Saturday, March 28, 2015

Keunikan Dunia Kumbang

Beetle - colorful
Keunikan dunia kumbang yang terdiri daripada pelbagai rupa bentuk dan warna.

Kumbang adalah tergolong dalam kumpulan serangga. Ia juga merupakan antara kumpulan hidupan terbesar dan terdiri daripada pelbagai spesis. Kumbang boleh didapati  hampir di semua kawasan di dunia kecuali di dalam laut atau kawasan kutub. Ini kerana kumbang juga hidup di dalam air (air tawar).

Kumbang boleh dikenali dengan mudah melalui pelindung kepaknya yang keras dikenali sebagai “elytra” manakala kepaknya yang lembut tersimpan dengan baik digunakan untuk terbang - jadi ia mempunyai dua pasang sayap.

Oleh kerana kumpulan kumbang yang besar, tiada senarai spesis kumbang yang lengkap setakat ini. Terdapat sehingga kira-kira 350,000 spesis kumbang yang dinyatakan oleh para pengkaji dan banyak lagi yang masih belum dijumpai. Ini kerana kumbang boleh dijumpai hampir di setiap kawasan termasuk di dalam air tawar yang melakukan pelbagai fungsi di dalam ekosistem.

Biggest goliath beetle
Kumbang terbesar iaitu Goliath Beetle.
Goliath beetle larvea
Anak kumbang Goliath beetle.

Oleh kerana jumlah spesisnya yang besar, perbezaan di antara kumbang yang paling kecil dan kumbang yang paling besar diketahui juga amatlah berbeza. Spesis kumbang terkecil dikenali sebagai Nanosella fungi yang hanya bersaiz kira-kira 0.25 mm panjang dan berat 0.4 miligram. Manakala kumbang terbesar yang diketahui setakat ini adalah Goliath beetle (Goliathus goliathus) yang boleh mencapai berat sehingga 100 gram. Manakala kumbang yang mencapai ukuran terpanjang pula adalah Titanus giganteus yang boleh mencapai ukurang sehingga 20 cm panjang.

Terdapat pelbagai fungsi kumbang di dalam ekosistem selain daripada agen pendebungaan ia juga merupakan agen pembersihan (seperti kumbang tahi, dan kumbang-kumbang lain yang memakan benda-benda yang reput), mengawal serangga lain seperti ladybird (ladybug) malah menjadi sebahagian bahan makanan kepada haiwan juga manusia (terdapat kumbang yang dijadikan bahan makanan di beberapa kawasan di dunia – anak kumbang/ dewasa).

Metallic beetle
Warna pada kumbang ini yang sangat menakjubkan.
Ladybug eating aphids
Ladybug merupakan kumbang pengawal tanaman.

Kumbang mengalami kitar hidup lengkap iaitu daripada telur, larva, pupa sehingga menjadi kumbang dewasa. Sepanjang kitar hidupnya inilah kumbang akan melakukan aktiviti-aktiviti yang membantu aktiviti seperti pereputan ataupun menjadi makanan kepada hidupan lain. Bagi spesis yang hidup di dalam kayu misalnya, ia akan turut membiakkan spesis fungus yang akan menjadi bahan makanan kepada anak-anaknya yang akan menetas dari telur yang ditinggakan di dalam kayu tersebut. Ia bukan sahaja membantu pereputan kayu – malah membantu pembersihan kawasan hutan dan membenarkan pokok kayu lain tumbuh dengan subur.

Beetle
Keunikan dunia kumbang yang perlu dikenali.

Walaupun terdapat kumbang yang menjadi masalah kepada industri pertanian seperti boll weevil yang merosakkan tanaman kapas, Asian Longhorned Beetle, bark beetle dan elm leaf beetle kesemuanya boleh mengurangkan hasil kepada tanaman, terdapat juga kumbang-kumbang yang membantu seperti ladybird dan kumbang tahi (dung beetle) dan banyak lagi spesis yang membantu pendebungaan serta pereputan bahan-bahan yang telah mati. Ini kerana hidupan akan terus membiak selagi kawasan persekitarannya sesuai dan akan mati sekiranya keadaan menjadi sebaliknya. Apa yang berlaku sebenarnya adalah – aktiviti manusia sendiri yang menyebabkan hidupan lain menjadi tidak stabil (tidak teratur).


Oleh kerana terdapat kumpulan kumbang yang besar, maka fungsinya juga adalah besar kepada keseimbangan ekosistem. Seperti juga serangga-serangga yang lain, ia telahpun menghuni bumi sejak jutaan tahun yang lalu. Terdapat kumpulan kumbang yang amat cantik dan berwarna-warni yang semestinya menarik minat anda untuk mengenali serangga istimewa ini. Sekiranya anda berada di kawasan luar rumah cuba-cubalah perhatikan kumbang-kumbang ini.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...