Memaparkan catatan dengan label rempah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rempah. Papar semua catatan

Khamis, 6 Ogos 2020

Rempah-rempah Yang Menjadi Kebiasaan Dalam Masakan Malaysia dan Nusantara

Rempah amat penting dalam kuantiti yang sedikit di dalam masakan, sebagai penambah rasa.

Rempah merupakan bahan perasa makanan yang penting, selain daripada bahan perasa asas yang memberikan rasa, manis (gula), masin (garam) dan masam (limau). Rempah juga adakalanya membantu dalam proses pengawetan makanan atau mengelakkan bahan makanan daripada cepat rosak.

Rempah digunakan dalam masakan di seluruh dunia, namun rempah-rempah yang digunakan adalah berbeza mengikut kawasan-kawasan tertentu (faktor geografi). Kebiasaanya rempah yang digunakan adalah daripada sumber yang diperolehi di kawasan yang sama ataupun berhampiran. Namun, dengan kepesatan perdagangan melalui kemudahan sistem pengangkutan, hari ini rempah-rempah ini boleh diperolehi hampir di seluruh dunia.

Kebiasaannya rempah digunakan dalam jumlah yang sedikit, sesuai sebagai fungsinya iaitu penambah rasa dan bukan sebagai bahan utama masakan. Namun begitu rempah turut mempunyai khasiat tertentu disamping membangkit aroma makanan. Rempah-rempah sering juga digunakan sebagai bahan perubatan alternatif sejak dahulu lagi. Maka tidak hairanlah mengapa rempah-rempah ratus ini, tetap menjadi bahan penting kepada kita sejak turun-temurun.

Berikut adalah sebahagian daripada rempah-rempah asas yang sememangnya menjadi bahan penting dalam masakan kita masyarakat Melayu ataupun masyarakat serumpun Nusantara. Maka mengenali rempah ini merupakan kemahiran asas baik lelaki mahupun perempuan. Kebiasaanya kita samada hanya pernah melihat ataupun mendengar namanya. Jadi sebaiknya kita turut mengenal rupa dan fungsinya dengan lebih dekat lagi mengenai rempah-rempah ini.

1. Kayu manis (Cinnamon)

2. Halba (Fenugreek Seeds)

3. Bunga cengkih (Clove)

4. Lada hitam (Black Pepper)

5. Lada sulah (White Pepper)

6. Bunga lawang (Star Anise)

7. Buah keras (Candlenut)

8. Jintan manis (Anise)

9. Jintan putih (Cumin)

10. Jintan Hitam atau Habbatussauda (Black Seeds)

11. Ketumbar (Coriander)

12. Buah pelaga (Cardamon)

13. Biji sawi (Mustard Seeds)

14. Buah Pala (Koreka Nutmeg)

15. Kunyit (Turmeric)

16. Halia (Ginger)

17. Lengkuas (Galangal)

18: Asam Keping (Garcinia atroviridis)

19. Asam Jawa (Tamarind)

20. Cili (Chili)

21. Bawang merah (Shallot)

22. Bawang putih (Garlic)

23. Serai (Lemongrass)

24. Limau purut (Kaffir lime)

25. Daun salam (Bay leaf)

26. Daun selasih (Basil)

Kita samada pernah melihat atau mendengar namanya, namun tidak mengenalinya dengan lebih dekat. 

Jika dilihat di sini, senarai rempah ini merangkumi beberapa bahan yang tidak disenaraikan dalam artikel-artikel yang lain. Mungkin kebanyakan kita terlepas pandang bahawa bahan-bahan seperti cili, bawang merah dan bawang putih juga adalah sebahagian daripada bahan rempah. Jadi, di sini kami sertakan semula supaya ia kembali ke senarai rempah yang biasanya digunakan dalam masakan.

Walaupun dalam artikel ini tidak diterangkan lebih lanjut setiap rempah mengenai fungsi ataupun ciri-ciri asasnya. Kami bercadang untuk membuat artikel berasingan berkenaan nya - bagi mengelakkan artikel yang terlalu panjang dan membosankan. Jadi ikuti link-link yang disediakan pada senarai tersebut.

