Ahad, 25 Oktober 2015

Keunikan Senibina Tanah Minang – Padang, Sumatra

Keunikan senibina Minangkabau dengan ukiran berwarna.

Bukittinggi lebih dikenali sebagai Tanah Minang terletak di Daerah Padang, Sumatra Barat yang merangkumi beberarapa kawasan utama daripada Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Padang Panjang dan Bukittinggi. Walaupun senibina utama di sini didominasi oleh senibina Minang dengan ciri-ciri bumbung bertanduk, sebenarnya daerah ini turut dibina dengan pelbagai senibina yang menceritakan latar belakang sejarah daerah ini sendiri dalam mengharungi arus masa dalam era yang berbeza.

Senibina di Daerah Padang rata-ratanya mengekalkan senibina dari kehidupan Masyarakat Minang sendiri. Tiada senibina lama yang ditinggalkan daripada zaman sebelumnya (kerana seperti yang kita ketahui keseluruhan Kepulauan Sumatra dan Jawa suatu masa dahulu pernah dipengaruhi oleh kepercayaan lain seperti Hindu dan Buddha). Cuma ciri-ciri ini hanyalah dalam bentuk warna yang digunakan pada ukiran-ukiran kayu pada bangunannya. Berbeza dengan kawasan-kawasan lain di sekitar Kepulauan Melayu – ukiran  kayu tidak diwarnakan sepertimana di sini.

Senibina Lapangan Terbang Minangkabau di Padang diilhamkan dari senibina Minangkabau sendiri.

Antara Rumah Gadang Lama yang terletak di pendalaman kampung di Bukittinggi.

Antara rumah lama yang masih terdapat di Pagar Ruyung.

Ciri-ciri Unik Senibina Minang

Ciri-ciri unik utama Minang adalah senibina Rumah Gadang dengan bumbung berbentuk tanduk yang masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan  di sekitar kawasan ini. Bangunan utama seperti yang dijadikan sebagai ‘Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ di Padang Panjang misalnya merupakan satu contoh yang baik bagi senibina Minangkabau yang asli.

Keunikan Rumah Gadang bukan sahaja terletak pada rupa bentuk binaannya malah fungsinya juga yang menempatkan beberapa keluarga dari satu generasi di bawah satu bumbung. Fungsinya ini pula dipengaruhi oleh corak kehidupan masyarakat setempat yang mengamalkan Adat Pepatih dan mengutamakan perlindungan kepada kaum wanita, manakala bagi yang lelaki pula perlu mendapat pendidikan yang cukup – maka mereka perlu tidur di surau sambil menjalani pembelajaran agama di sana.


Balai Adat, Koto Gadang, Bukittinggi.

Rumah Gadang di Pandai Sikek, Padang Panjang.
Rumah kampung dengan senibina Rumah Minang.

Senibina rumah gadang amat unik kerana ia tidak mempunyai dinding yang lurus, sebaliknya condong dan membesar di bahagian atasnya. Manakala di bahagian tepi pula adalah lebih tinggi berbanding bahagian tengahnya. Ia merupakan satu bentuk senibina yang jarang digunakan dalam senibina lama yang kebiasaannya menggunakan bentuk yang rata untuk lantai dan dinding. Namun begitu rumah-rumah gadang merupakan antara senibina yang mampu bertahan walaupun ditimpa gempa bumi.  Selain daripada rupa bentuknya yang unik ini, ia juga dibina tanpa menggunakan paku – mungkin antara peyumbang yang menjadikan ia satu binaan yang kukuh.

Masih terdapat beberapa binaan rumah gadang asli di beberapa kawasan di sekitar Padang. Rumah Gadang lama yang masih kekal sehingga hari ini antaranya adalah Rumah Kampai Nan Panjang yang terletak 13 km dari Batu Sangkar di kawasan yang dikenali sebagai Sungai Belimbing. Rumah Gadang ini dikatakan berusia lebih daripada 200 tahun (dan usia sebenar tidak diketahui). Rumah gadang yang asli menggunakan ijuk sebagai bahan binaan bumbungnya. Namun kebanyakan bumbung rumah gadang yang masih kekal ditukarkan kepada bahan lain kerana ijuk sukar digunakan dan mudah terbakar.

