Isnin, 31 Mei 2021

Memulakan Perniagaan Sendiri, Satu Langkah Baik

Perniagaan memerlukan percangan yang rapi.

 
Perniagaan merupakan salah satu usaha murni bagi menjana pendapatan menampung keluarga. Namun begitu memiliki perniagaan sendiri bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi sekiranya anda baru ingin menceburi bidang yang penuh mencabar ini. Oleh sebab itu, kita lebih mudah bekerja untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga. Walaupun bekerja, adalah salah satu cara bagi kita membantu perniagaan (di syarikat kita bekerja untuk terus berkembang). Ia juga merupakan salah satu cara bagi kita belajar bagaimana perniagaan berjalan.
 
Kali ini kita ingin melihat serba sedikit mengenai dunia perniagaan. Adakah kita telah terlambat untuk menceburi bidang ini? Apakah peluang-peluang yang ada bagi kita memulakan perniagaan? Dan bagaimana bagi kita memupuk budaya berniaga untuk generasi akan datang?
 
Apakah perniagaan yang boleh anda ceburi?

Industri kecil-kecilan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

 
Terdapat peluang yang besar di dalam dunia perniagaan. Ini kerana, saiz bukan menjadi ukuran sebenar - selagi berlakunya proses jual beli, maka ianya dinamakan perniagaan. Apa yang penting, sejauh manakah anda mahu perniagaan ada terus berdaya saing, menjadi lebih maju atau bertahan setakat mampu. Pernigaan yang maju, mampu mengupah pekerja - ini bermakna anda pula akan menyediakan punca pendapatan bagi orang lain. Malah dalam proses perniagaan sendiri - kita turut mebantu para peniaga lain dengan penggunaan perkhidmatan mereka (pembelian barang asas, khidmat penghantara, pengiklanan dan sebagainya).

 
Ini bermakna, anda boleh melakukan sebarang aktivi yang mempunyai potensi pembeli atau pengguna seperti: pertanian, penjualan produk, penghasilan produk - makanan mahupun barangan, penyediaan makanan, servis penghantaran, pembersihan, membaik pulih, menservis, program latihan, pendidikan, hasil seni seperti lukisan, barangan kraftangan dan banyak lagi peluang.
 
Walaupun begitu kita perlu membuat pertimbangan mengenai kemampuan diri dan juga beberapa faktor lain seperti bahan keperluan, modal, tenaga kerja, lokasi dan lain-lain keperluan. Ini tidak bermakna kita tidak boleh meneruskan cita-cita yang diimpikan - tetapi, dari sinilah kita boleh bermula secara berperingkat-peringkat. Satu lagi perkara yang teramat penting untuk diberikan penekanan adalah bakal pelanggan. Kita samada telah mempunyai pelanggan sedia ada, ataupun membuka pasaran baru - kerana ia merupakan sebab mengapa kita memulakan perniagaan.

Penjualan barangan dari pembekal-pembekal.

Perniagaan kecil-kecilan juga menjana ekonomi.
 
Belajar di peringkat yang lebih awal
 
Perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah. Ia perlu bermula di peringkat yang lebih awal. Ini bermakna, sekiranya kita tidak memiliki sebarang ilmu perniagaan, kita perlulah bermula dari sekarang. Ilmu perniagaan merangkumi pelbagai perkara - bukan hanya setakat membeli dengan harga yang murah dan menjual dengan harga yang lebih mahal. Faktor-faktor ini turu berbeza bagi lain-lain jenis perniagaan. Penggunaan baja yang baik bagi petani misalnya, dapat meningkatkan hasil pengeluaran. Berbeza pula dengan peniaga makanan, di mana mereka perlu memastikan faktor kebersihan - bagi mengelakkan keracunan makanan, dan kerosakan pada makanan. Jadi ilmu perniagaan adalah satu perkara yang berlaku di dalam setiap proses dan di sepanjang perjalanan perniagaan itu sendiri.
 
Perkara ini menjadi lebih ketara, di mana hari ini perniagaan perlu mengalami pelbagai perubahan - seperti transaksi tanpa tunai, perniagaan di atas talian, perkidmatan tambahan (seperti penghantaran) dan sebagainya). Malah isu-isu seperti Covid-19, jelas menunjukkan, perniagaan sentiasa terdedah kepada risiko. Jadi, para peniaga perlu mempunyai kemampuan bagi menyesuaikan diri dalam setiap kemungkinan.

 
Berbalik kepada masa yang sesuai untuk mempelajari mengenai perniagaan adalah di peringkat kanak-kanak lagi. Ramai para uasahan berjaya, telah didedahkan dengan perniagaan di peringkat usia lebih awal dengan perniagaan kecil-kecilan seperti: menjual gula-gula, nasi lemak, lemonade, surat khabar, buah-buahan, hasil pertanian dan sebaganya. Paling tidak anak-anak boleh didedahkan dengan perniagaan bagi ibubapa yang memiliki perniagaan - Ya, kebiasaannya bidang perniagaan akan turut diceburi oleh generasi berikutnya.

Pertanian juga adalah satu perniagaan.
 
Memulakan perniagaan
 
Kebanyakan perniagaan bermula secara tidak sengaja - ini kerana, perniagaan merupakan satu bidang yang sangat luas. Potensi biasanya dikenalpasti apabila adanya permintaan yang tinggi. Namun untuk memastikan perniagaan boleh berdaya saing, ia memerlukan pengurusan yang baik disepanjang proses perniagaan tersebut - dari proses penyediaan, sehingga ke proses perkhidmatan selepas jualan. Sehubungan itu, perniagaan biasanya bermula dengan saiz yang kecil. Dari situ ia dapat diperbaiki secara berperingkat-peringkat - dengan tambahan perkhidmatan.
 
Tiada perniagaan yang terus dapat dijalankan dengan saiz yang besar - melainkan perniagaan francise, kerana telah memiliki model perniagaan yang lengkap. Namun begitu perniagaan fancise masih perlu berhadapan dengan perubahan-perubahan faktor luaran seperti jumlah pelanggan, atau keadaan semasa). Tidak semua perniagaan francise berjaya memberikan pulangan yang menguntungkan.
 
Melalui perniagaan kecil-kecilan, setiap kekurangan dapat diperbaiki dengan lebih mudah. Seterusnya dengan jumlah peningkatan permintaan yang tinggi, para peniaga dapat menyediakan keperluan yang diperlukan seperti bahan mentah, jumlah pekerja, servis penghantaran dan pemasaran. Dimana setiap peringkat ini memerlukan pengurusan yang berbeza. Dalam kebanyakan perniagaan, proses ini akan berlaku secara berperingkat-peringkat dengan sendirinya mengikut keperluan perniagaan.