Kami juga bercadang untuk menyenaraikan senarai rempah-rempah bagi masyarakat di kawasan lain di dunia supaya kita dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana masakan kita berbeza-beza mengikut benua. Ia juga antara lain memudahkan untuk kita untuk mempelajari cara masakan mereka - di mana perbezaan utamanya adalah dari jenis rempah yang digunakan.

Jadi teruskan bersama kami untuk artikel-artikel yang akan datang. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau perkara yang ingin disampaikan, sila tuliskan di ruangan komen. Pendapat dan pandangan anda amat dihargai.


Isnin, 12 Jun 2017

Herba-Herba Yang Boleh Ditanam Di Dalam Rumah


Penggunaan herba dalam masakan merupakan antara faktor utama menjadikan makanan menyelerakan. Sehubungan itu, penanaman herba di dalam rumah (di ruang dapur terutamanya) merupakan satu perkara yang bukan dikira asing lagi. Tambahan pula herba-herba ini dapat menyegarkan lagi ruangan dapur di samping sebagai sebahagian daripada hiasan ruangan dapur anda.

Herba-herba yang dipilih untuk tanaman dalaman adalah herba yang bersaiz kecil, memerlukan jumlah cahaya yang sederhana, dan penjagaan yang minimum. Namun begitu, ini tidak bermaksud ia tidak memerlukan penjagaan langsung. Kebiasaannya, pokok herba mengalami renjatan apabila dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain; jadi pastikan perubahan ini tidak terlalu drastik sewaktu anda mengalihkannya daripada tempat pembelian (nursery) dan apabila dibawa pulang ke rumah.

Adapun antara herba-herba yang sesuai untuk ditanam di dalam rumah adalah antaranya seperti berikut;


Pegaga - Pegaga (Centella asiatica) sesuai dijadikan ulam, selain boleh dimasak sebagai bahan campuran. Pegaga yang sihat mempunyai daun yang hijau dan ini menambahkan lagi seri di ruang dapur.


Daun Saderi - Daun saderi (Apium graveolens) mudah hidup apabila direndamkan di dalam air. Namun untuk membesar, ia perlu dialihkan ke dalam bekas yang mempunyai tanah dengan pembajaan yang cukup. Saderi dapat membangkitkan bauan makanan seperti sup dan ia sesuai juga dimakan mentah.


Pudina - Pudina (Mentha × piperita) memberikan rasa yang menyegarkan. Walaupun jarang digunakan dalam masakan Melayu, ia masih mudah diterima kerana pudina digunakan dalam banyak barangan seharian seperti; ubat gigi, ice-cream, gula-gula getah dan biskut. Malah anda boleh mencampurkan pudina ke dalam teh anda untuk merasai kesegaran teh pudina.


Kucai - Kucai (Allium tuberosum) tumbuhan bebawang namun bukanlah bawang. Bahagian yang biasa digunakan pada tumbuhan ini adalah daunnya. Kucai menaikkan aroma makanan dan sesuai untuk makanan goreng ataupun berkuah. Berasal daripada China, ia telah lama digunakan di dalam masakan banyak masyarakat di dunia.


Rosemary – Rosemary (Rosmarinus officinalis) merupakan herba yang berasal dari kawasan Mediterranean dan banyak digunakan dalam masakan-masakan Eropah dan Barat. Namun ia merupakan herba yang semakin diterima ramai. Ia boleh ditanam di kawasan beriklim tropika dengan penjagaan yang baik.


Kesum – Daun Kesum (Polygonum minus) kebiasaannya tumbuh di kawasan berair seperti tali air dan paya. Namun ia masih boleh ditanam di dalam bekas dengan penjagaan yang baik. Penggunaan kesum amat penting di dalam masakan seperti ‘asam pedas’ dan juga ‘laksa’. Ia juga merupakan tumbuhan yang mudah dijaga.


Kemangi – Juga dikenali sebagai selasih Thai (Ocimum basilicum) merupakan antara herba yang banyak digunakan di dalam masakan Thai dan Vietnam. Malah terdapat dari jenis selasih (basil) ini yang biasa ditanam di US. Selasih Thai merupakan ramuan penting dalam penyediaan masakan ‘kari merah’ dan ‘kari hijau’ Thai.


