Tuesday, March 18, 2014

Perbankan Internet Memudahkan Urusan Harian Anda

Lining up at ATM
Beratur begini di ATM bukan lagi trend di zaman internet.

Adakah anda pengguna sistem perbankan internet? Sekiranya anda masih belum mencubanya atau merasa ragu-ragu tentang penggunaanya, mari kita sama-sama ikuti artikel ini untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang kaedah penggunaan sistem perbankan internet yang mungkin dapat membantu anda menjimatkan banyak masa dan juga wang anda.

Walaupun perbankan internet telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih ramai yang kurang mahir menggunakannya terutama untuk tujuan pembayaran bil-bil bulanan mereka. Bagi yang mahir pula mereka menggunakan kaedah ini untuk setiap urusan pembayaran pembelian, penghantaran wang, bil-bil bulanan, malah apa sahaja yang membenarkan mereka menggunakan sistem perbankan internet mereka. Malah anda boleh melakukannya hampir 24 jam sehari – anda boleh membayar bil elektrik, air atau telefon semasa menonton tv bersama keluarga.

Mengapa Sistem Ini Penting?

Clock
Jimatkan masa anda daripada berurusan di kaunter.

Dalam zaman yang serba pantas ini, masa merupakan aset yang paling penting bagi setiap individu. Setiap saat yang diluangkan untuk menunggu dikira sebagai masa yang tidak efektif. Maka, adalah kurang bijak bagi kita untuk meluangkan masa menunggu di kaunter-kaunter hanya untuk pembayaran bil. Ini kerana ia mungkin akan melibatkan masa-masa yang lain seperti perjalanan, kesesakan lalulintas, parking, kos perjalanan dan masalah sistem yang mungkin dihadapi di kaunter pembayaran. Malah anda mungkin terpaksa mengulangi perkara yang sama sekiranya gagal membuat pembayaran kali pertama anda ke kaunter bayaran yang mungkin disebabkan gangguan talian atau anda terlewat beberapa minit ke kaunter tersebut.

Pembayaran melalui perbankan internet sangat mudah. Melalui beberapa langkah pembayaran, bil-bil anda telahpun jelas. Anda mungkin melakukannya semasa sedang menonton tv bersama keluarga, bebual bersama rakan di kafeteria, atau sementara menunggu pelanggan anda masuk ke kedai. Kaedah ini juga memberikan anda lebih masa untuk berehat atau digunakan untuk perkara-perkara yang lain seperti mempelajari perkara baru dari internet.

Melalui pembelian melalui internet pula anda mungkin tidak perlu ke luar negara untuk membeli sesuatu barangan. Dengan melalui beberapa klik dan langkah-langkah mudah anda hanya perlu menunggu di rumah sehingga barang yang dipesan sampai. Apa yang anda perlu fikirkan adalah untuk memenuhi masa yang dapat dijimatkan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat.

Mengapa Masih Ramai Yang Tidak Menggunakannya?


Ramai di antara kita yang masih kurang yakin untuk menggunakan kaedah pembayaran menggunakan sistem perbankan internet kerana faktor-faktor keselamatan. Walaupun urusan perbankan melalui ATM biasa juga adakalanya tidak selamat. Malah kebanyakan masalah/ kecurian wang melalui akaun adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri dengan mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak ke-3 secara sengaja ataupun tidak.

Ada beberapa langkah yang anda perlu ketahui untuk mengelakkan wang anda hilang dari simpanan bank. Malah wang anda boleh dicuri walaupun anda tidak menggunakan sistem perbankan internet – sekiranya data-data anda dicuri melalui kecuaian anda sendiri. Jadi langkah-langkah keselamatan ini perlu anda patuhi bukan sahaja semasa berurusan di internet malah sepanjang masa. Langkah-langkah keselamatan tersebut adalah seperti;

  • Patuhi langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak bank.
  • Jangan gunakan komputer awam untuk berurusan dengan pihak bank (sebaiknya).
  • Jangan sesekali menyimpan ‘kata laluan’ (password) anda di dalam ‘pelayar’ (browser). Ingatkan atau simpan dengan selamat.
  • Sentiasa membuat ‘update’ sitem pengoperasian komputer anda, browser dan juga sistem anti-virus. Ini dapat mengelakkan virus baru masuk dan mencuri data melalui komputer anda.
  • Kunci (lock) peralatan anda (komputer dan telefon) supaya tidak digunakan oleh orang lain. Peralatan yang digunakan untuk berurusan tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
  • Jangan berikan nombor kad anda dan kod keselamatan kad sekiranya diminta oleh sesiapa pun samada melalui telefon atau mana-mana jurujual. Maklumat tersebut hanyalah untuk anda sahaja.
  • Semasa membuat transaksi di internet pastikan terdapat simbol ‘mangga kekunci’ pada ruang alamat di pelayar – untuk menyatakan talian anda berada di dalam keadaan yang selamat.
  • Setelah selesai membuat transaksi pastikan anda membuat logout dengan berjaya dan tutup tetingkap/tab yang telah digunakan. Padamkan juga kod yang dihantar kepada telefon anda untuk transaksi tersebut.

Bagaimana Menggunakan Sistem Tersebut?

Maybank Logo
Maybank2u adalah sistem perbankan internet dari Maybank.

Hampir setiap bank mempunyai sistem perbankan internet sendiri seperti;
  • Maybank – maybank2u.com.my
  • Cimb – cimbclicks.com.my
  • RHB – rhb.com.my
  • BSN – mybsn.com.my
  • Agrobank – agrobank.com.my
  • Affin Bank – affinonline.com
  • Bank Islam – bankislam.com.my
  • Bank Muamalat – i-muamalat.com.my
  • Bank Rakyat – irakyat.com.my
  • Public Bank – pbebank.com / publicbank.com.my
  • OCBC – internet.ocbc.com.my
  • Hong Leong Bank – hlb.com.my
  • AmBank – ambank.amonline.com.my
  • Standard Chartered – ibank.standardchartered.com.my
  • HSBC – hsbc.com.my / hsbcamanah.com.my

Anda hanya perlu meminta pihak bank mengaktifkan akaun anda untuk kegunaan perbankan internet. Beberapa syarat mungkin diperlukan sebelum anda boleh menggunakan sistem ini dengan selamat. Patuhi arahan yang diberikan bagi memastikan keselamatan wang anda sentiasa terjamin.

Adalah dengan itu diharap kita sama-sama dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini bagi memudah dan menjimatkan lagi masa yang kita luangkan untuk urusan-urusan yang mampu diselesaikan melalui perbankan internet.

Mungkin anda akan mengalami sedikit kejanggalan semasa mula-mula menggunakannya tapi setelah beberapa kali membuat transaksi anda mungkin tidak akan membuang masa untuk beratur lagi.



Free Download




No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...