Memaparkan catatan dengan label penjimatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penjimatan. Papar semua catatan

Isnin, 25 April 2022

Menyimpan Makanan Untuk Tahan Lebih Lama Melalui Proses Pengeringan di Rumah

Makanan kering mudah disimpan dan tahan lebih lama.

Sekiranya anda biasa terpaksa membuang bahan makanan yang tidak sempat dimasak atau dimakan, tajuk ini merupakan topik penting memandangkan ia antara masalah yang paling selalu berlaku pada saya sendiri. Oleh kerana masa yang terhad, bekalan makanan seperti sayur-sayuran dan daging perlu dibeli hanya sekali dalam seminggu. Antara bahan-bahan ini tidak semuanya boleh disimpan sehingga ianya sempat dimasak dan adakalanya terpaksa dibuang tanpa sempat digunakan. Bagaimanakah masalah ini boleh dielakkan?
 
Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan bagi memanjangkan tempoh penyimpanan makanan. Bagi makanan seperti daging, tentu anda tidak mempunyai masalah sekiranya mempunyai peti sejuk di rumah. Selagi bekalan daging dapat dibekukan, ianya dapat bertahan untuk tempoh yang lama. Makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai tempoh penyimpanan yang lebih pendek iaitu untuk beberapa hari sahaja. Jadi, sayur-sayuran dan buah-buahan perlu menjalani proses yang berbeza kerana ianya tidak boleh dibekukan seperti daging. Antara proses yang biasa digunakan bagi sayuran adalah dengan menjeruk atau pengeringan. Kedua proses ini biasa digunakan dalam teknik pemprosesan makanan seperti yang dapat kita lihat iaitu, sayuran jeruk dan juga makanan-makanan kering.

 
Walaupun makanan kering yang diproses boleh dibeli di pasaraya,
namun ada diantara bahan yang kita perlukan tidak dijual di dalam bentuk kering. Makanan kering di pasaraya melalui proses pengeringan secara industri (samada melalui kaedah mesin ataupun pengeringan melalui jemuran di bawah cahaya matahari). Namun bagi kita yang membeli makanan dalam jumlah yang sedikit kedua-dua kaedah ini adalah tidak efisyen. Jadi adakah kaedah yang boleh kita gunakan untuk melakukan proses pengeringan di rumah?

Pengeringan dengan cahaya matahari boleh dilakukan pada skala yang lebih besar.

Pengeringan buah apricot di bawah cahaya matahari.

 
Sebenarnya proses pengeringan makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dilakukan dengan menggunakan ketuhar. Namun mesin khas yang direka untuk proses pengeringan makanan di rumah dipanggil dehydrator adalah jauh lebih mudah digunakan, kerana ia direka khas untuk tujuan ini. Proses pengeringan yang baik perlu menggunakan suhu yang rendah untuk tempoh masa yang panjang bagi memastikan lembapan dapat dikeluarkan daripada makanan tanpa merosakkan nya. Makanan yang dikeringkan boleh disimpan sehingga setahun (bergantung kepada jenis makanan) apabila disimpan dengan baik. Manakala untuk menggunakannya pula, anda hanya perlu merendamkan ianya semula ke dalam air. Dengan menyahkan lembapan daripada makanan pertumbuhan bakteria dapat dihentikan dan sel-sel pada makanan juga berhenti daripada menjadi rosak.
 
Bilakah anda memerlukan proses ini?
 
Sekiranya anda mengalami masalah tidak sempat menghabiskan bekalan makanan samada, daging, sayuran dan buah-buahan (secara umumnya), malah terpaksa membuangnya kerana ia menjadi rosak, maka proses ini mungkin berguna untuk anda. Selain itu juga, ia mungkin berlaku apabila tibanya musim buah-buahan atau sayuran, dimana berlaku lambakan kuantiti bekalan yang berlebihan. Maka lebihan makanan ini bolehlah dikeringkan untuk disimpan bagi kegunaan masa hadapan.
 
Makanan yang dikeringkan bukan sahaja mudah disimpan, malah ia juga lebih mudah untuk diselenggarakan. Sekiranya anda perlu menghantar makanan kering kepada saudara-mara yang jauh, makanan kering bukan sahaja lebih ringan, malah ia mudah dipaket untuk penghantaran. Ia juga sesuai untuk dijual sekiranya anda mempunyai jumlah yang banyak.

Selain sayuran dan buah-buahan, ikan dan daging juga boleh dikeringkan untuk memanjangkan tempoh penyimpanan.

