Rabu, 8 April 2015

Keistimewaan Telur Burung

Bird eggs
Telur burung mempunyai keunikan dari segi rupa bentuk dan warna. Photo by: Link

Rupa bentuk, warna dan saiz telur-telur burung amat berbeza di antara satu spesis dengan spesis yang lain. Banyak perkara yang mempengaruhi fizikal telur-telur burung ini bagi memenuhi fungsinya supaya bersesuaian dengan gaya hidup dan persekitaran sesuatu spesies.

Bentuk, warna dan ketebalan cengkerang amat penting bagi memastikan telur-telur burung berada dalam persekitaran yang selamat (sehingga anak burung berjaya menetas). Bentuk telur yang sedikit bujur dan tirus sebenarnya dapat mengelakkan telur mengolek jauh dari tempat asalnya. Manakala warna telur-telur burung ini biasanya mempunyai corak yang mengelakkan ianya daripada mudah dikesan musuh.

Itu adalah fungsi asas telur-telur burung dan jika dilihat dengan lebih teliti setiap spesies mempunyai ciri-ciri telur yang unik seperti berikut;

African Jacana (Actophilornis africanus)

Burung yang tinggal di pesisir pantai ini mempunyai sarang yang di buat di atas air. Sarangnya yang diperbuat daripada rumput yang agak ringkas ini mudah tenggelam apabila burung ini mula naik ke sarang seterusnya menenggelamkan telur-telurnya ke dalam air. Antara keistimewaan telur burung ini adalah, ianya kalis air.

Fork-tailed Storm-petrel (Oceanodroma furcata)

Berbeza pula dengan burung yang mendiami bahagian dingin Alaska ini, telur-telurnya perlu bertahan bagi persekitaran cuaca sejuk yang panjang. Ini kerana burung-burung ini juga akan meninggalkan sarangnya untuk tempoh masa yang agak lama untuk mendapatkan makanan. Selain daripada mampu bertahan dalam suhu dingin yang tinggi, tempoh pengeraman telur boleh dilewatkan sekiranya ibu burung terlalu banyak meninggalkan sarang.

different types of eggs
Telur-telur pelbagai jenis. Photo by: thegraphicsfairy.com

Common Murre (Uria aalge)

Burung ini pula mendiami cerun-cerun tinggi di pesisir pantai. Selain daripada bertelur tanpa sarang telur-telur mereka juga adalah terletak terus di atas pasir dan batu. Bentuk bujur tirus telur inilah yang mengelakkan ia daripada bergolek jauh dari tempat asalnya.

Satu lagi keistimewaan telur burung ini adalah kulitnya amat kalis kepada air supaya ianya mudah dibersihkan. Apabila percikan air mengenai kulitnya ia akan turut membawa kotoran yang terlekat pada permukaan telur ini.

Malleefowl (Leipoa ocellata)

Berbeza dengan kebanyakan burung lain yang mengeramkan telurnya burung ini pula menimbuskan telur-telur mereka seperti penyu untuk membantu telur supaya berada dalam keadaan yang panas untuk menetas. Bagi memastikan telur ini boleh bernafas, telur ayam ini mempunyai cengkerang yang nipis dan liang-liang udara yang lebih besar.

Selain daripada itu juga telur burung ini mempunyai saiz yang agak besar (berbanding saiz burung ini). Oleh kerana anak yang telah menetas akan mencari makanan sendiri tanpa pengawasan induknya, anak-anak ini perlu berada dalam keadaan yang betul-betul kuat. Jadi telur burung ini sebenarnya mengandungi bahagian kuning (yolk) yang banyak untuk memastikan tumbesaran anak burung yang kuat.

Hoopoe (Upupa epops)

Burung hoopoe pula membina sarang nya di dalam lubang-lubang kayu. Setelah bertelur burung ini akan menyaluti telur-telurnya dengan cecair melekit berwarna coklat. Bakteria yang terkandung di dalam lendiran tersebut akan menghasilkan protein anti-mikrob yang mengelakkan telur ini dijangkiti sebarang jangkitan. Telur-telur ini juga mempunyai kawah-kawah kecil bagi membolehkan lendiran melekat dengan sempurna.

Black Tern (Chlidonias niger)

Burung ini membina sarangnya menggunakan pepohon/dedaun yang lembab (tinggal di kawasan berair) yang terapung. Oleh kerana kelembapan yang tinggi telur-telur burung perlu mengurangkan sedikit kelembapannya iaitu sekitar 15%. Untuk itu telur burung ini mepunyai liang yang lebih berbanding dengan telur jenis burung yang sama yang bertelur di tanah yang kering.