Tulasi - Tulasi juga dipanggil thulasi, atau holy basil (Ocimum tenuiflorum) dan di dalam masakan Thai ianya dikenali sebagai Thai holy basil; merupakan tumbuhan berbeza daripada kemangi (Ocimum basilicum). Selain untuk masakan Tulasi juga digunakan untuk merawat beberapa masalah kesihatan.


Thyme - Thyme (Thymus vulgaris) merupakan tumbuhan berusia pendek yang kecil. Ia bagaimanapun mudah ditanam dengan keratan batang ataupun biji benih. Thyme adalah herba yang mempunyai aroma yang lebih baik berbanding ‘oregano’ dan lebih manis berbanding ‘sage’.


Taragon - Taragon (Artemisia dracunculus) ditanam untuk fungsi utamanya sebagai herba kulinari terutamanya di dalam masakan Perancis. Taragon sesuai digunakan untuk masakan ayam, ikan dan juga telur. Malah ia juga digunakan untuk menghasilkan ‘cuka taragon’.


Daun Bawang – Bawang kecil dari pelbagai spesies (Allium cepa) paling mudah ditanam di dapur malah daunnya sesuai digunakan untuk menambah perisa sebarang makanan daripada telur goreng, nasi goreng, masakan ikan, ayam dan sebagainya. Jadi, daun bawang ini adalah herba pertama yang anda perlu tanam memandangkan peluang keberhasilan anda adalah 90%.

Banyak herba-herba yang mudah hidup di ruangan dapur. Bagi anda yang biasa ke dapur tentu arif dengan herba-herba yang biasa digunakan. Apa kata, setiap lebihan bahan tersebut direndamkan di dalam air. Sekiranya ia bercambah dan menunjukkan perkembangan yang positif, alihkan sahaja ke dalam bekas tanaman dengan kandungan tanah yang sesuai. Perkembangan tersebut menunjukkan ia berada dalam suasana yang sesuai.

Antara lain menanam herba di dapur dapat memastikan anda mendapat bekalan herba yang segar selain daripada bebas daripada penggunaan racun serangga atau bahan kimia lain (selagi anda tidak menggunakan ke atasnya). Ia juga dapat menjimatkan kerana anda akan mengambilnya terus mengikut sukatan yang diperlukan. Maka tiada pembaziran untuk lebihan herba yang perlu dibuang kerana ianya masih lagi berada pada pokoknya.


Tanaman sebegini antara lain melatih anda untuk berjinak-jinak dengan tanaman herba yang lebih besar untuk diusahakan di sekitar rumah pula. Maka dengan itu, bermula secara kecil-kecilan memberikan anda lebih kefahaman mengenai penjagaan pokok-pokok herba tersebut. Mungkin satu hari nanti anda boleh menjualnya pula.


Free Download




Sabtu, 21 Mei 2016

Mengenal Lebih Dekat Kulit Kayu Manis – Cinnamon

Kayu manis dan serbuk kayu manis.

Kulit kayu manis atau lebih dikenali sebagai Cinnamon dihasilkan daripada beberapa spesies pokok dari genus Cinnamomum sebagai bahan perasa makanan juga sebagai bahan bau-bauan. Namun begitu terdapat perbezaan diantara kulit-kulit kayu manis ini dan Cinnamomum verum adalah dianggap sebagai kulit kayu manis asli berbanding yang lain-lainnya yang dikenali sebagai “cassia”.

Kulit kayu manis telah lama dianggap sebagai salah satu rempah terpenting bagi pedagang-pedagang Arab ke Eropah. Bagi mengawal kepentingan perdagangan ini, lokasi asal untuk mendapatkan sumber kayu manis dirahasiakan oleh pedagang-pedagang tersebut. Kisah aneh juga diceritakan mengenai kulit kayu manis yang kononnya digunakan oleh burung raksasa (Phoenix) yang membina sarangnya daripada pokok kayu manis dan cassia. Beberapa kisah lain juga turut diceritakan bagi menerangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan sumber kulit kayu manis ini.

