilkan dengan bahan-bahan yang mudah (didapati di rumah). Antara penyegar yang paling mudah boleh dihasilkan menggunakan apple cider vinegar, iaitu dengan menyapukannya pada permukaan kulit selepas proses mencuci muka dilakukan.

Penjagaan Tambahan


Madu dan Kayu manis untuk membuat topeng (mask).

Sesekali anda boleh melakukan pembersihan mendalam menggunakan topeng muka (mask) menggunakan bahan-bahan asli seperti yogurt, madu, kayu manis, minyak essential dan banyak lagi. Proses ini selain membantu pembersihan kulit yang lebih mendalam ia juga membantu memberikan kulit penjagaan tambahan (bergantung kepada bahan yang digunakan). Berikut adalah beberapa topeng (mask) yang mudah dilakukan.

Yogurt dan Madu: dihasilkan dengan campuran satu sudu besar yogurt dan satu sudu besar madu. Lumurkan pada kulit muka (elakkan bahagian rambut) dan biarkan selama 10 minit sebelum dibersihkan menggunakan span basah dan air suam.

Kayu Manis dan Madu: campurkan dua sudu besar madu, sadu sudu besar minyak kelapa dan ½ sudu teh kayu manis. Sapukan pada permukaan kulit dengan lembut dan biarkan selama 10 minit. Sentiasa pastikan ianya tidak disapu berhampiran kawasan mata kerana ia memedihkan mata. Bersihkan sama seperti penggunaan mask di atas.

Penyental Kulit (Lulur)


Proses menyental (lulur) boleh dilakukan sendiri di rumah.

Penyental kulit juga penting dalam mebantu merawat masalah jerawat terutamanya di bahagian-bahagian badan yang lain seperti badan. Proses menyental membersihkan permukaan kulit yang tersekat disebabkan oleh kotoran dan sel-sel kulit yang mati. Sesekali anda digalakkan melakukan proses penyentalan ini bagi menggalakkan lagi pertumbuhan sel-sel kulit baru yang lebih sihat.

Proses menyental ini juga dapat mengelakkan pertumbuhan fungus (candida) pada kulit dengan penggunaan bahan-bahan seperti minyak kelapa, garam laut, oatmeal, dan pelagai lagi bahan penyental semulajadi yang boleh didapati dengan mudah.

Apabila anda menggunakan penyental, anda tidak perlu menyetal dengan kuat tetapi melakukannya dengan perlahan untuk tempoh yang mencukupi bagi membersihkan permukaan kulit daripada sel-sel mati dan kotoran. Bilaslah permukaan kulit dengan sempurna bagi membersihkan bagi penyental yang tertinggal pada permukaan kulit.

Rawatan Terus

Rawatan terus kepada bahagian yang bermasalah bagi merawat jerawat juga penting menggunakan bahan-bahan tertentu seperti minyak dari tea tree. Selain tea tree, minyak kelapa, madu, susu kultur juga dapat melawan jangkitan bakteria dan fungus. Bagi rawatan ini, ianya hanya digunakan pada bahagian yang mengalami masalah – bukan pada keselurhan permukaan kulit.

Anda juga boleh menyediakan campuran 4 – 8 titik minyak tea tree bersama satu sudu teh minyak kelapa atau minyak jojoba yang digunakan sebagai sapuan kepada permukaan yang bermasalah. Minyak tea tree perlu dicairkan kerana ianya agak kuat untuk digunakan terus pada permukaan kulit.

Pengambilan Probiotik


Makanan kaya probiotik membantu penghadaman.

Pengambilan probiotik dapat meningkatkan fungsi sistem penghadaman yang juga mempunyai kesan kepada kesihatan kulit. Proses penghadaman yang baik dapat membantu proses penyerapan makanan yang lebih baik seterusnya membolehkan nutrient-nutrient penting diserap ke dalam sistem pengaliran darah.

Masalah penghadaman merupakan punca masalah kulit yang adakalanya tidak diberikan perhatian. Selain daripada pengambilan probiotik, segala usaha lain yang meningkatkan keupayaan sistem penghadaman adalah baik untuk membantu anda mendapatkan kulit yang lebih sihat.

