Isnin, 27 Jun 2016

Kaedah Perawatan Kesan Parut

Rawatan parut memerlukan masa yang agak panjang.

Kesan parut adakalanya memberikan kesan jangka panjang kerana ia sukar hilang dalam tempoh yang amat panjang. Parut mengikut jenis dan punca berlakunya parut tersebut memerlukan rawatan yang berbeza untuk mengurangkan kesannya atau menghilangkannya terus. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, kecederaan perlu dirawat diperingkat awal untuk mengurangkan kesan parut.

Bagi luka yang besar dan dalam perlu menjalani rawatan seperti jahitan atau mencantumkan semula luka bagi mengurangkan kesan parut. Luka-luka kecil seperti parut jerawat pula memerlukan rawatan di peringkat awal untuk mengurangkan kesan parut. Manakala luka yang lebih teruk seperti akibat kebakaran dan kemalangan memerlukan pembedahan bagi mengurangkan kesan parut dan rawatan susulan apabila luka mulai sembuh.

Berikut adalah beberapa bahan yang boleh digunakan bagi mengurangkan kesan parut dan dalam jangka panjang mengembalikan semula kulit kepada keadaan yang lebih baik (ia mungkin memakan masa yang agak lama – dan sekiranya kesan terlalu serius, mungkin rawatan lain perlu digunakan).

1) Shea Butter dan Minyak Kelapa

Minyak kelapa mempunyai kebaikan kepada kulit.

Shea butter mengekalkan kelembapan kulit.

Parut yang baru terbentuk perlu dikekalkan dalam keadaan lembab dengan menggunakan antara bahan-bahan ini. Kesan-kesan parut kecil seperti luka, parut jerawat, lecur dan melepuh boleh dirawat dengan berkesan. Lebih awal ianya digunakan, maka lebih mudah kesan parut dapat dirawat. Lembab di sini bukan bermakna basah, tetapi sebaliknya dilapisi dengan minyak dari shae butter atau minyak kelapa untuk mengelakkan luka menjadi kering.

Kedua-dua bahan ini selain menyediakan lembapan, ia juga mempunyai khasiat tersendiri dalam mengelakkan luka menjadi bertambah serius. Ia perlu disapukan kepada bahagian terbabit sebanyak 2 hingga 3 kali sehari bagi memastikan luka sentiasa berkeadaan lembab.

2) Ekstrak/Gel Bawang

Ekstrak bawang melembutkan parut dan membantu penyembuhan.

Ekstrak bawang juga merupakan antara bahan yang berpotensi untuk merawat kesan parut kerana ia mengandungi beberapa bahan penting seperti quercetin, kaempferol dan cepalin. Ekstrak bawang membantu kesan parut menjadi lebih lembut dan membantu parut sembuh dengan lebih cepat. Kesan parut juga didapati menjadi pudar setelah beberapa minggu penggunaan ekstrak bawang setiap hari.

3) Aloe Vera

Khasiat Aloe Vera untuk kulit secara dalaman dan luaran.

Aloe Vera atau lidah buaya sudah lama diketahui mujarab untuk merawat luka, malah turut merawat pertumbuhan sel-sel kulit baru dan mengurangkan kesan parut. Ledir daripada lidah buaya boleh digunakan terus untuk merawat luka. Anda juga boleh mendapatkan gel aloe vera daripada farmasi-farmasi sekiranya perlu.

Selain sebagai kegunaan luaran, gel aloe vera juga boleh digunakan sebagai minuman (pastikan ianya yang disediakan sendiri atau jus aloe vera untuk minuman). Ia merupakan minuman yang baik untuk membantu proses penyembuhan dari dalam. Bagi merawat luka ia perlu digunakan 3 kali sehari untuk membantu luka kekal lembab sepanjang hari.

4) Minyak Essential dari Tea Tree dan Helichrysum

Tea tree oil, membantu mengelakkan jangkitan.

Anda tentu pernah mendengar tentang kebaikan minyak tea tree dan faedahnya tentang rawatan berkaitan kulit. Minyak ini selain membantu menghilangkan kesan parut ia juga merupakan antiseptic, antibacterial, antifungal dan juga antiviral. Jadi ia sendiri merupakan bahan yang mujarab untuk merawat jewarat dan luka-luka pada kulit. Minyak tea tree dicampurkan dengan minyak kelapa atau minyak zaitun dan disapukan kepada kawasan tertentu sebanyak dua kali sehari.