Rumah Gadang Kampai Nan Panjang  berusia ratusan tahun. - wikipedia.


Rumah Gadang di kawasan Solok yang dikenali sebagai "Nagari seribu rumah gadang" - gambar dari blog nashbahry.

Salah satu kawasan yang popular dengan rumah gadang adalah di Solok, juga di dalam Daerah Padang. Ia diberikan nama jolokan sebagai “Nagari seribu rumah gadang” kerana mempunyai jumlah rumah gadang yang lebih banyak di sini. Di lain-lain kawasan juga rumah-rumah gadang dapat diperhatikan seperti di kawasan Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Padang Panjang dan Bukittinggi. Apa yang menarik, senibina rumah gadang ini adalah variasi reka bentuk antara rumah-rumah gadang tersebut dan juga dekorasi yang digunakan. Jadi rumah gadang mempunyai pelbagai perbezaan yang perlu anda amati.

Masjid moden yang dibina di perkampungan Danau Maninjau.
Terdapat pancuran air dari sungai mengalir dari gunung yang jernih. 

Senibina Lain

Walaupun Padang rata-ratanya didominasi oleh senibina Minangkabau, apa yang akan anda temui di sini sebenarnya adalah variasi senibina yang amat luas. Variasi senibina ini terdapat bukan sahaja pada bangunan-bangunan zaman Belanda, malah bangunan selepas zamannya juga turut mempunyai ciri-ciri senibina yang berbeza.

Rumah lama yang didirikan dari zaman Belanda.
Rumah moden yang dibina dengan bercirikan tinggalan Belanda.

Bangunan-bangunan di zaman Belanda terdapat banyak di kawasan Koto Gadang – iaitu kawasan penempatan orang-orang Belanda semasa menduduki kawasan Bukittinggi yang turut membina Jam Gadang di Bukittinggi sendiri. Ciri-ciri bangunan binaan Belanda ini lebih ringkas dan menggunakan dinding batu. Reka bentuknya pula lebih geomatrik, bersegi dan simetri.

Variasi senibina yang paing ketara di daerah ini pula dapat dilihat daripada binaan masjid-masjid yang banyak dibina di sekitar Daerah Padang. Ia merupakan penyumbang kepada senibina yang paling luas di sini. Berbanding dengan bangunan-bangunan biasa yang lain, senibina masjid-masjid di sini bukan hanya dipengaruhi oleh senibina Minang, malah bebas menzahirkan kreativiti senibina yang mencerminkan fungsinya sebagai antara bangunan penting masyarakat setempat.

Khubah Perak antara binaan khubah yang popular di sekitar Dearah Padang. 

Binaan Masjid Baru ini mengetengahkan sinibina moden.

Masjid lama yang terletak di perkampungan Koto Gadang, Bukittinggi.

Masjid kecil di tengah kampung ini juga tidak kurang menariknya.

Mahupun bangunan masjid lama ataupun baru ia dibina dengan reka bentuk yang amat unik. Jadi anda boleh melihat ciri-ciri keunikan pada setiap binaan masjid di daerah ini. Rekaan masjid di sini mempunyai bumbung daripada berbentuk khubah dan pelbagai bentuk geomatrik. Ini ditambah lagi dengan ciri-ciri binaan bangunan itu sendiri yang adakalanya menyerupai bangunan moden yang cantik. Bagi sesetengah masjid pula ia dibina dilengkapi dengan kolam air daripada air jernih yang mengalir dari gunung – seperti masjid di kawasan Danau Maninjau.

Mungkin banyak perkara yang boleh diperhatikan di daerah ini yang menampilkan ciri-ciri keunikan binaan masyarakat di sini. Terutama kehalusan seni ukiran kayu yang berwarna-warni.  Bahan-bahan binaan lama yang terdiri daripada kayu, buluh, ijuk dan sebagainya semakin kurang digunakan oleh kerana perubahan zaman. Namun begitu keunikan senibina yang luas ini juga mencerminkan Tanah Minang, bukanlah hanya didominasi oleh satu pemikiran yang tertutup tapi turut menerima idea-idea lain yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.