Pemakanan Yang Sihat

Pemakanan yang sihat adalah kunci kepada segala kesihatan anda. Ini kerana segala zat yang diperlukan oleh badan hanya diperolehi melalui pemakanan. Jadi anda perlu menitik beratkan pemakanan yang sihat dan mengelakkan pemakanan yang merbahaya terutamanya bahan-bahan tiruan. Makanan yang diproses mengandungi pelbagai bahan tiruan dan inilah merupakan punca utama yang menyebabkan pelbagai masalah kepada kesihatan anda.

Pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi segala jenis khasiat pemakan yang diperlukan oleh badan. Sentiasa mengambil makanan yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan disamping anda mendapat bekalan air yang mencukupi untuk proses membersihkan toksin dari badan melalui perpeluhan dan perkumuhan.

Aktiviti Sihat


Aktiviti riadah memberikan banyak kesan positif.

Aktiviti sihat yang meliputi aktiviti riadah, senaman dan rehat yang cukup merupakan kitaran aktiviti yang membantu badan mengekalkan fungsinya seperti yang diperlukan. Aktiviti senaman membantu badan menyingkirkan toksin berlebihan melalui proses perpeluhan dan menggalakkan kitaran darah ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia juga membantu mengurangkan tekanan daripada beban kerja serta aktiviti harian. Akhir sekali rehat yang cukup pula membolehkan badan memperbaiki semula sel-sel badan yang rosak dan mengembalikan kesegaran badan untuk hari yang berikutnya.


Iatu adalah antara perkara yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki masalah berkaitan kulit (jerawat) yang adakalanya amat membimbangkan bagi seseorang. Masalah kulit yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kepada masalah yang lebih serius. Jadi walau dimanakan tahap masalah kulit anda, pastikan anda mengambil langkah untuk memperbaikinya. Fahami, usahakan dan teruskan sehingga berjaya.


Free Download



Jumaat, 24 Jun 2016

Mengekalkan Rambut Yang Sihat (Keguguran Rambut)

Masalah keguguran rambut perlu dikesan lebih awal.

Masalah rambut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, semua peringkat umur oleh beberapa faktor-faktor tertentu. Walaupun pada lewat usia, masalah keguguran rambut kerap berlaku kepada lelaki, ianya juga sering berlaku kepada wanita. Malah, oleh kerana gaya hidupa masa kini, masalah keguguran rambut adakalanya berlaku lebih awal di usia yang masih muda. Apakah yang membantu bagi mengelakkan masalah ini?

Berikut kita ikuti 6 khasiat pemakanan yang boleh membantu memperbaiki masalah keguguran rambut atau menggalakkan lagi pertumbuhan rambut anda.

1. Minyak Ikan

Minyak ikan seperti yang telah kita ketahui sebelum ini kaya dengan pelbagai khasiat dalam membantu kesihatan kulit dan juga rambut. Minyak Omega-3 membantu untuk rambut kekal sihat dan mengelakkan keradangan yang menyebabkan masalah keguguran rambut.

Banyak kajian dilakukan berkaitan dengan khasiat minyak ikan dalam membantu pertumbuhan rambut yang lebih sihat. Walaupun minyak ikan selama ini lebih dikaitkan dengan pertumbuhan otak dan sel saraf, ia juga sebenarnya mempunyai kebaikan untuk kebanyakan fungsi badan yang lain juga.


Zink amat penting untuk kesihatan rambut. Ia telah lama diketahui mampu merawat kebanyakan masalah keguguran rambut kerana zink menguatkan lagi akar rambut (hair follicle). Selain menguatkan ia juga turut membantu memperbaiki akar rambut yang telah rosak, menyebabkan ia turut merawat masalah keguguran rambut.

Zink boleh didapati dari sumber makanan, namun sekiranya anda mengalami masalah pengambilan zink atau kurang pengambilan zink; pengambilan zink melalui pemakanan tambahan mungkin diperlukan. Namun pastikan anda mendapat nasihat pakar perubatan untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

3. Vitamin B-komplek (Biotin & B5)

Biotin dan pantothenic acid (vitamin B5) juga merupakan antara bahan yang digunakan dalam merawat masalah keguguran rambut. Biotin berfungsi untuk memperbaiki semula rambut yang telah rosak akibat pelbagai faktor seperti penggunaan syampo, pewarna rambut, pancaran matahari, kekeringan, penggunaan pengering rambut dan macam-macam lagi. Vitamin B5 juga membantu kelenjar adrenal  yang secara tidak langsung meransang pertumbuhan rambut.