Begitu juga dengan minyak helichrysum yang bersifat antibacterial yang juga membantu mengurangkan kesan parut. Ini kerana ia juga merupakan antioksidan yang mengelakkan kerosakan pada sel-sel kulit.

5) Emu Oil

Minyak Emu menyerap jauh ke dalam kulit.

Emu Oil merupakan minyak yang dihasilkan daripada lemak burung Emu yang berasal dari Australia. Burung dari keluarga burung unta ini mempunyai minyak yang istimewa kerana mempunyai khasiat merawat luka dan parut.

Minyak Emu mengandungi asid lemak Omega-9, Omega-6 dan Omega-3 yang membantu proses regenerasi sel-sel baru untuk penyembuhan luka. Ia menyerap ke dalam kulit dan membantu melambabkan kulit jauh ke dalam. Ia membantu merawat keradangan dan mengurangkan kesan kemunculan parut seterusnya membolehkan luka sembuh secara semulajadi.


Apple cider vinegar, menanggalkan sel kulit mati dan menggalakkan pertumbuhan sel baru.

Apple cider vineger bersifat astringent dan merupakan pencegah jangkitan yang membantu merawat masalah jerawat dan juga luka. Selain itu ia juga menanggalkan sel-sel kulit mati dan mengurangkan kesan kemunculan parut. Apple cider vinegar dicampurkan dengan madu dan disapukan pada kawasan yang diperlukan. Ia dibiarkan selama 10 minit sebelum dibilas. Proses ini boleh dilakukan sebanyak 3 kali sehari untuk mendapatkan kesan yang baik.


Perawatan parut seperti yang diterangkan pada awal artikel ini perlu dimulakan sebaik sahaja kecederaan pada kulit berlaku samada ianya disebabkan jerawat, luka, terbakar, penyakit kulit dan sebagainya. Ia perlu dirawat mengikut kaedah yang sesuai – jadi anda perlu mendapatkan rawatan awal mengikut jenis kecederaan tersebut. Seterusnya barulah rawatan susulan pengurangan parut ini dilakukan bagi mendapatkan kesan yang lebih berkesan.


Free Download



Ahad, 26 Jun 2016

Mengenali Lebih Dekat Tumbuhan Wasabi

Daun dan batang wasabi segar.

Wasabi (Eutrema japonicum atau Wasabia japonica) amat terkenal sebagai gandingan makanan Jepun iaitu sushi. Namun begitu oleh kerana pekembangan idustri makanan ini yang begitu pesat, wasabi yang digunakan kebanyakannya bukanlah dari jenis yang asli melainkan bahan gantian yang diperbuat untuk menggantikan wasabi. Jadi bagaimanakah wasabi sebenarnya, dan mengapa ia tidak dihidangkan bersama dengan sushi yang kita nikmati?

Wasabi berasal dari famili tumbuhan Brassicaceae yang juga termasuk kobis, horseradish dan mustard. Wasabi juga sebenarnya dikenali sebagai Japanese horseradish. Horseradish merupakan tumbuhan yang berbeza daripada wasabi, namun ia juga merupakan bahan utama yang digunakan untuk menggantikan wasabi – dengan erti kata lain, wasabi yang kita gunakan untuk sushi di pasaran diperbuat daripada bahan ini. Kedua-dua bahan ini menghasilkan rasa sengit yang amat kuat sehingga meruap ke bahagian hidung berbanding mulut dan lidah seperti cili.

Mengapa Wasabi Sukar Diperolehi?

Wasabi tumbuh berhampiran kawasan anak-anak air dan sungai di kawasan-kawasan lembah di Jepun. Tidak seperti tumbuhan lain, penanaman wasabi perlu dilakukan berhampiran punca air, namun begitu ia tidak ditanam di dalam air seperti teratai. Penggunaan wasabi pada asalnya adalah bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan daripada memakan ikan mentah – dan bukan kerana rasanya yang pedas. Ia dikatakan mula digunakan di daerah “Nara prefecture”, terletak di Selatan Jepun.