Gorund Bird's eggs
Telur burung di atas tanah mudah menjadi sasaran musuh. Photo credit: Wordpress.com

Japanese Quail (Coturnix japonica)

Burung ini akan mencari persekitaran yang mempunyai persamaan dengan corak telurnya nanti. Bagi memastikan telurnya sukar dikesan, burung betina akan memastikan persekitaran tempatnya bertelur dapat mengelakkan telurnya dilihat dengan mudah. Jadi burung ini perlu mengetahui corak telurnya sendiri sebelum bertelur!

Great Tinamou (Tinamus major)

Burung ini mempunyai kaedah yang lebih pelik. Selain daripada mempunyai telur yang berwarna lebih terang dan berkilat dari burung itu sendiri. Ia adalah spesies burung yang bertelur di atas tanah. Burung ini akan bertelur pada sarang yang sama – dengan jumlah telur yang lebih banyak dari biasa (kebiasaan seekor burung) – ini kerana kebiasaannya musuh tidak akan dapat menghabiskan keseluruhan telur-telur itu.

Ostrich (Struthio camelus)

Burung unta mempunyai telur yang amat besar dan juga cengkerang yang tebal dengan bentuk yang agak bulat. Kulit cengkerangnya yang tebal membolehkan seorang lelaki dewasa berdiri di atasnya. Selain itu juga telur burung ini berwarna putih terang – membuatkan ia mudah kelihatan di atas tanah. Namun begitu ia dapat memantulkan panas terik matahari di kawasan gurun di mana kawasan Ostrich tinggal.


Ya, begitulah beberapa keistimewaan telur-telur burung yang dapat dipaparkan. Malah terdapat banyak lagi keistimewaan yang perlu dipelajari dari setiap haiwan-haiwan ini yang mungkin dapat disampaikan pada masa-masa akan datang.


Free Download



Selasa, 7 April 2015

Mikro Post; Hermit Crab (Umang-umang)

Hermit crab on sand
Umang-umang berjalan di persisir pantai.

Hermit Crab atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai umang-umang amat unik kerana ianya adalah sejenis hidupan yang menyerupai ketam namum memerlukan rumah (biasanya cengkerang siput yang telah kosong) yang akan dibawa ke sana-sini bagi melindungi bahagian badannya yang lembut.

Walaupun menyerupai ketam, umang-umang mempunyai spesisnya sendiri dan terdiri daripada 1100 spesis yang diketahui. Walaupun umang-umang pada kebiasaannya menggunakan cengkerang siput untuk dijadikan sebagai ‘rumah’ perlindungan baginya, terdapat juga umang-umang yang menggunakan batu atau kayu yang kosong sebagai bahan perlindungan.

Hermit crab body
Badan umang-umang yang lembut mudah dijadikan makanan hidupan lain.

Umang-umang mendiami laut pada pelbagai kedalaman samada di pinggir pantai, perairan cetek mahupun pada bahagian yang lebih dalam. Di kawasan tropika terdapat umang-umang yang tinggal di daratan (seperti juga spesis ketam darat dan ketam kelapa). Namun begitu ia tetap akan ke laut untuk bertelur dan menetaskan anak-anaknya. Selain itu juga kebanyakan umang-umang ini keluar pada waktu malam untuk mencari makanan.

Masalah paling besar bagi umang-umang adalah apabila ia semakin membesar, ia perlu mendapatkan cengkerang yang lebih besar bagi membolehkan ia berada dalam keadaan yang selesa. Keadaan kulit siput yang sempit akan menyebabkan pembesarannya terbantut dan kemungkinan kehilangan tempat perlindungannya yang amat berharga itu. Anda mungkin akan terkejut apabila melihat persaingan antara umang-umang dalam merebut kulit siput kosong ini untuk dijadikan sebagai tempat perlindungan. Persaingan ini mungkin boleh menyebabkan umang-umang berbunuhan sesama sendiri.

hermit crab - sea anemones
Umang-umang dengan buran laut (sea anemones).

Bagi sesetengah spesis yang lebih besar pula, langkah keselamatan turut menggunakan buran (sea anemones) bagi menakutkan pemangsa. Ini kerana ‘sea anemones’ mempunyai sesengat beracun yang boleh mengakibatkan kematian kepada pemangsa tersebut. ‘Sea anemones’ akan mendapat manfaat daripada sisa makanan umang-umang sebagai salah satu ganjaran daripada perkongsian ini.