Pendedahan awal kepada perniagaan satu permulaan yang baik.
 
Proses yang berterusan
 
Perniagaan merupakan satu proses perjalanan dalam pembangunan perniagaan itu sendiri. Ia bukanlah berlaku untuk satu tempah jangka pendek - walaupun adakalanya para peniaga mengubah jenis perniagaan, penukaran produk, penukaran jenama atau menceburi bidang baru. Dalam sesuatu perniagaan, perubahan adalah faktor yang tidak dapat dielakkan. Perubahan berlaku atas sebab pembaik pulihan, perubahan pasaran, mahupun faktor yang tidak dapat dielakkan. Sehubungan itu para peniaga perlu sentiasa peka dengan perubahan-perubahan ini. Antara kisah yang paling terkenal mengenai perkara ini adalah kegagalan syarikat Nokia dalam membangunkan telefon dengan teknologi Android - yang menyebabkan syarikat teresbut beberapa tahun ketinggalan (setelah sekian lama merupakan pengeluar telefon terulung dunia.

 
Begitu juga dengan pembangunan penjualan atas talian yang hari ini merupakan keperluan penting perniagaan. Malah dengan berlakunya crisis Covid-19, keperluan ini menjadi lebih penting - maka para peniaga perlu memandan ianya sebagai satu lagi titik perubahan yang perlu diberikan perhatian. Begitu juga dengan perubahan permintaan - seperti industri pelancongan yang buat masa ini tiada permintaan. Maka para perniaga di dalam industri ini perlu melakukan sesuatu bagi memastikan ia masih terus dapat beroperasi. Krisis seperti ini boleh menyebabkan perniagaan merudum atau sebaliknya membuka peluang baru!
 
Perniagaan bukanlah mudah
 
Dunia perniagaan bukanlah suatu yang mudah. Ia perlu melalui perlbagai fasa bagi memastikan ia dapat menjadi betul-betul kukuh. Namun disebalik kekukuhan tersebut - ia masih boleh mengalami ancaman yang menyebabkan ianya terpaksa ditutup. Peniagaan yang ditutup bukanlah bermakna penamat bagi para peniaga - yang pastinya akan mencuba bidang yang lain pula. Maka dengan itu, janganlah kita merasa perniagaan kecil-kecilan kita akan terus kecil selamanya - malainkan, kita sendiri yang tidak mahu membangunkan nya ke tahap yang lebih besar. Bersama-sama kita membantu perniagan-peniaga dengan menyokong perniagaan mereka - mungkin memberikan komen yang membolehkan mereka memperbaiki perniagaan mereka apabila perlu.
 

Rabu, 26 Mei 2021

Mengapa Ikan Laut Tidak Boleh Hidup di Air Tawar dan Sebaliknya?

Ikan yang hidup di laut, tidak boleh hidup di air tawar - walaupun kedua-duanya adalah air.

 
Kebanyakan kita sudah sedia maklum bahawa ikan air masin (hidup di laut) tidak akan hidup di dalam air tawar (hidup di sungai). Keadaan ini mungkin mengecewakan bagi peminat-peminat ikan akuarium (bagi mereka yang masih kecil). Namun adakah kita mengetahui sebab sebenar mengapa ikan-ikan ini tidak boleh menyesuaikan diri dalam dua keadaan ini - walaupun ia masih berada di dalam air! Walaubagaimanapun masih terdapat spesies-spesies ikan yang mampu berhijrah, di antara air masin dan air tawar - dalam beberapa peringkat pembesarannya.
 
Keadaan fizikal ikan yang hidup di air masin adalah berbeza daripada ikan-ikan yang hidup di dalam air tawar. Ini kerana, ikan-ikan yang hidup di dalam air masin mempunyai kandungan garam yang tinggi di dalam daging (sel-sel badan) mereka. Perpindahan ke dalam persekitaran air tawar akan membuatkan air diserap ke dalam badan mereka - yang menyebabkan sel-sel badan mereka menjadi kembung yang menyebabkan kematian. Berbeza pula dengan ikan air tawar. Apabila ia diletakkan di dalam air masin, air di dalam badan mereka akan mengalir keluar dan menyebabkan sel-sel badan ikan terhidrasi.

 
Keadaan ini adalah disebabkan oleh keseimbangan tekanan antara dalaman sel-sel badan dan juga persekitarannya yang juga dikenali sebagai Osmosis. Osmosis adalah pergerakan cecair melalui membran separuh telap (semipermeable membrane), daripada larutan yang kurang tepu ke bahagian larutan yang tepu.
 
Membran separa telap merupakan penghalang yang mempunyai liang-liang kecil yang membenarkan molekul air melepasi nya, namun ia terlalu kecil bagi molekul garam, gula atau molekul-molekul lain untuk melepasi nya. Ia sama seperti membran pada permukaan sel yang menghalang molekul yang bersaiz besar dari melapasinya, namun molekul bersaiz kecil seperti air, dapat melepasi nya dengan mudah.

Keadaan hypertonic, apabila cecair di dalam sel mengalir keluar dari sel. 

Keadaan hypotonic, sebaliknya menyebabkan cecair masuk ke dalam sel.

 
Sebagai contoh, apabila anda meletakkan sebiji kismis di dalam air, ia akan mengembang: ini kerana kismis mengandungi kandungan gula yang tinggi berbanding air yang akan memasuki kismis tersebut. Berbeza pula jika anda meletakkan kismis tersebut ke dalam larutan tepu garam, kismis tersebut akan terus mengecut, kerana air dari dalam kismis akan mengalir ke luar daripadanya. Ini kerana, larutan tepu garam mempunyai ketepuan yang lebih tinggi berbanding kismis tersebut.
 
Keadaan ini dipengaruhi oleh tekanan osmotik (osmotic pressure), iaitu tekanan yang bertindak ke atas aliran molekul air di antara membran separa telap. Pada masa molekul air melepasi membran separa telap ke bahagian yang mempunyai ketepuan tinggi, tekanan osmotik juga akan bertambah. Apabila kedua-dua bahagian mecapai keseimbangan, tiada lagi molekul air akan melepasi membran tersebut. Pada masa ini, tiada lagi tekanan osmotik.

 
Tekanan osmotik ini menyebabkan berlakunya 3 keadaan pada sel yang juga mempengaruhi, mengapa ikan-ikan hanya mampu hidup dalam keadaan air tertentu sahaja. Keadaan tersebut dikenali sebagai “tonicity” yang terbahagi kepada:
 
Hypertonic - ketepuan yang lebih tinggi di luar sel, menyebabkan air mengalir ke luar sel mengecut. (Ikan air tawar ke dalam air masin).
 