Bahagian yang digunakan pada wasabi adalah batangnya walaupun ramai yang menyangka ianya  adalah bahagian akar atau rizom. Ini kerana kesan daun yang ditinggalkan pada batang tersebut dapat dilihat dengan jelas sebelum ianya digunakan.

Penggunaan wasabi segar hanya disediakan apabila ia akan digunakan (dimakan). Ini bermakna ia akan diparut dan digunakan dalam tempoh 15 minit. Rasanya akan berubah selepas tempoh tersebut. Jadi penggunaan wasabi segar bukanlah mudah dan salah satu cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah meletakkannya di antara nasi dan ikan bagi megelakkannya daripada terdedah.

Ladang wasabi di Jepun.

Wasabi yang dijual di dalam tiub.
Wasabi di pasaran dihasilkan menggunakan horseradish.

Daun dan bunga horseradish.

Wasabi Tiruan

Wasabi merupakan tumbuhan yang sukar ditanam selain mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh sebab itu wasabi tiruan dihasilkan dengan menggunakan campuran horseradish, mustard, kanji dan bahan pewarna makanan – ia bagaimanapun tetap dilabelkan sebagai wasabi. Horseradish menghasilkan rasa sengit seperti juga wasabi kerana mengandungi bahan yang sama iaitu isothiocyanate. Perbezaan yang paling ketara antara kedua bahan ini adalah warnanya yang lebih terang berbanding wasabi yang mempunyai warna hijau semulajadi.

Wasabi Asli

Wasabi asli kini cuba ditanam di luar Jepun termasuklah di Amerika Utara seperti United States dan juga Canada. Usaha ini adalah kerana wasabi asli mempuyai nilai yang lebih tinggi, rasa yang lebih sedap dan daunnya juga boleh dimakan (dijadikan salad). Walaupun ianya berjaya ditanam, namun ia dikatakan sebagai antara tanaman yang paling sukar untuk ditanam secara komersial (terutama di luar habitat asalnya; Jepun). Harga wasabi segar boleh mencapai sehingga USD160 (£98) sekilogram pada harga borong – merupakan antara tanaman yang memberikan pulangan yang tinggi.

Menurut seorang penanam wasabi iaitu Mr Oates, yang berusaha selama beberapa tahun (6 tahun) hanya untuk mendapatkan benih wasabi yang boleh ditanam. Tumbuhan ini kemudiannya ditanam di dalam rumah hijau di University of British Columbia (UBC), Vancouver yang juga merupakan tempat dimana beliau bertugas.

Tanaman wasabi di Vancouver di dalam rumah hijau.

Wasabi segar mempunyai harga yang tinggi.

Daun wasabi juga enak dijadikan salad.

Cabaran menanam wasabi adalah ianya merupakan tumbuhan yang sensitif kepada kelembapan, penggunaan baja dan sebagainya. Tanaman ini boleh mati pada bila-bila peringkat dengan sebab-sebab yang sukar difahami. Malah ia juga mudah dijangkiti penyakit apabila ditanam dalam kuantiti yang besar. Sehingga hari ini, kaedah tanaman wasabi dapat dihasilkan dengan lebih baik tanpa masalah seperti sebelumnya.

Walaubagaimanapun penanaman wasabi juga memerlukan perbelanjaan yang besar sebelum ianya mendatangkan hasil. Namun begitu Mr Oates turut memberikan bantuan berkenaan dengan kaedah penanaman wasabi dengan pembelian lesen untuk mendapatkan kaedah tanaman ini pada harga $70,000. Manakala pebelanjaan tanaman ini pula adalah sekitar $700,000 untuk setiap ekar. Namun ianya merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan yang setimpal kerana bekalan wasabi amatlah sukar diperolehi.

Jadi sekarang anda tahu betapa pentingnya penggunaan teknologi dalam pertanian. Walaupun sukar ia tidak bermakna tidak boleh dilakukan. Cuma sejauh mana usaha anda menentukan samada ianya akan berjaya ataupun tidak. Bagi anda yang ingin merasai wasabi asli setakat ini mungkin perlu ke Jepun, kerana wasabi segar sukar didapati di luar negara tersebut. Bagi yang berminat cuba menanamnya pula, mulakanlah usaha anda; mungkin suatu hari nanti kita dapat merasa wasabi yang dihasilkan di Malaysia pula.