Bagi memberikan anda gambaran yang lebih jelas mengenai persaingan sengit kehidupan umang-umang dalam mendapatkan perlindungan (cengkerang siput), bolehlah menonton video di bawah untuk kefahaman yang lebih jelas.






Free Download



Ahad, 5 April 2015

Mikro Post: Chameleon

Panther Chameleon
Chameleon atau sesumpah mempunyai kelebihan menarik.
Chameleon atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai sesumpah amat terkenal dengan keunikannya yang mampu bertukar warna mengikut keadaan. Perkara ini telah lama menjadi tanda tanya kepada manusia – bagaimana ia mapu menukar warnanya?

Sesumpah mempunyai binaan kulit yang amat unik.  Kulit haiwan ini mempunyai lapisan nanocrystal yang mengawal pantulan cahaya yang menyebabkan warnanya kelihatan berbeza-beza. Jarak di antara nanocrystal inilah yang menentukan jarak gelombang cahaya yang akan dipantulkan.

Melalui hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Geneva dan kumpulannya iaitu Prof. Michel Milinkovitch yang mengkaji sesumpah dari jenis ‘Panther Chameleon’ (Fucifer pardalis), iaitu spesis dari Madagascar yang mempunyai warna paling menarik di dalam kumpulan sesumpah. Kajian tersebut diterbitkan di dalam Nature Communication melalui pengamatan menggunakan spectroscopy.


chameleon in relax
Sesumpah dalam keadaan biasa.

Berbanding dengan kebanyakan spesis lain yang biasanya yang mempunyai beberapa lapisan pigmen warna di bawah kulit mereka, sesumpah mempunyai kaedah yang berbeza dalam menukarkan warnanya. Melalui satu lapisan sel yang dipanggil iridophores yang mengandungi susunan nanocrystal daripada ‘guanine’ – iaitu salah satu komponen penting bagi DNA.

Susun atur nanocrystal guanine ini akan berada dalam keadaan yang baik pada keseluruhan sel, dimana jarak di antaranya mempengaruhi warna sel ini. Semasa berada dalam keadaan yang tenang crystal ini tersusun dalam rangkaian yang rapat memantulkan kebanyakan cahaya biru. Apabila teruja, sesumpah akan kehilangan susunatur nanocrystal ini sebanyak 30% dan menyebabkan pantulan cahaya kuning dan merah.


nanocrystals and reflected lights
Susunatur nanocrystal dan cahaya yang dipantulkan.

Walaupun para pengkaji masih lagi cuba menghuraikan bagaimana sesumpah menyebabkan perubahan ini berlaku, ia mungkin disebabkan oleh proses pengembangan atau penguncupan sel yang menyebabkan crystal tersebut mempunyai ruangan yang besar ataupun kecil.

Namun begitu warna pada sesumpah turut dipengaruhi oleh warna pada lapisan atas sel kulitnya dimana cahaya ditapis menembusinya mengandungi pigmen merah dan kuning.

Ya, perubahan boleh berlaku pada manusia juga secara luar kawal seperti apabila merasa malu atau marah dimana kesan pengaliran darah pada kulit merubah warna pada wajah kita. Mungkin ini apa yang berlaku pada haiwan ini. Namun begitu mekanisma yang menyebabkan perubahan cahaya ini adalah begitu unik sekali dan mungkin boleh membawa manfaat suatu hari nanti. Apa yang pasti, ianya adalah sesuatu yang amat unik.







Free Download



Sabtu, 4 April 2015

Haiwan-haiwan Bertukar Warna

chameleon
Selebriti yang paling terkenal dalam dunia 'camouflage'.
(Credit: Michel C Milinkovitch)

Keunikan haiwan yang mampu menukar warna samada mengikut persekitaran mahupun dalam berhadapan dengan sesuatu situasi amat menarik untuk diperhatikan. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari haiwan-haiwan ini dan manfaatnya kepada manusia di masa-masa akan datang.

Jika diperhatikan dengan terperinci, terdapat banyak haiwan yang mampu menukar penampilan mereka dalam berhadapan dengan sesuatu situasi. Selain daripada bertukar warna, haiwan seperti kumpulan sotong (cephalopod) menukar fizikal mereka yang akan menyerupai persekitaran. Haiwan-haiwan lain pula akan menukar warna bulu-bulu mereka mengikut musim.

