Saturday, October 31, 2015

Penanaman Padi di Malaysia – Kisah Petani Silam

Buah padi yang telah matang dan hampir masak.

Padi merupakan tanaman asal penduduk di Malaysia yang rata-ratanya menanam padi sebagai sumber makanan mereka sendiri. Apabila sumber ekonomi beralih kepada getah dan kelapa sawit, penanaman padi semakin kurang diusahakan. Ini kerana kerja-kerja bersawah perlu dilakukan secara berkelompok – untuk pengurusan sumber air dan sebagainya. Namun begitu, negara kita Malaysia juga sememangnya mempunyai teknik penanaman padi yang tersendiri.

Walaupun sawah-sawah di Malaysia tidak seperti di negara-negara penanam padi yang lain – dengan sawah di lerengan bukit (seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, China, Nepal dan sebagainya), kita mempunyai teknik penanaman padi yang cukup baik. Keadaan di Malaysia yang mempunyai keluasan tanah rata yang cukup menyebabkan tiada sawah disusahakan di lereng-lerengan bukit. Sehingga kini, apabila teknik penanaman moden mula dilakukan, bilangan sawah semakin berkurangan dan teknik penanaman tradisional juga semakin dilupakan.

Peralatan tradisional penanaman padi di Malaysia adalah untuk penanaman kecil-kecilan atau untuk kegunaan sendiri. Di mana peralatan ini kebiasaannya sesuai untuk mengusahakan sawah-sawah kecil. Jadi sekiranya sebuah keluarga mempunyai sawah yang besar ia perlu diusahakan beramai-ramai (ahli keluarga atau mengupah orang lain).

Peralatan-peralatan yang digunakan juga adalah berbeza mengikut peringkat-peringkat penanaman padi sehingga padi sedia untuk digunakan untuk dimasak dan dipanggil sebagai beras. Aktiviti menanam padi juga dilakukan secara bermusim – iaitu musim menanam dan musim menuai. Jadi para petani mempunyai aktiviti yang terancang dan berbeza-beza mengikut musim-musim tanaman ini.

Tenggala alat untuk membajak sawah.

Tenaga kerbau amat penting untuk proses penyediaan sawah.

Peralatan-Peralatan Tradisional Tanaman Padi

A. Alat-alat Untuk Tanaman Padi

  • Tenggala Perlis dan Tenggala China
  • Kuku Kambing
  • Cangkul
  • Tajak
  • Sisir Besi
  • Sisir Panjang (Sisir Kapar)
  • Palong
  • Tenggiling
  • Terendak

Pencakar/Pencakar Bara

Di tapak semaian anak padi ditanam dengan rapat.

Walupun kerja-kerja bersawah kedengaran seperti satu proses yang mudah, namun keseluruhan kerja tersebut mempunyai teknik-teknik tersendiri yang perlu diperhatikan dengan lebih terperinci. Sebagai contoh dalam menyediakan tapak semaian, tanah perlu dipastikan betul-betul lembut dan bebas daripada benda-benda lain yang membolehkan akar anak benih padi melekat (apabila proses mengalih perlu dilakukan nanti). Jadi tapak semaian disediakan dengan alatan yang dipanggil “pembadai” iaitu batang pisang yang dibuang kulitnya dan ditarik dengan penyisir kecil. Tanah yang lembut ini memudahkan proses mencabut anak benih padi kemudiannya nanti. Paras air juga tidak terlalu tinggi ( 5 – 10 cm) kerana air yang terlalu dalam boleh menyebabkan anak benih padi mati.

Bakul mengkuang yang digunakan untuk proses menabur benih di tapak semaian.

Benih juga tidak terus ditabur, sebaliknya disediakan dengan cermat. Biji benih terpilih akan diisikan di dalam karung dan direndam selama 3 hari 3 malam. Biji benih yang telah direndam ini kemudiannya dipindahkan kedalam “bakul lau” untuk mengalirkan air yang berlebihan. Biji benih tersebut kemudiannya ditutup dengan guni dan dibiarkan selama 3 hari 3 malam lagi untuk membolehkan proses bercambah. Setelah bercambah, barulah ia sedi untuk ditabur ke dalam tapak semaian yang telah disediakan dan dibiarkan untuk terus tumbuh (menjadi anak padi) selama 30 hingga 44 hari.

Sisir Kapar untuk proses meyisir tanah.