Free Download



Sabtu, 25 Jun 2016

Memperbaiki Kulit Bermasalah Acne (Jerawat)

Jerawat, jangan biarkan ianya berterusan.

Semua orang ingin memiliki kulit cantik tanpa cela bebas dari pada sebarang kesan parut. Walaubagaimanapun kita akan melalui pelbagai tahap kehidupan dengan persekitaran yang brbeza. Masalah kulit bukanlah satu perkara yang pelik apa yang membezakannya adalah tahap masalah yang dihadapi oleh seseorang sahaja. Sekiranya anda mengalami sebarang masalah kulit ini, tidak perlulah anda merasa risau atau merendah diri, sebaliknya cubalah fahami punca masalah dan jenis rawatan yang sesuai untuk digunakan.

Kebanyakan masalah kulit tidaklah begitu sukar untuk diatasi melainkan apabila ianya mencapai tahap yang serius. Selagi punca sebenar dapat dikesan, kaedah mengatasinya juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Masalah yang tidak dirawat boleh menyebabkan gejala yang lebih serius dan sukar dikawal kemudiannya. Jadi, pastikan anda bertindak awal dalam menanganinya.

Punca-punca Masalah Kulit (Jerawat)

Masalah kulit boleh disebabakan oleh pelbagai faktor, jadi anda tidak perlu merasa pelik mengapa anda mengalaminya. Perubahan keadaan sekeliling, pemakanan, tahap kesihatan, pengambilan ubatan serta tekanan boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan kulit. Keadaan ini boleh bertukar dengan cepat, maka apa yang anda perlu lakukan adalah mengawal supaya ianya tidak berlanjutan dan menjadi serius.

Faktor-faktor yang mudah dikawal seperti pemakanan dan tekanan adalah bergantung kepada anda sendiri. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat dan tidak membiarkan stress berlanjutan – pastikan kerisauan anda dan dapatkan bantuan mereka yang bolehmemberikan anda nasihat untuk mengatasinya.


Keadaan masalah yang biasa.

Jangkitan akan menyebabkan masalah yang lebih serius.

Faktor pengambilan ubat-ubatan dan perubahan hormon adalah sukar untuk dielakkan. Bagi keadaan ini, apa yang anda boleh lakukan adalah mengawal masalah pada kulit supaya tidak menjadi serius. Masalah kulit akan hilang apabila keadaan anda kembali stabil dan ubatan punca masalah tidak lagi diperlukan.

Semasa megalami masalah jerawat apa yang anda perlu dielakkan adalah;
  • Memicit jerawat (yang menyebabkan kecederaan pada kulit).
  • Mencuci kulit secara berlebihan – penggunaan bahan kimia.
  • Hanya menumpukan rawatan luaran – kerana jerawat adakalanya disebabkan faktor dalaman juga, seperti pemakanan, masalah usus dan sebagainya.
  • Tidak mencuba perawatan lain apabila rawatan yang digunakan tidak berjaya.
  • Tidak mendapat air yang mencukupi.
  • Tidak mencari rawatan yang sesuai.

Kaedah Rawatan

Berikut adalah beberapa rawatan penting apabila anda mengalami kesan-kesan masalah kulit terutamanya jerawat (acne).

Pembersihan Lembut

Pembersih lembut bermakna ia tidak terlalaku kuat sehingga menyebabkan kerosakan keapada kulit. Proses pembersihan bertujuan mengelakkan jangkitan, membersihakan segala kekotoran pada permukaan kulit serta membunuh mikro-organisma merbahaya seperti bakteria daripada permukaan kulit.

Pembersih muka yang lembut biasanya boleh disediakan sendiri dengan bahan-bahan yang terdapat di rumah. Hari ini juga pembersih seperti ini mudah didapati dari pasaraya dan farmasi. Membersihkan kulit merupakan langkah utama dalam penjagaan kulit dari masalah acne dan sebagainya. Pembersih lembut tidak menyebabkan kulit kering yang menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak.