Hypotonic - ketepuan tinggi di dalam cel, yang menyebabkan air masuk ke dalam sel, yang menjadikan ianya mengembang. (Ikan air masin ke dalam air tawar).
 
Isotonic - keadaan seimbang yang membolehkan sel-sel berada dalam keadaan tetap. Seperti sel-sel darah merah yang berada di dalam cecair plasma.
Keadaan tahap sel-sel didalam larutan yang berbeza.

 
Ikan-ikan yang hidup di dalam air mengalami perbezaan ketepuan cecair yang berbeza di dalam air laut mahupun di dalam air sungai. Namun perbezaan in tidaklah terlalu tinggi di antara air laut yang sungai yang mempunyai perbezaan yang ketara. Perbezaan ketara ini menyebabkan kerosakan yang boleh membawa maut kepada ikan-ikan tersebut.
 
Namun begitu masih terdapat kumpulan ikan-ikan yang boleh hidup di dalam air tawar dan air masin pada peringkat-peringkat berbeza kehidupannya yang dikenali sebagai “euryhaline fish”. Kumpulan-kumpulan ikan ini juga terbahagi kepada 2 kumpulan iatu:
 
Anadromous - ikan yang menetas di dalam air tawar dan membesar di lautan dan kembali semula ke air tawar hanya untuk bertelur seperti ikan-ikan striped bass, sturgeon, smelt dan yang paling terkenal adalah salmon.
 
Catadromous - ikan yang tinggal di dalam air tawar, namun berhijrah ke laut untuk membiak. Contoh yang paling terkenal bagi kumpulan ini adalah European Eel.


Ikan salmon akan mudik ke hulu sungai dari laut untuk bertelur.

Sebaliknya European eel, berenang ke tengah laut untuk membiak.

 
Jadi itu adalah serba sedikit mengenai kehidupan hidupan-hidupan yang hidup di dalam air tawar dan juga air masin. Bukanlah mudah untuk hidupan-hidupan ini mengubah persekitaran hidupan mereka - ini juga antara lain menunjukkan kesan pencemaran boleh mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Sekiranya anda adalah peminat ikan hiasan, maklumat ini diharap dapat menambahkan lagi pengetahuan anda mengenai hobi yang anda minati.
 
Rujukan:
 
1) Divescotty.com
 

Ahad, 23 Mei 2021

Kenali Labah-labah Tarantula dan Taburannya

Tarantula bukan sahaja bersaiz besar, malah merupakan labah-labah yang cantik.

Labah-labah merupakan antara serangga yang ditakuti ramai dan beberapa kali ditampilkan di dalam artikel-artikel kami merangkumi beberapa tajuk. Terdiri dari pelbagai family dan spesies, labah-labah tarantula merupakan dari keluarga yang mempunyai saiz terbesar. Walaupun ia sudah tentu menakutkan bagi mereka yang sememangnya takut akan hidupan ini, ia tidaklah membawa maut seperti labah-labah berbisa Funnel-web Spiders (family Dipluridae) dan yang paling terkenal adalah Black Widow Spider (Latrodectus mactans).
 
Walaupun ia tarantula lebih terkenal di benua Amerika Selatan dan Amerika Utara, kumpulan labah-labah ini sebenarnya turut mempunyai taburan di Benua Afrika, Asia Tenggara dan Australia. Labah-labah tarantula dari family Theraphosidae merupakan antara spesies yang berkembang di serata dunia kerana ia wujud ketika permukaan bumi terbentuk benua besar yang dikenali sebagai Gondwana. Apabila pergerakan kerak bumi mula berlaku, ia terbahagi kepada beberapa spesies mengikut benua masing-masing. Walaupun kebanyakan saiz tarantula adalah besar, ada juga antaranya yang bersaiz agak kecil, dan sebaliknya labah-labah dari spesies yang lain juga disangkakan tarantula kerana saiznya yang besar. Sehingga kini, kumpulan labah-labak dari family tarantula dibahagikan kepada 148 genus yang mengandungi 1,236 spesies.

 
Labah-labah tarantula kebiasaannya jarang ditemui kerana ia memilih habitat yang jauh daripada manusia. Selain itu juga ia merupakan hidupan yang memburu pada waktu malam. Tidak seperti labah-labah yang lain, ia tidak menggunakan benang labah-labah untuk membuat sarang bagi menangkap makanannya - sebaliknya ia menggunakan teknik memburu. Namun begitu ia masih mampu menghasilkan bebenang sutera yang digunakan untuk melapisi permukaan sarang, selain menyediakan kantung bagi melindungi telur-telurnya sebelum menetas.

Black widow, merupakan labah-labah berbisa yang terkenal.

Funnel-web spider, labah-labah berbisa dari Australia.

Goliath birdeater, merupakan labah-labah terbesar.

 

Tarantula terbesar dikenali sebagai goliath birdeater (Theraphosa blondi) yang berasal dari Venezuela dan Brazil, telah direkodkan mempunyai berat mencapai 170 g (6.0 oz) dan berukuran 30 cm (12 in) dari hujung kaki ke hujung kaki. Daripada namanya sendiri, labah-labah ini turut menjadikan burung-burung kecil sebagai makanan bagi mereka. Antara lain makanan labah-labah ini termasuklah hidupan-hidupan kecil seperti tikus, katak, ular, cicak, serangga-serangga yang besar dan turut menjadikan arthropod lain sebagai makanan nya.
 
Walaupun mempunyai musuh yang kurang, namun tarantula turut mempunyai musuhnya yang tersendiri. Sejenis wasp yang dikenali sebagai pepsis wasps, mampu menyengatkan labah-labah ini dan menjadikan ianya lumpuh. Labah-labah ini kemudiannya akan dibawa ke dalam lubang - di mana, wasp akan bertelur pada badan labah-labah tersebut. Telur yang menetas akan membolehkan anak wasp menjadikan labah-labah ini sebagai sumber makanannya sehingga ia sedia untuk bertukar menjadi kepompong dan menjadi dewasa. Selain daripada wasp, hidupan -hidupan lain yang bersaiz besar juga seperti cicak, burung, ular dan katak, turut menjadikan tarantula sebagai makanan mereka. Selain daripada itu terdapat juga beberapa mamalia yang turut menjadikan tarantula sebagai makanan mereka, antaranya coati, kinkajou, opossum, mongoose dan honey badger.

Labah-labah menunjukkan ianya merasa terancam.

Sarang labah-labah tarantula, menunjukkan kesan sisa makanan.