Kepantasan haiwan-haiwan ini bertukar warna juga berbeza-beza mengikut spesies. Sotong antaranya merupakan haiwan yang mampu menukar warna dan fizikalnya dengan pantas sekali. Manakala sesumpah (chameleon) akan mengambil masa beberapa minit untuk bertukar (atau lebih pantas). Berbeza pula dengan haiwan-haiwan seperti ‘ptarmigan dan ‘snowshoe hare pula akan bertukar mengikut musim - kitaran empat musim.

Maka dengan itu, kemahiran bertukar warna dan fizikal ini merupakan salah satu ciri-ciri yang dimiliki oleh banyak hidupan di bumi. Walaupun dengan kaedah yang berbeza, namun tindakan menukar fizikal dan rupa ini adalah satu kemahiran penting di dalam alam terutamanya bagi haiwan yang bersaiz kecil dan sederhana. Tanpa kemahiran ini adalah sukar untuk mereka dalam mendapatkan makanan atau mengelakkan diri dari ancaman musuh.

Berikut adalah beberapa jenis haiwan yang boleh bertukar warna;

Sesumpah – terdapat banyak jenis sesumpah (chameleon) yang boleh hidup di kawasan bersuhu panas dari Afrika, Madagascar, Selatan Eropah, Selatan Asia sehingga ke Sri Lanka. Ia berbeza dengan spesies cicak kecil yang juga boleh bertukar warna yang dikelaskan sebagai anoles – namun ia juga dikenali oleh masyarakt tempatan (Malaysia) sebagai sesumpah.

Cuttlefish
Sotong merupakan haiwan yang paling mahir menukar warna dan fizikal.

Sotong – sotong terdiri dari satu kumpulan pelbagai spesies yang besar dikenali sebagai Cephalopod – ini termasuklah octopus, squid dan juga cuttlefish (nama umum bagi kesemua spesies ini adalah sotong bagi masyarakat Malaysia). Bagi haiwan-haiwan ini pula, kemahiran mereka dalam menukar warna dan fizikal menyerupai persekitaran adalah amat hebat sekali. Pertukaran ini mengambil masa amat singkat dengan kesan yang paling efektif. Selain untuk berburu, pertukaran warna ini juga sering digunakan dalam berinteraksi antara mereka.

Flounder
Ikan 'flounder' dan persekitaran yang sama.

Ikan – terdapat juga jenis-jenis ikan yang boleh menukar warna mereka antaranya adalah ikan sebelah (flounder) dan juga ikan dari kumpulan acanthuridae yang mendiami kawasan terumbu karang. Ikan flounder memburu di perairan cetek dan kemahirannya menukar warna membantunya untuk memburu dan daripada dilihat dengan mudah oleh musuh – namun begitu ia sering menjadi mangsa kepada burung helang.

Burung – Burung dari  spesies ptarmigan juga bertukar warna mengikut musim. Oleh kerana ia tidak berpindah seperti brurung-burung lain, kemahirannya menukar penampilannya mengikut persekitaran ini membantu untuk ptarmigan terus mendapat makanan dan perlindungan.

Snowshoe hare
Snowshoe hare pada musim sejuk.

Mamalia – bagi sesetengah mamalia kecil seperti snowshoe hare, Alaskan hareArctic hare dan juga stoat mengubah warna bulu mereka seperti juga ptarmigan untuk menyerupai persekitaran yang putih pada musim sejuk. Perubahan ini penting bagi mengelakkan ia mudah dikesan dalam persekitaran yang memudahkan mereka untuk dilihat.

Amfibia – beberapa jenis katak juga mempunyai kemahiran menukar warna dan yang paling dikenali adalah gray tree frog. Berbeza dengan katak-katak lain, ia menghabiskan masa berada di atas pokok. Oleh kerana terdedah kepada pemangsa – kemahiranya bertukar warna amat membantu untuk mengelakkan serangan musuh.

Golden tortoise beetle
Kepelbagaian warna 'golden tortoise beetle'.

Serangga – selain daripada kumpulan hidupan yang disebutkan di atas. Serangga juga tidak ketinggalan dalam memiliki kemahiran menukar warna ini. Terdapat beberapa spesies labah-labah dan juga kumbang yang boleh bertukar warna. Serangga seperti golden tortoise beetle misalnya mempunyai keunikan bertukar warna mengikut musim atau apabila diganggu.