Namun begitu pada asalnya terdapat beberapa sumber kulit kayu manis terpenting;
  • True cinnamon, iaitu kulit daripada C. Verum (atau juga dikenali sebagai C. Zeylanicum) dari Sri Lanka yang menjadi pembekal terpenting kulit kayu manis.
  • Malabathrum atau malabathrum (atau tamālapattram yang bermaksud “daun pokok-gelap”) terdiri daripada beberapa spesies termasuk C. Tamala daripada Utara India.
  • Serichatum, C. Cassia daripada Seres, iaitu China.
  • Cassia, iaitu kulit daripada pokok Cinnamomum iners daripada Arabia dan Ethiopia.

Perbezaan jenis kayu manis.

Kulit kayu manis telah digunakan seawal 2000 BC sebagai antara bahan yang diimport ke Egypt dari China. Oleh kerana kesukaran menemukannya ianya adalah sebagai bahan hadiah kepada golongan diraja sahaja selain digunakan untuk persembahan kepada tuhan di kuil-kuil mereka. Kisah ini direkodkan bagaimana kayu manis (cinnamon) dan cassia digunakan sebagai hadiah kepada kuil seperti Apollo di Miletus.

Berbeza dimana pokok-pokok kulit kayu manis ini tumbuh subur seperti di Sri Lanka, Bangladesh, pesisir pantai Malabar di India dan Burma, kayu manis adalah tanaman biasa yang diusahakan secara kecil-kecilan atau tumbuh meliar tanpa perhatian. Malah hari ini kulit kayu manis turut didapati di Sumatra dan Malaysia sendiri. Bagi memudahkan anda mengenali pokok kayu manis ini, anda bolehlah berkunjung ke Taman Rimba Alam di Putrajaya sebelum membolehkan anda mengenalnya dengan mudah. Sekiranya anda berkunjung ke Padang, Sumatra pula, anda akan dapat melihat kulit kayu manis dijemur di pinggir-pinggir jalan.

Cinnamon pretzels.

Cinnamon twists.

Bermulanya dengan penemuan Ceylon (Sri Lanka) oleh Portuguese, penghasilan dan pengeluaran kulit kayu manis mula berubah yang selama ini dihasilkan oleh orang-orang Sinhalese. Portuguese turut membina kubunya di Ceylon pada tahun 1518 bagi mempertahankan monopoli kulit kayu manis mereka selama lebih dari seratus tahun yang kemudiannya jatuh semula ketangan orang-orang Sinhalese.

Berikutan dengan monopoli yang dikuasai oleh Portugese dan kemudiannya Belanda (Dutch) melalui Dutch East India Company di sekitar Sri Lanka dan India, Spanish pula menghantar pasukan penjelajahnya ke New Spain (Mexico) selain turut menemui Philippines. Mereka juga menemui kulit kayu manis yang tumbuh di Pulau Mindanao berhampiran Rajahnate, Butuan. Walaupun ianya daripada spesies yang berbeza iaitu Cinnamomum mindanaense, namun ianya masih mempunyai kualiti yang baik seperti juga yang ditemui di Sri Lanka. Kulit kayu manis digunakan untuk memberikan rasa manis pada coklat yang ditemui dari Aztecs. Sumber ini kemudiannya menjadi persaingan bagi kulit kayu manis yang dihasilkan dari Sri Lanka.

Kegunaan Kayu Manis

Kayu manis mempunyai pelbagai kegunaan.

Minyak daripada kayu manis.

Walaupun kayu manis secara umumnya digunakan di dalam pelbagai jenis masakan untuk memberikan bukan sahaja bau, malah rasa yang lebih enak, ia mempunyai pelbagai lagi kegunaan kepada manusia. Selain digunakan sebagai bahan bauan, ia juga digunakan untuk membantu mengatasi masalah kesihatan selain digunakan sebagai bahan hiasan (cantik dan harum).

Bagi tujuan bauan anda boleh menggunakan botol semburan yang diisi dengan air dan minyak essential daripada kayu manis. Semburan campuran ini dapat menghilangkan bauan yang tidak menyenangkan (busuk).

Bagi menyediakan minyak rawatan pula anda bolehlah mencampurkan ½ cawan minyak badam atau minyak bijan, ½ sudu teh kulit kayu manis yang dikisar halus dan ½ sudu teh ekstrak vanilla asli ke dalam bekas yang bersih. Campuran ini perlu digoncang dengan perlahan sebelum digunakan. Ia sesuai untuk melakukan urutan ataupun sebagai minyak mandian.