 
Bagaimanakah proses pengeringan ini dilakukan?
 
Proses pengeringan sama sahaja seperti proses menyahkan air dan lembapan dari makanan. Menggunakan mesin khas (dehydrator), suhu yang digunakan adalah lebih rendah berbanding ketuhar, mampu mengelakkan makanan daripada rosak - sebaliknya hanya lembapan dikeluarkan daripada makanan. Proses ini mengambil masa antara 8 - 12 jam (namun ia lebih pantas berbanding teknik jemuran matahari yang boleh mengambil masa beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca). Jumlah makanan yang boleh dikeringkan adalah bergantung kepada saiz mesin yang digunakan. Bagi kegunaan domestik, mesin yang kecil adalah memadai.

 
Proses pengeringan melalui beberapa peringkat bagi memastikan hasil yang betul-betul baik. Berikut adalah langkah-langkah untuk proses pengeringan makanan:
 
  • Pemilihan bahan makanan, iaitu dengan memastikan bahan yang ingin dikeringkan berada dalam kualiti yang baik - makanan yang rosak tidak akan memberikan hasil yang memuaskan. Pastikan tiada kesan calar atau lebam-lebam pada bahan makanan.
  • Makanan perlu dibersihkan dan dipotong-potong dengan ketebalan yang sekata bagi memastikan proses pengeringan yang sama rata.
  • Bagi makanan yang mudah teroksida seperti epal, pear dan lain-lain, rendamlah di dalam air bersama-sama jus limau atau ascorbic acid sekiranya perlu. Proses ini dapat memastikan warna buah-buahan tersebut dapat dikekalkan sebelum, semasa dan selepas proses pengeringan.
  • Bagi sayur-sayuran pula, ianya perlu dicelur untuk mematikan ezim yang boleh menyebabkan warna makan bertukar. Sayuran-sayuran tersebut termasuklah broccoli, bunga kobis, saderi, lobak merah, jagung, peas, kentang, sawi, daun bawang dan lain-lain.
  • Anda juga boleh menambahkan garam, gula atau rempah untuk menambahkan rasa sebelum proses pengeringan.
  • Sediakan bahan yang telah dipotong di atas dulang yang disediakan. Elakkan makanan yang berlapis, kerana ia boleh melambatkan proses pengeringan.
  • Hidupkan mesin dehydrator sebaik sahaja kesemua makanan yang ingin dikeringkan telah dimasukkan ke dalam mesin. Semak buku panduan manual untuk mengetahui aturan dan penggunaan mesin yang betul, kebiasaannya proses pengeringan mengambil masa antara 8 -12 jam.
  • Periksa makanan yang dikeringkan dari semasa ke semasa. Anda boleh mengeluarkannya dari mesin dan memotongnya - untuk memeriksa samada masih terdapat lembapan pada bahan makanan. Sekiranya ia masih lembab, proses pengeringan perlu diteruskan - atau makanan tersebut dikeringkan sekali lagi di dalam mesin.
  • Setelah selesai, pastikan makanan benar-benar sejuk terlebih dahulu antara 30 - 60 minit sebelum ia boleh disimpan di dalam bekas.
  • Bagi buah-buahan yang dikeringkan, ia perlu diletakkan di dalam bekas yang tidak terlalu padat. Goncang bekas sehari sekali selama 10 hari bagi memastikan lembapan dapat disebarkan ke serata bekas. Sekiranya terdapat kondensasi di dalam bekas, maka ia perlu dikeringkan lagi di dalam mesin. (Proses ini penting bagi buah-buahan).
  • Makanan yang telah sempurna dikeringkan dan disimpan di dalam bekas, perlu diletakkan di tempat yang sejuk dan gelap sehingga ia sedia untuk digunakan.
 
*Proses pengeringan akan menjadi lebih lancar apabila anda telah melakukannya beberapa kali. Ini kerana terdapat perbezaan bagi bahan-bahan yang dikeringkan dan perkara-perkara lain seperti ketebalan makanan, susunatur dan jumlah makanan yang boleh dikeringkan dalam satu-satu masa.

Makanan yang akan dikeringkan disusun dengan baik bagi memastikan proses pengeringan berjalan dengan lancar.

 
Apakah makanan yang dikeringkan menyihatkan?
 