Rumah dari zaman pendudukan Belanda di Kota Gadang, Bukittinggi.

Ijuk sebagai bahan asli binaan bumbung Rumah Minang.

Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberikan panduan kepada anda dalam membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri binaan (architecture) yang terdapat di Daerah Padang. Antara lainnya membuka kepada rekaan-rekaan baru yang mungkin sebelumnya dirasakan janggal untuk dicuba. Maka dengan ini juga saya mengucapkan tahniah bagi masyarakat di sana yang mampu melahirkan binaan-binaan yang unik di daerah mereka.




Free Download



Jumaat, 23 Oktober 2015

Destinasi – Melawat ke Bukittinggi, Padang, Indonesia

Rumah Gadang - Padang Panjang.
Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minagkabau.

Bukittinggi merupakan salah satu kawasan pelancongan yang popular di Sumatra Barat yang berada di Daerah Padang, merupakan kawasan tanah tinggi yang penuh dengan sejarah dan keunikan budaya yang tersendiri. Melawat ke daerah ini memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan perjalanan anda berjalan dengan lancar.

Untuk memudahkan perjalanan lawatan kebanyakan pelawat dari Malaysia terutamanya akan menggunakan khidmat dari agensi-agensi pelancongan yang banyak terdapat di daerah ini samada dari Padang ataupun dari Bukittinggi sendiri. Menggunakan khidmat mereka perjalanan anda dapat diatur dari saat sampai di Lapangan Terbang Minangkabau di Padang, sehinggalah hari kembali semula – anda akan dihantar ke sini. Ini kerana keadaan jalan dan lalulintas di daerah ini sangat berbeza, jadi jarak masa perjalanan sukar untuk dibaca (melainkan oleh orang tempatan sendiri).

Bagi yang ingin merasakan keadaan yang berbeza – iaitu pengangkutan awam. Daerah ini juga disediakan dengan pelbagai kemudahan pengangkutan awam. Namun ia akan mengambil masa yang lebih lama. Bagi kawasan bandar seperti Padang kemudahan pengangkutan termasuk bas, teksi, angkut dan ojek, manakala di kawasan Bukittinggi pula tiada ojek namun kemudahan pengangkutan lain terdapat seperti biasa.

Apa yang jelas berbeza di daerah ini keadaan jalan agak sempit dan jalan utama dari Padang ke Bukittinggi sendiri agak kecil. Laluan kenderaan agak sibuk ditambah dengan keadaan jalan yang mendaki bukit menyebabkan perjalanan mengambil masa yang lebih lama berbanding perjalanan biasa. Namun bagi penduduk tempatan di sini, keadaan pemanduan dan bentuk muka bumi ini tidak menjejaskan perjalanan mereka (jadi adalah lebih baik sekiranya anda mendapat khidmat dari penduduk tempatan sendiri).

Panorama persekitaran berhampiran Bukittinggi.

Kawasan-kawasan Lawatan di Daerah Padang (Bukittinggi);

Terdapat banyak kawasan untuk dikunjungi di Padang dan anda tidak mungkin dapat melawat kesemuanya di dalam satu lawatan sahaja. Pemandangan menarik di setiap tempat di daerah ini sendiri merupakan salah satu tarikan yang akan anda kagumi. Namun begitu terdapat kawasan-kawasan utama yang menjadi tumpuan para pelawat sebagai panduan, memberikan anda kemudahan untuk membuat pilihan. Tempat-tempat menarik ini terletak di beberapa kawasan seperti Padang Panjang, Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Bukittinggi dan Danau Maninjau.

Secara umumnya kawasan di sekitar Daerah Padang mencerminkan budaya masyarakat Minangkabau yang unik dengan senibina dan kemahiran-kemahiran mereka yang lain seperti pertukangan kayu dan juga tenunan songket serta sulaman. Malah gaya hidup mereka sendiri dengan bersawah di lereng-lereng bukit menyediakan panorama unik di persekitaran daerah ini. Bagi kawasan-kawasan tanah tinggi pula penduduk turut menanam sayur-sayuran lain seperti kobis, lobak merah, bawang, kacang tanah, tebu dan lain-lain lagi. Keadaan cuaca dingin di sini membolehkan tanaman tumbuh subur.