4. Vitamin C

Makanan diperkaya Vitamin C daripada tumbuhan dan sayuran.

Vitamin C dapat membantu mengelakkan proses penuaan kesan daripada proses pengoksidaan. Oksigen reaktif atau radikal bebas adalah molekul yang sangat reaktif yang mengakibatkan kerosakan pada struktur sel seperti membrane, lipids, protein dan DNA.

Jumlah penghasilan radikal bebas meningkat dengan dengan proses penuaan bersamaan dengan pengurangan enzim anti-pengoksidaan yang mempertahankan badan menurun, menyebabkan kerosakan pada struktur sel termasuk juga pada rambut. Vitamin C bertindak sebagai anti-oksida menentang pengoksidaan yang menyebabkan rambut beruban dan keguguran rambut.

5. Zat Besi (Iron)

Makanan diperkaya zat besi, dari haiwan dan tumbuhan.

Zat besi juga dikaitkan dengan masalah keguguran rambut melalui kajian yang dijalankan di Tehran University of Medical Sciences di Iran. Melalui kajian ini mendapati, wanita dengan kekurangan zat besi mengalami risiko lebih tinggi mengalami masalah keguguran rambut.
Kekurangan zat besi bagaimanapun boleh diperbaiki dengan memperolehinya daripada sumber makanan seperti bayam, kuning telur, steak, kekacang, kerang dan sebagainya. Pada masa yang sama pengambilan zat besi yang berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat kepada badan.

6. Vitamin D

Kekurangan Vitamin D juga boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut. Kekurangan Vitamin D ini menyebabkan masalah penyakit autoimune, juga alopecia areata (sejenis masalah keguguran rambut). Walaubagaimanapun kekurangan Vitamin D boleh diatasi dengan pendedahan kepada cahaya matahari selama 10 – 15 minit sehari. Ia juga boleh didapati daripada sumber makanan daripada ikan dan juga cendawan.

Penggunaan luaran herba seperti Rosemary Essential Oil dan juga jus aloe vera atau gel juga dikatakan dapat membantu melebatkan rambut. Herba-herba ini sekiranya digunakan bersama-sama dengan pengambilan zat-zat pemakanan seperti di atas dapat meningkatkan lagi proses tumbesaran rambut serta melebatkannya.

Minyak rosemary juga baik untuk rambut.

Aloe vera boleh diambil dalam bentuk jus dan gel.

Masalah keguguran rambut boleh disebabkan oleh beberapa faktor, jadi anda perlulah mengenali masalah keguguran rambut anda untuk mengetahui kaedah terbaik rawatannya pula. Antara beberapa faktor tersebut adalah;
  • Kekurangan zat makanan
  • Perubahan hormon
  • Keturunan
  • Pengambilan ubatan
  • Terapi radiasi
  • Mengandung
  • Masalah thyroid
  • Anemia
  • Penyakit autoimmune
  • Polycystic ovary syndrome
  • Masalah kulit (seperti psoriasis dan seborrheic dermatitis)
  • Ketegangan
  • Penurunan berat badan mendadak
  • Trauma fizikal

 
Antara jenis keguguran rambut.

Keguguran rambut berlaku secara perlahan.


Jadi secara ringkasnya anda telah melihat beberapa perkara penting dalam memperbaiki masalah-masalah rambut. Pada masa yang sama ia juga mengingatkan kita kepada, setiap permasalahan tentu ada jalan keluarnya. Jadi sekiranya anda mengalami masalah rambut seperti keguguran rambut yang serius, ambillah usaha untuk memperbaiki keadaan sebelum ianya menjadi bertambah serius.



Free Download



Sabtu, 18 Jun 2016

Zaitun Buah Yang Penuh Kebaikan

Buah zaitun mempunyai khasiat yang baik.

Tentu anda semua pernah mendengar mengenai buah zaitun atau olive (Olea europaea) yang merupakan buah yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak beribu tahun dahulu iaitu kira-kira 6,000 hingga 7,000 tahun dahulu. Selain daripada membekalkan minyak, buah zaitun juga merupakan sumber makanan kepada manusia. Pokok zaitun adalah berasal dari family Oleaceae yang didapati tumbuh di banyak kawasan di dunia dari Benua Afrika, Asia sehingga ke China, Canary Island, Mauritius dan Réunion. Penggunaannya untuk tempoh yang lama membolehkan lebih banyak kultivar baru dihasilkan yang terdapat di banyak kawasan-kawasan lain sehingga ke Mediterranean, Argentina, Saudi Arabia, Java, Norfolk Island, California juga Bermuda.