Khasiat pemakanan makanan yang dikeringkan dapat dikekalkan selagi ianya dilakukan dengan betul. Proses pengeringan dilakukan pada suhu yang rendah dan hanya lembapan yang dikeluarkan daripada makanan. Sekiranya ianya dilakukan dengan betul, ia dapat mengekalkan warna dan rasa makanan tersebut untuk tempoh penyimpanan yang lebih lama. Tidak seperti proses pengawetan makanan yang lain di mana tambahan bahan-bahan lain diperlukan seperti garam, gula atau bahan pengawet yang berlebihan yang mengubah komposisi kimia bahan makanan.
 
Adakah proses pengeringan ini menggunakan tenaga yang banyak?
 
Proses pengeringan menggunakan mesin pengeringan yang baik, menggunakan tenaga yang rendah walaupun ia mengambil masa yang lama. Ini kerana suhu yang diperlukan adalah jauh lebih rendah dan isipadu ruangan pengeringan yang kecil. Kos yang digunakan untuk proses ini adalah lebih rendah berbanding jumlah makanan yang perlu dibuang dan anda perlu membelinya semula berulang kali. Malah anda mungkin boleh berkongsi makanan ini dengan orang lain (saudara mara dan jiran-jiran). Penggunaan tenaga ini dikawal oleh thermostat yang memastikan pemanasan yang sekata disepanjang proses pengeringan.

Antara makanan kering yang boleh dibeli dari pasaraya.

Dulang pengering bertingkat, meningkatkan jumlah makanan yang boleh dikeringkan dalam satu masa. 

 
Walaupun proses pengeringan menggunakan mesin ini amat mudah dilakukan di rumah, anda perlu melakukan beberapa proses penyediaan bahan, sebelum ianya boleh dikeringkan. Selain itu juga ia memerlukan tenaga elektrik untuk proses pengeringan (namun kebaikannya di sini, anda boleh melakukannya dalam sebarang keadaan cuaca). Proses pengeringan memakan masa yang agak panjang (namun ia lebih pendek berbanding dengan proses pengeringan menggunakan cahaya matahari). Selain itu juga pastikan anda menggunakan mesin yang mempunyai pengawal masa (timer) bagi mengelakkan proses pengeringan yang terlebih - seseparuh mesin pengering tidak mempunyai pengawal masa.

 
Semoga ia dapat membantu anda menjimatkan perbelanjaan untuk tempoh jangka panjang, selain mengelakkan pembaziran pembuangan makanan yang tidak digunakan. Mungkin makanan yang dikeringkan tadi bukan sahaja bermanfaat untuk kegunaan akan datang, ia juga mungkin boleh dikongsikan untuk mereka-mereka yang memerlukan atau dijual semula. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau tambahan perkara yang tertinggal, kongsi-kongsikan di ruangan komen untuk manfaat bersama.
 
Rujukan:
 
1) The Spruce Eats: How To Dry Fruits and Vegetables With a Dehydrator.
2) The Spruce Eats: Blanching Vegetables Before Drying Them.
3) Dehydrator review: How much does it cost to dehydrate food?
4) Dehydrator review: Food Dehydrator Comparison Table.
5) Wikipedia: List of dried foods.
6) YouTube: Drying Food - The Basics
 
 

Jumaat, 30 Julai 2021

Pam Air Tanpa Guna Kuasa Elektrik atau Petrol, Amat Menjimatkan

Air merupakan sumber yang amat penting dalam kehidupan, bagi tujuan minuman, pertanian mahupun penternakan.
 
Walaupun hari ini rata-ratanya kita tidak memikirkan tentang masalah bekalan air - kerana ia dengan mudah didapati daripada sumber air yang dibekalkan terus ke rumah melalui sistem perpaipan. Namun bekalan air merupakan satu perkara penting - kerana mungkin masih terdapat mereka yang berada jauh daripada sumber bekalan air paip ataupun mereka yang memerlukan sumber bekalan air bagi perladangan dan penternakan misalnya. Bekalan air merupakan sumber yang paling mustahak dan ia merupakan tajuk penting kita kali ini.
 
Pam air yang tidak menggunakan kuasa elektrik pernah dimuatkan di dalam artikel kami suatu masa dahulu, dan ianya merupakan pam air yang menggunakan sistem yang berbeza. Kali ini suatu lagi pam air tanpa menggunakan kuasa elektrik atau petrol ingin kami ketengahkan - sekali gus menerangkan, mungkin terdapat banyak lagi rekaan-rekaan pam yang terdapat di luar sana yang boleh kita manfaatkan bersama (bagi mereka yang memerlukan). Atau mungkin ada di antara kita yang ingin mencuba idea baru dan mereka sistem yang lain pula - Ini adalah jauh lebih menarik!