Penyediaan Tanah Sawah

Sementara menunggu anak-anak padi ini sedia untuk dialihkan, pesawah akan terus menyediakan tapak-tapak sawah untuk kerja-kerja mengalih nanti. Antara persiapan tersebut adalah kerja-kerja (1) Menggala (membajak) dan (2) Menyisir (sisir). Kerja-kerja penyediaan tanah ini adalah untuk membolehkan pokok padi tumbuh dengan cepat dan subur.

Peralatan untuk membajak dikenali sebagai tenggala diperbuat daripada kayu yang mudah dibentuk seperti kayu halban. Tenaga kerbau digunakan untuk kerja-kerja membajak ini (iaitu proses membalikkan tanah sawah). Proses yang sama juga boleh dilakukan dengan menggunakan tenaga lembu (2 ekor lembu digunakan berbanding dengan 1 ekor kerbau).

Proses menyisir pula dilakukan beberapa hari selepas tanah sawah dibajak. Ketulan-ketulan tanah yang dibiarkan terendam di dalam air sawah dibiarkan menjadi lembut untuk memudahkan proses menyisir. Proses ini adalah untuk memecah dan melembutkan lagi tanah selain membuang sisa-sisa rumput rampai yang terdapat pada tanah tersebut (yang boleh menjadi rumpai/pesaing di dalam sawah nanti). Antara jenis-jenis sisir yang biasa digunakan adalah;

i) Sisir Kayu – sisir kayu diperbuat daripada kayu cengal, halban atau kayu beruas manakala giginya adalah diperbuat daripada batang pokok pinang atau nibong yang diraut halus.

ii) Penyisir Besi – mempunyai bentuk yang sama dengan penyisir kayu hanya diperbuat daripada besi, manakala tangkainya/pemegangnya masih lagi diperbuat daripada kayu.

iii) Penyisir Kapar – iaitu sisir berbentuk – T yang diperbuat daripada dengan mata yang juga diperbuat daripada batang pinang atau nibong.                      

Tenggiling Belimbing - untuk menghaluskan lagi tanah.

Kerja-kerja akhir penyediaan tanah dipanggil menggiling tanah menggunakan alat yang dianggil “tenggiling”. Terdapat dua jenis tenggiling yang biasa digunakan iaitu “Tenggiling Belangkas” dan “Tenggiling Belimbing”. Kaedah penggunaannya adalah sama seperti membajak iaitu menggunakan kerbau. Proses ini bertujuan bagi melembutkan lagi tanah untuk memudahkan kerja-kerja mengalih anak padi dilakukan.

Setelah melalui kesemua proses di atas barulah air akan ditakungkang semula ke dalam petak sawah dan sedia untuk proses berikutnya iaitu penanaman anak padi – proses mengalih.

Memindah Anak Padi

Anak-anak padi dikumpul menjadi "unti".
Pengandar semai untuk mengalih anak padi.

Proses memindahkan anak padi dilakukan dengan mencabut anak padi dari tapak semaian (penyediaan tapak semaian yang baik memastikan akar padi dapat ditarik dengan sempurna – seterusnya membantu pertumbuhan yang lebih baik selepas dialih). Anak-anak padi ini akan dikumpulkan dan dijadikan “cap” atau “unti” (ikatan/ketul). Kerja-kerja ini dilakukan oleh golongan wanita. Kaum lelaki pula akan mengangkut anak-anak padi tersebut ke petak-petak sawah untuk ditanam menggunakan kayu pengandar/salang. Adakalanya palung (sampan kecil) juga digunakan untuk memudahkan kerja-kerja pemindahan anak padi. Di dalam petak sawah “unti” ini akan di aturkan untuk memudahkan kerja-kerja mengalih.

Menanam Padi

Proses mengalih membolehkan padi tumbuh dengan lebih subur/sihat.
Kuku kambing peralatan penting semasa mengalih padi.

Seterusnya  adalah kerja-kerja menanam yang juga akan dilakukan oleh kaum wanita secara bergotong-royong beramai-ramai. Anak padi yang di alihkan dari tapak semaian tadi akan ditanam menggunakan peralatan yang dikenali sebagai “kuku kambing”. Kuku kambing diperbuat daripada hulu kayu dengan hujung daripada besi yang mempunyai cabang untuk memegang anak padi. Hujung alatan ini akan digunakan untuk membenamkan anak padi kedalam tanah semasa proses menanam.