Rata-rata penduduk di sini akan bersawah di mana sahaja kawasan yang boleh menyediakan kawasan sesuai untuk tanaman padi (walaupun di ruang yang kecil bersebelahan rumah mereka misalnya). Kemahiran menanam padi ini amat menarik untuk diamati kerana ia perlu menyediakan sistem saliran untuk pengairan padi pada lereng-lereng bukit, termasuk penyediaan benteng-benteng sawah yang bertingkat-tingkat. Ini juga dilakukan dengan beberapa kaedah unik dengan penyediaan benteng daripada batu-batu gunung berapi yang terdapat di kawasan tersebut.

Walaupun di mana sahaja kawasan yang anda lawati di Daerah Padang ini, anda dapat menyaksikan pelbagai keunikan dari segi budaya, senibina, gaya hidup, bentuk muka bumi, sumber bumi, hasil kerja tangan, aktiviti harian dan pelbagai lagi yang pastinya menarik perhatian anda. Cuma untuk destinasi lawatan spesifik seperti lokasi-lokasi tertentu untuk sesetengah perkara.



Rumah Tamu Pusako, Pandai Sikek.

Padang Panjang

Antara destinasi lawatan spesifik yang menarik adalah ‘Pusat Dokumentasi Dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ yang terletak di Padang Panjang misalnya. Pusat ini juga merupakan badan khas yang memberikan penerangan terperinci mengenai budaya hidup masyarakat Minangkabau termasuk keunikan senibina Rumah Gadang sendiri. Pusat yang di tempatkan di dalam Rumah Gadang ini memudahkan lagi para pengunjung untuk memahami keunikan budaya masyarakat Minangkabau di sini. Ia juga turut mempamerkan gambar-gambar lama, buku-buku dan pakaian Pengantin Minangkabau bagi para pengunjung yang berminat untuk mencuba.

Pandai Sikek pula merupakan satu kawasan perkampungan unik di kawasan Padang Panjang di mana dua hasil seni dari kawasan ini iaitu songket dan ukiran kayu menjadi hasil utama penduduk di sini. Rata-ratanya kemahiran ukiran kayu dilatih kepada setiap anak mudah lelaki manakala kemahiran menenun pula diajarkan kepada remaja perempuan. Anda mungkin berpeluang untuk melawati bengkel-bengkel kerja mereka dan melihat sendiri bagaimana mereka melakukan kerja-kerja ukiran dan tenunan ini. Malah sekiranya anda berminat anda juga boleh membeli hasil seni ini daripada kedai-kedai yang disediakan di sekitar kawasan Pandai Sikek.

Istano Basa Pagar Ruyung.


Anjung hadapan Istano Basa Pagar Ruyung.
Keunikan senibina Istano Selinduang Bulan, Pagar Ruyung.


Rumah tradisional lama - Pagar Ruyung.

Pagar Ruyung

Pagar Ruyung merupakan kawasan sejarah bagi Masyarakat Minangkabau. Jadi ia merupakan satu lagi kawasan yang harus anda lawati sekiranya anda melawati Daerah Padang. Di sinilah terdapat banyak tinggalan sejarah orang-orang Minangkabau. Antara lokasi penting di sini adalah ‘Istano Basa Pagar Ruyung’ yang merupakan replika istana asal yang terletak di Pagar Ruyung. Istana aslinya telahpun terbakar dan replika ini dikatakan hanya bersaiz 1/3 daripada saiz sebenar istana tersebut.

Istana ini cuba dibina seperti istana yang asal, namun mungkin terdapat beberapa perkara yang menggunakan material baru (namun ia tidaklah menjejaskan darisegi rupa bentuk istana tersebut). Ia dipenuhi dengan ukiran bermotifkan bunga-bungaan di keseluruhan binaan. Manakala bumbungnya pula menggunakan material daripada ijuk (material asal untuk bangunan lama di daerah ini – berbanding nipah/rumbia bagi masyarakat Melayu). Walaupun bersaiz lebih kecil daripada yang asal, replika ini cukup besar dan mempunyai 3 aras.