Satu lagi perkara yang sering dilupakan oleh pengidap masalah kulit. Ia merupakan satu langkah yang penting kerana ia adalah proses yang mengembalikan semula keseimbangan kulit selepas proses mencuci/pembersihan kulit dilakukan. Kulit kembali terdedah kepada jangkitan bakteria, sejurus proses pembersihan dilakukan. Penggunan toner ini dapat mengembalikan pH kulit kembali semula kepada pH yang sepatutnya dan mengelakkan pertumbuhan bakteria.

Penyegar juga boleh dihasilkan dengan bahan-bahan yang mudah (didapati di rumah). Antara penyegar yang paling mudah boleh dihasilkan menggunakan apple cider vinegar, iaitu dengan menyapukannya pada permukaan kulit selepas proses mencuci muka dilakukan.

Penjagaan Tambahan


Madu dan Kayu manis untuk membuat topeng (mask).

Sesekali anda boleh melakukan pembersihan mendalam menggunakan topeng muka (mask) menggunakan bahan-bahan asli seperti yogurt, madu, kayu manis, minyak essential dan banyak lagi. Proses ini selain membantu pembersihan kulit yang lebih mendalam ia juga membantu memberikan kulit penjagaan tambahan (bergantung kepada bahan yang digunakan). Berikut adalah beberapa topeng (mask) yang mudah dilakukan.

Yogurt dan Madu: dihasilkan dengan campuran satu sudu besar yogurt dan satu sudu besar madu. Lumurkan pada kulit muka (elakkan bahagian rambut) dan biarkan selama 10 minit sebelum dibersihkan menggunakan span basah dan air suam.

Kayu Manis dan Madu: campurkan dua sudu besar madu, sadu sudu besar minyak kelapa dan ½ sudu teh kayu manis. Sapukan pada permukaan kulit dengan lembut dan biarkan selama 10 minit. Sentiasa pastikan ianya tidak disapu berhampiran kawasan mata kerana ia memedihkan mata. Bersihkan sama seperti penggunaan mask di atas.

Penyental Kulit (Lulur)


Proses menyental (lulur) boleh dilakukan sendiri di rumah.

Penyental kulit juga penting dalam mebantu merawat masalah jerawat terutamanya di bahagian-bahagian badan yang lain seperti badan. Proses menyental membersihkan permukaan kulit yang tersekat disebabkan oleh kotoran dan sel-sel kulit yang mati. Sesekali anda digalakkan melakukan proses penyentalan ini bagi menggalakkan lagi pertumbuhan sel-sel kulit baru yang lebih sihat.

Proses menyental ini juga dapat mengelakkan pertumbuhan fungus (candida) pada kulit dengan penggunaan bahan-bahan seperti minyak kelapa, garam laut, oatmeal, dan pelagai lagi bahan penyental semulajadi yang boleh didapati dengan mudah.

Apabila anda menggunakan penyental, anda tidak perlu menyetal dengan kuat tetapi melakukannya dengan perlahan untuk tempoh yang mencukupi bagi membersihkan permukaan kulit daripada sel-sel mati dan kotoran. Bilaslah permukaan kulit dengan sempurna bagi membersihkan bagi penyental yang tertinggal pada permukaan kulit.

Rawatan Terus

Rawatan terus kepada bahagian yang bermasalah bagi merawat jerawat juga penting menggunakan bahan-bahan tertentu seperti minyak dari tea tree. Selain tea tree, minyak kelapa, madu, susu kultur juga dapat melawan jangkitan bakteria dan fungus. Bagi rawatan ini, ianya hanya digunakan pada bahagian yang mengalami masalah – bukan pada keselurhan permukaan kulit.

Anda juga boleh menyediakan campuran 4 – 8 titik minyak tea tree bersama satu sudu teh minyak kelapa atau minyak jojoba yang digunakan sebagai sapuan kepada permukaan yang bermasalah. Minyak tea tree perlu dicairkan kerana ianya agak kuat untuk digunakan terus pada permukaan kulit.

Pengambilan Probiotik


Makanan kaya probiotik membantu penghadaman.

Pengambilan probiotik dapat meningkatkan fungsi sistem penghadaman yang juga mempunyai kesan kepada kesihatan kulit. Proses penghadaman yang baik dapat membantu proses penyerapan makanan yang lebih baik seterusnya membolehkan nutrient-nutrient penting diserap ke dalam sistem pengaliran darah.