Bahan catechins yang terkandung di dalam kulit kayu manis juga dapat mengurangkan gejala mual (muntah-muntah). Caranya adalah dengan menyediakan teh daripada kulit kayu manis. Satu sudu teh kulit kayu manis di dalam segelas cawan air selama 10 minit. Tapis air ini dan minum. Bagaimanapun anda tidak digalakkan meminum teh kayu manis ini sekiranya anda mengandung.

Pokok kayu manis di Taman Rimba Alam, Putrajaya.

Kulit kayu manis juga boleh digunakan sebagai penggalak otak dalam mempertingkatkan keupayaan fungsi kognitif selain keupayaan mengingat. Bagi mendapatkan kelebihan ini, minyak essential kulit kayu manis digunakan dengan mencium bauan nya ataupun anda bolehlah meminum teh kayu manis bagi tujuan meningkatkan keupayaan otak anda.

Antara kegunaan penting kulit kayu manis yang lain adalah dalam merawat ‘Athlete’s foot’ atau jangkitan kulat.  Caranya adalah dengan merendamkan kaki yang dijangkiti ke dalam teh daripada kulit kayu manis. Ini boleh disediakan dengan cara memasak air dengan beberapa batang kulit kayu manis. Prosedur ini perlulah dilakukan setiap malam sehingga kulat tersebut hilang.


Terdapat pelbagai lagi kegunaan lain kulit kayu manis selain daripada tujuan masakan dan anda boleh mendapatkannya dengan mudah melalui internet. Apa yang disenaraikan di sini adalah sebahagian kecil sahaja dan bagaimana mengenalinya secara ringkas. Ia merupakan satu tumbuhan yang menakjubkan. Jadi sekiranya anda berpeluang, ambillah sedikit masa untuk mengenali pokok ini dengan lebih dekat.


Free Download



Selasa, 23 Jun 2015

Apakah yang Membezakan Masakan Anda?

Masakan secara umumnya menggunakan bahan asas yang sama yang berbeza hanyalah rempah.

Suatu perkara yang pastinya bermain di fikiran anda secara langsung ataupun tidak. Ini kerana kita semua akan memakan sesuatu atau memasak sesuatu dan dengan perkembangan ekonomi hari ini adakalanya kita ingin bertukar selera dengan hidangan sedikit berbeza dan berasal dari kawasan yang lain. Apakah yang menyebabkan rasa makanan dan beraroma berbeza mengikut kawasan, bangsa dan jenis masakan.

Ia suatu perkara yang amat menarik bagi kita boleh menikmati pelbagai hidangan yang berbeza walaupun adakalanya makanan tersebut menggunakan bahan yang hampir sama – perbezaannya hanyalah sedikit iaitu – rempah. Rempah merupakan bahan perasa penting makana terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan herba yang memberikan rasa, bauan yang membuka selera kepada makanan. Disebabkan rempah jugalah kita berusaha untuk mempelajari pelbaga resipi masakan untuk menikmati perbezaan rasa ini.

Jalan Sutera berwarna merah dan Jalan Rempah berwarna biru.

Perbezaan masakan secara umumnya terbahagi mengikut geography iaitu kedudukan sesuatu tempat, mengikut bahan (rempah) tersedia di kawasan tersebut. Secara mudah kita dapat melihat perbezaan makanan Melayu menggunakan cili, kunyit atau halia sebagai bahan asas, manakala masakan Cina akan menggunakan lada hitam, bawang putih , jintan puith dan rempah ratus kaum India pula merangkumi lebih banyak bahan namun masih lagi menggunkan bahan asa yang hampir sama iaitu cili, kunyit , buah pelaga, cengkih dan sebagainya.

Sekiranya anda mengamati rempah-rempah yang digunakan ini anda dengan mudah menguasai teknik masakan masyarakat-masyarakat yang berbeza ini. Walaupun hari ini penggunaan rempah lebih mudah didapati dalam masakan semua jenis kaum (kerana perdagangan membolehkan rempah didapati di semua tempat) perbezaan rempah asas ini masih dapat dilihat dengan jelas.