Jadi itulah dia sebahagian daripada hidupan yang mempunyai kemahiran dalam menukar warna dan fizikal mereka untuk pelbagai tujuan. Sekiranya anda rasakan ia merupakan kemahiran yang hanya dimiliki oleh segelintir hidupan sahaja, maka dengan ini dapat menambahkan lagi pandangan anda kepada skop yang lebih luas. Walaupun sesumpah merupakan haiwan yang paling popular dalam dunia penukaran warna – kumpulan sotong masih lagi merupakan juara dalam pertandingan ini.








Free Download



Khamis, 2 April 2015

Mikro Post; Archerfish

banded archer fish
Archerfish bukan sahaja cantik tetapi pembunuh berkemahiran tinggi.

Archerfish juga dikenali sebagai ikan sumpit atau ikan pemanah yang mendiami persisir air payau dan berhampiran dengan laut. Ikan ini terkenal dengan kemahirannya memanah serangga yang hinggap di dedaun berhampiran gigi air. Lantaran kemahiran ini ia sering dijadikan kajian malah juga turut menjadi buruan utama peminat ikan hiasan.

Archerfish boleh didapati daripada beberapa kawasan asalnya iaitu di India, Asia Tenggara, Australia dan Barat Pacific. Tergolong dari keluarga Toxotodae dari satu genus sahaja dan terdapat 7 spesis. Oleh kerana ia jarang dibiakkan di dalam akuarium ikan yang terdapat di pasaran adalah ikan yang ditangkap dari habitat liar. Ikan ini mempunyai saiz yang sederhana iaitu antara 5 – 10 cm dan spesis T. Chatareus boleh mencapai sehingga 40 cm (16 in.).

archerfish in group
Panahan archerfish yang tepat dalam jarak 1 - 2 meter.

Keistimewaan ikan ini yang paling dikenali adalah kemampuannya menyumpit air sehingga ketinggian mencecah 5 m (16 kaki) dan memanah serangga sehingga ketinggian 1 -2 m (3 – 6 kaki) dengan tepat. Ketepatan inilah yang menjadikan ikan sumpit sebagai pemburu serangga yang paling berkesan malah turut digunakan di Kew Garden sebagai pengawal serangga di dalam kolam-kolam teratainya. Selain memburu menggunakan sumpitan, ikan pemanah juga boleh melompat untuk menyambar terus mangsanya sehingga ketiggian 30 cm dari permukaan air.

Ketepatan sumpitan ikan archerfish sebenarnya adalah berasal daripada kemahiran yang dilatih ikan itu sendiri. Ini kerana ia perlu mempelajarinya sedari kecil iaitu apabila berukuran 2 – 3 cm panjang. Semasa mula menggunakan sumpitannya – ketepatan sumpitan tersebut amat jauh berbanding dengan ikan-ikan dewasa yang mahir. Ini kerana kesan biasan air dan jarak seranggan yang berada di dedaunan perlu diukur dengan tepat bagi memastikan sumpitan yang berjaya.

archerfish leap
Archerfish juga boleh melompat menyambar mangsa.

Menurut pengkaji daripada University of Bayreuth di Germany, iaitu Stefan Schuster yang melatih ikan-ikan pemanah ini dari jenis Toxotes jaculatrix dan merakamkan aksi panahan ikan dengan kamera berkelajuan tinggi mendapati sumpitan ikan ini mempunyai kemampuan untuk menumpukan seluruh daya panahan air tersebut apabila tepat mengenai sasaran.

Perkara ini dilakukan dengan mengawal bentuk bukaan mulutnya sewaktu membuat sumpitan. Sekiranya tekanan air ini difokuskan lebih awal ia akan pecah sebelum mengenai sasaran.  Jadi inilah kemahiran yang dipelajari ikan-ikan pemanah sedari kecil bagi menjadi pemburu pemanah yang berkesan.


Sekiranya anda berfikir ikan-ikan ini sememangnya mahir memanah adalah amat tidak tepat. Haiwan juga sebenarnya perlu berusaha keras untuk menguasai kemahiran dalam kehidupan dan bagi yang gagal, keputusannya jelas. Mangsa!...


*ikuti video berikut dimana ikan pemanah (archerfish) ini belajar menggunakan sumpitan jet airnya.







Free Download



Rabu, 1 April 2015

Keenakan dan Keunikan Umai


Umai Sarawak
Umai tetap menjadi makanan unik masyarakat Sarawak.