 
Pam yang ingin di ketengahkan pada kali ini lebih dikenali sebagai “Ram Pump”, dan ianya telah lama dicipta berdasarkan konsep yang sama. Cuma hari ini, Ram Pump lebih mudah dihasilkan dengan pelbagai kelengkapan peralatan paip yang terdapat di pasaran. Maka, rekaan ini dapat dimanfaatkan dengan mudah bagi kegunaan mereka yang memerlukan bekalan air - dan dalam masa yang sama menjimatkan penggunaan tenaga (elektrik, petrol dan diesel).
 
Ram Pump menggunakan kuasa tekanan dari sumber air itu sendiri bagi membekalkan tekanan yang lebih dikenali sebagai “water hammer”. Tekanan ini kemudiannya digunakan untuk menolak air ke bahagian yang lebih tinggi dengan menggunakan injap yang mengelakkan ia mengalir semula ke bahagian bekalan air masuk. Proses ini akan terus berulang selagi bekalan air bertekanan dimasukkan ke dalam sistem Ram Pump.

Pam air yang menggunakan kuasa elektrik.

Pam air yang menggunakan petrol.

Bahagian asas reka bentuk ram pump.
1) air masuk
2) air keluar dari injap buangan
3) air keluar dari pam
4) injap buangan
5) injap sehala
6) tangki tekanan 

 
Antara reka bentuk ram pump.


Terdapat Ram Pump yang dihasilkan dengan rekabentuk baru seperti Papa Pump, di mana ia lebih mudah dipasang, selain daripada mempunyai ketahanan lebih baik, ini kerana ia direka menggunakan bahan yang tahan lama selain daripada mempunyai komponen yang lebih ringkas. Namun begitu, Ram Pump ini masih lagi menggunakan konsep yang sama iaitu menggunakan tenaga yang dihasilkan daripada “water hammer”.
 
Oleh kerana pam ini telah lama direka - terdapat banyak variasi reka bentuk Ram Pump yang dihasilkan. Bagi mereka yang ingin menghasilkan Ram Pump sendiri, bolehlah mencuba antaranya seperti yang dihasilkan daripada laman instructables. Namun sekiranya anda ingin mencuba reka bentuk baru, anda bolehlah menggunakan barangan yang anda fikirkan sesuai dengan memenuhi prinsip asas rekaan Ram Pump (boleh lihat gambarajah, konsep rekaan Ram Pump).

 
Semasa mencari bahan rujukan mengenai topik ini, kami menemui video daripada YouTube: Traditional Channel, mengenai pereka yang membina sebilangan Ram Pump untuk kegunaan masyarakat di kawasan sekitar daerah berhampiran beliau. Dapat dilihat, sumbangan yang diberikan memberikan bantuan yang amat diperlukan oleh masyarakat setempat - ya, bagi kita yang mempunyai bekalan air paip, mungkin tidak merasa sukar seperti mereka yang terpaksa mengangkat air dari sumber seperti sungai atau perigi yang berada jauh dari rumah. Apatah lagi bagi mereka yang memerlukan sumber air yang lebih banyak untuk ternakan dan tanaman.
 
Antara lain perkara yang lebih menarik, pereka tersebut menghasilkan Ram Pump dengan pelbagai rekabentuk dan saiz (untuk tujuan hiasan), yang membuktikan ia amat mahir mengenai konsep rekaan Ram Pump ini. Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari kaedah rekaan beliau, bolehlah melewati channel tersebut dan melihat video-video lain yang dihasilkan oleh beliau.

Ram pump boleh direka dengan peralatan yang ringkas.


Ram Pump terbesar yang dihasilkan.

Papa Pump, menghasilkan reka bentuk yang lebih ringkas.

Papa Pump yang telah siap dipasang dan digunakan.

 
Ram Pump merupakan satu kaedah yang amat bermanfaat memandangkan ia amat sesuai sekali digunakan di kawasan di mana sumber tenaga seperti elektrik dan bahanapi sukar didapati, malah ia juga amat menjimatkan disamping mengurangkan kesan kerosakan kepada alam. Jadi penggunaan Ram Pump amat digalakkan apabila sesuai.


Adalah diharap tajuk kali ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca. Selain daripada mengetahui mengenai pam air ini, ia mungkin juga membangkitkan keinginan bagi mencuba idea-idea baru, bagi mereka yang meminati dunia rekaan. Jadi, sekiranya anda mempunyai bahan-bahan menarik untuk dikongsi bersama, bolehlah kongsikannya di ruangan komen. Terima kasih.