Masalah penghadaman merupakan punca masalah kulit yang adakalanya tidak diberikan perhatian. Selain daripada pengambilan probiotik, segala usaha lain yang meningkatkan keupayaan sistem penghadaman adalah baik untuk membantu anda mendapatkan kulit yang lebih sihat.

Pemakanan Yang Sihat

Pemakanan yang sihat adalah kunci kepada segala kesihatan anda. Ini kerana segala zat yang diperlukan oleh badan hanya diperolehi melalui pemakanan. Jadi anda perlu menitik beratkan pemakanan yang sihat dan mengelakkan pemakanan yang merbahaya terutamanya bahan-bahan tiruan. Makanan yang diproses mengandungi pelbagai bahan tiruan dan inilah merupakan punca utama yang menyebabkan pelbagai masalah kepada kesihatan anda.

Pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi segala jenis khasiat pemakan yang diperlukan oleh badan. Sentiasa mengambil makanan yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan disamping anda mendapat bekalan air yang mencukupi untuk proses membersihkan toksin dari badan melalui perpeluhan dan perkumuhan.

Aktiviti Sihat


Aktiviti riadah memberikan banyak kesan positif.

Aktiviti sihat yang meliputi aktiviti riadah, senaman dan rehat yang cukup merupakan kitaran aktiviti yang membantu badan mengekalkan fungsinya seperti yang diperlukan. Aktiviti senaman membantu badan menyingkirkan toksin berlebihan melalui proses perpeluhan dan menggalakkan kitaran darah ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia juga membantu mengurangkan tekanan daripada beban kerja serta aktiviti harian. Akhir sekali rehat yang cukup pula membolehkan badan memperbaiki semula sel-sel badan yang rosak dan mengembalikan kesegaran badan untuk hari yang berikutnya.


Iatu adalah antara perkara yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki masalah berkaitan kulit (jerawat) yang adakalanya amat membimbangkan bagi seseorang. Masalah kulit yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kepada masalah yang lebih serius. Jadi walau dimanakan tahap masalah kulit anda, pastikan anda mengambil langkah untuk memperbaikinya. Fahami, usahakan dan teruskan sehingga berjaya.


Free Download



Jumaat, 24 Jun 2016

Mengekalkan Rambut Yang Sihat (Keguguran Rambut)

Masalah keguguran rambut perlu dikesan lebih awal.

Masalah rambut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, semua peringkat umur oleh beberapa faktor-faktor tertentu. Walaupun pada lewat usia, masalah keguguran rambut kerap berlaku kepada lelaki, ianya juga sering berlaku kepada wanita. Malah, oleh kerana gaya hidupa masa kini, masalah keguguran rambut adakalanya berlaku lebih awal di usia yang masih muda. Apakah yang membantu bagi mengelakkan masalah ini?

Berikut kita ikuti 6 khasiat pemakanan yang boleh membantu memperbaiki masalah keguguran rambut atau menggalakkan lagi pertumbuhan rambut anda.

1. Minyak Ikan

Minyak ikan seperti yang telah kita ketahui sebelum ini kaya dengan pelbagai khasiat dalam membantu kesihatan kulit dan juga rambut. Minyak Omega-3 membantu untuk rambut kekal sihat dan mengelakkan keradangan yang menyebabkan masalah keguguran rambut.

Banyak kajian dilakukan berkaitan dengan khasiat minyak ikan dalam membantu pertumbuhan rambut yang lebih sihat. Walaupun minyak ikan selama ini lebih dikaitkan dengan pertumbuhan otak dan sel saraf, ia juga sebenarnya mempunyai kebaikan untuk kebanyakan fungsi badan yang lain juga.


Zink amat penting untuk kesihatan rambut. Ia telah lama diketahui mampu merawat kebanyakan masalah keguguran rambut kerana zink menguatkan lagi akar rambut (hair follicle). Selain menguatkan ia juga turut membantu memperbaiki akar rambut yang telah rosak, menyebabkan ia turut merawat masalah keguguran rambut.