Umai merupakan makanan tradisi Kaum Melanau di Sarawak. Merupakan antara makanan tempatan yang paling popular kerana keunikannya. Walaupun menggunakan bahan yang ringkas, umai tetap merupakan makanan yang sering dikaitkan dengan Bumi Kenyalang, ini kerana ianya tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Umai disediakan dengan bahan utamanya iaitu ikan segar (ikan kembung ataupun bawal), cili besar atau cili padi, bawang merah, halia dan garam. Bahan-bahan lain juga boleh ditambah mengikut kesesuaian.

Longest Umai
Umai terpanjang yang disediakan di Dalat, Sarawak.

Sehingga hari ini umai merupakan antara makanan yang disediakan di seluruh Sarawak dan tidak lagi hanya menjadi hidangan unik Kaum Melanau. Keenakan makanan ini ditambahkan lagi dengan sumber makanan laut segar yang mudah didapati di Sarawak. Walaupun negeri ini semakin meningkat dengan arus permodenan, makanan tradisi istimewa ini tetap menjadi kebanggaan masyarakat di Sarawak.


Pada tahun 2012 umai terpanjang disediakan semasa pesta ‘Masihkah Kau Ingat’ di Dalat, dengan kepanjangan mencecah sehingga 170.3 meter. Ia merupakan penghargaan masyarakat di sini yang menganggap umai merupakan salah satu makanan yang melambangkan identiti negeri.



Free Download



Ahad, 29 Mac 2015

Mikro Post; Formula One 2015

Mercedes AMG Petronas F1 car
Kerata yang digunakan oleh Mercedes AMG Petronas F1 bagi tahun 2015.

Formula One merupakan sukan permotoran yang terpaling berprestig di dunia dan disertai oleh nama-nama besar dalam sector teknologi pembuatan kereta. Dikelolakan oleh Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) dalam menentukan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta yang juga dinamakan sebagai “formula”. Bagi setiap musim perlumbaan setiap pasukan akan menyertai beberapa siri perlumbaan di serata dunia dan mengumpulkan mata kemenangan bagi menentukan pasukan yang akan muncul sebagai juara.

Bagi pengeluar-pengeluar kereta pertandingan Formula One merupakan tempat membuktikan kehebatan teknologi masing-masing, walaupun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kemenangan – namun kemengan di dalam Formula One adalah tidak ternilai. Kemenangan di dalam perlumbaan ini tetap dianggap sebagai salah satu bukti penting kemampuan sesebuah pengeluar kereta (pembina teknologi engin).

Mercedes PU106B Hybrid
Enjin kereta F1 2015 - Mercedes PU106B Hybrid

Kereta Formula One merupakan kereta yang terpaling laju di litar dengan kemampuan mengambil selekoh dalam kelajuan yang tinggi melalui rekabentuk yang aerodynamic yang menghasilkan daya tujahan kebawah (downforce) yang tinggi. Mampu mencapai kelajuan yang tinggi iaitu sehingga 360 km/h (220 mph) dengan engin yang perlu mematuhi syarat tidak melebihi 15,000 RPM (dari tahun 2014).

Bagi tahun 2015 syarat-syarat yang lebih ketat dikenakan berbanding tahun 2014 yang juga mencabar setiap pasukan. Ia merupakan tahun ke-2 kereta Formula One menggunakan engin V6 berbanding dahulunya yang membernarkan kereta-kereta menggunakan V8. Setiap pasukan juga hanya dibernarkan menggunakan sehingga 4 Power Unit untuk keseluruhan musim berbanding 5 bagi tahun 2014. Bagi tahun ini juga berat kereta yang dibenarkan adalah 702kg berbanding pada tahun 2014 iaitu 691kg sahaja.

Walaupun peraturan banyak diberikan kepada rekabentuk enjin dan fizikal kereta, namum peraturan pertandingan juga tidak kurang ketatnya. Disepanjang perlumbaan setiap pasukan perlu memastikan setiap peraturan sentiasa dipatuhi bagi mengelakkan denda – dan ini akan mengurangkan peluang untuk pasukan tersebut muncul juara.

Sepang circuit
Litar Formula One di Sepang, Malaysia.

Bagi pasukan yang muncul pada tahun 2014 iaitu Mercedes AMG Petronas F1 Team dengan pemandunya Lewis Carl Davidson Hamilton diharap dapat mengekalkan sekali lagi kejuaraan tersebut pada tahun ini. Melalui kemenangan pada permulaan di ‘The Australian Grand Prix’ dan berlangsungnya ‘Malaysian Grand Prix’ di Sepang, Malaysia beliau diharap dapat terus mengekalkan lagi prestasi tersebut di 17 litar yang berikutnya.

** video penerangan mengenai peraturan Formula One - 2014.





MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog