Friday, July 3, 2015

Khasiat Buah Delima

Buah delima yang telah masak.

Buah Delima tidak begitu popular bagi Kaum Melayu Malaysia kerana ia bukan tanaman asal negara ini. Namun begitu pokok delima masih boleh tumbuh dan berbuah di Malaysia dengan buah yang agak kecil. Buah delima dengan saiz yang besar adalah didapati dengan mengimportnya dari luar negara dan terdapat di kedai-kedai buah utama.

Delima atau lebih dikenali sebagai ‘pomegranate’ (Punica granatum) merupakan buah daripada pokok yang sederhana besar dengan ketinggian 5 hingga 8 meter (16 – 26 kaki) tinggi. Ia dikatakan berasal daripada Timur Tengah iaitu Iran dan  sekitar Mediterranean kemudiannya merebak ke Utara India. Ia diperkenalkan ke Amerika Selatan dan California oleh pelayar Spanyol di sekitar 1769.

Hari ini pokok delima ditanam di lebih banyak kawasan di dunia dari Timur Tengah, Afrika Utara, dan bahagian Tropika Afrika, India, China, Asia Tengah  dan bahagian kering di Asia Tenggara. Ia juga dikatakan semakin popular di bahagian Eropah dan bahagian Barat yang lain.


(Los Angeles County Museum of Art)
Lukisan buah delima dari Dinasti Song sekitar 1200 - 1340 (Los Angeles County Museum of Art)

Buah delima telah menjadi buah yang penting bagi manusia sejak ribuan tahun dahulu. Catatan sejarah direkodkan semenjak 6000 BC lagi di Greece menunjukkan ia mula ditanam oleh manusia. Catatan-catatan berikutnya pula terdapat pada patung-patung yang diukir dan lukisan-lukisan dari Greek (800 BC), Rome (700 BC) selain turut tampil dalam seni (Buddhism) dari China.

Buah delima digunakan bukan sahaja sebagai makanan dan ubatan, malah bunganya juga digunakan sebagai bahan pewarna dan kulitnya digunakan sebagai pewarna barangan kulit. Oleh kerana kepentingannya dalam masyarakat ia dapat dilihat dalam banyak hasil seni masyarakat dahulu daripada lukisan, ukiran dan lambang ‘Coat of Arms’ bagi Granada.


Buah delima yang masak di pokok.

Buah delima digunakan dalam beberapa cara selain daripada minuman, ia juga digunakan dalam penyediaan salad, digunakan dalam masakan, dijadikan sos, dan dipelbagaikan mengikut kesesuaian seperti dimakan dengan ice-cream dan yogurt. Ia amat popular di Turkey sebagai minuman dan juga digunakan sebagai masakan dikenali sebagai ‘pilaf’ dan juga ‘shepherd’s salad’ dikenali sebagai ‘narşərab’ di dalam Bahasa Azerbaijani.

Buah delima terkenal sebagai buah yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan tradisional bagi pelbagai masyarakat. Bahagian yang digunakan dalam perubatan merangkumi dari buah, kulit dan juga kulit pokok itu sendiri digunakan untuk merawat diarhea, dysentery dan parasit di dalam usus seperti cacing. Jus dari buah dan biji dikatakan baik untuk merawat jantung dan tekak selain membantu pembentukan darah. Namun penggunaan untuk tujuan perubatan Ayuverda ini juga adalah mengikut kesesuaian jenis buah delima.

Buah delima juga digunakan sebagai bahan pencegah kehamilan. Penggunaan delima untuk tujuan ini direkodkan dalam penulisan di India dan mungkin masih digunakan hingga ke hari ini.


 ash-e anar
Sup 'ash-e anar' dari Parsi menggunakan jus delima.

Kajian terhadap potensi buah delima dalam merawat masalah kesihatan terus giat dijalankan bagi mengenal pasti potensi buah delima dalam merawat pelbagai masalah kesihatan antaranya masalah berkaitan jantung dan pembuluh darah – termasuk darah tinggi (high blood pressure), jantung tersumbat (congestive heart failure – CHF), serangan jantung (heart attack), menguatkan arteri (artherosclerosis) dan kolestrol tinggi (high colestrol). Potensi lain turut merangkumi merawat ‘flu’, masalah mulut (stomatitis), gusi berdarah (gum disease), ‘erectile dysfunction’ (ED), kencing manis ‘diabetes’ selain digunakan untuk mengelakkan kanser prostat (prostate cancer), obesity dan penurunan berat badan.

Buah delima sememangnya istimewa dan merupakan buah yang penting bagi banyak masyarakat di dunia. Walaupun begitu penggunaannya untuk tujuan perubatan perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Anda juga boleh mendapatkan jus delima yang telah sedia diproses (sekiranya perlu) selain buah delima segar daripada pembekal buah-buahan.

Video mengeluarkan biji delima:



Rujukan:

Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...