Dua hasil utama buah zaitun adalah dalam bentuk buah dan minyaknya. Minyaknya sepertimana yang kita ketahui telah lama digunakan di bahagian Timur Tengah dan minyaknya juga digunakan sebagai bahanapi selain digunakan sebagai minyak masakan yang penting di bahagian Eropah. Namun minyak zaitun juga diketahui mempunyai banyak kebaikan dan kegunaan terutamanya untuk rambut dan kulit.

Pokok zaitun merupakan pokok yang tidak terlalu tinggi dengan ketinggian antara 8 - 15 m (26 – 49 ft.). Namun pokok zaitun mampu hidup untuk tempoh yang lama dan ada yang menjangkau sehingga ribuan tahun. Ini kerana pokok zaitun tahan dengan perubahan keadaan cuaca selain keadaan panas, kemarau dan juga keadaan tanah yang agak masin (high salinity). Maka tidak hairanlah mengapa ianya dikenali di serata dunia, selain menjadi sumber perdaganggan sejak ribuan tahun dahulu. Sehingga ke hari ini, zaitun merupakan antara tanaman penting di beberapa buah negara dengan pengeluaran tertinggi dari negara Spain, Italy, Greece, Turkey, Moroco dan lain-lain.


Ladang buah zaitun.

Pokok buah zaitun tua.

Selain membekalkan minyak dan makanan daripada buahnya. Kayu pokok zaitun juga boleh digunakan untuk membuat perabut. Kayu pokok zaitun sering dijadikan perabut kerana kayunya berminyak dan mengeluarkan bauan yang harum. Zaitun mempunyai bunga yang bersaiz lebih kecil dan berwarna putih, kerana agen pendebungaan utamanya adalah angin.

Manakala buah zaitun pula perlu diproses (dijeruk) sebelum ianya boleh dimakan. Saiznya juga agak kecil dengan seketul biji ditengahnya dan dipanggil “drupe” seperti juga buah almond, aprcot, tamar, kopi, kelapa dan lain-lain lagi. Bagi tujuan makanan, buah yang mempunyai isi yang lebih tebal dipilih sebelum dijeruk bagi mengurangkan rasa pahit kerana ia mengandungi ‘oleuoropein’. Selain membeli buah zaitun yang telah siap diproses, ada juga para pengguna yang menjeruk buah zaitun mereka sendiri di rumah.


Buah zaitun yang dituai dari ladang.

Buah zaitun dengan pelbagai jenis penyediaan.

Beberapa Khasiat Buah Zaitun

  • Buah zaitun merupakan sumber makanan yang menyihatkan. Selain membekalkan tenaga ia juga mengandungi anti-oksidan, minerals, phyto-sterols dan juga vitamin-vitamin tertentu.
  • Ia mengandungi kalori yang tidak terlalu banyak; iaitu bagi 100 g boleh membekalkan sehingga 115 kalori. Kalori ini berasal dari minyaknya yang terdiri daripada mono-unsaturated fatty acids (MUFA), seperti oleic acid (18:1), dan palmitoleic acid (16:1) yang membantu mengurangkan LDL atau kolestrol yang tidak baik, berbanding tinggi dengan HDL atau kolestrol yang baik. Kesan penggunaan minyak zaitun ini dapat dilihat pada tabiat pemakanan Mediterranean yang kurang menghidap penyakit jantung, stroke selain membantu memperbaiki lipid pada sel darah.
  • Oleuropein dan oleocanthal merupakan dua bahan anti-oksidan yang baik. Ditambah pula dengan kandungan vitamin E dan carotenoid, ia membantu dalam menentang kanser, keradangan, penyakit koronary arteri, kerosakan pada sel saraf, dibetes dan lain-lain lagi.
  • Vitamin E juga merupakan anti-oksidan terlarut yang baik, diperlukan untuk mengekalkan fungsi mukosa membrane sel dan kulit dengan melindunginya dari radikal bebas oksigen.
  • Ini ditambah lagi dengan kandungan mineral seperti calcium, copper, iron manganese, dan zinc. Malah ia juga mengandungi sejumlah vitamin-vitamin penting seperti B-komplek iaitu niacin dan choline, serta pantothenic acid.
  • Minyak zaitun merupakan antara minyak yang baik digunakan untuk masakan kerana kurang mengandungi minyak tepu (saturated fat), sebaliknya mengandungi linoleic (omega-6) dan linolenic acid (omega-3), iaitu lemak-lemak penting dengan nisbah 8:1.