* Video bagaimana ram pump dihasilkan dari scratch! - amat menarik untuk ditontoni.

Ahad, 13 November 2016

Pokok Herba Yang Sesuai Ditanam di Sekitar Rumah

Persekitaran rumah boleh dihiasi dengan tanaman yang juga merupakan sayuran.

Hobi bercucuk tanam merupakan satu hobi yang bukan sahaja dapat mengisi masa lapang malah ia juga memberikan banyak faedah lain sekiranya bahan tanaman bukan sahaja boleh digunakan semula malah ada di antaranya yang boleh dijual. Banyak tumbuhan herba dan rempah yang sesuai dijadikan sebagai tanaman dalam masa yang sama amat cantik sebagai hiasan.

Mari kita lihat serba ringkas beberapa tanaman yang mudah ditanam dan mempunyai faedah seperti yang dinyatakan di atas.

Pandan

Pandan di pinggir halaman rumah.

Pandan boleh ditanam terus di atas tanah atau di dalam pasu. Penjagaannya juga tidak cerewet. Pandan mempunyai pelbagai kegunaan daripada masakan, pewarna, pewangi, penghalau serangga dan boleh juga digunakan untuk membuat bunga rampai. Saiz pokok pandan boleh dikawal menggunakan saiz bekas tanamannya. Sekiranya ia di tanam di atas tanah, ia perlu dikawal bagi mengelakkan ia merebak terlalu besar (sekiranya perlu).

Penggunaan tanah yang hitam adalah baik untuk pandan. Kawasan yang redup dan tanah yang lembab juga adalah sesuai. Sekiranya ditanam di dalam pasu pastikan ia tidak mempunyai terlalu banyak tunas bagi memastikan saiz daunnya cukup besar.

Cili Padi

Cili padi yang sihat menghasilkan buah yang cantik.
Cili padi dan lain-lain cili (cili besar/ cili benggala) juga sesuai sebagai tanaman hiasan rumah. Namun pokoknya mungkin tidak bertahan untuk tempoh yang terlalu lama dan anda sentiasa perlu menukar dengan pokok yang baru. Pokok cili juga sering menjadi serangan ulat kutu daun. Jadi anda mungkin boleh menyemburnya menggunakan pencuci pinggan (penggunaan racun serangga adalah tidak digalakkan bagi tujuan keselamatan).

Pokok-pokok cili akan kelihatan menarik sekiranya ia cukup subur. Apatah lagi apabila ia dipenuhi dengan buah yang sihat berwarna merah apabila masak. Jangka hayatnya juga sebenarnya bergantung kepada penjagaan. Namun begitu anda tidak perlu merasa risau kerana ia sememangnya adalah tanaman berjangka pendek.

Serai

Serai sesuai ditanam di pinggir rumah.

Serai juga merupakan antara herba penting yang boleh ditanam di sekitar rumah. Walaupun ia boleh ditanam di dalam pasu, serai lebih menarik sekiranya ditanam di atas tanah. Apa yang penting tanah yang digunakan untuk tanaman serai perlu mempunyai saliran yang baik kerana ia mudah rosak sekiranya berkeadaan lembab.

Seperti juga pandan, serai amat penting dalam kebanyakan masakan terutamanya bagi resepi dari SE Asia. Serai yang subur akan kelihatan rimbun dan cantik. Sekiranya serai anda telah menjadi kecil dan tua, anda dinasihatkan menggantikan keseluruhan rumpun serai tersebut bagi membolehkan rumpun baru tumbuh dengan lebih subur.

Cekur Manis

Cekur manis dengan buahnya.

Cekur manis atau dikenali juga sebagai pucuk manis merupakan tanaman yang sesuai untuk tanaman di atas tanah dan juga di dalam pasu. Saiznya yang agak sederhana tinggi, baik sebagai hiasan dan juga dalam masa yang sama merupakan sayuran yang enak. Ia boleh dicantas untuk dijadikan sayuran dan dibiarkan untuk terus bertunas kembali seperti biasa.

Cekur manis ditanam dari keratan batangnya selain daripada biji. Tanaman menggunakan tanah hitam adalah baik untuk cekur manis. Penjagaannya yang mudah juga menjadikan ia satu lagi pilihan yang baik.

Puding Belacan

Cantik sebagai hiasan, puding belacan juga enak dalam masakan.