Berhampiran dengan istana besar terdapat sebuah lagi istana kecil iaitu ‘Istano Selinduang Bulan’ yang juga merupakan replika binaan semula daripada istana asal. Istana ini lebih kecil namun binaannya amat menarik menggunakan skema warna yang sedikit berbeza daripada istana besar di Pagar Ruyung. Ia terletak begitu hampir di antara keduanya, jadi anda tidak harus melepaskan peluang untuk singgah di istana ini juga.

Terdapat beberapa lokasi lagi di sekitar Pagar Ruyung yang unik, namun anda perlu menyemaknya daripada badan pelancongan di Padang (video lawatan di dalam Istano Basa). Lokasi-lokasi ini tidak popular bagi pelancong luar, tetapi juga merupakan beberapa lagi lokasi menarik di Pagar Ruyung.


Hidangan minuman 'Kawa Daun'.

Batu Sangkar

Berbeza pula dengan kawasan Batu Sangkar kerana keunikan di sini adalah pemandangan panorama menarik di Tabek Patah. Dari kawasan ini anda dapat menyaksikan pemandangan lembah yang dipenuhi dengan sawah padi serta gunung-ganang yang mengelilinginya. Kawasan di sini juga terdapat beberapa keunikan lain antaranya adalah perusahaan pisang salai dan keunikan minuman ‘kopi daun’ yang dikenali sebagai ‘kawa daun’.

‘Kawa Daun’ merupakan minuman yang disediakan menggunakan daun kopi berbanding biji kopi. Ia dihidangkan di dalam tempurung kelapa yang telah dibersihkan dan digilap. Rasanya mungkin tidak sama dengan kopi, namun anda mungkin ingin mencubanya sebagai tanda lawatan ke sini. ‘Kawa Daun’ juga dihidangkan dengan kuih-muih (gorengan) seperti goreng tempeh, goreng pisang, goreng ubi, goreng tapai dan bakwan yang juga menarik untuk dicuba semasa menikmati minuman ini nanti.

Bukittinggi

Bukittinggi merupakan kawasan utama di mana disediakan kebanyakan kemudahan bagi para pengunjung yang berkunjung ke kawasan tanah tinggi di Padang. Selain menyediakan tempat-tempat lawatan bersejarah, ia juga menjadi tempat membeli belah hasil kerja tangan daripada kawasan sekitar.

Lawatan di sekitar Bukittinggi sendiri memerlukan waktu sekurangnya satu hari untuk melawati kesemua tarikan di sini. Ini termasuk lawatan ke Muzium Bukittinggi, Jam Gadang, Lubang Japang, Ngarai Sianok, Jambatan Limpapeh, Muzium Rumah Kelahiran Bung Hatta, Pasar Atas dan Pasar Bawah, tinggalan Fort de Kock, Taman Haiwan, dan beberapa lagi lokasi menarik untuk mengenali budaya dan keunikan masyarkat di sini.

Sesuai dengan lokasinya sebagai tempat persinggahan utama, ia kaya dengan pelbagai lokasi dan aktiviti untuk anda terokai. Samada anda ingin melihat tinggalan sejarah, menyelami keunikan budaya atau membeli hasil kerja tangan penduduk dari sekitar daerah berhampiran. Bukittinggi juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti pasaraya, hotel-hotel penginapan serta pusat untuk mendapatkan kemudahan pengangkutan daripada penyedia khidmat lawatan ‘travel agency’.

Sawah bertingkat di lereng Danau Maninjau.

Danau Maninjau

Danau Maninjau merupakan satu lagi lokasi tarikan yang amat popular berhampiran Bukittinggi. Kawasan ini terkenal bukan sahaja kerana keunikan pemandangannya, malah terdapat beberapa lagi keunikan lain di sini yang menyebabkan ia menjadi antasa lokasi penting di sini.