Penjagaan

Walaupun anak-anak padi telah selesai dialih, terdapat beberapa kerja yang akan terus dilakukan iaitu menyulam (menggantikan anak-anak padi yang mati). Kerja-kerja lain adalah seperti membaja dan merumput. Penjagaan pokok padi juga adalah termasuk mengawasi paras air, mengawal perosak seperti tikus, burung, serangga dan adakalanya binatang ternakan sendiri. Musuh-musuh ini mungkin berbeza mengikut peringkat tumbersaran padi. Selain serangan serangga dan haiwan, pokok padi juga boleh diserang oleh penyakit padi. Apabila padi hampir masak, “orang-orang” atau “selayut” akan disediakan di serata sawah untuk menakutkan burung-burung dari memakan padi.

B. Alat-alat Untuk Menuai/Selepas Menuai

  • Tong Pukul Padi, Tangga dan Layar
  • Ketam (Renggam)
  • Sabit (Berbagai Jenis)
  • Pengangin Padi/Tikar Mengkuang
  • Guni/Tali/Jarum


Tuai dan cara memotong.

Pisau pengiau.

Pisau pemotong.

Menuai Padi

Menuai padi juga dipanggil musim menuai. Kebiasaannya musim menuai ini akan jatuh pada musim kemarau. Proses menuai ini adakalanya juga dipanggil sebagai mengiau akan dilakukan menggunakan peralatan-peralatan tertentu bagi memastikan biji-biji padi tidak terlerai dari tangkainya semasa proses memotong. Ia juga biasanya dilakukan secara bergotong-royong.

i) Mengetam – proses mengetam dilakukan dengan menggunakan alat yang diperbuat daripada kayu dengan mata pemotong yang dikenali sebagai “renggam” juga adakalanya dipanggil sebagai “tuai”.

ii) Mengiau padi – sama juga dengan proses mengetam tetapi menggunkan “pisau pengiau”. Teknik 

ini digunakan pada pokok padi yang rebah.

iii) Mengerat/memotong padi – kaedah ini menggunakan pisau mengerat sebelum batang pokok padi dikumpulkan untuk dijadikan “kedap”.

Menghirik (Mengirik)

Menghirik merupakan proses meleraikan buah padi dari tangkainya setelah ianya selesai diketam atau dipotong. Terdapat beberapa cara yang biasa dilakukan untuk proses ini antaranya;

i) Menggunakan Kerbau

Ini dilakukan sekiranya petani mempunyai sawah yang luas dan banyak. Tikar mengkuang akan dihamparkan dan gemai-gemai (gemal) padi diletakkan di atasnya. Kerbau digunakan dengan berjalan di atas atas gemai-gemai tersebut berulang-ulang sehinggalah buah padi terlerai. Kerja yang dilakukan secara bergotong-royong ini biasanya dilakukan pada sebelah malam sehingga dinihari.

ii) Mengunakan Kayu (Dong)

Kayu dong.

Melalui kaedah ini pula, sejenis kayu melengkung digunakan untuk memukul gemai (gemal) padi yang diletakkan di atas tikar mengkuang sehingga buah-buah padi terlerai dari tangkainya. Kaedah ini juga mungkin dilakukan secara beramai-ramai. Selain menggunakan kayu, mengirik juga adakalanya dilakukan menggunakan kaki untuk meleraikan buah padi dari tangkainya.

iii) Memukul (Membanting) Padi

Membanting merupakan satu lagi proses yang biasa dilakukan untuk meleraikan buah padi dari tangkainya. Peralatan membanting ini terdiri daripada tong yang dilitupi dengan  layar juga dikenali sebagai “turus layar” untuk mengelakkan padi daripada keluar daripada tong yang digunakan untuk mengumpul padi. Batang-batang padi diikiat sebelum dibanting ke dalam tong tersebut. Buah padi yang terkumpul kemudiannya dipindahkan ke dalam  guni (karung).

Menghuroi (Mengangin)

Proses menguroi/mengangin.

Nyiru jarang.