Puding belacan mempunyai daun dalam satu warna sahaja. Namun ia mempunyai bunga dan bentuk daunnya juga tidak kurang menarik. Sekiranya dijaga dengan rapi ia tetap kelihatan cantik sebagai tanaman hiasan. Namun apa yang paling menarik mengenai puding belacan adalah ia digunakan di dalam masakan rendang yang amat digemari di beberapa negeri di Semenanjung.

Penjagaan puding belacan juga tidak cerewet, sekiranya ia telah menumbuhkan tunas. Tanah subur yang gembur akan menghasilkan daun yang cukup lebar dan sesuai untuk masakan. Ia perlu dicantas untuk mengelakkan nya dari mencapai ketinggian yang terlalu tinggi. Pada masa yang sama, ia juga mempunyai bunga bersaiz kecil yang akan menambahkan lagi keunikannya sebagai tanaman hiasan.

Kunyit dan Halia

Kunyit yang subur mempunyai daun yang berkilau.

Kunyit dan halia merupakan antara herba yang menarik untuk ditanam di halaman dan juga di dalam pasu. Kunyit yang subur bukan sahaja cantik, malah daunnya merupakan antara bahan masakan yang agak penting dalam membangkitkan aroma masakan yang menyelerakan.

Walaupun kunyit dan halia mempunyai penjagaan yang lebih kurang serupa, namun ia mempunyai bentuk fizikal yang sedikit berbeza di antara kedua jenis tumbuhan ini. Kunyit sesuai ditanam di dalam pasu menggunakan tanah bakar dengan pencahayaan yang cukup namun tidak terdedah terus kepada cahaya matahari.

Bawang

Bawang antara herba yang paling mudah ditanam.

Bawang putih dan bawang merah kedua-duanya boleh ditanam dengan mudah di dalam bekas kecil atau pasu. Daun bawang bukan sahaja sesuai untuk masakan, malah boleh digunakan sebagai hiasan tambahan, juga perasa di dalam hampir setiap masakan.

Tanah subur yang berpasir sesuai digunakan kerana bawang tidak sesuai untuk tanah yang terlalu lembab. Kawasan dengan pencahayaan penuh seperti di hadapan tingkap dapur boleh dimanfaatkan untuk membesarkan pokok bawang ini. Tanamkan lebihan bawang yang digunakan ke dalam tanah dan tunggu sahaja sehingga ia mengeluarkan hasil daunnya yang memberangsangkan.

Saderi

Sayuran segar terus dari pasu di rumah anda.

Saderi seperti juga bawang, ditanam daripada lebihan yang digunakan untuk masakan. Tanah subur berpasir juga digunakan untuk membesarkan tunggul saderi yang telah digunakan untuk masakan tadi. Pastikan ia tidak kering sebelum ditanam ke dalam tanah yang telah disediakan.

Kawasan seperti tingkap dapur merupakan antara kawasan yang menyediakan pencahayaan yang sesuai untuk saderi. Namun kaki lima luar rumah juga boleh digunakan untuk menempatkan tanaman saderi anda (namun elakkan pancaran terus terik matahari). Ia akan terus mengeluarkan daun yang boleh digunakan untuk masakan selagi tidak diambil berlebihan dan menyebabkan tunggul utamanya mati.

Ruangan dalam rumah juga boleh digunakan untuk menyimpan pokok-pokok kecil.

Banyak lagi sayuran dan herba yang boleh ditanam dengan kaedah yang ringkas seperti ini. Walaupun ia secara umumnya bukanlah merupakan tanaman hiasan, namun semua pasti setuju bahawa setiap tanaman yang sihat adalah amat cantik dipandang. Penanaman tanaman seperti ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga, malah ia juga adalah lebih sihat kerana anda sendiri dapat mengetahui samada anda menggunakan racun serangga atau bahan kimia berbahaya dalam proses pembesarannya. Ia juga salah satu penghargaan atas hasil usaha anda membesarkannya.



Free Download


Selasa, 21 Jun 2016

Mengenal Jenis-Jenis Dapur Elektrik

Dapur elektrik moden dengan kawalan komputer.

Dapur elektrik mempunyai masa depan yang cerah apabila tenaga elektrik dapat digunakan dengan lebih efisyen dan menjadikan ianya semakin murah. Namun buat masa ini, penggunaan gas di Malaysia masih lagi merupakan sumber tenaga yang murah, hanya beberapa faktor yang menjadikannya  sebagai faktor mengapa ia masih boleh menjadikan dapur elektrik sebagai pilihan gantian yang berpotensi.