Danau Maninjau merupakan tasik daripada kawah gunung berapi seperti juga Danau Toba (Medan) dan juga Danau Singkarak (Pagar Ruyung). Namun apa yang berbeza di sini terdapat beberapa aktiviti menarik untuk para pengunjung. Berhampiran danau ini terdapat Puncak Lawang yang merupakan kawasan tanah tinggi yang menjadi kawasan paling menarik untuk menikmati pemandangan Danau Maninjau dari ketinggian 1,200 meter dari aras laut. Ia juga merupakan lokasi aktiviti ‘paragliding’ yang paling digemari di serata Sumatra.

‘Kelok 44’ adalah nama bagi laluan untuk turun ke Danau Maninjau yang terletak 400 meter di bawah Puncak Lawang. Laluan berliku ini amat unik dan pemandangan menarik Danau Maninjau boleh disaksikan semasa menuruni jalan berliku curam ini. Terdapat banyak gerai makanan dan minuman di sepanjang perjalanan di Kelok 44 untuk anda berhenti rehat dan menikmati pemandangan menarik sebelum tiba di Dananu Maninjau.

Danau Maninjau juga dilengkapi dengan hotel-hotel dan rumah penginapan. Aktiviti penduduk di sini termasuklah perusahaan ikan sangkar dan juga bersawah. Sawah-sawah lereng bukit dapat disaksikan di sekitar tasik ini. Terdapat banyak mata air jernih yang mengairi sawah padi di serata kawasan Danau Maninjau. Di sini juga terletaknya ‘Muzium Rumah Kelahiran Dr. Hamka’. Ia juga merupakan antara lokasi yang diminati oleh Presiden Indonesia iaitu Sukarno yang melawati kawasan ini dan turut menghasilkan pantun mengenainya;

Jangan dimakan arai pinang,
Kalau tidak dengan sirih hijau.
Jangan datang ke Ranah Minang,
Kalau tidak singgah ke Maninjau.


Terdapat banyak lagi lokasi unik di persekitaran daerah ini yang mungkin anda akan temui dengan tidak sengaja. Oleh kerana ia merupakan antara lokasi yang terdekat dengan Kuala Lumpur, Malaysia (1 jam penerbangan dari KLIA) maka ia merupakan antara lokasi lawatan yang paling mudah untuk anda kunjungi. Terdapat beberapa lagi perkara penting mengenai daerah ini yang mungkin saya akan kongsikan di dalam artikel yang lain. Sekiranya anda berminat untuk ke sini, bolehlah bersedia dengan perancangan anda tersebut.

** Gambar oleh - Ibbyphotography


Anda juga mungkin berminat untuk artikel:


ii) KeunikanSenibina Tanah Minang – Padang, Sumatra


Free Download



Rabu, 14 Oktober 2015

Destinasi – Zhanggjiajie National Forest Park Taman Inspirasi Avatar

Landskap Zhangjiajie yang sungguh menakjubkan.

Sekiranya anda pernah menonton filem Avatar arahan pengarah terkenal James Cameron, anda mungkin tertanya bagaimana beliau mendapat ilham mengenai taman fantasi di Pandora. Adalah sukar bagi kita menghasilkan sesuatu tanpa pencetus yang mengilhamkan idea tersebut. Jadi jawapannya di sini adalah “Zhangjiajie National Forest Park” yang terletak di Daerah Wulinggyuan di dalam Wilayah Hunan, China. Taman Negara dengan landskap fantasi ini adalah rupa bentuk semulajadi kawasan tersebut yang mempunyai pelbagai keunikan tersendiri.

Taman in dipenuhi dengan landskap utama iaitu tiang-tiang batu yag terbentuk daripada batu ‘quartzite sandstone’ yang berjumlah sekitar 3,100 tiang batu dengan ada diantaranya melebihi sehingga 2,600 ft. (792 meter) tinggi. Keadaan ini mewujudkan satu pemandangan luar biasa yang jarang dijumpai di tempat-tempat lain di dunia.

Pemangangan sebegini terdapat di Zhangjiajie.

Jalanraya sekitar Taman Negara Zhangjiajie.

Menikmati pemandangan sekitar.