 

Labah-labah ini jarang sekali meninggalkan sarangnya. Ia akan hanya berbuat demikian sekiranya tempat tinggalnya diganggu selain - apabila ia mencari pasangan. Ia merupakan masa di mana, ia mungkin berhadapan dengan musuh termasuk manusia. Labah-labah ini mempunyai bebulu yang boleh mengakibatkan kulit merengsa (urticating hairsdan ia menjadi bertambah buruk sekiranya terkena pada bahagian mata dan masuk ke lubang pernafasan. Kaedah pertahanan ini kebiasaannya digunakan oleh spesies tarantula dari Benua Amerika dan tidak bagi tarantula di benua-benua lain yang akan mengangkat bahagian hadapannya bagi memberi amaran. Walaupun bisa tarantula tidak membawa maut, ia masih mengakibatkan rasa sakit - seperti disengat lebah.

 
Oleh kerana saiznya yang besar dan usianya yang panjang, labah-labah tarantula juga merupakan antara haiwan peliharaan yang popular. Ia bagaimanapun merupakan haiwan yang dilindungi - dan aktiviti penangkapan hidupan ini merupakan aktiviti haram yang mengakibatkan ia hampir mengalami kepupusan. "Mexican red-knee tarantula" atau juga dikenali sebagai Brachypelma smithi, merupakan tarantula yang digemari sebagai haiwan peliharaan kerana fizikalnya yang menarik dengan warna yang gelap disamping warna oren terang pada bahagian segmen kakinya. Ia merupakan spesies yang berasal dari Mexico, Costa Rica, Guatemala.

Singapore Blue, mempunyai warna yang menarik.

 
Bagi tarantula yang terdapat di bahagian Asia Tenggara, khususnya Malaysia pula termasuklah dari genus Birupes, Coremiocnemis, Lampropelma, Lyrognathus, Omothymus dan Psednocnemis. Lampropelma violaceopes, atau juga dikenali sebagai Singapore Blue turut terdapat di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia merupakan labah-labah yang tinggal di atas pokok (Arboreal) dan mampu mencapai ukuran sehingga 28cm (11 inch). Ia mempunyai warna biru yang sangat menarik, namun akan bergerak dengan pantas bagi mengelakkan daripada dikesan musuh. Tidak mempunyai bebulu miang (urticating hairs), ia menggunakan bisanya apabila terdesak. Ia juga mempunyai bisa yang lebih kuat berbanding spesies tarantula yang lain.
 
Mengetahui bahawa tarantula berada di kebanyakan kawasan, maka anda mungkin berpeluang terserempak dengan nya di kawasan liar. Sekiranya anda berhadapan dengan hidupan ini, pastikan anda tidak mengganggunya. Labah-labah ini tidak akan mengambil risiko berhadapan dengan manusia dan menunjukkan reaksi sekiranya merasa tidak selamat. Jarakkan diri anda daripada mereka bagi membolehkan mereka melarikan diri. Anda juga boleh mempelajari mengenai lain-lain spesies tarantula daripada rujukan yang digunakan untuk artikel ini.
 

 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Tarantula
2) National Geographic
3) Sandiego Zoo
4) SienceDirect
5) Tarantula Collective
 

Rabu, 28 April 2021

Kenali Bawang, Jenis-jenis dan Kegunaannya

Terdapat pelbagai jenis bawang dengan keunikan masing-masing. Anda mungkin ingin mengetahuinya, bagi memastikan penggunaannya yang bersesuaian. 
 
Bawang merupakan antara bahan masakan penting yang dikenali umum. Walaupun bawang lebih merujuk kepada bawang merah, di dalam Bahasa Melayu, ia juga turut merujuk kepada bawang putih (merupakan pasangan rapat kepada bawang merah). Hampir kebanyakan masakan (mengikut Geography) menggunakan bawang sebagai sebahagian bahan campuran, bagi membangkitkan rasa dan aroma pada masakan tersebut. Walaupun jarang sekali digunakan sebagai bahan utama, tanpa bawang, sesuatu masakan seakan kehilangan sesuatu.
 
Kepentingan bawang dikenali di seluruh dunia dengan salah satu keunikannya adalah, ia mudah ditanam. Kumpulan bawang merah yang kita kenali adalah terdiri daripada (Allium cepa L., dari Latin cepa "bawang"), merupakan bawang biasa (atau lebih dikenali sebagai bawang besar) yang ditanam secara komersial, turut mengandungi beberapa variasi. Manakala bawang merah yang dikenali sebagai “shallot” (Allium ascalonicum), mula diklasifikasikan sebagai spesies yang berbeza menjelang 2010.
 
Bagi mereka yang pergi ke pasar sendiri untuk membeli bahan masakan - dan suka menyediakan makanan sendiri tentu sekali menyedari terdapat pelbagai jenis bawang terdapat di pasaran. Bagi mereka yang tinggal di bandar, jenis-jenis bawang ini lebih mudah didapati di pasaraya-pasaraya utama - manakala di kawasan-kawasan pendalaman, mungkin terdapat beberapa jenis bawang sahaja - dan adakalanya mengikut harga pasaran. Ini kerana pemborong akan hanya menghantar bawang-bawang mengikut harga pasaran (ini juga bergantung kepada, permintaan pekedai-pekedai di luar bandar).
 
Walaupun bawang amat mudah ditanam. Kebanyakan pengguna memilih untuk membeli bawang untuk kegunaan harian. Sejak dahulu bawang, digunakan secara harian terutamanya sebagai bahan masakan - dan adakalanya sebagai bahan perubatan - kita tidak menyentuh mengenai perubatan bagi kali ini. Selain itu juga, bawang yang dimaksudkan di sini juga adalah mengenai kumpulan bawang merah (jenis-jenisnya yang terdapat di pasaran).

 
Yellow Onions (Bawang Kuning)


 
Bawang kuning sesuai digunakan untuk pelbagai kegunaan, namun tidak sesuai untuk dimakan mentah. Jadi pastikan anda tidak menggunakan bawang ini bersama salad, burger, satay, laksa dan sebagainya. Bawang kuning bagaimanapun digunakan untuk masakan-masakan lain, ia boleh juga di masak secara “caramelizing” atau di saute bersama bawang putih sebagai bahan asas masakan-masakan lain.
 
Sweet Onions (Bawang Manis)


 
Bawang manis mempunyai kandungan sulfur yang kurang - dan ia mempunyai rasa yang lebih manis. Ia sesuai digunakan bagi masakan yang tidak memerlukan rasa bawang yang kuat. Ia mempunyai kulit yang agak lutsinar - dan anda boleh melihat bahagian kulit dalam bawang dengan mudah. Rasanya yang manis juga membuatkan ia sesuai digunakan untuk “onion-ring”, dan masakan-masakan manis.
 
