Tuesday, May 27, 2014

Beberapa Keunikan Dunia Serangga I

Hercules Moth
Hercules moth (kupu-kupu Hercules) mempunyai saiz yang kepak yang besar.

Serangga jarang diberikan tumpuan seperti haiwan-haiwan atau hidupan yang lain. Ini mungkin kerana saiznya yang kecil dan sebahagian daripada serangga amat ditakuti manakala sebahagiannya pula menjadi punca pembawa penyakit.

Namun begitu keunikan hidupan serangga juga banyak memberikan manfaat kepada manusia serta hidupan-hidupan lain. Sejak sekian lama manusia menggunakan madu sebagai manisan asli yang dihasilkan oleh lebah, malah khasiat madu dapat membantu manusia dalam mengubati pelbagai penyakit. Lebah juga membantu proses pendebungaan yang memastikan pokok-pokok dapat menjalankan pendebungaan dan menghasilkan biji benih (buah yang juga menjadi sumber makanan kepada manusia).

Serangga lain seperti ulat sutera membekalkan sutera yang dijadikan bahan utama untuk membuat kain sutera yang merupakan salah satu daripada bahan pakaian mewah bagi manusia. Sutera dapat memberikan kualiti pakaian yang lembut, ringan dan sejuk apabila dipakai. Begitu juga serangga-serangga lain yag banyak membantu manusia untuk mendapat inspirasi dalam mereka bentuk peralatan-peralatan lain berilhamkan daripada keunikan dunia serangga.

Sehubungan itu di sini ingin saya kongsikan beberapa fakta menarik tentang dunia serangga bagi kita lebih mengenali keunikan kumpulan hidupan ini antaranya:

Goliath Beetle
Kumbang Goliath yang mempunyai berat menyamai hamster.

Serangga Terberat:

Serangga terberat adalah kumbang Goliath di mana ia boleh mencapai berat menyamai seekor hamster. Berbanding serangga-serangga yang lain seperti nyamuk dan lalat, berat kumbang Goliath ini mungkin beratus/beribu kali ganda.

Giant stick insect
Kalau tiba-tiba hinggap di tangan semua orang akan terkejut kan!

Serangga Terpanjang:

Ulat Ranting Gergasi, Indonesia (Indonesian Giant Stick Insect) merupakan serangga terpanjang dengan ukuran mencapai 33 centimeter. Keunikan serangga ini bukan sahaja kerana saiznya malah apabila berada pada dahan pokok adalah amat sukar untuk memastikan kehadirannya.

Monarch butterfly
Rama-rama Monarch bukan sahaja cantil tetapi amat terkenal kerana perjalanannya selain beracun.

Perjalanan Terjauh:

Rama-rama Monarch melakukan perjalanan terjauh setiap tahun iaitu dari Canada hingga ke Mexico. Perjalanan tersebut adalah berjarak sekitar 3,500 kilometer. Ia juga merupakan antara serangga yang popular selain daripada ia juga adalah rama-rama yang beracun dan memiliki warna yang garang (bewarna oren pekat).

Pelari Terpantas:

Lipas tropika merupakan terpantas di dalam dunia serangga. Dengan kelajuan melebihi kepantasan 5 kilometer sejam. Ini kerana kebanyakan serangga boleh terbang ataupun melompat. Jadi saiznya yang kecil menjadikan mereka hidupan yang perlahan semasa bergerak. Ini menjadikan lipas tropika sebagai juara dalam bahagian ini.

Serangga Terbesar:

Kupu-kupu Hercules emperor merupakan serangga terbesar kerana mempunyai kepak dengan saiz keseluruhan adalah menyamai saiz pinggan makan malam. Terdapat juga kupu-kupu lain yang bersaiz besar seperti kupu-kupu atlas yang juga agak besar dan terdapat di kawasan tropika.


Itu mungkin beberapa bahagian daripada keunikan dunia serangga yang ingin saya kongsikan terlebih dahulu. Mungkin dalam artikel yang lain saya akan kongsikan beberapa lagi keunikan kumpulan hidupan yang adakalanya ditakuti ini. Melalui pengenalan ini diharap kita dapat mempelajari serba sedikit keunikan dan mendapat manfaat daripada pengetahuan tersebut.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...