Saturday, April 4, 2015

Haiwan-haiwan Bertukar Warna

chameleon
Selebriti yang paling terkenal dalam dunia 'camouflage'.
(Credit: Michel C Milinkovitch)

Keunikan haiwan yang mampu menukar warna samada mengikut persekitaran mahupun dalam berhadapan dengan sesuatu situasi amat menarik untuk diperhatikan. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari haiwan-haiwan ini dan manfaatnya kepada manusia di masa-masa akan datang.

Jika diperhatikan dengan terperinci, terdapat banyak haiwan yang mampu menukar penampilan mereka dalam berhadapan dengan sesuatu situasi. Selain daripada bertukar warna, haiwan seperti kumpulan sotong (cephalopod) menukar fizikal mereka yang akan menyerupai persekitaran. Haiwan-haiwan lain pula akan menukar warna bulu-bulu mereka mengikut musim.

Kepantasan haiwan-haiwan ini bertukar warna juga berbeza-beza mengikut spesis. Sotong antaranya merupakan haiwan yang mampu menukar warna dan fizikalnya dengan pantas sekali. Manakala sesumpah (chameleon) akan mengambil masa beberapa minit untuk bertukar (atau lebih pantas). Berbeza pula dengan haiwan-haiwan seperti ‘ptarmigan dan ‘snowshoe hare pula akan bertukar mengikut musim - kitaran empat musim.

Maka dengan itu, kemahiran bertukar warna dan fizikal ini merupakan salah satu ciri-ciri yang dimiliki oleh banyak hidupan di bumi. Walaupun dengan kaedah yang berbeza, namun tindakan menukar fizikal dan rupa ini adalah satu kemahiran penting di dalam alam terutamanya bagi haiwan yang bersaiz kecil dan sederhana. Tanpa kemahiran ini adalah sukar untuk mereka dalam mendapatkan makanan atau mengelakkan diri dari ancaman musuh.

Berikut adalah beberapa jenis haiwan yang boleh bertukar warna;

Sesumpah – terdapat banyak jenis sesumpah (chameleon) yang boleh hidup di kawasan bersuhu panas dari Afrika, Madagascar, Selatan Eropah, Selatan Asia sehingga ke Sri Lanka. Ia berbeza dengan spesis cicak kecil yang juga boleh bertukar warna yang dikelaskan sebagai anoles – namun ia juga dikenali oleh masyarakt tempatan (Malaysia) sebagai sesumpah.

Cuttlefish
Sotong merupakan haiwan yang paling mahir menukar warna dan fizikal.

Sotong – sotong terdiri dari satu kumpulan pelbagai spesis yang besar dikenali sebagai Cephalopod – ini termasuklah octopus, squid dan juga cuttlefish (nama umum bagi kesemua spesis ini adalah sotong bagi masyarakat Malaysia). Bagi haiwan-haiwan ini pula, kemahiran mereka dalam menukar warna dan fizikal menyerupai persekitaran adalah amat hebat sekali. Pertukaran ini mengambil masa amat singkat dengan kesan yang paling efektik. Selain untuk berburu, pertukaran warna ini juga sering digunakan dalam berinteraksi antara mereka.

Flounder
Ikan 'flounder' dan persekitaran yang sama.

Ikan – terdapat juga jenis-jenis ikan yang boleh menukar warna mereka antaranya adalah ikan sebelah (flounder) dan juga ikan dari kumpulan acanthuridae yang mendiami kawasan terumbu karang. Ikan flounder memburu di perairan cetek dan kemahirannya menukar warna membantunya untuk memburu dan daripada dilihat dengan mudah oleh musuh – namun begitu ia sering menjadi mangsa kepada burung helang.

Burung – Burung dari  spesies ptarmigan juga bertukar warna mengikut musim. Oleh kerana ia tidak berpindah seperti brurung-burung lain, kemahirannya menukar penampilannya mengikut persekitaran ini membantu untuk ptarmigan terus mendapat makanan dan perlindungan.

Snowshoe hare
Snowshoe hare pada musim sejuk.

Mamalia – bagi sesetengah mamalia kecil seperti snowshoe hare, Alaskan hare, Artic hare dan juga stoat mengubah warna bulu mereka seperti juga ptarmigan untuk menyerupai persekitaran yang putih pada musim sejuk. Perubahan ini penting bagi mengelakkan ia mudah dikesan dalam persekitaran yang memudahkan mereka untuk dilihat.

Amfibia – beberapa jenis katak juga mempunyai kemahiran menukar warna dan yang paling dikenali adalah gray tree frog. Berbeza dengan katak-katak lain, ia menghabiskan masa berada di atas pokok. Oleh kerana terdedah kepada pemangsa – kemahiranya bertukar warna amat membantu untuk mengelakkan serangan musuh.

Golden tortoise beetle
Kepelbagaian warna 'golden tortoise beetle'.

Serangga – selain daripada kumpulan hidupan yang disebutkan di atas. Serangga juga tidak ketinggalan dalam memiliki kemahiran menukar warna ini. Terdapat beberapa spesies labah-labah dan juga kumbang yang boleh bertukar warna. Serangga seperti golden tortoise beetle misalnya mempunyai keunikan bertukar warna mengikut musim atau apabila diganggu.


Jadi itulah dia sebahagian daripada hidupan yang mempunyai kemahiran dalam menukar warna dan fizikal mereka untuk pelbagai tujuan. Sekiranya anda rasakan ia merupakan kemahiran yang hanya dimiliki oleh segelintir hidupan sahaja, maka dengan ini dapat menambahkan lagi pandangan anda kepada skop yang lebih luas. Walaupun sesumpah merupakan haiwan yang paling popular dalam dunia penukaran warna – kumpulan sotong masih lagi merupakan juara dalam pertandingan ini.








Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...