Red Onions (Bawang Merah)


 
Bawang merah merupakan bawang yang lebih mudah digunakan - dan ia merupakan bawang yang biasa digunakan dalam pelbagai masakan. Bawang merah juga merupakan bawang yang lebih sesuai untuk sajian yang memerlukan bawang secara mentah seperti laksa, satay, salad, burger, sandwich dan juga lain-lain masakan. Ia mudah dibezakan dari bawang-bawang yang lain kerana warnanya yang terang (merah magenta) dan merupakan bawang yang mudah didapati di pasaran.
 
White Onions (Bawang Putih)


 
Ia bukan bawang putih, tetapi adalah bawang besar yang berwarna putih. Mempunyai rasa yang kurang kuat - tidak sekuat bawang kuning, membolehkan bawang putih digunakan sebagai makanan mentah. Walaubagaimanapun ia jarang terdapat di pasaran Asia Tenggara, namun amat mudah dikenali. Ia adakalanya dikelirukan sebagai bawang manis - yang juga mempunyai warna yang agak pudar. Bawang putih mempunyai kulit yang berwarna putih dan isi dalaman yang hampir putih juga.

 
Cipollini Onions (Bawang Cipollini)


 
Bawang ini mungkin jarang ditemui kerana ia lebih popular di Itali sebagai “little onions”. Mempunyai warna kekuningan dengan bentuk seakan-akan donut. Bawang ini mempunyai kulit yang nipis dan isi yang berwarna putih dengan rasa yang lebih manis berbanding bawang putih (white onions), kerana mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi. Ia sesuai digunakan untuk ‘caramelizing’, atau dibakar. Ia mudah digunakan di dalam pelbagai masakan - dan proses memasak, membantu mengurangkan rasa sulfur dan sengit bawang ini. Ia biasa digunakan dalam penyediaan ayam panggang.
 
Pearl Onions (Bawang Kecil)


 
Pearl Onion merupakan bawang pelbagai warna dengan saiz yang kecil. Ini merupakan sebahagian daripada bawang yang kita kenali sebagai bawang kecil. Walaupun ia mungkin terdiri daripada jenis-jenis bawang di atas - bawang kecil adalah penting bagi membangkitkan rasa dan bau masakan. Adakalanya bawang kecil digunakan, apabila bawang besar tidak diperlukan di dalam sesetengah masakan seperti nasi goreng atau bihun goreng. Bawang-bawang kecil ini juga mungkin digunakan dalam pelbagai bentuk samada, dikisar, dihiris, diketuk dan sebagai bawang goreng.
 
Shallots (Bawang Kecil)


 
Walaupun lebih dikenali sebagai bawang kecil, shallot merupakan spesies yang berbeza daripada bawang-bawang lain yang digunakan untuk masakan. Walaupun ia kurang popular dalam resepi-resepi Barat, shallot sebaliknya amat digemari sebagai bahan tumisan di bahagian Asia Tenggara dan India (banyak digunakan di dalam resepi masakan India). Malah ia turut dikenali sebagai Madras onions.
 
Shallot mempunyai bentuk yang agak berbeza di mana bentuknya agak bujur (berbanding bulat bagi bawang-bawang biasa). Mempunyai rasa yang agak ringan berbanding bawang biasa - namun ia agak unik dari segi aroma dan rasa - di mana, penggemar shallot tidak akan menukarkannya dengan bawang biasa di dalam masakan mereka.
 
Scallions (Daun Bawang)


 
Daun bawang juga merupakan antara bahan masakan popular - terutamanya sebagai penambah rasa selain penghias (garnish) masakan seperti sup, nasi goreng, bihun goreng bersama-sama gandingan hebatnya, iaitu bawang goreng. Daun bawang juga merupakan antara campuran masakan seperti masakan ikan dan sayur goreng - yang memberikan rasa manis selain aroma yang membangkitkan selera.
 
Daun bawang merupakan bahan sampingan daripada tanaman bawang. Sebahagian bawang yang ditanam ini mungkin ditanam khusus untuk menghasilkan daun bawang manakala selain nya disimpan untuk menghasilkan bawang untuk dijual. Bagi penanam kecil-kecilan pula - daun bawang boleh diambil terus dari pokok dan bawang disimpan untuk terus membesar untuk menghasilkan daun atau bawang.

 
Satu lagi jenis yang berkaitan bawang tetapi saya hanya akan menyebutnya sahaja iaitu “leek”. Leek kelihatan seakan-akan daun bawang bersaiz gergasi. Namun leek merupakan sayur yang berbeza daripada kumpulan bawang ini - namun dari keluarga yang sama atau lebih dikenali sebagai Allium ampeloprasum. Jadi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai leek, anda bolehlah membuat tinjauan sendiri mengenai sayuran unik ini. Sekiranya anda meminati daun bawang dan masakan berkaitannya - maka leek mungkin menjadi kegemaran anda berikutnya.
 
Maka itu adalah sedikit sebanyak mengenai jenis-jenis bawang dan kegunaannya. Adalah diharap, ia akan menambahkan lagi minat anda mengenai bahan rempah masakan, tanaman dan kegunaannya di dalam masakan. Tidak kurang juga sekiranya anda ingin mencuba menanam bawang - kerana ia amat mudah tumbuh dengan penjagaan yang mudah. Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang saranan, sila ajukan di dalam ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Onion
2) Wikipedia: Shallot
3) Jessica Gavin
4) The Kitchn
5) The Spruce
6) Love & Lemons

Isnin, 22 Mac 2021

Fahami Masalah Nafas Berbau Dan Apa Yang Boleh Anda Lakukan

Masalah nafas berbau boleh disebabkan oleh pelbagai punca.

 

Masalah nafas berbau merupakan perkara yang biasa dan adakalanya terlepas pandang, oleh kerana ia sukar dikesan oleh orang yang mengalaminya. Manakala ia pula dianggap sensitif bagi orang lain menegur masalah ini, kerana ia boleh menyebabkan seseorang merasa malu - kerana dianggap pengotor! Sekiranya ia dilihat dari sudut yang lain pula, anda mungkin akan mendapati ia merupakan satu perkara yang penting - kerana adakalanya mereka yang mengalami masalah ini tidak menyedarinya. Masalah nafas berbau boleh disebabkan oleh pelbagai perkara dan tidak semestinya disebabkan kurang menjaga kebersihan gigi dan mulut.
 