Penggunaan dapur gas menghasilkan haba yang memaskan ruangan dapur, kebocoran gas boleh mendatangkan bahaya seperti kebakaran dan keracunan, gas dibekalkan dalam tabung gas yang perlu diganti apabila habis, masa masakan yang lebih panjang, pembekal gas yang mengambil masa untuk membawa tabung gas ke kediaman anda dan beberapa fakor yang lain.

Namun dapur elektrik juga mempunyai beberapa variasi kerana pada awalnya dapur elektrik juga direka dengan efisyensi yang rendah. Ini bermakna lebih banyak tenaga dibazirkan berbanding digunakan untuk memasak. Inilah sebabnya mengapa artikel kali ini berkongsi maklumat berkenaan jenis-jenis dapur elektrik untuk anda membuat pilihan dengan lebih tepat.

Dapur Generasi Pertama

Dapur filamen menghasilkan banyak haba yang dibazirkan.

Dapur generasi pertama menggunakan koil pemanas (juga dikenali sebagai ‘elemen pemanas’). Ia merupakan dapur elektrik yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik untuk memanaskan plat pemanas dan beroperasi seakan-akan dapur biasa. Elektrik digunakan untuk menghasilkan haba dan kebanyakan haba ini terbazir sepertimana dapur gas beroperasi. Dapur elektrik generasi pertama juga kurang selamat kerana ia boleh membakar apa sahaja bahan yang diletakkan di atasnya.

Dapur Generasi Kedua

Dapur halogen, lebih baik berbanding dapur filamen.

Haba dipindahkan daripada tenaga cahaya infra-merah.

Dapur generasi kedua menjadikan tenaga yang digunakan untuk memask lebih efisyen serta lebih selamat daripada dapur generasi pertama. Ia direka sekitar tahun 1970-an dimana permukaan kaca seramik digunakan bagi mengurangkan haba tersebar selepas proses memasak dilakukan. Ia bagaimanakan menggunakan tenaga yang banyak semasa permulaan proses memasak dilakukan.

Dapur ini juga menggunakan ia menggunakan coil pemanasan atau lampu halogen sebagai sumber tenaga haba yang akan membekalkan tenaga haba dalam bentuk ‘cahaya infra merah’. Penggunaan permukaan kaca seramik membolehkan tenaga dalam bentuk cahaya ini menembusi permukaan lutsinar seramik dan memanaskan bekas masakan di atasnya.  Permuakaan kaca seramik yang rata dan keras membolehkan ianya dibersihkan dengan mudah. Namun dalam sesetengah keadaan, bahan yang yang tertumpah di atasnya sukar dibersihkan (dan apabila permuakaan kaca menjadi kusam akibat calaran bekas masakan.

Dapur Generasi Ketiga

Dapur induksi bukan sahaja efisyen malah amat memudahkan.

Tiada bahan yang dimasak melainkan bekas makanan (dari bahan feromagnet) dipanaskan.

Dapur generasi ketiga dan merupakan generasi yang terbaik setakat ini merupakan dapur yang menggunakan teknologi induksi yang jauh lebih efisyen. Namun kelemahan dapur jenis ini, ianya hanya boleh digunakan dengan bekas makanan yang diperbuat daripada bahan feromagnetik (yang boleh mengalirkan medan magnet). Namun ia jauh lebih baik kerana tidak memanaskan benda-benda lain disekitarnya, menjadikan tenaga yang dibebaskan hanya digunakan untuk memasak (tanpa pembaziran).

Dapur ini juga jauh lebih selamat kerana ia tidak membakar dan anda boleh meletakkan tangan anda diatasnya tanpa mencederakan tangan anda (kecuali selepas proses memasak, kerana bekas masakan mungkin memindahkan haba ke atas permukaan dapur). Ia juga kebiasaannya mempunyai permukaan yang diperbuat dari kaca seramik yang tahan lasak dan mudah dibersihkan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dapur induksi anda boleh mengikutinya melalui artikel  yang lebih lengkap mengenai dapur induksi.

Manakala untuk melihat perbezaan efisyensi tenaga yang digunakan untuk memasak 2 liter air menggunakan beberapa jenis dapur dan masa yang diambilnya adalah seperti di bawah:

  • Dapur Induksi: 85 – 90%, dengan masa 4 minit dan 46 saat.
  • Dapur Halogen: 60% dengan masa 9 minit.
  • Dapur Filamen: 55% dengan masa 9 minit dan 50 saat.
  • Dapur Gas: 40% 8 minit dan 18 saat.


