Friday, March 11, 2016

Mengajar Anak-Anak Anda Menjadi Lebih Minat Tentang Pelajaran

Menarik minat kanak-kanak amat mudah sekiranya betul caranya.

Sering kedengaran ibu bapa mengeluh melihat anak-anak mereka yang lebih suka bermain daripada membaca buku dan membuat ulangkaji. Ia menjadi lebih serius apabila anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan penting seperti SPM, PMR, UPSR dan sebagainya? Mengapa anak anda sukar menumpukan perhatian mereka kepada bahan pendidikan?

Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak melakukan apa yang mereka rasakan menggembirakan bagi mereka. Sebenarnya mengajar kanak-kanak bukanlah sukar. Apa yang penting, bagaimanakah caranya untuk membuatkan bahan pelajaran tersebut lebih menyeronokkan. Tahukah anda, sebagai ibu bapa anda lebih berpeluang untuk mencorakkan minat mereka berbanding guru mereka di sekolah?


Kanak-kanak mudah mengikut apa yang anda lakukan berbanding apa yang anda katakan.

Mari kita lihat beberapa eksperimen mudah yang anda boleh lakukan kepada anak-anak anda yang membuatkan mereka tertanya, “bagaimanakah anda melakukannya?”. Ini adalah salah satu kaedah yang menarik dan menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama seisi keluarga. Eksperimen-eksperimen mudah ini membuktikan anda juga mempunyai kemahiran dalam membuktikan sesuatu.

Telur Terapung

Bahan-bahan:

·        Telur
·         Air
·         Garam
·         Gelas (yang membolehkan telur terapung)


Sebaiknya sediakan dua biji gelas dan dua biji telur. Masukkan air biasa ke dalam gelas yang pertama. Manakala cairkan sehingga 6 sudu besar garam ke dalam gelas yang kedua. Jangan isikan terlalu penuh bagi membolehkan telur dimasukkan kemudiannya.

Minta anak anda memasukkan telur ke dalam gelas yang pertama; dan lihat hasilnya. Anda akan memasukkan telur ke dalam gelas yang kedua; dan lihat hasilnya pula. Bincangkan bersama anak-anak anda tentang perkara tersebut. Mulakan dengan bertanya beberapa soalan kepada mereka?

Mencampurkan Air dan Minyak

Bahan-bahan:

·         Bekas (gelas atau bekas minuman)
·         Air
·         Pewarna makanan
·         Sedikit minyak
·         Cecair pencuci pinggan

    Warnakan air dengan pewarna makanan untuk memudahkan kesan eksperimen ini nanti. Kemudian masukkan sedikit air tersebut ke dalam bekas. Masukkan pula minyak ke dalam bekas tersebut. Tutup dan goncangkan bekas; perhatikan apa yang akan berlaku. Minyak dan air akan berpisah semula mengikut kumpulan masing-masing.

    Masukkan pula sedikit cecair pencuci pinggan mangkuk, dan goncang semula bekas tersebut; perhatikan semula apa yang akan berlaku. Minyak dan air kini bergabung oleh kerana molekul sabun menarik kedua-dua molekul minyak dan air. Ia dipanggil sebagai bahan pengemulsi dan memudahkan kerja-kerja membersihkan permukaan berminyak.

    Mencucuk Kentang Dengan Straw

    Bahan-bahan:

    ·         Straw plastik yang masih baik (tidak koyak atau bocor)
    ·         Kentang



    Mulakan eksperimen anda dengan menggunakan straw yang tidak ditutup hujungnya dan tikamkan kepada kentang. Minta pula anak anda melakukan ini beberapa kali.

    Lakukan sekali lagi menggunakan straw yang baru (yang lama boleh digunakan sekiranya masih baik). Kali ini tutup hujungnya menggunakan ibu jari anda. Tikam kentang dengan pantas; perhatikan apa yang berlaku kali ini. Bincangkan bersama anak anda bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

    Meletupkan Belon Dengan CO2

    Bahan-bahan:

    ·         Belon
    ·         Sedikit air (anggaran 40 ml – 4 sudu besar))
    ·         Botol air minuman – hujung untuk dimasukkan belon, sebaiknya botol kaca yang kuat.
    ·         Straw atau batang plastik yang panjang seperti ‘chop stick
    ·         Jus lemon
    ·         1 sudu kesil ‘baking soda’.



    Regangkan belon untuk memudahkan ianya mengelembung. Masukkan 40 ml ari ke dalam botol. Masukkan pula baking soda ke dalam air tersebut dan kacau dengan straw sehingga ianya larut. Masukkan pula jus lemon dan dengan pantas masukkan hujung belon ke muncung botol.

    Tindak balas ‘baking soda’ dan lemon akan menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan ia akan mengembangkan belon anda sehingga meletup. Sebaiknya ianya dilakukan di luar rumah dan anak-anak anda amat menyukainya.


    Minat anak-anak banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Ini kerana anak-anak anda sentiasa memerhatikan setiap perbuatan anda. Agak sukar mengulangkaji pelajaran sekiranya anda hanya menghabiskan masa dengan menonton TV di rumah. Banyakkan berbincang sesekali dengan mereka tentang perkara-perkara menarik mengenai pelajaran dan juga jangan lupa berikan pujian sekiranya mereka menunjukkan kemajuan; berikan sokongan sekiranya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang betul pula.



    Free Download



    No comments:

    Post a Comment

    Blog Archive

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...