Kali ini kita ingin melihat masalah yang sensitif, ini kerana adakalanya kita agak malu untuk bertanya apatah lagi sekiranya orang lain menegur kita mempunyai masalah nafas berbau. Ya, perkara paling utama yang perlu anda berikan perhatian adalah penjagaan kebersihan gigi dan mulut - ini termasuklah kaedah pembersihan gigi yang betul, menggunakan floss gigi, membersihkan lidah, menggunakan cecair kumur dan memastikan anda membersihkan gigi sebelum tidur. Walaupun anda mengamalkan kaedah pembersihan gigi dan mulut ini, anda tidak semestinya tidak mempunyai masalah nafas berbau. Jangan panik! Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah mengenal pasti punca masalah bagi membantu menangani punca sebenar.
 
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh menyebabkan nafas anda berbau;

Pereputan Makanan

 
Masalah nafas berbau secara umumnya berpunca daripada proses penguraian sisa makanan oleh bakteria yang menghasilkan bau yang kurang enak dan lebih dikenali sebagai “halitosis”. Sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut menjadi makanan kepada bakteria yang biasanya berada di celah-celah gigi dan gusi yang merupakan tempat sesuai bagi bakteria. Namun lidah juga merupakan tempat di mana bahan pereputan ini biasanya berkumpul, kerana lidah juga mempunyai bahagian yang menyerupai rerambut yang memerangkap bahan pereputan bakteria tersebut.
 

Bangun Dari Tidur

 
Nafas anda mempunyai bau yang lebih kuat apabila baru bangun daripada tidur, dan ini merupakan masalah yang normal. Semasa anda tidur, penghasilan air liur yang membantu membersihkan mulut dikurangkan - bagi membolehkan anda tidur dengan nyenyak. Namun bakteria di dalam mulut akan terus melakukan kerja-kerja mereka dalam menghurai sisa makanan. Ia boleh dikurangkan dengan memastikan anda membersihkan gigi dan mulut sebelum tidur. Manakala anda membersihkan mulut apabila bangin sebelum memulakan hari anda bersama-sama orang lain.
 
Sesetengah makanan juga boleh menyebabkan nafas berbau.

Bernafas dengan mulut menyebabkan mulut menjadi kering.


Bernafas Dengan Mulut

 
Bagaimana bernafas dengan mulut menyebabkan masalah nafas berbau? Bernafas dengan mulut menyebabkan air liur anda menjadi kering dan proses membersihkan mulut dengan air liur menjadi kurang, sama juga seperti seperti anda tidur. Masalah ini mungkin menjadi lebih ketara apabila anda bernafas dengan mulut ketika tidur. Jadi masalah ini boleh ditangani dengan memberikan perhatian kepada cara anda bernafas sehingga anda dapat mengawal kaedah anda bernafas dengan baik - melainkan anda mempunyai masalah kesihatan, seperti ketika mengalami masalah selesema.
 

Makanan Yang Dimakan Menyebabkan Nafas Berbau

 
Sesetengah makanan menyebabkan nafas anda berbau seperti bawang, rempah, petai dan jering, budu, belacan dan sebagainya. Namun begitu bahan makanan ini akan hilang setelah beberapa jam - kesan pembersihan sisa makanan daripada air liur di dalam mulut. Namun ia boleh juga dihasilkan apabila anda sendawa - kesan daripada bau yang meruap daripada perut semasa proses penghadaman makanan berlaku. Jadi bagi mengurangkan masalah nafas berbau ini, anda juga perlu memberikan perhatian kepada makanan yang anda makan - terutamanya apabila anda perlu menghadiri majlis yang memerlukan anda bergaul dengan orang ramai.
 

Anda Tidak Makan Sebarang Makanan

 
Apabila anda tidak memakan sebarang makanan untuk tempoh yang lama, mulut anda akan menjadi kering kerana air liur kurang dihasilkan. Ini kerana air liur dihasilkan apabila anda memakan sesuatu - ini merupakan tindak balas semulajadi bagi membersihkan mulut. Air liur ini juga selain membersihkan mulut, ia turut digunakan bagi memudahkan proses menelan makanan selain menyediakan enzim bagi membantu proses penghadaman. Jadi anda perlu ingat, sekiranya anda tidak makan dalam tempoh yang lama - anda mungkin mempunyai bau nafas yang kuat, walaupun anda telah pun membersihkan gigi dan mulut dengan baik.
 

Merokok

 
Merokok menyebabkan nafas berbau kerana bau yang dihasilkan oleh rokok itu sendiri. Selain itu juga ia menyebabkan mulut menjadi kering dengan pengurangan air liur yang dihasilkan. Jadi nafas berbau merupakan antara masalah yang lebih mudah berlaku kepada para perokok.

Pemakaian peralatan penjagaan gigi memerlukan teknik pembersihan khusus.

Pembersihan lidah dapat membantu masalah nafas berbau.

 

Masalah Pernafasan

 
Masalah pernafasan seperti ‘post-nasal drip’, juga boleh menyebabkan punca kepada nafas berbau. Ini kerana, cecair daripada hidung ini sebenarnya akan mengalir ke dalam mulut dan berkumpul di atas lidah anda. Ini juga akan menghasilkan masalah nafas berbau. Anda boleh mengawasi perkara ini apabila anda mengalami masalah pernafasan seperti batuk dan selsema.
 

Masalah Kaviti

 
Masalah gigi bermula apabila anda mempunyai kaviti (gigi berlubang). Jadi sebelum ianya terjadi, pastikan anda cuba mencegahkan sebaik mungkin. Masalah kaviti memburukkan lagi kesan nafas berbau. Ini kerana sisa makanan yang tertingagal di dalam kaviti sukar dibersihkan dan menyebabkan bakteria mudah membiak. Bagi mengelakkan masalah ini, anda perlulah menampal gigi yang yang mempunyai kaviti bagi mengelakkannya daripada bertambah buruk.
 

Penggunaan Peralatan Penjagaan Gigi

 
Penggunaan peralatan ‘orthodontic’, seperti gigi palsu, braces, positioner, expander dan pelbagai lagi peralatan yang diletakkan di dalam mulut boleh memerangkap sisa makanan yang menyebabkan pembiakan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau. Adalah diingatkan bahawa penggunaan peralatan ini penting bagi membantu anda mendapatkan tahap kesihatan gigi yang lebih baik. Namun begitu, anda perlu memberikan perhatian yang tinggi dalam tempoh penggunaannya kerana ia perlu dibersihkan dengan teliti - terdapat pelbagai peralatan yang boleh digunakan untuk tujuan ini. Anda juga akan mendapat kesan yang lebih positif daripada hasil rawatan daripada peralatan tersebut.
 