Minyak zaitun salah satu daripada hasil dari buah zaitun.

Virgin Olive Oil, yang mempunyai banyak kebaikan.

Itu hanyalah sebahagian kebaikan minyak zaitun tidak termasuk faedah penggunaannya untuk rambut dan kulit seperti yang telah lama diketahui. Minyak zaitun telah digunakan untuk tujuan ini sejak ribuan tahun dahulu. Minyak zaitun merawat kulit kering dan beberapa lagi masalah kulit selain menghilangkan kesan parut. Ia juga adakalanya mampu merawat jangkitan kulat pada kulit dan kuku. Faedahnya sebagai minyak rambut juga telah lama diketahui bagi mengelakkan rambut rosak daripada keadaan cuaca, kekeringan (akibat penghawa dingin), kesan bahan kimia seperti gel rambut, semburan rambut dan sebagainya. Malah setiap pengguna minyak zaitun mempunyai kaedah tersendiri memanfaatkan minyak ini.


Manakala kita di Malaysia hanya menggunakan minyak zaitun pada kadar yang paling rendah. Ia tidak digunakan sebagai bahan masakan, manakala minyak zaitun yang digunakan untuk minyak rambut pula adalah minyak yang telah diproses. Mungkin tidak semua berminat untuk mengetahui mengenai zaitun dan khasiatnya, tetapi mungkin ia kerana kita kurang mengetahui mengenai faedah serta khasiatnya. Masih belum terlambat untuk kita mempelajarinya.






Free Download



Sabtu, 11 Jun 2016

Mengenal Dan Mengetahui Kegunaan Tea Tree

Tea tree mempunyai banyak kebaikan.

Tea Tree adalah tumbuhan yang berbeza daripada tea (teh) yang digunakan untuk membuat minuman teh. Namun begitu tea tree digunakan di dalam banyak produk penjagaan kulit dan juga produk-produk kecantikan kerana dikatakan mempunyai banyak khasiat dalam menangani masalah berkaitan kulit samada dari serangan bakteria mahupun kulat. Walaupun digunakan dengan meluas untuk kebaikannya, minyak tea tree oil (TTO) perlu digunakan dengan berhati-hati kerana ia beracun dan boleh menyebabkan kesan alahan pada sesetengah orang.

Tea tree oil (TTO), adalah dihasilkan daripada tumbuhan Melaleuca alternifolia yang berasal daripada Australia iaitu di bahagian Tenggara Queensland dan juga Timur Laut, New South Wales. Namun terdapat banyak spesies-spesies lain  Melaleuca daripada beberapa bahagian lain dunia seperti; Melaleuca armillaris dan Melaleuca styphelioides di Tunisia dan Egypt; Melaleuca leucadendra di Egypt, Malaysia dan Vietnam; Melaleuca acuminata di Tunisia; Melaleuca ericifolia di Egypt; dan Melaleuca quinquenervia di United States. Malah minyak yang sama juga boleh dihasilkan dengan penyulingan daripada Melaleuca linariifolia dan Melaleuca dissitiflora.

Tumbuhan asal tea tree (Melaleuca alternifolia).

Daun tea tree dilihat dari dekat.

Bunga dan daunnya dari dekat.

Minyak tea tree digunakan secara luaran untuk merawat beberapa masalah seperti acne, jangkitan kulat pada kuku (onychomycosis), kutu, scabies, athlete’s foot (tinea pedis), dan juga cacing gelang. Ia digunakan secara luaran dan sebagai antiseptik untuk luka, terbakar, gigitan serangga dan sengatan, lecur, jangkitan vagina, herpes labialis, sakit gigi, jangkitan pada mulut dan hidung, jangkitan pada telinga seperti otitis media dan otitis externa. Minyak tea tree juga boleh ditambah ke dalam air mandian untuk merawat batuk, bronchial congestion dan keradangan pulmonary.

