Friday, July 3, 2015

Mikro Post: Keunikan Pulasan

Pulasan seperti rambutan namun lebih besar dan berkulit tebal.

Pulasan merupakan buah yang unik, ia mempunyai nama yang sedikit kerana hanya terdapat di beberapa buah negara sahaja iaitu ‘pulasan’ di Malaysia, ‘kapulasan’ di Indonesia, ‘ngoh-khosan’ di Thailand, dan ‘bulala’ atau ‘panungayan’di Philippines. Mempunyai rupa bentuk seakan-akan buah rambutan dan lychee, buah pulasan bersaiz agak besar, manakala rambutnya adalah lebih kasar dan rasanya lebih manis.

Buah pulasan atau nama saintifiknya Nephelium mutabile merupakan satu lagi buah yang unik kepada Asia Tenggara sahaja. Ia didapati tumbuh di kawasan hutan tanah rendah di pinggiran sungai yang tidak berpaya yang kebiasaannya bertanah pasir atau tanah liat. Namun begitu buah pulasan ditanam hanya dalam keluasan yang sedikit di Malaysia dan Thailand dengan beberapa variasi cuba dihasilkan di Malaysia.


Pokok pulasan dewasa.
Daun pulasan sedikit panjang dan berwarna terang berbanding rambutan.
Bunga pulasan kelihatan sama seperti bunga rambutan.

Secara kasar pokok pulasan amat mirip kepada pokok rambutan dengan sedikit perbezaan sahaja – bentuk daunnya yang lebih panjang dan warna yang agak terang (ia kelihatan sedikit bergulung). Mencapai ketinggian 30 – 45 kaki (9-14 meter) dan mempunyai rimbunan daun yang berbentuk membulat. Ia juga mempunyai bunga yang seakan-akan rambutan – cuma apabila ia menjadi buah, ia kelihatan lebih besar, bewarna merah gelap (apabila masak) dan rambut yang agak kasar.

Pulasan merupakan tumbuhan asal di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan rendah di sekitar Perak, ia juga terdapat di Philippines di kawasan sekitar Luzon ke Mindanao. Di Malaysia dan Thailand pokok pulasan kebiasaannya ditanam manakala di Philippines ia merupakan tumbuhan meliar. Manakala di Indonesia juga dikatakan terdapat kawasan penanaman pulasan di sepanjang jalan keretapi di antara Bogor dan Jakarta.

Pulasan, buah unik kepada Asia Tenggara.
Jadi sekiranya anda terjumpa buah ini dijual nanti bolehlah mencubanya kerana ia tidak terdapat di tempat lain. Bagi yang berminat untuk menanamnya pula bolehlah mencari anak benih pokok pulasan untuk ditanam di persekitaran rumah atau di dusun buah-buahan anda.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

1 comment:

  1. Assalamualaikum...dekat mna saya bole dapatkan buah pulasan sbb org rumah mengidam...

    ReplyDelete

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...