Masalah Pedih Ulu Hati (Heartburn)

 
Walaupun masalah halitosis kebanyakannya berpunca daripada bauan yang terhasil daripada bahagian mulut dan tekak, namun ia juga boleh berpunca daripada masalah yang berpunca dari sepanjang rangkaian sistem pencernaan. Masalah seperti ‘gastroesophageal reflux disease’ (GERD), di mana kandungan dari dalam perut ditolak semula ke bahagian esofagus. Daripada kajian yang diterbitkan pada tahun 2007 di dalam jurnal Oral Diseases, mendapati masalah nafas berbau adalah lebih tinggi bagi mereka yang mengalami masalah GERD berbanding dengan mereka dengan masalah penghadaman yang lain. Ini dikatakan mungkin berpunca daripada kerosakan tisu tekak yang disebabkan oleh asid perut.

Terdapat pelbagai kaedah membantu menyegarkan nafas secara semulajadi. 

 

Masalah Tekak (Strep Throat)

 
Masalah sakit tekak juga adalah disebabkan jangkitan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau. Terdapat pelbagai jenis masalah jangkitan tekak dan hidung yang boleh menghasilkan bau nafas yang kurang enak. Jadi anda perlulah peka dalam menjaga kesihatan tekak dan hidung - seperti mengelakkan daripada terdedah kepada pencemaran dan membersihkan tekak dan mulut dengan sempurna.
 

Bakteria Mulut

 
Bakteria mulut merujuk kepada jenis bakteri yang menjadikan mulut anda sebagai tempat tinggal bagi mereka. Ini sama juga seperti bakteria yang mendiami bahagian usus anda yang dikenali sebagai mikrobiota (microbiome). Mikrobiota seseorang individu adalah unik berbanding individu lain. Jadi anda mempunyai bau nafas yang juga agak unik kepada anda sendiri. Sekiranya anda mempunyai bau nafas yang kuat walaupun setelah membersihkan gigi dan mulut dengan baik - maka anda mungkin mempunyai bakteria mulut yang menghasilkan masalah ini. Jadi anda perlu membersihkan gigi dan mulut secara lebih kerap.
 

Anda Mengalami Sjogren’s Syndrome

 
Sjogren’s syndrome (SS) merupakan antara masalah autoimun yang sering berlaku kepada wanita pada peringkat umur pertengahan. Antara gejala SS adalah menyebabkan mulut menjadi kering - dan ini semestinya menyebabkan masalah halitosis kepada pengidapnya. Masalah SS juga boleh berlaku kepada mereka yang lebih muda dan mereka yang sihat - Venus Williams adalah antara pengidap SS yang dikesan pada 2011.
 

Selain daripada masalah nafas berbau itu sendiri, terdapat juga kira-kira 1% daripada manusia yang menghidap halitophobia - yang merasakan mereka mempunyai nafas berbau. Seperti juga masalah phobia yang lain ia mungkin boleh menyebabkan kesan yang serius - dan gangguan kepada mental seseorang. Masalah ini menjadi lebih terus sekiranya pengidap mula merasakan masalah bau nafas ini menyebabkan orang lain mula menjauhi mereka. Bagi pengidap masalah ini, bantuan pakar psikologi adalah diperlukan bagi mengelakkan kesan yang lebih serius.
 
Bau nafas adalah perkara yang normal, tetapi perlu diberikan perhatian - di mana ia juga membantu anda mengesan tahap kebersihan dan kesihatan seseorang. Masalah nafas berbau tidak semestinya berpunca daripada sikap pengotor - malah kebanyakan pengidap masalah ini tidak menyedarinya (dan kebijaksanaan seseorang dalam memberitahu pengidap masalah ini dapat membantu mereka mengatasi punca masalah). Melalui pemahaman ini diharap kita dapat membantu penghidap masalah ini atau mungkin kita sendiri dalam mengatasi masalah nafas berbau. Semoga ia memberikan manfaat.
 
Rujukan:
 
1) Health.com
2) Mappes Orthodontics

Isnin, 15 Mac 2021

Adakah Berus Gigi Elektrik Lebih Baik Berbanding Berus Gigi Biasa?

Terdapat pelbagai berus gigi elektrik mengikut keperluan pengguna.
 
Satu persoalan yang mungkin tidak berapa penting sehingga anda mengalami masalah gigi atau berkaitan kesihatan mulut. Walaupun kedua-dua jenis berus gigi ini mempunyai kelebihan masing-masing, namun apabila dilihat kepada persoalan pertama perbincangan ini, kita dengan mudah membuat keputusan berpandukan kepada tujuan utama penggunaan peralatan ini.
 
Walaupun berus gigi elektrik jauh lebih mahal berbanding berus gigi biasa, namun hari ini harganya jauh lebih murah berbanding sewaktu ia mula-mula diperkenalkan dahulu. Terdapat juga berus gigi pakai buang yang menggunakan kuasa bateri - dan ini adalah tidak digalakkan - kerana ianya jauh lebih membazir disamping meningkatkan lagi jumlah pembuangan bahan buangan yang mencemarkan. Selain itu juga terdapat berus gigi elektrik dengan fungsi yang agak kurang penting seperti sambungan aplikasi telefon bimbit, fungsi-fungsi tambahan lain yang tidak banyak mengubah fungsi sebenarnya iaitu membersihkan gigi dan bahagian dalam mulut.
 

Apakah kelebihan utama berus gigi elektrik?


Oral-B, merupakan antara jenama terkenal berus gigi elektrik.

Philips Sonicare, satu lagi jenama berus gigi elektrik berprestij.

 

Ini adalah persoalan utama yang perlu kita ketahui sebelum membuat keputusan untuk menggunakan berus gigi elektrik - kerana harganya yang sedikit mahal berbanding berus gigi biasa. Berus gigi elektrik mempunyai kuasa pembersihan yang lebih sekata sepanjang proses pembersihan berjalan. Malah anda dengan mudah melakukan kerja-kerja memberus gigi tanpa merasa letih dan dapat menumpukan perhatian pada bahagian-bahagian penting yang perlu dibersihkan. Terdapat bahagian-bahagian di dalam mulut yang dapat dibersihkan dengan mudah kerana berus gigi elektrik hanya berputar atau bergetar - berbanding berus gigi biasa yang perlu digerakkan secara kehadapan dan ke belakang yang tidak sesuai seperti bahagian belakang gigi.
 
Penggunaan berus gigi elektrik juga dapat mengelakkan kecederaan sewaktu memberus gigi. Anda tentu sekali pernah mengalami kecederaan ini, terutamanya sewaktu cuba membersihkan gigi secara pantas - ia tentu memburukkan lagi hari anda yang mungkin sedikit terburu-buru. Malah kecederaan ini boleh membawa kepada masalah kesakitan berpanjangan dan kesakitan gusi. Sekiranya ia tidak diawasi, mungkin boleh mengakibatkan jangkitan. Masalah ini tidak berlaku dengan berus gigi elektrik, kerana anda hanya perlu meletakkannya ke atas permukaan gigi dan gusi tanpa tekanan yang kuat. Malah kawasan celahan gigi juga mudah dibersihkan dengan menggunakan berus gigi elektrik.
 