Walaupun mempunyai banyak kebaikan, minyak tea tree perlu digunakan secara berhati-hati kerana ia boleh mengebabakan kesan alahan pada sesetengah orang. Jadi ia perlu dicairkan menggunakan minyak lain seperti minyak zaitun atau minyak kelapa sebelum digunakan pada kulit yang sensitif atau pada kanak-kanak. Ia juga merupakan toksin sekiranya tertelan. Maka penggunaan di dalam mulut dan sekitar mulut perlu dielakkan selain memastikan ia disimpan di tempat yang selamat jauh dari kanak-kanak. Antara kesan tertelan minyak tea tree termasuklah pening, keliru, halusinasi, koma, tidak tenang, lemah, muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut dan juga kesan ruam.

Antara rangkaian produk tea tree dari The Body Shop.

Minyak tea tree untuk pelbagai kegunaan.

Tea tree lebih mudah digunakan daripada produk-produk dihasilkan menggunakannya sebagai produk penjagaan seperti pencuci muka, syampoo, scrub muka dan badan, sabun dan sebagainya. Banyak jenama-jenama barangan penjagaan diri yang menggunakan tea tree sebagai bahan campurannya termasuklah Body Shop, Dr. Organic, Nature’s Lab, Simply Siti, Paul Mitchell, Skincare Collection, St. Ives, Aiken, Gervenne, Naruko dan banyak lagi. Hampir setiap jenama mempunyai produk yang mengandungi tea tree.

Begitulah antara keunikan pokok tea tree yang merupakan beberapa tumbuhan yang berasal dari Australia dan New Zealand dari family Myrtaceae. Gelaran ini bermula daripada catatan daripada Captain James Cook yang menggunakan daun tumbuhan ini sebagai gantian untuk minuman teh sebenar. Namun seperti yang kita ketahui, terdapat juga beberapa spesies dari family tumbuhan ini di tempat-tempat yang lain. Di negara kita ia dikenali sebagai pokok gelam (Melaleuca leucadendra). Jadi anda bolehlah mencari maklumat yang lebih lanjut mengenainya sekiranya berminat.


Bunga dan daun pokok Melaleuca leucadendra.

Ilustrasi tumbuhan Melaleuca leucadendra.

Bagi yang pernah menggunakan produk-produk atau minyak tea tree sendiri, mungkin mempunyai pendapat masing-masing mengenai khasiat minyak tumbuhan ini. Seperti yang kita ketahui ia mungkin memberikan kesan yang berbeza mengikut individu. Ia bagaimanapun menunjukkan betapa uniknya sesuatu tumbuhan apabila kita tahu memanfaatkannya. Menarik!



Free Download



Selasa, 7 Jun 2016

Mengenali Lebih Dekat Mengenai Asid Lemak Omega-3

Pemakanan yang sihat bukan sebarang makanan!

Makanan adalah perkara paling penting untuk diberikan perhatian dalam semua peringkat umur. Ini kerana ia merupakan jalan utama mengapa sesuatu bahan samada baik ataupun sebaliknya masuk ke dalam badan kita. Pendek kata ungkapan “anda, adalah apa yang anda makan”, membawa maksud yang mendalam mengenai kesan makanan kepada kesihatan seseorang.

Manakala fungsi-fungsi khasiat makanan tertentu hanya kita ketahui sejak beberapa tahun kebelakangan dahulu seperti asid lemak Omega-3.  Berbeza dengan zat-zat pemakanan yang lain, Omega-3, merupakan zat pemakanan yang penting untuk otak dan sistem sarat. Namun begitu perlu diingat bahawa otak juga mengawal fungsi-fungsi badan yang lain. Maka otak yang sihat merupakan kunci utama tubuh badan yang sihat juga.

Terdapat banyak jenis asid lemak Omega-3, namun beberapa daripadanya amat penting kepada kesihatan kita antaranya adalah Eicosapentaenoic acid (EPA) dan juga Docosahexaenoic acid (DHA) yang didapati daripada sumber ikan. Manakala α-Linolenic acid (ALA) pula boleh didapati daripada sumber tumbuh-tumbuhan terutamanya kacang dan biji-bijian. Kita mungkin mengambil zat pemakanan ini secara tidak sengaja, namun sekiranya diet kita tidak mengandungi Omega-3, kita mungkin lama-kelamaan mengalami beberapa masalah kesihatan.