Zink boleh didapati dari sumber makanan, namun sekiranya anda mengalami masalah pengambilan zink atau kurang pengambilan zink; pengambilan zink melalui pemakanan tambahan mungkin diperlukan. Namun pastikan anda mendapat nasihat pakar perubatan untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

3. Vitamin B-komplek (Biotin & B5)

Biotin dan pantothenic acid (vitamin B5) juga merupakan antara bahan yang digunakan dalam merawat masalah keguguran rambut. Biotin berfungsi untuk memperbaiki semula rambut yang telah rosak akibat pelbagai faktor seperti penggunaan syampo, pewarna rambut, pancaran matahari, kekeringan, penggunaan pengering rambut dan macam-macam lagi. Vitamin B5 juga membantu kelenjar adrenal  yang secara tidak langsung meransang pertumbuhan rambut.

4. Vitamin C

Makanan diperkaya Vitamin C daripada tumbuhan dan sayuran.

Vitamin C dapat membantu mengelakkan proses penuaan kesan daripada proses pengoksidaan. Oksigen reaktif atau radikal bebas adalah molekul yang sangat reaktif yang mengakibatkan kerosakan pada struktur sel seperti membrane, lipids, protein dan DNA.

Jumlah penghasilan radikal bebas meningkat dengan dengan proses penuaan bersamaan dengan pengurangan enzim anti-pengoksidaan yang mempertahankan badan menurun, menyebabkan kerosakan pada struktur sel termasuk juga pada rambut. Vitamin C bertindak sebagai anti-oksida menentang pengoksidaan yang menyebabkan rambut beruban dan keguguran rambut.

5. Zat Besi (Iron)

Makanan diperkaya zat besi, dari haiwan dan tumbuhan.

Zat besi juga dikaitkan dengan masalah keguguran rambut melalui kajian yang dijalankan di Tehran University of Medical Sciences di Iran. Melalui kajian ini mendapati, wanita dengan kekurangan zat besi mengalami risiko lebih tinggi mengalami masalah keguguran rambut.
Kekurangan zat besi bagaimanapun boleh diperbaiki dengan memperolehinya daripada sumber makanan seperti bayam, kuning telur, steak, kekacang, kerang dan sebagainya. Pada masa yang sama pengambilan zat besi yang berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat kepada badan.

6. Vitamin D

Kekurangan Vitamin D juga boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut. Kekurangan Vitamin D ini menyebabkan masalah penyakit autoimune, juga alopecia areata (sejenis masalah keguguran rambut). Walaubagaimanapun kekurangan Vitamin D boleh diatasi dengan pendedahan kepada cahaya matahari selama 10 – 15 minit sehari. Ia juga boleh didapati daripada sumber makanan daripada ikan dan juga cendawan.

Penggunaan luaran herba seperti Rosemary Essential Oil dan juga jus aloe vera atau gel juga dikatakan dapat membantu melebatkan rambut. Herba-herba ini sekiranya digunakan bersama-sama dengan pengambilan zat-zat pemakanan seperti di atas dapat meningkatkan lagi proses tumbesaran rambut serta melebatkannya.

Minyak rosemary juga baik untuk rambut.

Aloe vera boleh diambil dalam bentuk jus dan gel.

Masalah keguguran rambut boleh disebabkan oleh beberapa faktor, jadi anda perlulah mengenali masalah keguguran rambut anda untuk mengetahui kaedah terbaik rawatannya pula. Antara beberapa faktor tersebut adalah;
  • Kekurangan zat makanan
  • Perubahan hormon
  • Keturunan
  • Pengambilan ubatan
  • Terapi radiasi
  • Mengandung
  • Masalah thyroid
  • Anemia
  • Penyakit autoimmune
  • Polycystic ovary syndrome
  • Masalah kulit (seperti psoriasis dan seborrheic dermatitis)
  • Ketegangan
  • Penurunan berat badan mendadak
  • Trauma fizikal

 
Antara jenis keguguran rambut.

Keguguran rambut berlaku secara perlahan.


Jadi secara ringkasnya anda telah melihat beberapa perkara penting dalam memperbaiki masalah-masalah rambut. Pada masa yang sama ia juga mengingatkan kita kepada, setiap permasalahan tentu ada jalan keluarnya. Jadi sekiranya anda mengalami masalah rambut seperti keguguran rambut yang serius, ambillah usaha untuk memperbaiki keadaan sebelum ianya menjadi bertambah serius.



Free Download



Arkib Blog