Kajian menunjukkan penggunaan berus gigi elektrik adalah lebih berkesan berbanding berus gigi biasa - ini bukan sahaja dari segi keupayaan membersih, malah memberikan kesan kepada kesihatan gusi yang lebih baik seterusnya memanjangkan jangka hayat gigi. Keputusan ini adalah hasil kajian yang dijalankan selama 11 tahun oleh Oral Health Foundation, UK, dalam kajian perbandingan kesan penggunaan antara berus gigi biasa dan berus gigi elektrik.
 

Bagaimanakah memilih berus gigi yang sesuai?

Penggunaan aplikasi telefon bimbit merupakan antara ciri-ciri terbaru berus gigi elektrik. 

 
Semenjak berus gigi elektrik diperkenalkan, sambutan yang menggalakkan membuatkan lebih banyak variasi berus gigi elektrik dihasilkan. Daripada pelbagai jenis berus gigi elektrik ini berus gigi elektrik yang berputar adalah antara yang terbaik kerana ia membersihkan gigi dengan lebih rata. Walaupun berus gigi daripada pelbagai jenis mungkin mempunyai kelebihan tersendiri - namun ada di antaranya mungkin tidak begitu penting - seperti sambungan ke applikasi telefon pintar untuk fungsi-fungsi yang tidak menjurus kepada proses pembersihan itu sendiri. Namun ini bergantung kepada pilihan pengguna sendiri sekiranya ingin memiliki peralatan tersebut.
 
Sebahagian applikasi mungkin boleh membantu anda untuk melihat prestasi pembersihan gigi untuk keseluruhan gigi anda. Melalui aplikasi ini, anda dengan mudah melihat bahagian yang memerlukan pembersihan dengan lebih rapi. Terdapat juga fungsi-fungsi tambahan yang mungkin membantu sekiranya anda mempunyai keperluan tambahan seperti, gigi sensitif dan masalah gusi. Namun perlu diingatkan di sini, kepentingan asas adalah untuk memastikan anda dapat membersihkan gigi dengan baik - iaitu sekurang-kurangnya menggunakan berus gigi berkuasa elektrik.
 

Berus gigi gantian.

Kepala berus gigi gantian - dengan pelbagai ciri-ciri pilihan.

 

Antara kebaikan penggunaan berus gigi elektrik antara lainnya adalah anda hanya perlu menukar mata berus sahaja setiap 3 bulan atau apabila ianya rosak. Namun anda juga perlu memastikan mata gantian ini adalah bersesuaian dengan model berus gigi elektrik yang digunakan. Ini merupakan kesilapan yang sering dihadapi apabila menggunakan berus gigi elektrik - kerana, jenama yang sama mungkin mempunyai pelbagai model dan tidak semuanya boleh digunakan antara satu sama lain. Jadi apabila anda membeli kepala gantian berus gigi anda, pastikan perkara utama yang dilihat adalah kesesuian nya digunakan bersama-sama berus gigi elektrik yang anda gunakan.
 
Apa yang menarik di sini, kebiasaannya terdapat beberapa variasi kepala berus yang boleh digunakan bersama-sama dengan sesuatu jenis berus gigi elektrik. Jadi anda masih mempunyai pilihan sekiranya mempunyai keperluan yang berbeza untuk keperluan anda. Cuma, adakalanya sesetengah model mungkin sukar didapati di kawasan-kawasan tertentu, terutamanya apabila anda memberlinya daripada bahagian lain di dunia (sesetengah model mungkin hanya dijual di bahagian-bahagian tertentu seperti model untuk pasaran US, Europe dan Asia). Ini juga merupakan antara faktor yang perlu diberikan perhatian sebelum anda membeli berus gigi elektrik anda.
 

Aksesori.

Set lengkap berus gigi elektrik bersama-sama aksesori tambahan.

 
Aksesori juga tidak kurang pentingnya. Sebahagian aksesori bukan sahaja mempunyai kelebihan tertentu, malah mungkin perlu dalam memudahkan lagi penggunaan berus gigi elektrik anda. Antara aksesori yang penting adalah kotak kembara (travel case) - ini dapat mengelakkan berus gigi anda rosak selain memastikan kesemua bahagian tersimpan dengan sempurna. Terdapat juga kotak dengan sinar UV yang dapat memastikan kepala berus gigi anda sentiasa bersih dan terhindar daripada kuman. Sebahagian aksesori mungkin disediakan oleh pihak ketiga - jadi anda perlu memastikan ianya adalah bersesuaian dengan jenama dan model berus gigi elektrik yang anda gunakan. Walaupun aksesori hanyalah sebagai pilihan tambahan, namun adakalanya ianya amat membantu - pastikan anda memilih aksesori yang betul.
 

Palam kuasa dan sumber kuasa yang digunakan.

 

Tidak dinafikan, antara masalah utama penggunaan berus gigi elektrik adalah sumber bekalan kuasa. Terutamanya bagi yang melakukan perjalanan ke negara-negara yang mempunyai sumber bekalan kuasa yang berbeza. Selain daripada berus gigi anda mungkin tidak berfungsi - lebih buruk lagi, ia mungkin akan merosakkan peralatan anda. Jadi perlu diingat- sekiranya anda perlu melawat ke negara-negara lain, sumber bekalan kuasa dan adaptor yang sesuai perlu digunakan bagi memastikan berus gigi anda berfungsi dengan baik. - Di sinilah berus gigi biasa dapat membantu apabila berus gigi elektrik tidak dapat digunakan. Jadi, berus gigi biasa tidak semestinya tidak berguna sama sekali.
 
Walaupun berus gigi elektrik adalah jauh lebih baik dari berus gigi biasa, namun berus gigi biasa masih berguna dalam keadaan-keadaan tertentu. Jadi adakalanya anda masih perlu menyimpan berus gigi biasa untuk waktu-waktu tertentu (sekiranya ketiadaan bekalan kuasa elektrik, dalam perjalanan atau adakalanya terlupa mengecas berus gigi anda). Kesihatan gigi merupakan antara faktor penting yang perlu dititik beratkan kerana - bagi orang dewasa - kehilangan gigi bermakna, kehilangan kekal (tidak dapat diganti walaupun menggunakan gigi palsu - ia tidak akan menyamai gigi yang asal). Jagalah gigi anda sebaik mungkin sebelum terlambat.
 
 
Rujukan:
 
1) Electric Teeth
2) Oral Health Foundation
3) Larkam House
4) Healthline

Arkib Blog