Monday, July 13, 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Air Kelapa, “Janda Pulang”

Air Kelapa muda dapat mengembalikan kesegaran.


Air kelapa sememangnya menyegarkan terutamanya setelah penat melakukan aktiviti seharian. Air kelapa juga sememangnya diketahui mempunyai banyak khasiat dalam dunia perawatan tradisional masyarakat Melayu. Sebagai minuman pula, ia sentiasa mendapat sambutan oleh semua kaum dan terdapat hampir di serata pelosok tanah air.

Bagi air kelapa muda yang biasa, ia tidaklah menjadi sebarang masalah kerana kebiasaannya air kelapa muda disediakan di dalam buah yang telah dipotong sabutnya dan hanya menunggu untuk ditebuk dan diminum. Begitu juga bagi sesetengah peniaga, buah kelapa yang masih segar dijual kepada pembeli di kawasan-kawasan tertentu di pinggir bandar.


Kelapa hijau dari jenis 'kelapa pandan' adalah yang terbaik untuk minuman.
Penuh kebaikan, air kelapa muda.

Air kelapa muda mempunyai rasa yang manis secara semulajadi. Ditambah pula dengan isinya yang masih lembut sebagai bahan kunyahan semasa menikmati minuman ini. Ia merupakan minuman yang baik untuk menghilangkan rasa kehausan seterusnya mengimbangi kadar cecair di dalam badan. Tidak seperti minuman lain yang akan membuatkan perasaan dahaga yang berterusan yang membuatkan anda terus minum dengan banyak.

Air kelapa amat penting terutamanya dalam membersihkan bahan toksid dari badan termasuklah racun. Pengamal perubatan Melayu tradisional amat mementingkan penggunaan buah kelapa samada untuk diminum, mandi atau sebagai salah satu bahan perawatan. Air kelapa mempunyai tindakbalas yang baik dengan badan manusia tanpa sebarang komplikasi yang serius.


Air 'Janda Pulang' dihidang di dalam gelas.

Namun apabila berkata tentang air kelapa sebagai minuman, terdapat sejenis minuman di Negeri Sembilan yang amat popular berasaskan air kelapa muda. Saban hari terdapat deretan kedai-kedai menjual air kelapa “Janda Pulang” di sepanjang jalan dari Ulu Bendul sehingga ke Pekan Kuala Pilah. Ia merupakan minuman yang amat unik, maka tidak hairanlah mengapa ia mendapat sambutan dengan begitu pantas.

Nama minuman yang diberikan kepada minuman ini juga adalah simbolik tentang bagaimana minuman ini disediakan. Ini kerana penyediaan air Janda Pulang memerlukan buah kelapa ditebuk besar dan dikeluarkan isinya. Airnya pula dicampur dengan nira enau (palm sugar) dan dikacau sehingga sebati. Ia kemudiannya dimasukkan semula ke dalam buah kelapa serta ditambah dengan buah beluluk berbentuk halwa atau yang telah diproses.

Proses mengeluar dan memasukkan air kelapa tadi diibaratkan seperti perpisahan sepasang suami isteri yang menyebabkan isteri menjadi janda. Oleh kerana hasil air tangan istei yang sangat sedap menyebabkan ia dirujuk semula. Ia mengisahkan perjalanan isi kelapa yang pada mulanya bersatu, berpisah dan bersatu semula – dengan lebih baik (manis).


Buah beluluk sedap ditambah kedalam minuman.

Diharap para peniaga air “Janda Pulang” ini dapat memelihara keunikan asal air ini walaupun pengubahsuaian mungkin perlu – namun ia tidak merosakkan keaslian “Janda Pulang” di mana ia telahpun ada semenjak dari awal lagi.


Manakala bagi yang melewati kawasan laluan disepanjang Seremban – Kuala Pilah juga diharap tidak ketinggalan untuk mengambil peluang untuk merasai keistimewaan dan kebaikan air kelapa “Janda Pulang” ini di negeri asalnya.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...