Manakala jumlah tenaga yang digunakan pula adalah:
  • Dapur Induksi: 745 kJ
  • Dapur Halogen: 1,120 kJ
  • Dapur Filamen: 1,220 kJ
  • Dapur Gas: 1,700kJ


Jelas dapat dilihat, dapur induksi merupakan dapur elektrik yang terbaik setakat ini. Mungkin pada masa akan datang terdapat dapur elektrik yang lebih baik akan dicipta untuk menjadikan ianya lebih baik dari yang ada sekarang. Buat masa ini, kos penggunaan gas adalah masih lagi rendah maka mungkin pemindahan kepada penggunaan dapur elektrik tidak begitu mendesak. Bagaimanapun sekiranya ada keperluan untuk bertukar, maka pastikan ianya adalah dari jenis yang paling efisyen untuk penjimatan tenaga.



Free Download



Sabtu, 4 Jun 2016

Penyaman Udara (Sistem Penyejukkan) Menggunakan Magnet

Demonstrasi sistem penyejukkan magnet oleh GE.

Sistem penyejukkan samada untuk penyaman udara ataupun peti sejuk menggunakan tenaga yang cukup banyak dan menjadi antara fokus utama dalam usaha penjimatan tenaga. Namun untuk menggantikan teknologi penyejukkan sedia ada bukanlah mudah kerana untuk memindahkan haba memerlukan tenaga yang cukup tinggi.

Teknologi biasa yang menggunakan cecair penyejuk dengan menukarkannya kepada gas (menggunakan gas panas dari luar) dan kemudiannya memampatkan dan menyejukkannya untuk menukarkannya semula kepada cecair. Walaupun ia berjaya menyejukkan ruangan dalaman rumah anda, ia pada masa yang sama pula memanaskan udara di luar rumah.

Ini berbeza dengan kaedah penyejukkan magnet yang tidak menggunakan teknik mampatan. Ia sebaliknya menggunakan magnet namun masih memerlukan agen penyejuk untuk menyejukkan udara disekelilingnya. Teknik penyejukkan menggunakan magnet ini dicapai melalui proses yang dikenali sebagai ‘magnetocaloric effect’. Namun kaedah mampu menghasilkan sistem yang lebih senyap, selamat, lebih kecil, lebih efisyen dan mesra alam.


Konsep sistem penyejukkan magnet.

Antara rekaan untuk membentuk sistem penyejukkan magnet.

Sistem yang dihasilkan oleh badan yang lain pula.

Bahan-bahan magnetik menghasilkan haba apabila terdedah kepada medan magnet dan menyejuk apabila dialihkan daripadanya. Fenomena ini mulanya diketengahkan oleh seorang ahli fizik German Emil Warburg pada tahun 1881. Perubahan suhu ini bagaimanapun adalah terlalu kecil untuk digunakan dalam aplikasi-aplikasi lain. Ia bagaimanapun mendapat perhatian saintis-saintis lain untuk menjadikannya sebagai asas untuk membina kaedah penyejukkan bagi menggantikan teknik sedia ada. Melalui pembangunan teknologi bahan dengan membangunkan bahan ‘magnetocaloric metal’ yang boleh menghasilkan ‘magnetocaloric effect’ yang lebih besar pada suhu bilik.

Ia mengambil masa yang agak panjang untuk membolehkan teknik penyejukkan magnetik menjadi kenyataan. Namun begitu beberapa badan tertentu telahpun mula menyatakan kejayaan mereka dalam menghasilkan sistem penyejukkan melalui kaedah ini antaranya adalah General Electric, GE. Melalui kaedah ini, ia dikatakan dapat menghasilkan sistem penyejukkan dengan 20 – 30%  lebih efisyen berbanding teknologi penyejukkan yang digunakan sekarang.

GE menghasilkan peti sejuk pertamanya pada tahun 1927 – dan teknologi ini tidak banyak berubah sejak 100 tahun ianya diperkenalkan. Mungkinkah kaedah penyejukkan magnetik juga akan dapat bertahan untuk 100 tahun yang akan datang pula?


Sudah tiba masanya teknologi penyejukkan diberikan nafas baru. Ia bukan sahaja demi kemajuan teknologi itu sendiri malah untuk memanfaatkan lagi penggunaan tenaga. Melalui perubahan ini nanti, ia mungkin akan mengubah banyak lagi teknologi yang menggunakan sistem penyejukkan dan mungkin juga akan mencetuskan pembaharuan teknologi untuk peralatan-peralatan yang lain juga.








Free Download



Arkib Blog