Tanpa rempah, makanan anda mungkin kurang menyelerakan.

Rempah merupakan bahan penting masakan yang mendorong manusia suautu masa dahulu merentasi lautan dari Barat ke Timur untuk mendapatkan bekalan rempah ini. Terdapat dua jalan perdagangan utama iaitu ‘Jalan Sutera’ dan “Jalan Rempah’ di mana jalan rempah menyusur lautan sehingga ke Tanah Melayu dan Jawa di Indonesia.

Jadi rahsia masakan masyarakat berbilang bangsa berbeza mengikut rempah dan herba yang digunakan dan bahan asas yang hampir sama (ikan, ayam, daging serta sayuran) dan dipelbagaikan mengikut teknik masakan yang juga memberikan masakan rasa dan tekstur tambahan. Sekiranya anda ingin menguasai teknik masakan sesuautu bangsa atau kawasan, apa yang anda perlu perhatikan adalah bahan-bahan rempah/herba ini. Ia merupakan kunci utama yang mempengaruhi rasanya.

Rempah-rempah masyarakat Timur (India, Asia Tenggara).

Secara umumnya bahan-bahan rempah Asia Tenggara meliputi:
  • Kayu Manis - Cinnamon
  • Ketumbar – Coriander/Cilantro
  • Bauh Pelaga – Cardamon
  • Jintan Manis – Fennel
  • Jintan Putih – Cumin
  • Bunga Cengkih – Clove
  • Buah Keras – Candlenut
  • Serbuk Kari – campuran pelbagai bahan.
  • Daun Kari
  • Biji Sawi – Mustard seeds
  • Bunga lawang – Star Anise
  • Lada hitam – Black pepper
  • Halba – Fenugreek
  • Kunyit/Halia/Lengkuas



Masakan Eropah/Barat lebih menggunakan herba bagi memberi aroma.

Rempah dan herba yang digunakan dalam masakan Eropah/Barat;

Bahan-bahan rempah yang digunakan banyak terdiri daripada herba yang terdapat di bahagian Eropah, namun perdagangan rempah menyebabkan rempah-rempah Asia juga digunakan dengan meluas.
  • Oregano
  • Basil
  • Dill Weed
  • Rosemary
  • Saffron
  • Sage
  • Thyme
  • Cumin
  • Parsley
  • Daun Slama - Bay leaf
  • Tarragon
  • Serbuk bawang – Onion powder
  • Sebuk bawang putih – garlic powder
  • Celery Seed
  • Arrowroot.

Juga menggunakan bahan-bahan yang hampir sama seperti buah keras, serbuk cili, lada hitam dan beberapa bahan lain. Namun perbezaan umum antara bahan yang digunakan merupakan ciri-ciri utama perbezaan dalam masakan antara budaya Timur dan Barat.

Ya, saya tidak perlu menghuraikannya secara panjang lebar kerana hanya sekadar berkongsi idea asas mengenai bahan masakan sahaja. Oleh kerana adakalanya kita ingin bertukar-tukar selera apa salahnya kita melihat perkara ini dengan lebih dekat. Sekiranya anda dapat menyediakan sendiri makanan kegemaran anda mungkin anda boleh menyediakannya untuk seisi keluarga atau juga kawan-kawan.


Free Download



Selasa, 17 Julai 2012

Kalau Lepas Minum Teh Halia Duduk Jauh-jauh

Hi, hari ni saya nak cerita pasal Halia lah. Kenapa Halia? Hmm, sebab kita kan selalu makan halia, kalau tak kenal halia tu tak patut lah kan. Paling tidak, esok lusa kita masih lagi mampu menikmati khasiat halia ni bila orang yang biasanya mengenal halia dah takder.. sob.. sob..


O.K. lah 'to make long story short', halia ni secara fizikalnya lebih kurang kunyit jer. Cuma struktur daun, dan batangnya sedikit berbeza. Dari segi rizomnya pula, halia berwarna lebih cerah, berbau kuat dan rasanya agak pedas. Bauan halia yang kuat inilah menjadikan ianya teman karib tukang masak ya. Nak tahu, selain bawang putih dan bawang merah, halia juga merupakan antara bahan masakan yang diketegorikan sebagai 'essential'. Terdapat juga bau-bauan (perfume) yang menggunakan bauan halia sebagai salah satu adunan di dalam bauan mereka. Hebat halia kan!