Taman Negara Zhangjiajie sebenarnya adalah sebahagian daripada keseluruhan kawasan taman di Wulingyuan yang dikenali sebagai ‘Wulingyuan Scenic Area’ dengan keseluruhan kawasan adalah 397.5 km2 (153.5 sq mi). Taman-taman tersebtu termasuklah Suoxi Vale dan juga Tianzi Mountain. Pada tahun 1992 taman ini diiktiraf oleh UNESCO sebagai “World Heritage Site” dan menjelang tahun 2004, Zhangjiajie Geopark disenaraikan sebagai UNESCO Global Geopark.

Antara lain keunikan Zhangjiajie adalah ia menjadi kawasan tempat tinggal bagi 3 etnik utama iaitu Tujia, Bai dan Miao yang membentuk 70% daripada populasi di sini. Mereka juga masih mengekalkan ciri-ciri buadaya seperti dialek, pakaian, istiadat perkahwinan, nyanyian, tarian, masakan dan lain-lain. Namun mereka juga dalam masa yang sama turut mengadaptasi gaya hidup baru sejajar dengan arus pembangunan.

Perkampungan Orang Tujia.
Tiang-tiang batu semulajadi.

Kemudahan untuk pelancong melawati Zhangjiajie.

Taman negara ini menjadi semakin popular setiap tahun dan membawa masuk jutaan pelawat ke sini. Mereka bukan sahaja dari serata China sendiri malah jutaan pelancong asing juga. Jumlah pelancong yang berkunjung ke sini sahaja pada tahun 2011 dikatakan menjana ekonomi sebanyak 2.65 Billion USD. Maka tidak hairanlah mengapa industri pelancongan menjadi antara industri yang semakin mendapat perhatian juga di China.


Terdapat pelbagai tarikan menarik di sini dengan kemudahan untuk para pelancong datang melawat ke Zhangjiajie. Jadi sekiranya anda berminat menyaksikan keunikan alam semulajadi, pastikan Zhangjiajie merupakan antara destinasi yang telahpun anda senaraikan.



Free Download



Isnin, 12 Oktober 2015

Perhimpunan Besar Besaran Mobula Ray di Baja

Mobula Rays melompat dari air.
Mobula Ray adalah sejenis ikan pari dari keluarga ikan pari Myliobatidae (eagle rays). Ia bersaiz agak besar sehingga mencapai ukuran 2 meter dari hujung ke hujung sirip (kepak) nya. Ikan ini mempunyai beberapa keistimewaan selain daripada berenang seakan-akan terbang seperti burung ia juga adakalanya akan berhimpun secara berkumpulan.

Selain itu ikan Mobula Rays ini juga dikenali sebagai Devil rays biasanya akan berhijrah ke pantai selatan Baja, di Laut Cortez (Gulf of California) di antara bulan Febuari dan April. Perhimpunan tahunan ini juga memperlihatkan satu keistimewaan ikan pari Mobula Rays, iaitu melompat tinggi di udara.




Pada tahun 2014 perhimpunan Mobula Rays dikatakan yang terbesar pernah dicatatkan dengan jumlah mencapai (anggaran) sehingga 10,000 ekor. Ia akan berenang secara berkumpulan dan melakukan aksi lompatan bergilir-gilir. Walaupun perhimpunan ini diadakan setiap tahun, para penyelidik masih lagi mencari jawapan sebenar tujuan perhimpunan ini.

Ikan-ikan pari ini mampu berenang dengan pantas. Namun semasa bergerak berkumpulan ia akan berenang secara berkumpulan (kumpulan yang amat besar). Namun begitu apabila perhimpunan ini selesai mereka akan berenang dengan pantas menuju haluan masing-masing.





Fenomena unik seperti ini adakalanya menyimpan seribu satu macam rahsia untuk kita fahami. Sebagaimana yang kita ketahui alam hidupan mempunyai kaitan yang lebih rapat dengan alam seperti pergerakan bulan dan matahari, perubahan musim, medan magnet bumi dan sebagainya. Jadi tidak hairan mengapa para penyelidik terus mengkaji perilaku mereka. Jadi, teruskan pemerhatian anda untuk mengetahui apakah punca sebenar ikan-ikan ini berkelakuan pelik!




Free Download



Arkib Blog