Terdapat sumber Omega-3 yang banyak melalui pelbagai bahan makanan yang mudah didapati samada melalui ikan mahupun tumbuh-tumbuhan. Ini kerana minyak yang terdapat di dalam ikan ini adalah berasal daripada algae dan juga phytoplankton yang menjadi sumber makanan ikan-ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 ini. Begitu juga bagi sumber dari tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati daripada kacang dan biji-bijian yang merupakan makanan yang lebih baik untuk kesihatan.

Omega-3 (EPA dan DHA) mudah didapati daripada sumber ikan.

Kapsul minyak ikan.

Antara ikan-ikan yang kaya dengan DHA dan EPA adalah ikan-ikan yang mudah didapati seperti;
  • Anchovies (ikan bilis)
  • Bluefish (Pomatomus saltatrix)
  • Herring  ** mungkin ada nama yang lebih tepat bagi herring!
  • Mackerel (ikan kembung)
  • Salmon (ikan liar lebih baik daripada yang diternak)
  • Sardines (ikan tamban)
  • Sturgeon
  • Lake trout
  • Tuna (tongkol)

** secara umumnya ikan yang makan dari sumber algae dan juga phytoplankton mempunyai nilai Omega-3 yang tinggi. Apa yang penting elakkan ikan-ikan yang ditangkap di perairan tercemar.

Makanan-makanan yang kaya dengan ALA daripada tumbuh-tumbuhan;
  • Walnuts
  • Flaxseed and flaxseed oil
  • Canola oil
  • Soybean oil
  • Butternuts
  • Persian walnuts
  • Pecan nuts
  • Hazel nuts

** banyak lagi sumber sayur-sayuran lain yang kaya dengan ALA. Untuk senarai yang lebih banyak lawati senarai ini.

Omega-3 (ALA) juga didapati dari sumber tumbuh-tumbuhan.

Kacang dan biji-bijian merupakan sumber ALA terbaik.

Tidak seperti lemak biasa, asid lemak Omega-3 tidak membahayakan kesihatan, terutamanya daripada sumber aslinya sendiri (dari makanan). Ia mempunyai banyak kebaikan untuk kelancaran fungsi otak dan sistem saraf selain banyak lagi kebaikannya kepada kesihatan manusia.

Omega-3 dikatakan dapat mengurangkan kesan tekanan melalui pemerhatian ke atas budaya yang memakan sumber makanan yang kaya dengan bahan ini. Minyak ikan juga dikatakan menguatkan lagi kesan kesan anti-tekanan (antidepressants) seterusnya mengelakkan kesan yang lebih buruk.

DHA juga amat penting kepada bayi yang dalam pertumbuhan bagi membentuk sistem neurology nya. Ini membolehkan kanak-kanak mempunyai perkembangan mental dan fizikal yang lebih lancar.

Pemakanan yang tinggi dengan Omega-3 juga dikatakan dapat mengurangkan keradangan yang menyebabkan asthma. Namun ia masih memerlukan kajian untuk memahami kesan Omega-3 dalam fungsinya secara lebih mendalam bagi asthma samada ia meguatkan paru-paru atau hanya mengurangkan pengambilan ubat yang diperlukan.

Kanak-kanak yang mempunyai simpton Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) juga dapat dikurangkan melalui pengambilan minyak ikan selain meningkatkan keupayaan mental mereka seperti mengingat, berfikir dan mempelajari sesuatu. Namun begitu ADHD mungkin memerlukan pemerhatian yang lebih dan tidak hanya dirawat menggunakan minyak ikan sahaja.

Selain itu minyak ikan yang mengandungi EPA dan DHA juga didapati membantu para pengidap Rheumatoid arthritis. Ia juga membantu meningkatkan kesan anti-keradangan.


Boleh dikatakan semua peringkat umur memerlukan pemakan yang mengandungi Omega-3 dan mendapat manfaat daripadanya. Apa yang penting, ia juga boleh didapat dari pelbagai sumber semulajadi dan anda juga boleh mengambilnya sebagai makanan tambahan (suppliments) sekiranya perlu. Apa yang menarik, daripada pemakanan kita mengandungi pelbagai zat pemakanan yang mungkin kita sendiri tidak menyedarinya. Utamakan pemakanan yang sihat.


Free Download



Arkib Blog