Bagi digunakan untuk masakan, halia muda dan halia tua keduanya boleh digunakan. Biasanya halia muda dipotong kasar untuk menambah bau dan rasa pada masakan. Sebab apa dipotong kasar? Sebab halia muda ni kalau tergigit pun takder masalah, boleh senyum jer - rasa pun sedap. Berbanding halia tua, biasanya dikisar dan digunakan untuk makanan yang agak tradisional seperti rendang ayam, rendang daging, kuah sate dan macam-macam lagi lah. Serbuk halia pula biasanya digunakan untuk minuman.

Satu keistimewaan halia yang tak boleh 'challenge' oleh lain-lain bahan makanan ialah; halia merupakan makanan pembuang angin No. #1. Bagi penggemar-penggemar  teh halia ya, sebab utama bagi minuman tersebut adalah untuk membuang angin, Namun begitu air halia tak semestinya dibuat teh(susu) sahaja, ianya boleh dipelbagaikan. Kalau di Indonesia air halia disediakan dengan menggunakan gula merah - memang sedap. Jadi bagi anda yang baru nak mencuba minuman teh halia ni hati-hati. Takut nanti lepas minum dan tengah 'windows' shopping' tu.. hmm tah tahan nak buang angin pulak - terlepas.. hehehe

Bagi saya secara peribadi memang meminati makanan berhalia. Resepi dari ayam masak halia, daging masak halia, ikan kukus (dengan halia) dan sesekali mencapurkan halia ke dalam bubur sebagai penambah rasa. Bagi yang anda di luar sana bolehlah ceritakan bagaimana anda meminati halia ni ya. Ada yang buat halia bakar ke?.. belum pernah dengar lagi..




Free Download



Sabtu, 14 Julai 2012

Kunyit Enak Untuk Masakan, Cantik Sebagai Tanaman Hiasan



Bagi kita Masyarakat Melayu khususnya kunyit merupakan suatu bahan masakan terpenting malah terdapat banyak kegunaan lain kunyit bagi masyarakat kita bagi tujuan perubatan dan lain-lain kegunaan.

Di sini sebenarnya saya ingin menyentuh lebih lanjut kunyit sebagai tanaman hiasan. Maklumlah kalau sudah dijadikan sebagai tanaman, sesekali berguna juga bila ingin digunakan dalam masakan. Mungkin anda mula terbayang daun kunyit dalam masakan labu atau tidak asing lagi untuk masakan rendang. Terliur jugak kan!

Kunyit biasa ditanam dari isi kunyit yang telah tua. Kadang-kadang kunyit tua ini sudah kelihatan tunas baru yang mula tumbuh. Kunyit ini kemudian bolehlah dipindahkan samada terus ke tanah atau ditanam di dalam pasu. Pastikan tanah tidak terlalu keras dan mempunyai saliran air yang baik. Sebaiknya kawasan yang ingin ditanam dengan kunyit dibersih dan digemburkan terlebih dahulu.

Bagi tanaman pasu pula pastikan tanah selalu digemburkan. Tempatkan kunyit dikawasan yang redup kerana cuaca yang terik boleh merosakkan daun kunyit. Perhatikan juga fikizal daun kunyit anda bagi mengenal pasti gangguan pada tanaman anda. Sekiranya daun kekuningan dan agak kering, ianya menandakan tanaman anda kekurangan baja dan pengairan yang tidak sempurna. Pastikan anda berhati-hati semasa membuat proses pengemburan bagi mengelakkan isi kunyit anda rosak.

Kunyit merupakan tanaman yang mampu bertahan lama sekiranya dijaga dengan baik. Kunyit akan mengeluarkan bunga menandakan ianya sudah cukup matang. Ini bermakna kunyit anda mempunyi isi yang cukup. Sekiranya anda ingin mengeluarkan isi kunyit tersebut, inilah masa yang paling sesuai. Jangan lupa sekiranya anda telah mengeluarkan semua isi tersebut bolehlah menanam semula benih kunyit yang baru. Selamat mencuba.




Free Download



Arkib Blog