Menghuroi atau mengangin padi bertujuan untuk mengasingkan buah padi yang hampa (kosong) dengan padi yang berisi. Proses ini dilakukan menggunakan nyiru jarang dengan bantuan angin yang akan membawa buah padi yang kosong lebih jauh berbanding padi-padi yang berisi. Bagi memastikan terdapat angin yang cukup, proses ini perlu dilakukan di tanah yang lapang. Adakalanya padi akan ditampi menggunakan nyiru biasa untuk memastikan hampa padi betul-betul diasingkan.

Selepas buah-buah padi di asingkan barulah ia akan dijemur untuk mengurangkan lembapan pada buah padi untuk membolehkan ianya disimpan dengan lebih lama. Semasa proses jemuran ini padi akan diletakkan di atas tikar mengkuang dan diratakan menggunakan “cakar bara”.

C. Alat Proses Padi

  • Lesong Tangan/Halu
  • Lesong Kaki/Hindik
  • Nyiru Penampi Padi/Penampi Beras
  • Pengisar Beras


D. Alat Penyimpanan Padi/Beras

  • Kepok/Jelapang Padi
  • Berbagai jenis Gebok
  • Berbagai jenis Tempayan


Lesung tangan.

Lesung kisar.

Mesin tampi padi.

Menyimpan Padi

Buah-buah padi yang telah betul-betul kering akan disimpan ke dalam bekas padi (jelapang), manakala gemai padi pula akan disimpan di dalam kepuk (kerubung). Dari segi istilah nama ini mungkin sedikit berbeza mengikut daerah. Di bahagian pantai barat (Selatan Tanahair) kepuk adalah bekas padi yang diletakkan di bawah rumah.

Penghasilan Beras

Proses akhir dalam penghasilan beras adalah proses menanggalkan kulit pada buah padi melalui beberapa proses. Proses menumbuk padi menggunakan lesung kaki mahupun lesung tangan merupakan teknik biasa yang digunakan oleh masyarakat Melayu dan diikuti dengan proses menampi untuk mengasingkan kulit padi dari isinya.

Bagi pengusaha sawah yang lebih besar seperti di Kedah penggunaan lesung kisar dan mesin penampi padi mungkin digunakan lewat penanaman padi dalam usaha meningkatkan pengeluaran penghasilan padi. Proses ini juga adakalanya dilakukan dengan bergotong-royong.

E. Alat Pengangkutan Padi

Pengangkutan darat:

  • Basikal
  • Beca
  • Kereta Tolak
  • Bakul Junjung
  • Anok
  • Kandar
  • Kereta Lembu

Pengangkutan Air:

  • Sampan/Perahu kecil


Jadi setelah padi betukar menjadi beras (apabila kulitnya diasingkan), ia akan disukat pula menggunakan alat-alat penyukat (dalam proses pengagihan atau untuk tujuan jualan). Proses penyukat dilakukan dengan sukatan seperti di bawah.  

F. Alat Penyimpanan/Sukat Padi dan Beras

  • Pikul
  • Kilo
  • Kati
  • Gantang
  • Cupak
  • Leng
  • Kopi
  • Kepoi


Begitulah antara sedikit sebanyak lagi perkara menarik mengenai peralatan yang digunakan dalam proses penghasilan padi/beras dengan kaedah tradisi masa dahulu. Walaupun ia nampak mudah, namun ternyata banyak perkara terselit disebaliknya yang tidak kita ketahui. Oleh kerana saiz sawah yang diusahan kebanyakannya bersaiz kecil, usaha untuk menggunakan jentera-jentera moden juga adalah agak terhad (kerana penggunaan jentera hanya efisyen bagi penghasilan berskala besar).

Namun disini dapat kita lihat usaha gigih orang-orang dahulu dalam menghasilkan beras untuk keperluan keluarga bukanlah satu kerja yang mudah, malah melibatkan perancangan yang teliti. Walaupun kita tidak lagi bekerja di sawah padi (bendang) namun dari sini dapat dilihat, tiada perkara dapat dilakukan dengan mudah. Jadi usahakanlah apapun bidang yang kita ceburi dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil yang lebih baik.

Muzium Padi, Kedah.

Untuk rujukan lanjut anda bolehlah melawat ke laman web memori kedah atau melawat sendiri ke Muzium Padi di alamat;

Lebuhraya Muzium Negeri Kedah,
Lebuhraya Darul Aman, Bakar Bata,
05100 Alor Setar,
Kedah Darul Aman,
Tel: 604-733 1162
Fax: 604-730 5100

Muzium Padi: 604-735 1315



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...